Lebih 20,000 peminat bola sepak Negeri Sembilan dijangka hadir meraikan kemenangan Skuad Rusa menjadi juara Piala Malaysia di padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS) malam ini.
Datuk Ismail Lasim
Turut memeriahkan sambutan itu ialah beberapa artis terkenal tanah air antaranya 'papa rock' Ramli Sarip dan Hattan.
Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Ismail Lasim berkata, pelbagai acara turut diadakan malam ini bagi membolehkan orang ramai datang untuk memeriahkan majlis berkenaan.
Katanya, majlis itu diadakan sebagai tanda penghargaan PBNS kepada para penyokong Skuad Rusa yang selama ini memberi sokongan padu sehingga muncul juara bagi piala berprestij itu.
"Acara sambutan itu akan bermula di Dataran Senawang pada pukul 4 petang yang mana kesemua pemain dan pegawai PBNS akan diarak dengan menaiki bas khas tidak berbumbung yang disewa khas dari Melaka.
"Ia kemudiannya akan bergerak ke Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Centre Point Seremban, Jalan Rasah, Jusco Seremban 2 dan sekitar kawasan Seremban 2 sebelum menuju ke Padang MPS,"
Katanya lagi, turut dijangka hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar yang juga Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Tambah beliau, orang ramai juga akan diedarkan dengan poster pemain bola sepak negeri untuk ditandatangani oleh setiap pemain pada sesi bersama para pemain selama 40 minit.
Katanya, trofi Piala Malaysia yang dimenangi turut diarak ke seluruh daerah bermula di Dataran Rembau pada pukul 4 petang esok manakala di Stadium Kuala Pilah pada waktu yang sama Isnin.
"Sambutan ini akan diteruskan di Stadium Tampin, 17 November, manakala di Jelebu pula ia akan diadakan di Stadium Kuala Klawang dan 19 November, trofi itu akan dibawa ke bandar Jempol.
"Perarakan trofi Piala Malaysia ini akan berakhir di Port Dickson iaitu di Padang Merdeka pada waktu yang sama," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan