Geng Aku

Jumaat, 13 November 2009

Nizar V'8! Jais Dakwa Asri 18 Nov, Bukan Hari Ini.


Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin (gambar) yang sebelum ini disebut-sebut akan didakwa pagi ini dijangka hanya akan dihadapkan di mahkamah minggu depan.

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah memperoleh tarikh awal iaitu 18 November untuk mengenakaan dakwaan secara rasmi ke atas Asri yang ditahan 1 November lalu kerana
 menyampaikan kuliah agama tanpa tauliah.

Tarikh itu ditetapkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur selepas Jais memfailkan kertas pertuduhan terhadap Asri pada pukul 11 pagi semalam.

Penolong Pengarah Unit Perhubungan Awam dan Penerbitan Jais, Mohd Hidayat Abd Rani yang dipetik Utusan Malaysia berkata, kertas pertuduhan telah difailkan oleh Ketua Pendakwa Syarie Selangor Abdul Syukor Abd Hamid.

"Kita jangka dakwaan terhadap Asri dapat dilakukan pada hari itu. Namun segala keputusan dari segi tarikh dan masa adalah tertakluk pada arahan mahkamah," katanya.

Jelas beliau, pihaknya akan menghubungi Asri bila-bila masa untuk memaklumkan perkara tersebut.




Semalam Asri yang dihubungi The Malaysian Insider berkata, beliau tidak akan hadir di mahkamah.

Difahamkan beliau mahu bertindak demikian bagi mengelakkan kekecewaan yang dialami awal bulan ini.

Pada 2 November lalu iaitu sehari selepas ditahan, beliau terpaksa menanti kira-kira tiga jam di mahkamah tetapi tidak didakwa manakala pasukan pendakwa pula tidak hadir.
Asri berkata, beliau tidak akan berada di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur kerana tidak menerima apa-apa notis ataupun makluman untuk berbuat demikian.

"Saya belum terima sebarang notis (sehingga malam ini). Ini bukan mahkamah rimba," kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Laporan media kelmarin menyebut Asri yang ditahan 1 November lalu akan didakwa esok.
Malah Mohd Hidayat juga memberitahu, pasukan pendakwa sedang meneliti kertas tuduhan untuk mendakwa Asri minggu ini.



 Asri akan didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.

Bagaimanapun Hidayat memberitahu, Jais akan memohon untuk memindahkan kes ini ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam kerana melibatkan profil tinggi.

Memandangkan mahkamah tidak bersidang Sabtu, kemungkinan Asri akan didakwa esok melainkan ada perubahan terakhir di pihak Jais.



 Kelmarin, Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali mempertahankan tindakan JAIS yang menahan bekas Mufti Perlis itu atas alasan menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah.

Hasan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri berkata, tindakan Jais bukan sesuatu yang mencurigakan kerana mana-mana ulama yang ingin memberi ceramah perlu mendapatkan kebenaran dan tauliah Jais.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails