Geng Aku

Khamis, 19 November 2009

Nizar V'8! Adakah BN Akan Menang 2/3 Pada PRU-13?



Satu Forum Sembang-Sembang bertajuk… Will BN or PR win, if General Election Was Held Today? telah diadakan di Caring Society Complex, Pulau Pinang pada 16 November.

Penceramahnya ialah Ibrahim Suffian, Pengarah Merdeka Centre for Opinion Research.
Apa yang menarik ialah pendapat Ibrahim Suffian. Dia kata… sekiranya pilihanraya umum diadakan sekarang, Pakatan Rakyat akan bungkus. Pada pendapat dia, BN akan menang bergaya. Mengapa?



Sejak naik jadi PM, popularity Najib melonjak naik dari 45% ke hampir 60%. Begitu juga dengan sokongan kaum India kepada BN yang meningkat dari 33-45 % kepada 55 %. Sokongan kaum Melayu pula naik, daripada 53 pad PRU12 kepada 57%, manakala sokongan kaum Cina tidak banyak berubah iaitu sekitar 35-45%

Apa yang ketara ialah kaum India sudah mula beralih sokongan kepada Najib/BN. Ini merupakan satu kejayaan perang saraf Najib ke atas kaum India. He managed to win the mind and the hearts of the Indians.



Orang India sebenarnya sudah fed up dengan parti-party politik yang kononnya memperjuangkan nasib mereka…. terutamanya MIC. MIC dilihat gagal memperjuangkan dan memperbaiki taraf hidup masyarakat India. Talk saja big tapi not much yang dilakukan untuk mereka…. yeilek. Nasib kaum India, pi mai…. pi mai… tang tu juga, masih di takuk lama. Taraf hidup mereka, makin susut…. yang bertambah ialah rambut Samy Bello!!

Dalam keadaan hidup mereka terhimpit dari semua aspek, Najib muncul membawa sinar harapan kepada mereka. Dia pergi melawat Batu Caves…. dia bebaskan para pemimpin Hindraf daripada tahanan ISA…. merestui penubuhan parti Makkal Sakti…. penubuhan Yayasan… apa ke bendanya, aku pun tak ingat untuk counter permasalahan kaum India dan menjaga kebajikan mereka. Semua ini berjaya menambat hati kaum India. Najib dilihat serius mahu membantu mereka.

Tindakan dan perbuatan membentuk persepsi. Terbukti…. persepsi kaum India terhadap Najib/BN telah berubah. Ini… mereka zahirkan dalam PRK di Bagan Pinang dan melalui hasil dapatan survey yang dilakukan oleh Merdeka Centre, mengukuhkan lagi fakta ini.



Kredit patut diberi kepada Najib. Sebagai seorang oportunis, dia bijak mengambil kesempatan dan peluang yang ada bagi menguntungkannya. Bijak pulak mengurus dan memanipulasi persepsi. Dan… kaum India yang tersepit dan terhimpit dijadikan mangsa. Najib memang seorang oportunis yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Hasil survey yang dilakukan oleh Merdeka Centre ini, tidak boleh dipandang remeh. Ini patut menjadi ‘a wake up call’ kepada semua pemimpin Pakatan Rakyat. Sesuatu mesti dilakukan untuk mengembalikan momentum sokongan rakyat kepada mereka. Jika tidak… nasib dan masa depan Pakatan Rakyat akan berada dalam bahaya.

Bolehkan kita persalahkan kaum India kerana sudah beralih arah? Dalam keadaan ekonomi yang sedang tenat, survival lebih penting. Politik tolak ke tepi dulu. Yang utama, diutamakan. Kehidupan perlu diteruskan dan diberi keutamaan. Perut tak boleh dibiarkan kosong.

Dan.. keadaan masyarakat India yang rata-ratanya hidup daif inilah….. dimanipulasi oleh Najib/BN. Tunjukkan sedikit rasa caring dan simpati…. hulur sana, hulur sini serba sedikit… buat itu dan ini… tubuhlah apa-apa yang patut ditubuhkan…. dan tengok, begitu cepat sekali kaum India beralih sokongan. Macam semut kerumun gula!!



Tetapi, apa para pemimpin Pakatan Rakyat buat untuk menangani masalah dan derita kaum India ini…. terutama di kawasan-kawasan estet?? Sebenarnya tak banyak. Tak cukup hanya pacify mereka dengan air liur. Demi survival… mereka maukan lebih daripada itu. Mereka mahukan sesuatu yang konkrit. Sesuatu yang dapat meringankan beban kehidupan mereka. Najib/BN dengan kuasa yang mereka ada, berjaya melakukan semua itu.

Apa yang rakyat lihat sekarang pada Pakatan Rakyat?? Kecelaruan demi kecelaruan. Kemelut demi kemelut berlaku antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat. PAS dan DAP kelihatan tidak sehaluan. PAS dan PKR dilihat tak sebulu. PAS dengan kemelut dalamannya dan PKR dengan masalah katak-kataknya.



Sikap sesetengah pemimpin dalam Pakatan Rakyat terutamanya di Selangor, yang dilihat sengaja menimbulkan isu yang menjadi punca berlakunya pergeseran. Yang suka menggunakan media arus perdana untuk menyatakan ketidakpuasan hati, sikap tak bertolenransi, sikap tidak prihatin terhadap imej Pakatan Rakyat dan sikap menentang arus walaupun duduk dalam satu pasukan.

Sikap dan tindak tanduk para pemimpin atasan inilah yang mem’projectkan persepsi negatif Pakatan Rakyat di mata umum. So, siapa yang nak dipersalahkan jika rakyat mula rasa meluat…. fed up dan mula beralih sokongan? PRU 13 akan menjelma tak lama lagi. Jangan pulak, dah terantuk…. baru nak tergadah. Kalau nasi sudah menjadi bubur…. tak berguna lagi. Amaran sudah diberi. Signal pun sudah jelas. Jadi… tepuk dada, tanya selera. Do something… jangan goyang kaki saja!!

Sesuatu masih boleh dilakukan. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Sekarang Pakatan Rakyat sudah didaftarkan. Ini merupakan satu langkah positif bagi mewujudkan sistem dua parti di Malaysia. Walau pun… PAS, DAP dan PKR mempunyai perbezaan dari segi ideologi dan dasar tetapi pada masa yang sama, mereka mempunyai cukup banyak persamaan. Rakyat berada di hati mereka. Fokuskan kepada persamaan-persamaan ini untuk membina kekuatan. Tolak ketepi segala perbezaan buat sementara waktu dan tanganinya nanti dengan cara diplomasi, musyawarah serta berhemah.

Setiap parti dalam Pakatan Rakyat mesti mula melakukan ’scanning’ terhapap para pemimpin mereka. Get rid of atau peti sejukkan mana-mana pemimpin yang bermasalah. Kita tak perlu pemimpin macam itu. We need leaders who are more capable, credible dan reliable. Begitu juga dengan calon-calon yang bakal bertanding. Please…. no more calon bidan terjun ke… atau payung terjun… ke. Kenal pasti mereka daripada sekarang dan groom them untuk menjadi pemimpin rakyat yang sejati bukan pemimpin rakyat apabila tiba musim mengundi.



 Para pemimpin ini perlu rajin turun ke padang bukan hanya nampak muka apabila pemimpin atasan turun atau semasa musim pilihan raya saja. Pemimpin yang suka menempek dan tumpang bernaung pada populariti pemimpin lain, tidak akan bertahan lama. Rakyat tak suka pemimpin seumpama ini.

Ingat… win the hearts , the soul and the mind of the rakyat. Bodek rakyat dan bukannya pemimpin atasan. Pemimpin yang pandai membodek rakyat, akan pasti sentiasa melekat di hati rakyat. Apabila tiba musim pilihan raya, tak payah susah-susah mem’promote’ diri, sebab sekiranya dicalonkan pasti akan mendapat undi mereka.

Persoalannya sekarang, Pakatan Rakyat nak menang atau nak kalah dalam PRU 13??

Kalau nak menang… pulihkan confidence rakyat. Caranya mudah, selesaikan semua masalah dengan segera, bentuk persepsi positif bagi membina semula kredibiliti supaya dapat mengukuhkan lagi reputasi. InsyaAllah… tsunami akan berlaku lagi.

Nizar V'8! Ust. Azizan Berhadapan Ujian Getir.



Seminar khas anjuran PAS awal bulan lalu dimaklumkan, Ust Azizan adalah salah seorang daripada pimpinan PAS paling popular disamping TGNA, TGHH, Nizar dan Mohamad Sabu. Beliau juga dinobatkan oleh Aziz Bari sebagai pemimpin yang dikira layak untuk memimpin PAS di hierarki kepimpinan yang lebih tinggi.

Sembang-sembang dengan beberapa pemimpin pemuda PAS juga meletakkan Ust Azizan sebagai sosok pemimpin yang disenangi umum di Kedah. Samada kakitangan awam, istana, agensi swasta, GLC dan masyarakat bukan Islam, semuanya selesa dengan Ust Azizan. Walau pun, ada beberapa pendekatan Ust Azizan yang kurang disenangi oleh pimpinan sayap PAS di Kedah.

Blogger A Kadir Jasin juga memberi kredit kepada Ust Azizan. Ketika sebahagian kecil pemimpin PAS yang lain terpaksa bertungkus lumus dengan isu-isu yang perlu ditangani secara bijak, Ust Azizan pula dilihat ‘biasa’ sahaja. Dia seperti nakhoda di lautan tenang.



Secara umumnya, sehingga kini boleh dikatakan Ust Azizan berjaya membentuk dirinya menjadi pemimpin rakyat di Kedah.

Namun rencana Tuhan tidak mampu diduga. PRK Kota Seputeh menanti Ust Azizan. Boleh dikatakan PRK itu bakal menjadi kayu ukur kepada persepsi rakyat Kedah kepada Ust Azizan. Mengapa begitu?

Pada masa ini, mengikut pandangan beberapa ahli akademik, persepsi umum kepada PAS dalam keadaan menurun. Sokongan golongan muda dikatakan agak merosot. PRK Bagan Pinang pula menyaksikan masyarakat India tidak seiring dengan PAS seperti sebelumnya. Isu-isu di Selangor pula dilihat sedikit sebanyak mencalarkan imej PAS termasuk isu bai’ah.


Ust Azizan terpaksa berhadapan dengan PRK Kota Seputih dalam situasi itu. Tentunya situasi kini berbeza dengan situasi ketika PRK Bukit Selambau diadakan kerana kerusi itu ditandingi PKR. Ya, PKR juga ada masalah tersendiri tetapi sekurang-kurangnya masalah yang dihadapi PKR berjaya dibendung daripada membentuk persepsi negatif umum kepada parti itu berbanding persepsi umum kepada PAS pada masa ini.

PAS dan Ust Azizan juga perlu bijak mencatur ‘mood’ serta kehendak pengundi DUN Kota Seputeh supaya melihat bahawa apa yang dihadapi oleh PAS pada masa ini sekurang-kurangnya hanya bersifat tempelan sahaja dan bukan perkara dasar.

Komitmen PAS dalam isu-isu rakyat, kebersamaan PAS dalam Pakatan Rakyat, kesungguhan PAS dalam soal menobatkan Islam dan keprihatinan PAS terhadap keperluan masyarakat bukan Islam adalah tidak berubah, malah PAS bersedia pula untuk mengukuhkannya lebih baik daripada apa yang ada sekarang.



Kalau imej positif Ust Azizan dan komitmen PAS di atas dapat diadun dengan baik, PAS akan menang di Kota Seputeh, walau pun kerusi itu kini dipegang BN. Tetapi kalau imej PAS gagal digilap dengan baik, tentu Ust Azizan akan berhadapan cabaran getir, sekurang-kurangnya untuk mengekalkan majoriti sekarang.

Nizar V'8! Khir: BN akan bantu Badrul


Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo berkata, BN akan membantu ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah membuka dan mengaktifkan pusat khidmat wakil rakyat barunya.

"Kita akan minta bantuan kerajaan persekutuan. Walaupun beliau bukan wakil rakyat BN, tetapi dia menyokong BN macam (ADUN) yang lain juga," katanya yang juga bekas menteri besar Selangor.

Dr Mohd Khir diminta mengulas hasrat Badrul Hisham semalam untuk membuka satu pusat khidmat wakil rakyat baru untuk menyambung tugas sebagai "wakil rakyat yang baru."

 Beliau dilaporkan tidak mahu menggunakan logo mana-mana parti untuk pusat khidmat baru itu walaupun telah mengumumkan menyokong BN apabila keluar PKR akhir bulan lalu.

Dr Mohd Khir berkata, Umno Selangor akan menyokong penuh pemberian dana kepada Badrul Hisham untuk kepentingan rakyat di kawasannya.

"Bagaimanapun, beliau kena ikut proses. Kena pohon dulu. Tetapi mungkin tahun depanlah (beliau dapat). 



"Sekarang pun sudah hujung tahun. Sekarang ini beliau kena banyak-banyak bersabar," kata beliau yang kini dilantik sebagai ketua pemikir Umno Selangor.



Beliau juga menyifatkan tindakan kerajaan Pakatan di bawah pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menyekat bantuan terhadap Badrul seperti "meludah ke langit."

"Mereka kata kerajaan BN tidak bagi peruntukan kepada wakil mereka, sekarang dia sendiri yang buat perkara itu. Perkara ini mereka tidak ketengahkan pula," sindir Dr Mohd Khir.

Katanya, beliau berhasrat menemui Badrul secepat mungkin untuk memberikan sokongan kepadanya yang kini menjadi ADUN bebas "mesra BN".

Nizar V'8! Ketuai PR-Nik Aziz belum sedia mengulas



Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat belum bersedia untuk memberi reaksi berhubung cadangan agar beliau dilantik menerajui pakatan rakyat.


Menteri Besar itu menyifatkan masih terlalu awal dan belum sampai masa untuk beliau mengulas cadangan itu.

''Belum masak lagi, biar periuk menggelegak, lama-lama boleh masak dan makan nasi," katanya ketika diminta mengulas isu itu pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.



 Datuk Zaid Ibrahim [gambar] baru-baru ini dilaporkan mencadangkan Nik Abdul Aziz dilantik sebagai ketua pakatan pembangkang kerana gabungan itu memerlukan seorang pemimpin 'spiritual' seperti Mahatma Gandhi sewaktu zaman India memperjuangkan kemerdekaan dahulu.

Melalui penjelasan di dalam blognya, Zaid berkata, apa yang dimaksudkan oleh beliau mengenai pemimpin 'spiritual' ialah seorang pemimpin yang tidak ada cita-cita menjadi Perdana Menteri atau apa-apa jawatan besar.

Berasaskan pengamatannya Zaid berkata, pemimpin politik walau hebat dan handal sekali pun tidak akan cukup kuat untuk melawan 'gergasi' Barisan Nasional (BN).



Menurutnya, ini sama seperti Gandhi yang tidak mahukan apa-apa jawatan, hanya setakat menyokong Jawaharlal Nehru sebagai Perdana Menteri India yang merdeka.

''Soal jawatan Perdana Menteri itu terserahlah kepada wakil-wakil rakyat pakatan pembangkang sesudah mendapat kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan yang baru.
''Itu perkara mudah kerana Tok Guru (Nik Abdul Aziz) pun tahu dan bersedia menerima orang lain yang lebih sesuai untuk menjadi Perdana Menteri," kata Zaid.

Nizar V'8! Dewan gamat isu integriti Mahkamah Syariah .



Hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi Shukarno, penahanan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin kerana berceramah tanpa tauliah dan campur tangan bukan Islam dalam mempersoalkan keputusan Mahkamah Syariah menggamatkan sidang Dewan Rakyat hari ini.
 
Ia bermula apabila Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) meminta masyarakat bukan Islam yang menggunakan pelbagai nama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kononnya bersuara atas hak asasi manusia tidak mempertikaikan hukuman ke atas Kartika itu.

Tindakan sedemikian, katanya, boleh mencetuskan huru-hara kerana ia menyentuh perasaan penganut agama Islam di negara ini.

''Jadi adakah sebarang sistem yang memastikan integriti Mahkamah Syariah terpelihara dan tindakan sebegitu dikategorikan sebagai menghina mahkamah,'' katanya ketika mengemukakan soalan tambahan mengenai integriti institusi Mahkamah Syariah pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.



Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudiannya mencelah dengan mengatakan integriti Mahkamah Syariah boleh dipersoalkan semua pihak termasuk oleh masyarakat bukan Islam.

''Soalnya bukan orang yang menyoal, tetapi memulihkan keyakinan terhadap sistem itu,'' ujarnya.

Anwar kemudiannya mengaitkan ketelusan institusi itu dengan kes bekas Mufti Perlis yang dihadapkan ke mahkamah kerana memberi ceramah tanpa tauliah sedangkan beliau merupakan seorang bekas mufti.



 Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim kemudiannya membidas Anwar dengan mengatakan 'lesen' sebagai mufti tidak semestinya membenarkan seseorang itu bebas bercakap mengenai agama.

''Macam Yang Berhormat (Anwar) juga, kalau Yang Berhormat boleh memandu kereta dengan baik, kalau tidak ada lesen, polis akan tahan juga,'' jelasnya disambut tepukan dan hentakan meja oleh Ahli-ahli Parlimen lain.

Mashitah kemudiannya menjelaskan isu Kartika tidak menjejaskan integriti Mahkamah Syariah sebaliknya kontroversi itu wujud kerana Kartika merupakan wanita Islam pertama yang dijatuhkan hukuman sebat akibat meminum arak di negara ini.

Nizar V'8! Malaysia Gagal Ke Piala Asia 2011.



Peluang Malaysia untuk layak ke Piala Asia 2011 tertutup selepas tewas 1-3 kepada Uzbekistan pada perlawanan kelayakan kumpulan C, Piala Asia 2011 di Stadium Nasional Bukit Jalil Rabu malam.

Uzbekistan jelas berada dalam kelasnya tersendiri apabila menguasai sebahagian besar permainan dengan hantaran-hantaran tepat dan kemas selain kelebihan dari segi fizikal.



Namun skuad bimbingan jurulatih Mirdjalal Kasimov [gambar] itu yang mempunyai deretan peluang untuk menjaringkan gol terpaksa menunggu sehingga minit ke-32 melalui hasil tandukan pemain pertahanannya, Anvar Gafurov berpunca daripada satu sepakan sudut yang menerjah jaring menewaskan penjaga gol kebangsaan, Mohd Farizal Marlias.


Skuad kebangsaan yang dibimbing K.Rajagobal [gambar] bagaimanapun turut mempunyai dua peluang keemasan untuk menjaringkan gol pembukaan, namun disia-siakan begitu sahaja.

Bersambung babak kedua, Uzbekistan terus menguasai permainan dengan mengatur beberapa serangan berbahaya namun gagal menembusi gawang Mohd Farizal.

Usaha pelawat akhirnya berjaya apabila menambah gol kedua mereka pada minit ke-58 melalui sepakan leret Bakhodir Nasimov yang menyudahkan hantaran lintang rakan sepasukan, Jasur Hasanov di dalam kotak penalti.



Bagaimanapun anak-anak buah Rajagobal bangkit untuk mengurangkan defisit gol apabila Baddrol Bakhtiar menjaringkan gol pertama Malaysia hasil rembatan kencang di dalam kotak penalti untuk menceriakan kira-kira 200 peminat-peminat tempatan.

Namun gol itu hanya bertahan dua minit sebelum kapten Uzbekistan, Timur Kapadze menjaringkan gol ketiga dengan rembatan kencang untuk kedudukan akhir 3-1, keputusan sama ketika pusingan pertama perlawanan di Taskhent pada Sabtu lepas.



Mengulas mengenai perlawanan itu Rajagobal berkata beliau sedar perlawanan ini merupakan sesuatu yang sukar walaupun bermain di tempat sendiri kerana perbezaan daripada beberapa aspek terutama teknikal.

"Kita memang merasai kehilangan Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak (penggantungan kad kuning) di barisan serangan kerana pemain itu boleh menggunakan kepantasan lariannya untuk menekan lawan.

"Namun secara keseluruhan pemain-pemain muda negara telah mempunyai keyakinan apabila berjaya bangkit dengan satu gol setelah ketinggalan dua gol kepada lawan," katanya kepada pemberita yang ditemui selepas perlawanan itu.

Beliau berkata pasukan ini memang memerlukan perlawanan-perlawanan kompetitif seperti ini bagi membentuk satu pasukan kebangsaan yang baik di peringkat antarabangsa.

Malaysia yang tewas kesemua dua perlawanan terdahulu kini hanya mempunyai baki satu perlawanan menentang Emeriyah Arab Bersatu (UAE) pada Januari tahun depan manakala Uzbekistan telah mengesahkan tempat mereka ke Piala Asia 2011 di Qatar dengan mengumpul sembilan mata.

UAE pula yang kini mengumpul tiga mata hanya memerlukan satu mata daripada baki dua perlawanan menentang Malaysia pada Januari depan dan Uzbekistan pada 3 Mac tahun depan untuk mengesahkan tiket ke Qatar selaku pasukan di tempat kedua kumpulan C.

Nizar V'8! Cadangan Menteri Kanan Beri Ruang Tun Dr Mahathir Suarakan Pandangan Di Kabinet



Cadangan pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai menteri kanan akan memberi ruang kepada bekas Perdana Menteri itu untuk menyuarakan pandangan terus kepada Kabinet.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Lajim Ukin berkata dengan itu Dr Mahathir tidak lagi perlu mengkritik kerajaan sekiranya beliau mempunyai pandangan tentang sesuatu perkara.



"Saya percaya rakyat akan sokong cadangan ini kecuali pembangkang," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Terpulang kepada Perdana Menteri untuk mempertimbangkan cadangan itu, kata Lajim, yang mengulas cadangan Pengerusi RISDA Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melantik Dr Mahathir sebagai menteri kanan dalam Kabinet.



Semalam pada majlis penyerahan buku di Wisma RISDA, Abdul Rahim berkata walaupun bersara, Dr Mahathir masih mempunyai pengaruh besar dan dijemput untuk memberikan pandangan di seminar antarabangsa terutama di negara dunia ketiga dan negara Islam.

Kini, Dr Mahathir yang mempunyai pengaruh besar kepada sebilangan rakyat di negara ini, kerap menyuarakan pandangannya melalui blognya di http://chedet.co.cc/chedetblog/, yang juga antara blog ahli politik tempatan yang popular.

Nizar V'8! ADUN BN Enggan Tandatangan Borang Kehadiran



Kesemua 13 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan seorang wakil rakyat Bebas, enggan menandatangani borang kehadiran yang diedarkan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang bermula pada Selasa.

Mereka bertindak menolak sistem tandatangan kehadiran yang baru diperkenalkan itu kerana alasan ia tidak pernah dilakukan dalam mana-mana persidangan DUN ataupun di Parlimen sebelum ini.




Perkara itu dibangkitkan ADUN (BN-Bakar Bata) Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, ketika membahaskan usul terima kasih atas titah Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah ketika merasmikan persidangan DUN itu.


Ahmad Bashah berkata, sistem berkenaan tidak wajar dan pemantauan Speaker DUN sudah mencukupi dalam memastikan kehadiran semua anggota dewan.


Sementara itu di luar dewan, Ketua Pembangkang Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Pedu) berkata, borang kedatangan berkenaan diedarkan sejak hari pertama DUN bersidang dan tidak seorang pun wakil rakyat BN termasuk seorang wakil rakyat Bebas yang menandatanganinya.

Dipercayai pengenalan sistem borang kehadiran itu, mempunyai kaitan dengan kes bekas ADUN Kota Siputeh daripada BN, Datuk Abu Hassan Sarif yang gagal hadir sebanyak dua kali berturut-turut di mesyuarat DUN pada 19 April dan 9 Ogos lalu.

Nizar V'8! Bloger Kontroversi Kickdefella Dakwa Nik Aziz Arah Menantunya Letak Jawatan

Bloger kontroversi, Kickdefella@Syed Azidi Syed Abdul Aziz hari ini mendakwa bahawa Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengarahkan menantunya, supaya melepaskan jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).


Kickdefella membuat dakwaan itu dalam tampalan terbaru di laman blognya hari ini.

Menurut Syed Azidi, arahan tersebut dikeluarkan Nik Aziz semalam (Selasa).

Bagaimanapun, Syed Azidi mendakwa, menantu Nik Aziz itu, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman enggan melepaskan jawatannya dan kini berada di Kuala Lumpur. Syed Azidi mendakwa Nik Aziz membuat keputusan tersebut setelah menilai satu laporan yang disedikan oleh pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri dan juga pemimpin PAS Negeri dan juga Pusat.

“Saya percaya akhirnya Abdul Ariffahmi, akan bersikap rasional dan menerima nasihat menteri besar," kata Syed Azidi dalam laman blognya itu.

Syed Azidi telah mencetuskan kontroversi selepas Abdul Ariffahmi menamatkan perkhidmatannya di PMBK sebagai pegawai perhubungan korporat pada 10 November lalu.



Sehari selepas beliau dipecat, bloger yang dikenali sebagai penyokong kuat Nik Aziz dan juga PAS itu telah mengadakan sidang akhbar untuk mengumumkan pemecatannya dan juga mengancam akan mendedahkan segala penyelewengan dan juga salahguna kuasa di PMBK.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails