Geng Aku

Selasa, 17 November 2009

Nizar V'8! Adun Perlabuhan Klang Disindir Exco.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah disindir oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita, Kebajikan, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebajikan Selangor, Rodziah Ismail semasa sesi soal jawab di sidang Dewan Undangan Negeri pada Selasa.




Rodziah berkata soalan tambahan yang diajukan oleh Badrul tidak perlu dijawab kerana mendakwa Badrul telah tidak menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat Pelabuhan Klang selama 20 bulan.

Secara sinis, Exco itu berkata beliau agak terkejut apabila Badrul berminat untuk mengetahui perkembangan penyediaan Jaringan Infrastruktur Tanpa Wayar Hibrid (HyWIN) di kawasan Pelabuhan Klang.

Badrul dalam soalannya meminta kerajaan negeri memberi tumpuan khas kepada pembangunan HyWIN kerana pelabuhan adalah antara kawasan yang menyumbangkan hasil kepada kerajaan negeri.




Rodziah dalam jawapannya berkata penyediaan infrastruktur HyWIN di seluruh kawasan Majlis Perbandaran Klang termasuk Pelabuhan Klang masih di peringkat perancangan Fasa II dan FASA III dan dijangka bermula pada awal atau pertengahan tahun 2011.

Badrul kini ialah Adun Bebas selepas mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat dan menyokong Barisan Nasional pada Oktober lepas.

-- BERNAMA

Nizar V'8! PAS Bertanding Di DUN Kota Siputeh



Pakatan Rakyat hari ini menyatakan kesediannya bagi menghadapi pilihan raya kecil di dewan undangan negeri Kota Siputeh setelah Mahkamah Tinggi Kuala lumpur semalam mengisytiharkan kerusi berkenaan kosong. Gagasan berkenaan hari ini mengumumkan calon dari parti Pas bakal bertanding bagi merebut kerusi tersebut sebagai mengekalkan status quo dalam pilihan raya umum ke-12.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata PKR dan DAP akan memberi sokongan yang padu kepada calon yang bakal ditentukan PAS.




“ Bersetuju kita akan memberi sokongan kuat kepada calon PAS yang akan bertanding bagi pihak Pakatan Rakyat di Kota Siputeh. Dan PAS memaklumkan mereka telah siap sedia dengan jentera. Keadilan dan DAP juga memberikan sokongan yang padu” katanya padang sidang mediannya.

Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin semalam memutuskan bahawa kerusi Kota Siputeh kosong selepas penyandangnya Datuk Abu Hassan Sarif tidak menghadiri dua persidangan DUN tahun ini.

Malah Alizatul menyifatkan tindakan yang diambil oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai tidak rasional.



Sementara itu, naib presiden PAS, Salahuddin Ayub dalam satu sidang media di lobi parlimen berkata, PAS akan menggunakan seluruh kekuatan jentera parti untuk menawan Kota Siputeh.

“Mengenai Kota Siputeh, kita daripada PAS kita bersedia untuk menggerakkan jentera kita pada bila-bila masa dan kita menunggu arahan dan keputusan daripada pihak mahkamah,"katanya.

Salahuddin berkata selain mengekalkan status quo, keputusan yang diambil juga dinilai dari semangat setiakawan dalam gagasan berkenaan.

“ Walau macamanapun secara prinsipnya, setiap keputusan yang akan kita buat, seperti perkara-perkara yang sebesar begini, kita mengambil semangat setiakawan kita dalam Pakatan Rakyat,"katanya.



Kenyakinan itu turut dikongsi oleh Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar.

“ Pakatan sentiasa on call dalam menghadapi pilihanraya kecil atau pilihanraya umum. Walaupun kita berhadapan dengan kekalahan di DUN Bagan Pinang, itu hanya permasalahan yang terpencil di mana saya sendiri telah menduga itu yang akan kita hadapi,"katanya.

Ditanya sama ada PAS bersedia berhadapan dengan kubu kuat BN itu, Mahfuz berkata, kemenangan akan memberikan lonjakan besar kepada Pakatan Rakyat pada jangka masa yang panjang.

“ Kalau kita memenangi kawasan yang diwakili oleh BN, itu akan memberikan lonjakan kepada kita," katanya.

TV Selangor

Nizar V'8! Pengerusi Risda Cadang Tun Dr Mahathir Diberi Jawatan Menteri Kanan

Pengerusi Risda, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik pada Selasa mencadangkan agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempertimbangkan jawatan menteri kanan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.



 
Beliau berkata pengalaman luas Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun yang telah melaksanakan pelbagai projek pembangunan sehingga menjadikan ekonomi negara ini kukuh perlu dimanfaatkan oleh kerajaan bagi membantu Malaysia agar terus maju di samping untuk memajukan negara-negara Islam lain.

"Tanpa jawatan ini pun Tun Mahathir sentiasa dijemput oleh negara-negara tertentu seperti Jepun, Mesir dan sebagainya untuk memberi pandangan dan berkongsi pengalammanya dari semasa ke semasa.




"Jadi ada eloknya sedikit status ditimbangkan untuk Tun (Mahathir) bagi membolehkan beliau melawat negara-negara tersebut dan memberikan idea-ideanya tentang bagaimana untuk mempercekapkan sistem pembangunan sesebuah negara itu," katanya kepada pemberita selepas majlis pengagihan buku Amanat Perdana Menteri kepada 113 pegawai kanan Risda, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan badan bukan kerajaan (NGO) di sini hari ini.

Beliau berkata sumbangan idea Dr Mahathir ini juga sebenarnya amat diharapkan oleh negara dunia ketiga dan negara Islam dan ia juga dapat meningkatkan nama Malaysia di arena antarabangsa.

Dalam pada itu Abdul Rahim berkata pengagihan buku Amanat Perdana Menteri yang menjilidkan ucapan-ucapan dasar Perdana Menteri-Perdana Menteri Malaysia merupakan inisiatif Risda bagi memupuk semangat patriotisme di kalangan pegawai sekaligus dapat menangkis sikap perkauman yang semakin menular dewasa ini.

"Semangat patriotik sangat penting kerana keadaan masyarakat majmuk sekarang ini, kita perlu satu penghayatan patriotisme nasional dan ia benteng kepada usaha kita untuk menolak sikap perkauman yang sempit. Oleh itu kita kemukakan usaha ini untuk tingkatkan semangat itu kepada pemimpin-pemimpin supaya tidak menerima perjuangan perkauman yang sempit itu," katanya.

Sementara itu ketika menjawab pertanyaan pemberita sama ada Risda akan memberi bantuan kepada pekebun kecil getah yang terjejas ekoran musim tengkujuh ini, beliau berkata Risda melalui pegawainya di setiap negeri akan menimbang untuk memberi bantuan terutama di kawasan yang dilanda banjir seperti di Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan melalui peruntukan khas bencana alam Risda. BERNAMA

Nizar V'8! Rampas Royalti Dulu Terengganu Kini Kelantan


Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) mendakwa  tindakan kerajaan pusat merampas royalti petroleum di Terengganu sewaktu PAS mengambil alih pemerintahan negeri itu adalah berunsurkan politik serta membelakangi perjanjian yang dibuat sebelum ini.


Abdul Hadi dalam ucapannya sewaktu Perbahasan Peringkat Jawatankuasa Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat petang semalam berkata, tindakan kerajaan pusat itu juga membuktikan hilangnya semangat federalisme dan semangat persaudaraan kerajaan pusat dengan negeri-negeri malah menganggap pihak pembangkang sebagai musuh.

"Kita perlu ingat bahawa pembatalan (royalti) ini berlaku hasil daripada perhimpunan agung Umno pada tahun 2000,apabila adanya cadangan dalam perhimpunan agung Umno, usul yang mendesak agar dibatalkan royalti petroleum di Terengganu kerana diperintah oleh parti yang dianggap tidak sama dengan kerajaan pusat," katanya sewaktu membangkitkan perkara B6 02200, 020200 unit perancang ekonomi dan perancangan ekonomi di bawah Jabatan Perdana Menteri.



Apa yang lebih malang tegas Abdul Hadi, setelah royalti itu dirampas dan digantikan dengan wang ehsan sewaktu Terengganu diperintah Barisan Nasional (BN), wang tersebut digunakan untuk kepentingan kroni Umno BN, tanpa mengutamakan rakyat yang berhak ke atas wang tersebut.

"Malangnya wang ehsan ini, bukan rakyat yang diutamakan tetapi kroni diutamakan kerana duit yang sama dikendalikan oleh tangan-tangan tertentu samaada tangan-tangan yang nyata atau tangan-tangan yang ghaib melalui projek-projek yang besar dan mewah.Maka diutamakan kroni-kroni tertentu dan hanya kuah yang sedikit turun kepada rakyat.Ini ternyata berlaku di Terengganu,"tegasnya.

Beliau juga kesal kini Kelantan pula mengalami nasib yang sama dengan Terengganu suatu ketika dahulu.

Sebelum itu, Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) ketika membahaskan perkara yang sama menuntut agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Datuk Nor Ya'kob mengotakan janjinya untuk menjawab segala perbahasan mengenai isu royalti khususnya yang sedang dituntut oleh Kelantan.

Beliau juga mendesak agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertanggungjawab di atas perkara itu dan memberikan layanan yang sama rata terhadap Pakatan Rakyat.

“Layanlah kami dengan adil.Kami tidak pernah mintak perkara-perkara yang di luar perlembagaan,” katanya.




Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) meminta laluan untuk mencelah namun tidak diberi ruang oleh Salahuddin.

Kata-kata Salahuddin “ini bukan debat budak sekolah menengah” menyebabkan Tajuddin melenting dan menuduh Salahuddin menghinanya dan tidak menghormati Perdana Menteri.

Salahuddin bagaimana pun tidak menghiraukan kata-kata Tajuddin dan meneruskan ucapannya sehingga selesai.

Nizar V'8! Syed Husin Dan S Ramakrishnan Dicalon Senator Selangor.

Negeri Selangor mencalonkan Dr Syed Husin Ali dan Ramakrishnan Suppiah sebagai senator untuk sessi akan datang.




Pencalonan Syed Husin, timbalan Presiden PKR, dibuat oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dan disokong oleh Exco Datuk Dr Hassan Mohamad Ali.



Ramakrsishnam pula dicadangkan oleh Teresa Kok dan disokong oleh Yaakob Sapari. Beliau adalah ahli DAP yang merupakan seorang pensyarah yang juga anggota Majlis Perbandaran Petaling Jaya.

Kedua-dua mereka akan menggantikan Datuk Ikhwan Salim Sujak dan Datuk Yip Kum Fook yang akan tamat tempoh perkhidamatan mereka pada 6 Disember ini.

Nizar V'8! SPR dicadang diletak bawah parlimen




Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mencadangkan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diletakkan dalam jawatankuasa khas di bawah parlimen bagi memastikan ia bertindak mengikut perlembagaan dan proses undang-undang di negara ini.

Mahfuz berkata, seluruh struktur SPR juga mesti dirombak dan disusun semula bagi mengelakkan suruhanjaya itu dipengaruhi oleh badan eksekutif sehingga menyebabkan ia tidak rasional dalam membuat sebarang keputusan.




"Kedudukan SPR harus dirombak bukan sahaja orangnya tetapi strukturnya.Institusi itu mesti dilihat tidak dikuasai oleh eksekutif yang menyebabkan ia tidak rasional.Sebab itu bagi saya SPR harus diletakkan dalam jawatankuasa khas di bawah parlimen untuk pastikan sebarang tindakan yang dilakukan rasional dan mengikut perlembagaan dan proses undang-undang yang terdapat dalam negara kita," katanya kepada pemberita di lobi parlimen pagi tadi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh kosong dan satu pilihanraya kecil perlu diadakan untuk mengisi kekosongan tersebut.

Dalam keputusannya, Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin menegaskan bahawa SPR bertindak secara tidak wajar.



Keputusan suruhanjaya itu bahawa Datuk Abu Hassan Sarif masih merupakan wakil rakyat bagi Kota Siputeh dan kerusi DUN itu tidak kosong juga perlu dibatalkan.

Alizatul juga dilaporkan juga sebagai berkata, SPR tidak boleh mengatasi kuasa speaker mengikut Perkara 51 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah.

Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena berkata, dalam siri pilihanraya sebelum ini, Pakatan Rakyat seringkali berhadapan dengan sikap tidak rasional SPR yang dilihat tidak serius dalam usaha membaik pulih sistem pilihan raya di negara ini.




"Kita (Pakatan Rakyat) berhadapan selama ini dengan sikap SPR yang tak rasional.Setiap kali kita buat bantahan, buat aduan, SPR kata mereka bertindak mengikut undang-undang.Mereka hanya bersandarkan kepada undang-undang yang tidak diusahakan agar dibaikpulih sistem perundangan berkaitan pilihanraya," katanya.

Mahfuz juga berkata, Mahkamah seharusnya juga membuat keputusan yang sama terhadap permohonan Speaker DUN Perak, V Sivakumar untuk semakan kehakiman terhadap keputusan SPR yang masih mengekalkan kerusi tiga adun yang melompat menjadi adun bebas di negei itu awal Februari lalu.


Speaker DUN Kedah, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail menghantar surat kepada SPR memaklumkan mengenai kegagalan Abu Hassan hadir sidang DUN pada 19 April dan 16 Ogos lalu.

Mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah, mana-mana ahli dewan yang tidak hadir pada sidang DUN selama dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker, tempatnya hendaklah dikosongkan.

Mahfuz juga menyatakan kesediaan PAS untuk bertanding dalam pilihan raya kecil kali ini.

Nizar V'8! Pemuda PAS Johor bawa isu penemuan 14 kad pengenalan ke parlimen




Dewan Pemuda PAS Johor menyerahkan satu memorandum menuntut isu penemuan 14 kad pengenalan dan beberapa dokumen 6 Jun lalu yang didakwa ada kaitan dengan penyelewengan pilihanraya dibawa ke parlimen.

Ianya ekoran masih tiada sebarang tindakan susulan diambil walaupun perkara tersebut telah dilaporkan kepada pihak Polis dan dimaklumkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negri Johor.

Penyerahan memorandum tersebut diketuai Ketua Pemuda PAS Johor,  Khairul Faizi Ahmad Kamil  kepada Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahudin Ayub di lobi parlimen pagi tadi.

Khairul Faizi dalam sidang media sebelum itu memberitahu, siasatan berhubung penemuan itu sangat penting kerana ianya membabitkan keselamatan negara.

"Empat belas kad penganalan ini saya dapati tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan...setidak-tidaknya kad pengenalan yang tidak lagi dimiliki akan dipotong."

Beliau juga tidak menolak kemungkinan, ianya ada kaitan dengan penyelewengan pilihan raya berikutan kad perwakilan Umno turut ditemui bersama.




"Yang lebih mencurigakan kami, kad pengenalan masih elok dijumpai bersama dengan beberapa dokumen yang mengejutkan...termasuk kad perwakilan jentera (Umno) pilihanraya tahun 1995."

turut dijumpai, bersama (adalah) kad perwakilan Umno yang tertera nama Norhashimah Abu Samah (iaitu) Naib Ketua Wanita (Umno) Cawangan Kampung Baru (Johor Bharu)," katanya lagi.

Kesemua barangan tersebut didakwa dijumpai 6 jun lalu di satu kawasan tapak pelupusan sampah di Johor Bharu.

Ekoran penemuan itu, beliau memberitahu telah membuat laporan polis pada hari yang sama.

Namun melihat tiada sebarang perkembangan, mereka mula mengatur tindakan susulan termasuk menghantar memorandum kepada balai polis negeri dan kepada pihak lain yang bertanggungjawab.

"Setelah tidak ada laporan (balas) Polis, kami telah hantar memorandum pada Ketua Polis Johor 19 Ogos."

Tambahnya, hanya dua hari kemudian Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Jalaluddin Abdul Rahman menjelaskan bahawa kes tersebut bukan di bawah bidang kuasa polis dan telah menyerahkan kes itu kepada JPN Negeri Johor.

Meliahat masih tiada sebarang maklumbalas, mereka sekali lagi menghantar memorandum bantahan sama kepada JPN negeri pada tarikh 17 September lalu.

JPN Negeri dakwanya menjelaskan bahawa kes tersebut di bawah bidang kuasa Polis, kemudiannya menjelaskan bahawa kes itu sudah dipanjangkan kepada JPN Pusat di Putrajaya.

Keadaan saling tolak menolak kes tersebut menyebabkan sehingga kini belum ada sebarang maklum balas positif dari kedua dua pihak tersebut.

Dalam pada itu, Salahuddin ketika menerima memorandum itu berjanji untuk membawa kes tersebut ke Parlimen dalam masa terdekat.




Beliau yang juga Naib Presiden PAS meminta Polis dan JPN mengambil bertanggungjawab menyelesaikan kes tersebut.

Bercakap pada sidang media yang sama, Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul menyifatkan pendedahan tersebut merupakan salah satu penyelewengan pilihanraya menggunakan kad pengenalan.

Nizar V'8! Umno: Taktik kotor bukan cara kami jatuhkan Pakatan .





Umno menafikan dakwaan bahawa ia menggunakan taktik dan perancangan kotor untuk mencetuskan krisis dalam Pakatan Rakyat termasuk isu-isu semasa yang kini memburuk-burukkan pemimpin angggota komponennya sejak kebelakangan ini.


Parti utama Barisan Nasional (BN) itu menegaskan, adalah jelas taktik sama digunakan kali ini selepas PR gagal melaksanakan tanggungjawabnya, lalu membuat tuduhan-tuduhan tidak berasas dengan harapan impian mereka untuk menjatuhkan BN pula akan tercapai.

“Ini juga menjadi bukti bahawa pihak terbabit terdesak lantas menggunakan alternatif sedemikian bagi memburuk-burukkan BN dan seterusnya meraih perhatian daripada masyarakat tempatan,” kata Umno dalam kenyataan dimuatkan dalam Umno Online.



“Perlu difahami, sebagai sebuah parti yang menjadi tunjang kerajaan yang bertanggungjawab, Umno bersama BN tidak perlu melaksanakan tindakan dangkal sedemikian kerana tentunya, fokus utama BN adalah kesinambungan pembangunan, pentadbiran dan kemajuan berpanjangan untuk keselesaan dan kesejahteraan masyarakat keseluruhannya,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut, “sekali lagi Umno menghadapi tuduhan berikutan pelbagai krisis yang melanda pakatan campuran dan pemimpin atasannya termasuklah hal berkaitan Mentri Besar Kelantan, (Datuk) Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan isu tajaan untuk menunaikan ibadat haji dan juga perkembangan semasa di negeri-negeri tadbiran mereka.”




Nik Aziz telah membatalkan hasratnya untuk menunaikan haji kali ini, yang sepatutnya bermula esok, ekoran laporan bahawa pemergian beliau ditaja oleh individu tertentu.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini menyiasat Perbadanan Mentri Besar Kelantan (PMBK) yang menantu Nik Aziz merupakan Ketua Pegawai Eksekutifnya.

Kelmarin Pemuda Umno Kelantan menyerahkan memorandum menggesa SPRM mempertingkatkan siasatan ke atas Nik Aziz dan menantunya selain meminta mereka berundur.




PR kini memerintah negeri Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor.

Sebagai alternatif mengelak daripada perangkap sendiri yang ternyata “makan tuan”, Umno menjelaskan, PR khususnya Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim lantang membuat tuduhan bahawa ia adalah perancangan parti utama BN itu termasuk menggunakan media massa dan SPRM untuk mencari kesalahan pemimpin dalam pakatan campuran berkenaan.

“Lantaran itu, cerita yang tidak benar sengaja diada-adakan sebagai senjata bagi mengelirukan rakyat tempatan agar terpengaruh dengan apa yang mereka mahu.

“Dan, pastinya cerita yang ada ditambah-tambah dengan pelbagai rencah bagi menambah perisa agar lebih sedap didengar dan dan lebih mudah disebarkan,” kata kenyataan itu lagi.



Malah ia menjelaskan, tuduhan juga dibuat terhadap perdana mentri, Datuk Seri Najib Razak atas strateginya mengajak ahli-ahli Umno bersatu dan melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin.

“... pastinya mereka memanipulasikan alternatif tersebut berikutan sedar bahawa ikatan dan kepercayaan masyarakat terhadap mereka mula rapuh,” kata parti itu.

Justeru, kenyataan itu menegaskan, “perlu difahami lantas bersimpati dengan apa yang dialami oleh pakatan pembangkang apabila setiap kali timbulnya krisis dan isu berkaitan mereka, tentunya mereka akan terus-terusan menggunakan taktik yang sama bagi mendapat perhatian dari penduduk tempatan.”

“Media alternatif yang melaporkan berita-berita semasa turut dipersalahkan, begitu juga SPRM sedangkan realitinya terdapat juga pemimpin dalam Umno-BN dan ahlinya turut disiasat oleh badan tersebut ekoran beberapa kesalahan yang dilaporkan,” tambah kenyataan itu.

Sehubungan itu ia juga menegaskan, PR hanya mampu mahu membersihkan nama mereka selain daripada menunding jari ke atas Umno atas segala kesulitan yang melanda mereka, termasuklah kepincangan dalam pentadbiran dan kegagalan memanifestasikan janji pilihan raya umum ke-12.



Nizar V'8! SPR Buat Lawak 1 Malaysia.

 

Hari ini SPR malaysia boleh dikategori Raja lawak 1 Malaysia kerana tindak tanduk berikut dan banyak persoalan yang tak dapat kita jawab hanya penggurus SPR saja yang mengerti.. mengapa SPR mahu menbuat rayuan dimahkamah dalam isu Dun Kota Seputih.antara yang lawak



  1. Apa pasal Spr yang gila meroyan dan kelam kabut nak buat rayuan ?
  2. Adakah calon SPR yang kehilangan kerusi.
  3. kenapa bersungguh-sunguh nak buat rayuan ?untuk siapa ? jawapannya dah tentu untuk Dato Abu Hassan..BN..
  4. Calon yang kalah pun akur dengan keputusan mahkamah, tapi SPR yang lebih lebih..
  5. Atau pun SPR ini komponen BN yang ke 15 ?
  6. Tugas SPR mengadakan pilihan raya bila ada kekosongan (bukan nak buat rayuan untuk mana mana parti ).
Tetapi aku rasa macam cerita atau skrip perebutan kuasa Mb diPerak jer...mula menang kemudian bila buat rayuan mereka menang..tetapi aku harap jangan lah bergitu he he ...dan ucapan sekalung tahniah kepada hakim yang menjalankan tugas dengan amanah dan jujur, tetapi harus diingat ranjau seterusnya adalah Mahkamah rayuan dan Hakim yang lain pula selepas itu mungkin semua akan hampa..he he he ( maaf ini hanya imginasi aku sahaja ).
 

  
Doa aku dan penyokong Pakatan Rakyat semua biarlah keputusan ini berkekalan kerana gian nak pi kempen dan tampal poster..serta nak tebus balik kekalahan kita di Bagan Pinang..serta bagi pengundi Kota seputeh pula ini masa dapat durian runtuh dan ini masa mereka jadi anak emas ..dengan projek mewah berstatus mee segera...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails