Geng Aku

Sabtu, 7 November 2009

Umno lancar 'BN menang, Kedah senang'




Umno Kedah akan melancarkan slogan atau tagline berbunyi 'BN Menang Kedah Senang' bagi menaikkan semangat ahli-ahlinya
supaya bekerja lebih kuat untuk menawan kembali negeri ini daripada pemerintahan Pakatan Rakyat.



Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Ir Nawawi Ahmad berkata pelancaran rasmi slogan berkenaan akan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis Gerak Mesra 1Malaysia yang akan diadakan di Yan, 12 Nov ini.

"Pengenalan tagline ini adalah hasil cetusan idea antara ketua-ketua bahagian untuk membangkitkan semangat bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya umum akan datang.

"Kita berazam untuk lakukan yang lebih baik daripada sebelum ini kerana sekiranya negeri ini terus dipimpin pakatan pembangkang, ia akan hilang kesinambungan dengan pemerintah (kerajaan pusat)," katanya ketika ditemui pemberita di Bangunan Tunku, Alor Setar hari ini.

Katanya, sekiranya tidak ada kesinambungan atau hubungan secara terus dengan pemerintah, rakyat akan mengalami kesusahan dan tidak dapat menikmati keseimbangan dari proses pembangunan serta pelaksanaan dasar-dasar kerajaan.

Nawawi berkata bukti yang ada dapat dilihat selepas negeri ini diperintah Pakatan Rakyat iaitu tidak ada pelaburan besar yang dibawa masuk untuk kesenangan rakyat.

"Rakyat kena terima hakikat bahawa semua kesenangan adalah hasil pemerintahan BN dulu, selepas diperintah pakatan pembangkang, pelaburan di Kedah hampir kosong peratus, kenyataan yang dikeluarkan kerajaan negeri tidak ada yang spesifik," katanya.

Tambahnya, keadaan itu sangat merugikan rakyat, justeru dengan pengenalan slogan baru itu, ia diharap dapat menjelaskan kedudukan perjuangan BN demi kesejahteraan bersama.

Sementara itu, Nawawi berkata selepas pelancaran rasmi slogan berkenaan, Umno negeri akan melakukan gerak kerja dan promosi menyeluruh bagi memastikan objektifnya difahami semua lapisan masyarakat sehingga ke peringkat akar umbi.

Beliau berkata, Umno yakin selepas rakyat memahami perjuangan parti itu, mereka akan dapat menzahirkannya dalam pilihan raya umum kelak, sekaligus menjanjikan kemenangan buat BN. BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails