Geng Aku

Ahad, 28 Mac 2010

Selangor Mahu Tanam Satu Juta Pokok Tahun Ini.


Sebagai kesinambungan kepada kempen menghijaukan Selangor, kerajaan negeri akan menanam sejuta pokok sepanjang tahun ini.

Tanggungjawab itu akan dilaksanakan semua 12 pihak berkuasa tempatan secara berperingkat.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan perkara ini ketika melancarkan Majlis Menanam Pokok dan Pembukaan Pusat Membeli Belah Aeon Mahkota Cheras di Bandar Mahkota Cheras, hari ini.

Aeon Co. Sdn Bhd, syarikat induk pusat membeli belah Jaya Jusco mengadakan acara menanam lebih 3,000 pokok dan sehingga kini ada lebih 300,000 di semua premis miliknya.

Acara ini turut dihadiri Exco Kerajaan Tempatan, Ronnie Liu dan Pengerusi Aeon, Datuk Abdullah Mohd Yusof, selain pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT), pelajar dan sukarelawan dari Kajang dan Cheras.

"Saya berterima kasih kepada Aeon, syarikat induk Jaya Jusco kerana sekarang ini sudah ada 300,000 pokok ditanam. Jadi, saya minta Ronnie Liu membuat rancangan supaya dalam tahun ini, kita akan menanam satu juta pokok di Selangor," katanya.

Pada majlis itu, tetamu kehormat dan sukarelawan ini turut membanting tulang menanam 3000 anak pokok di sekitar kawasan pusat membeli belah itu.

Khalid juga terharu melihat kesungguhan pelajar dan sukarelawan yang dianggap beliau sebagai  aset masa depan.

"Saya berterima kasih kepada anak-anak sekalian kerana hadir pada hari ini. Saudara memiliki masa depan. Jadi, anda akan membuat negara ini bertambah cantik, kerana anda sekarang sudah memahami maksud tanggungjawab sosial," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails