Geng Aku

Jumaat, 6 November 2009

Kes Permohonan Speaker Kedah Bagi Semak Keputusan 12 Nov Ini.

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini Jumaat menetapkan Khamis depan untuk mendengar permohonan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail untuk semakan kehakiman terhadap keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengekalkan Datuk Abu Hassan Sarif sebagai wakil rakyat Kota Siputeh.

Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin memutuskan tarikh tersebut selepas peguam kedua-dua pihak meminta mahkamah mendengar dan menyelesaikan kes itu sebelum sidang DUN Kedah bermula 17 Nov ini.

Peguam Datuk Hafarizam Harun, yang mewakili Abu Hassan, dalam hujahnya berkata nasib anak guamnya berada di hujung tanduk apabila Speaker tidak lagi mengiktiraf Abu Hassan sebagai wakil rakyat dan dia dilarang menghadiri sidang DUN itu.

"Semalam, Speaker menghantar surat kepada anak guam saya dengan memaklumkan bahawa dia tidak diiktiraf sebagai wakil rakyat Kota Siputeh kerana alasan yang tercatat dalam permohonan semakan kehakiman.

"Isu ini perlu diperjelaskan dan kami akan memfailkan afidavit kami secepat mungkin," katanya.

Hafarizam mencadangkan jika kes itu gagal diselesaikan sebelum 17 Nov ini, Speaker harus memberi jaminan kepada mahkamah bahawa dia tidak akan menghalang responden (Abu Hassan) daripada menghadiri sidang DUN dan kerusi DUN Kota Siputeh tidak kosong sehingga mahkamah membuat keputusan.

Bagaimanapun, peguam Sulaiman Abdullah, yang mewakili Abdul Isa, tidak bersetuju dengan cadangan tersebut dan menggesa mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan untuk minggu depan.

"Anda perlu berlaku adil kepada mahkamah. Anda tahu perkara ini (persidangan DUN) akan datang, kenapa anda tidak memfailkan notis perakuan segera kepada mahkamah?. Kini saya terpaksa memutuskan isu perlembagaan yang penting dalam tempoh yang singkat," kata Hakim Alizatul.

Mahkamah kemudian mengarahkan semua pihak memfailkan afidavit masing-masing sebelum Khamis depan dan menyediakan hujahan bertulis sebelum prosiding kes bermula.

Abdul Isa memfailkan saman di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) pada 1 Okt lalu, menamakan Abdu Hassan daripada Barisan Nasional (BN) dan SPR sebagai responden.

Beliau memohon diisytiharkan Abu Hassan bukan lagi ahli DUN bagi kerusi Kota Siputeh berikutan kegagalannya menghadiri dua persidangan secara berturut-turut dan injunksi menghalang beliau daripada menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

Beliau juga memohon mahkamah mengisytiharkan kerusi itu kosong dan memerintahkan SPR mengadakan pilihan raya kecil di samping memohon ganti rugi, kos dan faedah lain.

Pada 1 Sept lalu, SPR memutuskan tidak berlaku kekosongan di kerusi Kota Siputeh dan Abu Hassan masih menjadi wakil rakyatnya.

Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan bertindak bagi pihak SPR.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails