Geng Aku

Jumaat, 6 November 2009

Pakatan Rakyat Usah Tiru Cara Barisan Nasional.


PENYALAHGUNAAN harta kerajaan dan harta awam dalam kempen-kempen pilihan raya kecil atau umum sudah menjadi lumrah di Malaysia. Parti-parti pembangkang berhempas pulas menentang penyalahgunaan harta kerajaan kerajaan semasa kempen pilihan raya yang selalunya dibuat oleh Barisan Nasional (BN).

Sayangnya parti-parti pembangkang sendiri apabila berkuasa di peringkat negeri dan menguasai kerajaan negeri dilihat mula menggunakan harta kerajaan untuk kempen bagi parti-parti mereka.

Tahap penggunaan harta kerajaan dan tempat awam kerajaan disalah guna oleh BN begitu ketara. Kerajaan Kelantan di bawah pimpinan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat amat cantik dan demokratik dalam merealisasikan dan penghayatan demokrasi di Malaysia.

Dewan-dewan kepunyaan kerajaan digunakan untuk urusan kerajaan, manakala parti-parti politik dikehendaki menggunakan premis masing-masing untuk berkempen, berceramah dan menjalankan propaganda parti-parti mereka.

Harta dan kenderaan kerajaan digunakan hanya untuk urusan kerajaan, tidak digunakan secara berleluasa untuk urusan parti politik. Langkah yang dibuat oleh Angkatan Perpaduan Ummah (APU), kemudiannya Barisan Alternatif (BA) dan kini Pakatan Rakyat di Kelantan adalah langkah baru dalam mempraktikkan amalan demokrasi di Malaysia.

Langkah yang diambil oleh pemerintahan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, membolehkan pihaknya bertahan sudah lima penggal, walaupun tidak menggunakan harta kerajaan secara ghairah dan berleluasa.

Kebelakangan ini penguasaan kuasa parti politik dan kerajaan di Kelantan mulai goyah. Langkah-langkah perlu diambil untuk memperbetul dan mengembalikan semula amalan pemerintahan Tuan Guru Nik Abdul Aziz pada awal penguasaan terhadap pentadbiran negeri Kelantan.

Walauoun ia belum ghairah seperti penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan BN, namun langkah kembali seperti amalan tahun 90-an mesti dipertahankan di Kelantan. Tidak menggunakan kereta-kereta exco kerajaan negeri dalam kempen pilihan raya di Kelantan dan di luar Kelantan, kemenangan bergantung kepada kekuatan politik parti (PAS, S46, KeADILan) adalah menjadi sanjungan rakyat dan dibuktikan dapat bertahan selama lima penggal.

Penyalahgunaan harta kerajaan dan tempat awam kerajaan lambat laun dibenci oleh rakyat, apabila pejuang demokrasi mengambil langkah yang sama seperti BN untuk mempertahankan kerajaan mereka.

Paling banyak dewan-dewan orang ramai adalah di Selangor. Dasar kerajaan Pakatan Rakyat dalam hal penggunaan dewan awam amat dialu-alukan. Mana-mana parti politik atau badan-badan NGO diizinkan menggunakan dewan-dewan awam apabila berlaku kekosongan dan dibayar sewa mengikut kadar yang ditetapkan.

Pembaharuan ini mesti dipertahankan oleh kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, untuk membuktikan kita berjuang untuk keadilan dan keadilan itu dapat diperlihatkan, dan demokrasi dapat ditegak atau diamalkan. Jangan langsung ada sikap "kalau kerajaan BN boleh salah guna kenapa kita tak boleh?"

Walaupun dalam pilihan raya kecil di Bagan Pinang sudah mula kelihatan kenderaan kerajaan negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat, kita harap ia tidak berleluasa dan kalau boleh hentikan terus amalan itu supaya kerajaan Pakatan Rakyat langsung tidak meniru penyalahgunaan harta kerajaan yang dibuat kerajaan BN.

Sikap ingin bersaing dengan BN dalam hal penyalahgunaan kuasa dan penyalahgunaan harta kerajaan mesti dihentikan terus, biarlah BN dengan rakus dan sombong menyalahgunakan harta awam, Pakatan Rakyat mesti memulakan langkah baru dalam hal berpolitik di Malaysia.

Semasa pilihan raya kecil di Bukit Selambau, langkah kerajaan Pakatan Rakyat Kedah tidak menggunakan premis awam untuk berceramah, berkempen dan menjalankan kegiatan parti (Pakatan Rakyat) adalah langkah yang dialu-alukan.

Dengan tidak menggunakan harta dan tempat awam, KeADILan yang mewakili Pakatan Rakyat tetap mencapai kemenangan dengan cemerlang.

Langkah Pakatan Rakyat tidak menggunakan harta awam pada pilihan raya kecil Bukit Selambau mesti dipertahankan. Janganlah ada pemikiran, kalau BN salah guna kenapa kita Pakatan Rakyat tidak lakukan sedemikian. Mempertahankan keaslian demokrasi mesti dijelmakan dalam pemikiran dan tindakan rakyat Malaysia.

Kita boleh melihat dengan jelas bahawa sekolah kerajaan dijadikan penempatan Puteri,  Putera dan Pemuda Umno khasnya dalam pilihan raya kecil Anak Bukit dan Parlimen Pendang, Kedah.

Lama-kelamaan rakyat yang terbuka minda semakin meluat kepada BN di atas tindakan penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan mereka. Kenderaan Kementerian Penerangan digunakan semahu-mahunya untuk BN berkempen dalam pilihan raya kecil atau umum.

Kemeluatan rakyat kepada BN makin bertambah. Harta kerajaan dan  harta rakyat seolah-olah sudah menjadi harta parti mereka yang diwarisi daripada bapa-bapa mereka.

Kerajaan Pakatan Rakyat mesti dan wajib membendung penyalahgunaan tempat awam, harta kerajaan, kenderaan kerajaan untuk berkempen bagi pihak parti-parti mereka.

Unsur nak meniru kejahatan BN, dan jangan biarkan ia mula muncul di negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat. Harap kita berazam untuk hentikan dan berjanji tidak melakukan kesilapan dan kedurjanaan BN. Sesungguhnya rakyat akan selamat di bawah pemimpin berhemah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails