Geng Aku

Sabtu, 7 November 2009

Skandal PKFZ; Bekas PM Diheret Bersama.


Kedua-dua bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad dan Abdullah Ahmad Badawi diheret ke dalam skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), apabila mereka didakwa mengetahui apa yang berlaku dalam projek tersebut.

Pendedahan ini dilakukan oleh bekas Menteri Pengangkutan, Ling Liong Sik dan bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), OC Phang ketika menghadap prosiding yang dipanggil Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC), menurut laporan PAC terhadap projek pembangunan PKFZ.

Ling menyebut nama Mahathir
Menurut laporan prosiding pada 15 Julai 2009, Ling Liong Sik memaklumkan bahawa kos tanah dan kuasa menentukan nilai tanah tidak berada dalam bidang kuasa Kementerian Pengangkutan, tetapi pada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (Valuation and Property Services Department) di bawah Kementerian Kewangan.

"Saya ingat, kami melalui banyak perbincangan berhubung harga tanah ini.  Saya amat jelas dengan ini.  Saya memberitahu kepada kabinet banyak kali, kami di Kementerian Pengangkutan hanya untuk menyatakan bahawa kami mahu tanah itu," jelasnya.

Mantan Menteri Pengangkutan ini menyambung,"berhubung dengan kos, penilaian harga, itu bukan fungsi Kementerian Pengangkutan.  Kami tidak mempunyai Jabatan Penilaian.  Kos dan penilaian adalah masalah yang perlu diselesaikan oleh Kementerian Kewangan.  Mereka mempunyai Jabatan Penilaian, kesemuanya diuruskan di sana, bukannya di Kementerian Pengangkutan."

Malah, Ling Liong Sik (gambar kanan) terus menyebut nama bekas PM Mahathir Mohamad, selaku Menteri Kewangan dan orang yang bertanggungjawab ke atas Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta.

Ling berkata, "saya rasa Mahathir yang mempengerusikannya (Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta), pada masa yang sama juga seorang Menteri Kewangan.  Beliau sangat jelas keadaannya.  Ini kenyataan dalam kes ini." (I think Tun Dr. Mahathir who chaired it, and he was the finance minister also. He saw it very clearly. That was the facts of the case.)

Menurut laporan PAC, seandainya tanah PKFZ dibeli dengan Akta Pengambilan Tanah 1960, maka projek ini akan menjimatkan RM645.87 juta.  Bertitik tolak daripada itu, kos PKFZ (tidak termasuk faedah) seharusnya berjumlah RM442.13 juta, dan bukannya RM1.088 bilion.

Pada masa yang sama, laporan juga menunjukkan bahawa tanah itu ditukar tangan dengan RM47.76 sekaki persegi, 67% lebih tinggi daripada anggaran Jabatan Penilaian.

OC Phang menuding jari kepada Abdullah, Chan
Selain itu, bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), OC Phang ketika menghadiri prosiding PAC pada 2 September 2009, memaklumkan bahawa bekas PM Abdullah Ahmad Badawi dan bekas Menteri Pengangkutan, Chan Kong Choy yang meluluskan agar PKFZ dibangunkan dengan hanya satu fasa (Single Phase).  Sementara pembelian tanah itu dijalankan di bawah arahan Ling Liong Sik.

PC Phang berkata, Abdullah dan Chan Kong Choy (gambar kanan) memberi arahan sedemikian (membangun dengan Single Phase) kepada LPK setelah dicadangkan oleh Jebel Ali Free Zone International (Jafza).

Menurut OC Phang, PKFZ dibangunkan dengan dua fasa mengikut rancangan asal.  Fasa pertama melibatkan tanah seluas 500 ekar.  Tugas asal LPK adalah untuk membangunkan tanah yang seluas 500 ekar ini, disusuli dengan fasa kedua kemudiannya.  Namun, PM dan Menteri Pengangkutan pada ketika itu (Abdullah dan Chan) memberi arahan kepada LPK pada 3 Mac 2004, membangunkan 1000 ekar tanah sekaligus mengikut cadangan Jafza.

OC Phang: Saya amat gusat
Selain itu, PC Phang berkata kesemua kementerian yang terlibat mengetahui hal ini, malah kabinet telah meluluskan untuk membeli 1000 ekar tanah secara "willing sell willing buy" dengan Kuala Dimensi Sdn Bhd.

"Kerajaan mengetahui segala-gala ini.  Kementerian Pengangkutan tahu, Kementerian Kewangan tahu, agensi pusat... Saya amat gusar (I ' m quite annoyed),  kes pembelian tanah ini ditujukan kepada saya.  Saya menganggap saya mempunyai hak untuk gusar..."

Sebagaimana yang diketahui, Kementerian Kewangan pernah mengarahkan agar tanah ini dibeli dengan Akta Pengambilan Tanah, agar harganya lebih murah.  Tetapi LPK pula membeli dengan harga RM25 sekaki persegi, harga satu kali ganda lebih tinggi daripada KDSB.

OC Phang menjelaskan, LPK menjalankan pembelian ini setelah menerima surat arahan daripada Ling Liong Sik.

MCA Kian Parah..




Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat dilihat mengambil pendekatan berdiam diri ketika kemelut dalaman parti itu terus berlarutan.


Pertanyaan demi pertanyaan mengenai parti itu oleh wartawan yang meliputi lawatan beliau sebagai Menteri Pengangkutan ke Stesen LRT Bangsar di sini kelmarin ini, langsung tidak mendapat respons beliau.

“Saya hari ini cuma layan soal pengangkutan. Di stesen ini pun (saya) tak nampak ada cawangan MCA,” katanya ketika diaju pertanyaan tentang Datuk Seri Liow Tiong Lai yang mahu mencabar keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada Selasa bahawa Datuk Seri Dr Chua Soi Lek masih Timbalan Presiden MCA yang sah.

Ong juga enggan mengulas laporan sebuah akhbar harian Cina mengenai lima anggota Jawatankuasa Disiplin MCA termasuk peng- erusinya Ng Cheng Kiat yang mahu meletak jawatan kerana tidak puas hati dengan pimpinan tertinggi menangani pergolakan dalam parti itu.

“Kalau saudari (wartawan) datang untuk itu, saya minta maaflah. Itulah, banyak sangat khabar angin, dan saya tak faham kenapa ini harus berlaku dalam senario politik kita. Kadangkala jika kenyataan yang sebenar dibuat, orang tak suka, tak layan, tapi khabar angin, ada pasaran.

“Eloklah saya buat kerja (yang) rakyat harapkan,” katanya.





Sementara itu Keputusan untuk tidak memanggil satu lagi mesyuarat agung luar biasa (EGM) MCA disifatkan sebagai tidak meng- hormati suara perwakilan parti itu.

Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong berkata beliau sedih dan terkilan dengan keputusan yang diumumkan Setiausaha Agung MCA Datuk Wong Foon Meng, semalam.

“Apa juga tuntutan dan rayuan (untuk mengadakan EGM) sepatutnya dilayan dengan adil. Soal resolusi tidak bertepatan dengan perlembagaan parti, semua pihak ada tafsiran yang berlainan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini kelmarin.

Beliau berkata tujuan memanggil EGM itu bukan untuk mengekalkan jawatan sesiapa atau melindungi mana-mana pihak, sebaliknya memberi peluang kepada perwakilan untuk memilih barisan kepimpinan yang baru.

“Sepatutnya beri peluang untuk perwakilan pilih pemimpin berlandaskan pemerhatian mereka. Inilah cara terbaik untuk selesaikan kekusutan dan kemelut yang dihadapi MCA sekarang,” katanya.

Permintaan untuk mengadakan EGM diajukan oleh 16 anggota Jawatankuasa Pusat (CC) minggu lepas bagi memberikan laluan untuk pemilihan baru parti tersebut.
Bagaimanapun cadangan untuk mengadakan EGM itu ditolak kerana ditakrifkan sebagai tidak bertepatan dengan berperlembagaan parti dan tidak dapat dijalankan meng- ikut pandangan ketua undang-undang baru parti itu Lim Hong San.
DI PUTRAJAYA, Naib Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai menyerahkan kepada peguamnya untuk mengkaji tindakan selanjutnya selepas beliau berhasrat mencabar keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang mengesahkan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek masih Timbalan Presiden parti itu.

Liow yang dilantik sebagai Timbalan Presiden oleh Jawatankuasa Pusat parti itu pada 15 Okt ketika jawatan tersebut dianggap kosong, melahirkan rasa tidak puas hati dan mendakwa keputusan ROS itu melanggar perlembagaan MCA dan berhasrat untuk membawanya ke mahkamah.

Menurut ROS, kekosongan jawatan tersebut tidak berlaku memandangkan keputusan mesyuarat agung luar biasa (EGM) parti itu pada 10 Okt lepas tidak memenuhi keperluan dua pertiga majoriti supaya Dr Chua dilucutkan seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 35 Perlembagaan MCA.

Mengenai kenyataan setiausaha agung MCA Datuk Wong Foon Meng untuk tidak akan memanggil satu lagi EGM seperti yang diminta oleh 16 anggota Jawatankuasa Pusat minggu lepas bagi memberikan laluan untuk pemilihan baru parti, beliau berkata mereka berhak memanggil satu lagi EGM.

“Saya fikir untuk tuntutan, mereka ada hak untuk memanggil EGM. Begitu juga setiausaha agung dan juga sebagai seorang pegawai parti, mereka hendaklah menghormati perlembagaan parti itu. Sebarang hak yang diperuntukkan di bawah perlembagaan mereka hendaklah menghormati hak itu,” katanya.

Liow juga berterima kasih kepada Timbalan Perdana
Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mencadangkan supaya MCA perlu mewujudkan “tempoh bertenang” bagi membolehkan semua pemimpin kanannya berunding untuk menyelesaikan masalah dalaman parti itu. -NST

Jumaat, 6 November 2009

Kelantan tak pandang rendah N. Sembilan.

SEGALA-GALANYA boleh berlaku, sebarang kesilapan pasti mengundang padah.

Justeru, jurulatih Kelantan, B. Sathianathan (gambar) tidak mahu memperkecilkan kemampuan Negeri Sembilan apabila kedua-dua pasukan itu bertembung pada final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok.




Dengan nada rendah diri, Sathianathan menganggap peluang untuk kedua- dua pasukan menang adalah 50-50 dengan kekuatan pemain yang seimbang setakat ini.

Katanya, bermain pada pentas final tidak sama seperti perlawanan biasa kerana kedua-dua pasukan pastinya memburu gol awal sebagai pencetus semangat.

"Semangat juga boleh dicetuskan oleh penonton dan sebab itu kehadiran penyokong yang ramai juga boleh menaikkan semangat pemain.

"Apa yang penting pemain tahu apa peranan mereka di tengah padang dan perlu mengawal emosi dengan baik," katanya kepada pemberita sewaktu bersama-sama pemain Kelantan berlepas ke Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa, Kota Bharu semalam.

Sathianathan menambah, kekuatan kedua-dua pasukan adalah seim- bang dan masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.

"Kekuatan mereka pasti bertambah dengan percaturan pemain-pemain muda yang berbakat seperti S. Kunalan, Shahruin Abu Samah, Zaquan Adha dan Aidil Zafuan Abdul Radzak.




"Malah jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hasan sendiri telah bersama-sama dengan pasukan itu selama tiga tahun, jadi mereka kenal antara satu sama lain dengan rapat," jelasnya.

Untuk rekod, Kelantan belum pernah menjulang Piala Malaysia walau- pun pernah beraksi dalam dua perlawanan akhir iaitu pada edisi 1955 dan 1970.

Negeri Sembilan pula lebih bernasib baik apabila pernah menjulangnya pada 1948 ketika ia dikenali sebagai Piala HMS Malaya.

Kelemahan Hadi Awang.

Kepemimpinan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dianggap sangat lesu sehingga beliau boleh diumpamakan "Pak Lah versi PAS", kata ahli akademik Prof Dr Abdul Aziz Bari hari ini.

Tun Abdullah Ahmad Badawi dianggap seorang pemimpin lemah, tidak tegas, lembab dalam pelaksanaan dasar dan dipersalahkan atas kemerosotan teruk BN sehingga dipaksa melepaskan jawatan presiden Umno dan perdana menteri.

Dr Abdul Aziz berkata, kekalahan bertubi-tubi PAS di Terengganu – negeri Abdul Hadi sendiri – pada pilihan raya umum 2004, selepas menawannya pada 1999, dan tahun lepas serta kemerosotan dalam beberapa pilihan raya kecil menyebabkan beliau meyakini bahawa kritikan tersebut mempunyai asas.

"Kemudian di Bagan Pinang, maaflah, sudah banyak sangat (kalah). Kali ini mungkin betul, bila sudah ada orang sebut, kita ada versi Pak Lah dalam PAS sendiri," katanya.

"Dan memang, kalau tengok kenyataan dia (Abdul Hadi), sama ada yang terbaru ini atau beberapa bulan ini, sudah jelas. Maksudnya, kenyataan tentang UG (kerajaan perpaduan) itu, bukan macam orang politik."

Pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu menambah, oleh itu Abdul Hadi dianggap "beban" parti itu untuk terus mengembangkan pengaruhnya dan memainkan peranan lebih besar dalam “politik baru” Pakatan Rakyat.

"Kita tidak peduli sama ada kumpulan dia (Abdul Hadi) masih bercinta dengan Umno. Itu kita tidak peduli. Tetapi bagi saya, dalam politik, tidak ada peluang kedua.

"Kamu sudah buat, (kemudian) gagal, keluar (berundur). Hendak bertengkar tentang dia jumpa lagi (dengan Umno atau) tidak, imej itu sudah terpalit kepada dia dan kumpulan dia, terutamanya (timbalan presiden) Nasharuddin (Mat Isa)," tambahnya.

'Sudah hilang stim'

Dr Abdul Aziz juga berkata, walaupun pada 1980-an dan 1990-an tokoh agama itu berpengaruh luas khususnya melalui pidato tetapi kini presiden PAS itu kini "sudah hilang stim".

"Dia sudang hilang stim. Sebahagian daripada tindak-tanduknya tidak datang daripada dia atau cuma disuap dalam mulutnya. Contoh yang paling jelas, (idea) kerajaan perpaduan," katanya.

"Tengok, atau kita banding dengan apa yang dibuat sekitar tahun 1980-an dengan amanatnya (petikan ucapan yang dilabel 'Amanat Hadi'). Ini secara efektifnya mengkafirkan Umno. Sekarang kenapa hendak bekerjasama dengan Umno?"

Dalam wawancara dengan Malaysiakini hari ini, pakar undang-undang perlembagaan itu mendakwa, kegagalan Abdul Hadi bertindak sebagai "tokoh nombor satu" diburukkan lagi oleh peranan pemimpin lain seperti Nasharuddin dan setiausaha agung Datuk Mustafa Ali.

Diminta mengulas sejak bila tokoh PAS itu "hilang stim", Dr Abdul Aziz berkata: "Sebelum (era) reformasi (1998) dia tidak ada peranan yang penting, (sebagai) naib presiden saja atau timbalan presiden.

"Jadi, saya rasa, masalah atau isunya sekarang ini dia seorang timbalan yang bagus. Itu yang selalu disebutkan. Dan itu saya setuju.

"Kalau dia (pada jawatan) nombor dua, dia seorang yang setia dan dapat melaksanakan apa yang disuruh. Tetapi kalau letak dia (sebagai) kapten, setakat ini memang jelas tidak dapat.

"(Keadaan) itu menjelaskan kenapa dia tidak dapat membalas serangan terhadap 'Amanat Hadi' itu. Jadi, serangan itu sudah bersifat politik dan dia sudah tidak dapat main lagi."

Beliau juga mendakwa, Abdul Hadi tidak lagi mempunyai ciri seorang pemimpin dalam senario politik baru, hubungan awamnya pula tidak baik dan gagal berfungsi sebagai ideolog atau peneraju utama yang menjelaskan wawasan parti seperti "PAS untuk semua" dan "negara berkebajikan".

Abdul Hadi masih lagi berlegar di sekitar isu Melayu-Islam semata-mata seperti isu yang dijuarai parti itu sejak dulu, tambahnya.

'Ciuman maut'

Dr Abdul Aziz, yang kini semakin lantang mendesak pengunduran Abdul Hadi, diundang membentangkan analisis kemerosotan PAS dalam seminar politik parti itu di Gombak, esok.

Seminar sehari itu, yang dijangka melibatkan 1,000 pemimpin atasan dan akar umbi PAS, dianjurkan susulan desakan untuk mengadakan muktamar khas bagi membincangkan "beberapa pemimpin bermasalah".

Ditemui di pejabatnya di kampus Gombak pagi ini, Dr Aziz berkata kelemahan Abdul Hadi, yang juga ahli parlimen Marang, sudah diketahui oleh barisan pemimpin PAS tetapi tiada siapa yang berani menegurnya secara terbuka.

"Semua orang tahu (kelemahan ini), tetapi siapa berani cakap dalam parti yang tema wala'-nya (kesetiaannya) cukup kuat," katanya.

Mengulas isu kerajaan perpaduan, Dr Abdul Aziz menyifatkan ia sebagai "ciuman maut" dan perangkap musuh politiknya Umno untuk terus mengkucar-kacirkan parti Islam itu.

"Kalau yang berunding itu (penasihat PKR, Datuk Seri) Anwar Ibrahim, (mursyidul am, Datuk) Nik Aziz (Nik Mat) atau (tokoh popular DAP) Lim Kit Siang, tidak ada masalah.

"Tetapi kalau dia dengan Nasharuddin ataupun yang lain-lain, (mereka ini) akan dilipat, diduduk oleh Umno (kerana kelemahannya)," katanya.

BN Ingin Merampas Kelantan Melalui Wang Ehsan!

Rakyat Kelantan berpendapat, nasib kerajaan negeri Kelantan akan menuruti jejak kerajaan PAS Terengganu sebelum ini apabila Umno menggunakan sepenuhnya Wang Ehsan untuk menjatuhkan kerajaan negeri itu.




Dengan keputusan pemberian Wang Ihsan bermakna, Umno negeri mempunyai sumber kewangan yang lebih dari cukup untuk berbelanja bagi membeli 'hati' rakyat Kelantan agar bersama mereka dalam pilihan raya umum akan datang.

Sejurus kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengenai tuntutan royalti minyak akan dibayar dalam bentuk wang ihsan kepada Kelantan diumumkan, hampir 90 peratus dalam tinjauan The Malaysian Insider terhadap rakyat negeri ini mengutuk kerana kecewa dengan keputusan tersebut.

“Jelas, ini adalah keputusan politik. Najib cuba membelitkan fakta untuk menipu kerajaan negeri dan rakyat. Dia (Najib) ingat rakyat Kelantan ini bodoh. Sepatutnya dia lebih berdedikasi dengan percaturan politiknya jika ingin berpolitikpun,” kata seorang eksekutif di jabatan perkhidmatan awam.

Katanya, manefestasi sikap kerajaan di bawah pimpinan Najib semakin terserlah apabila sanggup mengingkari atau melanggar syarat perjanjian yang telahpun termaktub berhubung hasil pengeluaran petroleum negeri.

Kerajaan negeri telah membuat tuntutan royalti minyak terhadap kerajaan pusat pada awal tahun ini selepas menerima laporan daripada Bank Data Malaysia 2007 yang menyenaraikan Kelantan sebagai negeri utama dalam industri petroleum bersama Sabah dan Terengganu dengan nilai pertumbuhan sebanyak 62.5 peratus berbanding Sarawak 37.5 peratus sejak 2004.

Mengikut fakta perjanjian yang ditandatangani sekitar tahun 70-an oleh pengerusi Petronas, pada masa itu Tengku Razaliegh Hamzah, bersama kerajaan-kerajaan negeri lain berhubung perkara berkenaan dipersetujui oleh Perdana Menteri, Tun Abdul Razak, bahawa negeri terbabit berhak menerima royalti sebanyak 5 peratus hasil daripada pengeluaran petroleum yang merangkumi onshore (daratan) serta offshore (lautan).

Namun pada persidangan Dewan Rakyat malam semalam Najib mengumumkan Kerajaan Persekutuan akan memberi wang ihsan kepada Kelantan hasil daripada pengeluaran minyak negeri itu mulai tahun depan dan ianya akan disalurkan dalam bentuk projek pembangunan.

Bagaimanapun keputusan itu dipertikaikan oleh exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa, kerana kepada Terengganu, Sabah dan Sarawak ianya dibayar dalam bentuk royalti.

Bekas Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Omar Mohammad, turut mempertikaikan keputusan Najib yang bertentangan dengan Akta Petroleum 144 di mana di dalam perjanjiannya tidakpun menyebut wang ihsan, tetapi ia disebut dengan royalti.

“Antara ihsan dan royalti tak sama, pergi ke mana pun,” tegasnya sambil menyifatkan tindakan Najib umpama mendera anak sendiri apabila cuba meragut hak mutlak milik rakyat untuk kepentingan politik Umno.

“Apa makna mereka buat begini? Menafikan royalti kepada duit ihsan, tapi akan disalur dalam bentuk projek. Ini semua drama tipu muslihat politik kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) dalam usahanya untuk menawan Kelantan. Saya rasa rakyatpun lebih faham,” jelasnya.

Katanya juga, kerajaan BN sengaja ingin jadikan Kelantan menerusi isu terbabit sama dengan Terengganu yang pernah dinafikan royaltinya semasa pemerintahan PAS dulu.

Fakta ataupun sejarah perjanjian antara Petronas dan kerajaan negeri (Terengganu) pada 22 Mac 1975 (payment undur section 4, Petroleum Development Act, 1974), kerajaan negeri Terengganu telah menerima bayaran royalti selama lebih kurang 22 tahun berjumlah RM7.2 bilion.

Namun apabila PAS memerintah Terengganu selepas berjaya menumbangkan kerajaan BN dalam Pilihan Raya Umum 1999, mulai 5 September 2000 royalti minyak sebanyak 5 peratus ditukar kepada Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKPP) yang disebut sebagai wang ihsan.




Mengikut laporan, Tan Sri Anuar Musa juga, pada 2001 pernah membuat pengakuan di hadapan pelajar-pelajar pasca-siswazah Malaysia di Manchester bahawa sekatan royalti minyak ke atas kerajaan negeri Terengganu adalah tindakan politik.

Di samping itu, turut didedahkannya ialah bahawa salah satu cara untuk menyusahkan kerajaan Pas di Kelantan dan Terengganu adalah dengan melengah-lengahkan pembayaran peruntukan kerajaan Pusat dengan tujuan supaya rakyat akan beralih sokongan kepada Umno.

Kes Permohonan Speaker Kedah Bagi Semak Keputusan 12 Nov Ini.

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini Jumaat menetapkan Khamis depan untuk mendengar permohonan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail untuk semakan kehakiman terhadap keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengekalkan Datuk Abu Hassan Sarif sebagai wakil rakyat Kota Siputeh.

Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin memutuskan tarikh tersebut selepas peguam kedua-dua pihak meminta mahkamah mendengar dan menyelesaikan kes itu sebelum sidang DUN Kedah bermula 17 Nov ini.

Peguam Datuk Hafarizam Harun, yang mewakili Abu Hassan, dalam hujahnya berkata nasib anak guamnya berada di hujung tanduk apabila Speaker tidak lagi mengiktiraf Abu Hassan sebagai wakil rakyat dan dia dilarang menghadiri sidang DUN itu.

"Semalam, Speaker menghantar surat kepada anak guam saya dengan memaklumkan bahawa dia tidak diiktiraf sebagai wakil rakyat Kota Siputeh kerana alasan yang tercatat dalam permohonan semakan kehakiman.

"Isu ini perlu diperjelaskan dan kami akan memfailkan afidavit kami secepat mungkin," katanya.

Hafarizam mencadangkan jika kes itu gagal diselesaikan sebelum 17 Nov ini, Speaker harus memberi jaminan kepada mahkamah bahawa dia tidak akan menghalang responden (Abu Hassan) daripada menghadiri sidang DUN dan kerusi DUN Kota Siputeh tidak kosong sehingga mahkamah membuat keputusan.

Bagaimanapun, peguam Sulaiman Abdullah, yang mewakili Abdul Isa, tidak bersetuju dengan cadangan tersebut dan menggesa mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan untuk minggu depan.

"Anda perlu berlaku adil kepada mahkamah. Anda tahu perkara ini (persidangan DUN) akan datang, kenapa anda tidak memfailkan notis perakuan segera kepada mahkamah?. Kini saya terpaksa memutuskan isu perlembagaan yang penting dalam tempoh yang singkat," kata Hakim Alizatul.

Mahkamah kemudian mengarahkan semua pihak memfailkan afidavit masing-masing sebelum Khamis depan dan menyediakan hujahan bertulis sebelum prosiding kes bermula.

Abdul Isa memfailkan saman di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) pada 1 Okt lalu, menamakan Abdu Hassan daripada Barisan Nasional (BN) dan SPR sebagai responden.

Beliau memohon diisytiharkan Abu Hassan bukan lagi ahli DUN bagi kerusi Kota Siputeh berikutan kegagalannya menghadiri dua persidangan secara berturut-turut dan injunksi menghalang beliau daripada menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

Beliau juga memohon mahkamah mengisytiharkan kerusi itu kosong dan memerintahkan SPR mengadakan pilihan raya kecil di samping memohon ganti rugi, kos dan faedah lain.

Pada 1 Sept lalu, SPR memutuskan tidak berlaku kekosongan di kerusi Kota Siputeh dan Abu Hassan masih menjadi wakil rakyatnya.

Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan bertindak bagi pihak SPR.

Banjir Mula Melanda Kelantan

Kuala Krai dan Pasir Mas merupakan dua kawasan jajahan yang mula dilanda banjir di Kelantan apabila lebih 300 mangsa dilaporkan mula dipindahkan sejak tengah hari Jumaat berikutan limpahan air Sungai Kelantan dan Sungai Golok.

Ketua Pegawai Bilik Operasi Gerakan Banjir Negeri, Mohd Anis Hussein berkata di Pasir Mas sejumlah 190 mangsa banjir telah berpindah manakala di Kuala Krai membabitkan 130 orang.

"Bacaan Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah dan di Rantau Panjang sudah melepasi paras bahaya iaitu di Jenob 24.52 meter (bahaya 23.50 meter) dan di Rantau Panjang 9.94 meter (bahaya 9 meter)," katanya kepada Bernama.

Mohd Anis berkata bacaan di beberapa tempat di sepanjang Sungai Kelantan juga dilaporkan mula menghampiri paras bahaya berikutan hujan lebat sejak awal pagi ini.

Bagaimanapun setakat ini tiada kemalangan jiwa dan jalan utama yang terputus akibat banjir dilaporkan.

"Mangsa banjir telah dipindah ke sekolah-sekolah, pejabat dan surau yang dijadikan pusat pemindahan sementara dan kemungkinan ada juga yang berpindah ke rumah saudara-mara," katanya.

Cuaca di Kelantan ketika ini mendung dengan sekali sekala hujan lebat.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Azmi Osman berkata seramai 540 pegawai dan anggotanya diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi membantu mangsa banjir pada musim tengkujuh tahun ini.

Katanya, pihaknya akan membekukan cuti semua kakitangannya bagi menghadapi sebarang kemungkinan jika banjir bertambah serius.

Kerabat Arab beri RM7 juta hargai kejujuran Rosmah






PUTRAJAYA: Semasa bercuti dengan keluarga di selatan Perancis pada Ogos lepas, Datin Seri Rosmah Mansor terjumpa sebuah kotak milik Putera Saud Al-Saud dari Arab Saudi dalam sebuah bot dan memulangkannya kepada kerabat diraja itu.

Sebagai balasan kerana kejujurannya itu, isteri Perdana Menteri diberikan US$2 juta untuk rakyat Malaysia yang memerlukan.

Hari ini, Rosmah mengagihkan sebahagian wang itu berjumlah RM20,000 setiap satu kepada 13 persatuan amal termasuk Persatuan Bekas Tentera Malaysia, Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Majlis AIDS Malaysia, Yayasan Harapan Kanak-kanak Malaysia, Persatuan Orang Cacat Anggota Malaysia dan Persatuan isteri wakil rakyat Barisan Nasional di setiap negeri.

Beliau berkata US$1 juta lagi akan diserahkan kepada Universiti Kebangsaan Malaysia yang menguruskan Sekolah Permata Pintar bagi menampung pembelian keperluan sekolah manakala baki RM2.98 juta akan disimpan dalam tabung khas Bakti bagi membiayai kos rawatan kanak-kanak dan wanita yang berpenyakit kronik yang tidak berkemampuan.

Ketika menceritakan pertemuan kotak itu kepada pemberita, Rosmah berkata beliau sekeluarga sedang bercuti atas jemputan putera diraja Kuwait yang berkawan dengan anaknya, Riza Shahriz.

"Semasa sedang berkemas ketika hendak balik, saya terjumpa kotak itu dan berikannya kepada pengurus bot dan beritahunya supaya pulangkan barang berharga ini kepada tuan punya. Saya kata jangan usik, jangan buat apa-apa. Pastikan ia dalam keadaan baik dan beri kepada Putera Saud Al-Saud," katanya.

Menurutnya dua minggu selepas itu baginda mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana memulangkan kotak itu yang tercicir semasa sedang bercuti dalam bot yang sama.
"Putera itu kata nak berikan hadiah dan saya kata hadiah terbaik adalah untuk kesejahteraan rakyat Malaysia," kata Rosmah.

Selepas menerima cek ganjaran itu, beliau berbincang dengan Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta beliau menguruskan wang itu secepat mungkin dan diagihkan kepada pihak yang memerlukan.

"Saya juga meminta pegawai dari Pejabat Perdana Menteri untuk ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia supaya sumbangan ini bersih dan tiada pihak yang memutarbelitkan fakta," kata Rosmah.

Kotak yang ditemui itu dipercayai mengandungi beberapa keping cek. BERNAMA

Mahathir terima anugerah Tokoh Takaful .

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dianugerahi anugerah Tokoh Takaful di Majlis Makan malam pertama dan Malam Penganugerahan 2009 Persatuan Takaful Malaysia (MTA), sebagai pengiktirafan sumbangan cemerlangnya kepada industri takaful.

Mahathir memainkan peranan utama memastikan industri takaful menerima sokongan kukuh dari kerajaan dan sokongan ini kekal sehingga hari ini, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah semasa berucap di majlis itu.

"Kita banyak terhutang budi kepada Tun Mahathir kerana sejak Oktober 1982, kurang setahun selepas memegang jawatan sebagai Perdana Menteri keempat, satu pasukan petugas dibentuk untuk meneroka daya maju syarikat insurans Islam di Malaysia," katanya.

Mahathir telah mengamanahkan tanggung jawab itu kepada Industri Kewangan Islam Malaysia, kata Pengerusi MTA Datuk Syed Moheed Syed Kamarulzaman.

Katanya Mahathir juga seorang individu dan pakar strategi yang mempunyai pelbagai kemahiran yang tersendiri, yang menjadikannya calon yang terbaik menerima anugerah itu.

Katanya pengendali takaful mempunyai peranan penting untuk menggalakkan inovasi, melengkapi strategi perniagaan masing-masing dengan penyelidikan dan pembangunan, bagi mereka bentuk produk dan perkhidmatan berinovasi yang baharu.

Katanya inovasi adalah kunci kepada peningkatan dan kemampanan pertumbuhan di dalam industri itu.

Industri takaful telah menyaksikan satu respons dan keyakinan yang positif berdasarkan pertumbuhan di dalam satu dekad yang lepas kerana rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan kehidupan, agama dan bangsa menerima takaful atrau insurans Islam. BERNAMA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails