|
|
Melangkah ke musim yang ketiga, tidak mahu dianggap terlalu klise dengan konsep persembahan dan kandungan yang seakan-akan hampir menyerupai pertandingan realiti lain, 10 peserta dipecahkan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan peserta lelaki dan kumpulan peserta wanita.
Bertemu penerbitnya, Nurhul Huda Khalid pada majlis pengumuman 10 peserta rancangan itu yang berlangsung di Anggerik Mall, Shah Alam baru-baru ini, berkata, perubahan tersebut memberi kelainan ketara untuk musim kali ini berbanding dua musim sebelumnya.
Peserta rancangan itu termasuklah Maisarah Ismail (Sarah), Nur Lydazura Abd. Aziz (Lyda), Senisah Majilin (Chind), Raja Farah Afzal Raja Ikram (Tom), Nor Shahida Jamaluddin (Sha), Ahmad Azam Pit (Azam), Jaymeral Henry Monis (Jay), Muhamad Hafidz Muhamed Kamal (Apiz), Noorsyaiful Md. Zalaludin (Epul) dan Muhammad Farid Anuar (Farid).
Memulakan siaran pada 8 November lalu secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, pertandingan itu turut bersiaran di TV3 pada setiap Ahad pukul 10.30 malam.
"Kita pecahkan kepada dua kumpulan kerana kita ada minggu pengenalan untuk memperkenalkan peserta pada minggu pertama siaran.
"Konsep yang cuba kita bawakan ialah memperkenalkan peserta lelaki terlebih dahulu kemudian barulah memperkenalkan peserta wanita.
"Penyingkiran bakal bermula pada minggu ketiga tetapi kami tetap akan kekalkan konsep berkumpulan sehingga tinggal tiga peserta lelaki dan tiga peserta wanita kemudian baru kami gabungkan mereka pada episod kelapan," katanya.
Dari segi kandungan persembahan, kata Nurhul Huda, saban minggu tugasan yang diberikan kepada peserta semakin bertambah mengikut kebolehan masing-masing termasuklah tarian, lakonan dan juga mengacara.
Kata Nurhul Huda lagi, setiap peserta yang dipilih menyertai pertandingan itu mempunyai bakat dan keistimewaan tersendiri.
Malah, fokus untuk para peserta kali ini termasuklah menitik beratkan hala tuju dalam mengasah bakat peserta mengikut genre muzik yang bersesuaian dengan mereka.
"Satu lagi kelainan untuk musim ini ialah kita akan fokuskan tugasan kepada mereka mengikut kebolehan dan genre muzik yang bersesuaian dengan mereka," kata Nurhul Huda lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan