Geng Aku

Jumaat, 6 November 2009

BN Ingin Merampas Kelantan Melalui Wang Ehsan!

Rakyat Kelantan berpendapat, nasib kerajaan negeri Kelantan akan menuruti jejak kerajaan PAS Terengganu sebelum ini apabila Umno menggunakan sepenuhnya Wang Ehsan untuk menjatuhkan kerajaan negeri itu.




Dengan keputusan pemberian Wang Ihsan bermakna, Umno negeri mempunyai sumber kewangan yang lebih dari cukup untuk berbelanja bagi membeli 'hati' rakyat Kelantan agar bersama mereka dalam pilihan raya umum akan datang.

Sejurus kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengenai tuntutan royalti minyak akan dibayar dalam bentuk wang ihsan kepada Kelantan diumumkan, hampir 90 peratus dalam tinjauan The Malaysian Insider terhadap rakyat negeri ini mengutuk kerana kecewa dengan keputusan tersebut.

“Jelas, ini adalah keputusan politik. Najib cuba membelitkan fakta untuk menipu kerajaan negeri dan rakyat. Dia (Najib) ingat rakyat Kelantan ini bodoh. Sepatutnya dia lebih berdedikasi dengan percaturan politiknya jika ingin berpolitikpun,” kata seorang eksekutif di jabatan perkhidmatan awam.

Katanya, manefestasi sikap kerajaan di bawah pimpinan Najib semakin terserlah apabila sanggup mengingkari atau melanggar syarat perjanjian yang telahpun termaktub berhubung hasil pengeluaran petroleum negeri.

Kerajaan negeri telah membuat tuntutan royalti minyak terhadap kerajaan pusat pada awal tahun ini selepas menerima laporan daripada Bank Data Malaysia 2007 yang menyenaraikan Kelantan sebagai negeri utama dalam industri petroleum bersama Sabah dan Terengganu dengan nilai pertumbuhan sebanyak 62.5 peratus berbanding Sarawak 37.5 peratus sejak 2004.

Mengikut fakta perjanjian yang ditandatangani sekitar tahun 70-an oleh pengerusi Petronas, pada masa itu Tengku Razaliegh Hamzah, bersama kerajaan-kerajaan negeri lain berhubung perkara berkenaan dipersetujui oleh Perdana Menteri, Tun Abdul Razak, bahawa negeri terbabit berhak menerima royalti sebanyak 5 peratus hasil daripada pengeluaran petroleum yang merangkumi onshore (daratan) serta offshore (lautan).

Namun pada persidangan Dewan Rakyat malam semalam Najib mengumumkan Kerajaan Persekutuan akan memberi wang ihsan kepada Kelantan hasil daripada pengeluaran minyak negeri itu mulai tahun depan dan ianya akan disalurkan dalam bentuk projek pembangunan.

Bagaimanapun keputusan itu dipertikaikan oleh exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa, kerana kepada Terengganu, Sabah dan Sarawak ianya dibayar dalam bentuk royalti.

Bekas Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Omar Mohammad, turut mempertikaikan keputusan Najib yang bertentangan dengan Akta Petroleum 144 di mana di dalam perjanjiannya tidakpun menyebut wang ihsan, tetapi ia disebut dengan royalti.

“Antara ihsan dan royalti tak sama, pergi ke mana pun,” tegasnya sambil menyifatkan tindakan Najib umpama mendera anak sendiri apabila cuba meragut hak mutlak milik rakyat untuk kepentingan politik Umno.

“Apa makna mereka buat begini? Menafikan royalti kepada duit ihsan, tapi akan disalur dalam bentuk projek. Ini semua drama tipu muslihat politik kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) dalam usahanya untuk menawan Kelantan. Saya rasa rakyatpun lebih faham,” jelasnya.

Katanya juga, kerajaan BN sengaja ingin jadikan Kelantan menerusi isu terbabit sama dengan Terengganu yang pernah dinafikan royaltinya semasa pemerintahan PAS dulu.

Fakta ataupun sejarah perjanjian antara Petronas dan kerajaan negeri (Terengganu) pada 22 Mac 1975 (payment undur section 4, Petroleum Development Act, 1974), kerajaan negeri Terengganu telah menerima bayaran royalti selama lebih kurang 22 tahun berjumlah RM7.2 bilion.

Namun apabila PAS memerintah Terengganu selepas berjaya menumbangkan kerajaan BN dalam Pilihan Raya Umum 1999, mulai 5 September 2000 royalti minyak sebanyak 5 peratus ditukar kepada Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKPP) yang disebut sebagai wang ihsan.




Mengikut laporan, Tan Sri Anuar Musa juga, pada 2001 pernah membuat pengakuan di hadapan pelajar-pelajar pasca-siswazah Malaysia di Manchester bahawa sekatan royalti minyak ke atas kerajaan negeri Terengganu adalah tindakan politik.

Di samping itu, turut didedahkannya ialah bahawa salah satu cara untuk menyusahkan kerajaan Pas di Kelantan dan Terengganu adalah dengan melengah-lengahkan pembayaran peruntukan kerajaan Pusat dengan tujuan supaya rakyat akan beralih sokongan kepada Umno.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails