Geng Aku

Ahad, 8 November 2009

Amanda Melangkah Jua.



Bidang ini menjadi darah daging Amanda dan rasa penyesalan tidak pernah wujud malah bersemangat untuk terus maju ke hadapan - Amanda


NAMANYA agak asing di persada muzik tanah air tetapi kini sudah mula dikenali. Itulah Amanda Imani, berusia 18 tahun yang tidak perlukan gantian namanya yang lain. Cuma yang diperlukan adalah cara untuk mengukuhkan nama agar sentiasa diingati oleh peminat seni tanah air.

Amanda perlu memastikan kemunculannya benar-benar diterima. Sudah pasti dengan pakej dan bakat yang ada, wajah kacukan Melayu, Turki, Siam dan Cina serta suara tersendiri menjadikan dia setaraf dengan penghibur yang ada masa kini.

"Amanda bukan dilahirkan di kalangan artis realiti rancangan televisyen. Mereka bertuah kerana mendapat pendedahan lebih berbanding artis seperti Amanda ini yang tiada publisiti diberikan. Banyak perkara yang perlu dilakukan Amanda," tegas Amanda.

Dia bermula daripada bawah dan Amanda perlu bertatih untuk meniti satu demi satu tangga kejayaan. Dia yakin mampu bersaing secara sihat dengan mereka. Dengan cara apa pun, Amanda tidak akan patah semangat dan dan pandang ke belakang.

Gadis yang meminati kerja-kerja amal ini juga berhati-hati kerana setiap sen yang dikeluarkan itu adalah titik peluh daripada keluarganya sendiri. Amanda amat terhutang budi kepada ibu bapanya yang sanggup melaburkan sejumlah wang bagi merealisasikan impiannya itu.

Selain itu, banyak pengorbanan yang dilakukannya sebelum ini seperti berkejar-kejar untuk menghasilkan album baru berjudul Amanda Imani yang memuatkan tujuh buah lagu Melayu dan dua bonus video muzik itu.

Ini kerana pelajar program ijazah dalam bidang psikologi dan komunikasi di Kolej SEGi Kota Damansara ini mahu usahanya berbaloi lantas mencurahkan sepenuh perhatian sepanjang penghasilan album berkenaan.

"Alhamdulillah, esok (9 November) buah hati saya akan diedarkan di seluruh negara oleh Universal Music. Saya juga berharap dapat diterima baik oleh semua lapisan masyarakat," katanya.

Amanda yang memulakan kerjaya seni sejak berusia 15 tahun ini juga berdebar menanti reaksi peminat apabila album yang memuatkan lagu seperti Selamilah Cinta, Cinta Kasih, Cinta Seluas Angkasa, Terima Kasih, Mungkinkah, Mewarnai Hidupku dan Kita Sama Sahaja (duet bersama Ajai).

"Amanda seorang yang bercita-cita besar. Kalau boleh dapat terus kembangkan bakat seni termasuk memperbanyakkan ciptaan lagu sehingga ke peringkat antarabangsa. Bidang ini menjadi darah daging Amanda dan rasa penyesalan tidak pernah wujud malah bersemangat untuk terus maju ke hadapan," kata gadis yang mahir bermain piano dan gitar.

Dua buah lagu yang telah dimuat turun dirinya sendiri dalam laman web Youtube sejak awal tahun lalu iaitu Selamilah Cinta dan I'm Free (Yeah) dalam versi bahasa Inggeris mendapat reaksi baik kalangan peminatnya.

Penyanyi yang meminati Alicia Keys ini juga tidak menang tangan untuk menjawab komen yang diberikan melalui www.amanda-imani.com dan www.myspace.com/AmandaImani.
Amanda antara artis yang menjayakan Konsert Kick-off Monsoon Cup 2009 dianjurkan bersama majalah URTV, terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB). Ia bakal berlangsung di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu pada 1 Disember ini.

Amanda tidak sabar membuat persembahan di negeri menemukan dirinya dengan Ajai yang kemudian menyarankan Amanda untuk merakamkan lagu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails