Geng Aku

Jumaat, 13 November 2009

Nizar V'8! KAFA Didenda RM50.000




Annuar Musa

Denda RM50,000 yang terpaksa dibayar oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) ekoran tindakan liar segelintir penyokong pada perlawanan akhir Piala Malaysia bukan jumlah yang kecil sebenarnya.
 
Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata, jumlah tersebut amat besar bagi persatuan yang perjalanan operasinya bergantung kepada wang sumbangan, juga pengorbanan peribadi mereka yang menggerakkan persatuan.

Denda yang dikenakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu lebih membebankan ketika KAFA masih terbeban dengan hutang lapuk yang bertimbun selain denda keseluruhan yang mencecah suku juta ringgit, tegas Annuar.




‘‘Denda keseluruhan yang kita bayar tidak sepadan dengan jumlah geran RM300,000 yang kita terima dari FAM.

‘‘Perlu diingat KAFA juga membayar levi hampir RM200,000 kepada FAM. Ini bermakna kita ‘memberi’ lebih daripada apa yang kita terima daripada FAM,’’ katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Tambah Annuar, nilai kerosakan keseluruhan di Stadium Nasional Bukit Jalil bukan angkara penyokong Kelantan semata-mata.

“Satu perkara yang kita harus ingat bahawa RM1.2 juta daripada nilai keseluruhan jualan tiket pada perlawanan akhir tempoh hari dijual oleh KAFA kepada peminat Kelantan bagi pihak FAM.



 “Bagi saya, denda RM50,000 ini adalah berat, terutama ketika pasukan perlukan setiap sen untuk mengikat kontrak pemain baru.
‘‘Kita juga tiada pendapatan tiga bulan sementara menanti permulaan musim baru liga 2010,’’ katanya.

Sementara itu, nasib malang yang menimpa skuad bola sepak Kelantan - dihukum gara-gara perbuatan peminat fanatik mereka mengundang rasa simpati rakan-rakan Liga Super yang lain.

Bagi pengurus pasukan Terengganu, Sheikh Ahmad Tajuddin Sheikh Yusof, bukan jumlah denda yang menjadi isu di sini, tetapi sampai bilakah persatuan negeri terpaksa menanggung akibat daripada perbuatan penyokong mereka.




Malah ujarnya lagi, KAFA juga sebenarnya bernasib baik kerana hanya didenda RM50,000 - hukuman yang sangat minimum berbanding digantung penyertaan atau penonton mereka dilarang memasuki stadium.

“Sebenarnya berapa jumlah denda bukan isu utama, yang menjadi persoalan sekarang sampai bilakah persatuan terpaksa menanggung akibat daripada sikap fanatik penyokong mereka, dan apakah yang boleh kita lakukan untuk memastikan perkara ini tidak berulang.
“Dalam kes KAFA, saya sangat bersimpati dengan mereka. Sudahlah persatuan tidak ada wang, kemudian kena denda pula kerana masalah yang bukan ditimbulkan oleh mereka, ia memang sesuatu yang amat malang.

“Masalah ini tidak akan selesai selagi peminat mereka tidak ubah sikap,’’ kata Sheikh Ahmad.

Kata Sheikh Ahmad lagi, sekiranya FAM mengambil tindakan lebih keras seperti mengharamkan peminat Kelantan memasuki stadium, ia hanya merugikan KAFA yang tidak dapat menikmati pendapatan hasil kutipan tiket.

Pandangan yang sama turut dikongsi pengurus pasukan Perlis, Mohd. Noor Aziz, yang menambah perbuatan penyokong Kelantan ini hanya menyusahkan persatuan dan pasukan mereka sendiri.

Katanya, penyokong turut bertanggungjawab dalam menentukan perjalanan pasukan mereka, malah sikap yang terlalu fanatik ini sebenarnya boleh memusnahkan pasukan tanpa disedari.
“Tindakan penyokong Kelantan adalah di luar kawalan KAFA tetapi pada akhirnya mereka yang terpaksa menanggung akibat, saya sangat bersimpati.

“Selain itu, aspek keselamatan stadium juga perlu dipertingkatkan jika mahu kejadian seperti ini tidak berulang,’’ kata Mohd. Noor.



Naib Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Ismail Lasim pula berkata, denda yang dikenakan FAM terhadap KAFA sebenarnya lebih rendah daripada jumlah kerugian yang terpaksa ditanggung badan bola sepak kebangsaan itu - RM138,150.
Beliau percaya, FAM juga patut mengambil tindakan terhadap penyokong yang menimbulkan masalah.

“Penyokong tidak sepatutnya menyusahkan pasukan mereka, perbuatan seperti ini meninggalkan kesan, apatah lagi bagi negeri seperti Kelantan kerana ini bukan kali pertama mereka dihukum gara-gara perbuatan penonton.

“Sebagai peminat kita sepatutnya memberi sokongan moral kepada pasukan kita, bukannya hanya menambah tekanan dan menyusahkan mereka, mereka patut belajar lebih bertanggungjawab,’’ kata Ismail.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails