Geng Aku

Khamis, 25 Mac 2010

Muay Thai, Seni Mempertahankan Diri Paling Digeruni.


JIKA aksi pertarungan dirakam secara gerak perlahan, adalah mudah untuk melihat mengapa Muay Thai - Thai Kick Boxing - dianggap sebagai seni mempertahan diri yang mengancam dan yang paling digeruni di dunia.

Bersama pilihan untuk menggunakan lapan anggota, peninju Muay Thai menggunakan buku lima, siku, lutut dan kaki untuk melakukan serangan yang kemungkinan lebih mengancam berbanding pisau atau pistol.

Sementara seni mempertahan diri yang lain menggunakan dua titik sentuhan (sebagai contoh buku lali dalam tinju) dan empat titik (sebagai contoh kedua-dua tangan dan kaki dalam seni mempertahan diri berorientasi sukan seperti wusyu), Muay Thai mempunyai lapan titik sentuhan.

Seorang peninju Muay Thai terlatih menggunakan tumbukan, sepakan, serangan dengan siku dan lutut yang boleh membawa maut.

Asal usul Muay Thai, yang bermakna 'seni lapan anggota' boleh dikesani di medan perang Thailand pada abad ke-15.

Pahlawan-pahlawan Thai menggunakan lapan anggota menggantikan pedang dan kayu semasa bertarung tanpa senjata.

Gambar Hiasan Peninju Muay Thai - Foto THE STAR oleh VICTOR K.K.NG
 
Ia kini telah menjadi sukan kebangsaan Thailand dan mempunyai banyak persamaan dengan seni mempertahankan diri yang lain seperti Tomoi di Malaysia, Muay Lao di Laos dan Pradal serey di Kemboja.

Hari ini, teknik-teknik yang boleh mematahkan tulang dalam Muay Thai digunakan di seluruh dunia bermula dengan pihak tentera Thailand hinggalah CIA dan telah mencetuskan inspirasi bagi filem dan bilangan besar peminat seni ini di Malaysia.

DIPERSIAP UNTUK BERTAHAN

"1-2-3. Uppercut-block-kick", Mohd Aly Yakin memberi arahan kepada anak-anak buahnya.
Jurulatih Muay Thai ini yang berusia 32 tahun bergerak pantas mengeliling studio latihan.
Aly dengan saiz tubuh yang sederhana tetapi dengan susuk badan yang berotot kebal kelihatan macam atlet yang hebat.

Bersama pengalaman mengajar selama tujuh tahun, Aly yang dilahirkan di Singapura menjalani latihan Muay Thai di Chiang Mai, Thailand, dua tahun lepas dan adalah seorang jurulatih di sebuah pusat senaman di sini.

Sebelum ini, beliau berkecimpung dalam Taekwondo selama 19 tahun dari usia 9 tahun.

"Seni mempertahan diri seperti Taekwondo 80 peratus menggunakan kaki dan 20 peratus tangan. Tetapi dalam Muay Thai ia adalah 50/50. Selain itu adalah mudah untuk belajar Muay Thai, tidak memerlukan pakaian khas dan sesuai bagi semua kumpulan umur."

Beliau menambah kata bukan seperti seni mempertahan diri yang lain, mereka yang belajar Muay Thai tidak perlu berlatih untuk mendapat tali pinggang dalam menunjukkan peringkat kemahiran mereka.


Di sebaliknya, kemahiran mereka akan diuji di gelanggang dengan tali pinggang kejuaraan menjadi rebutan peninju.

Aly menjelaskan bahawa rejim latihan dan pelaziman bagi peninju-peninju juga amat mencabar.

"Di Thailand satu sesi latihan tipikal akan memerlukan latihan menumbuk serta menyepak buluh dan batang kelapa. Ia menyeksa dan menyakitkan. Hasilnya, tulang kering, kaki dan siku menjadi kuat. Tetapi, sudah tentu latihan kami di sini berbeza sedikit."

Mungkin Aly menyedari kerisauan penulis, yang matanya sibuk mencari buluh yang diperkatakan di studio itu. Tak kelihatan pun, nasib baik.

BERSEDIA MENGGUNAKAN LAPAN ANGGOTA

Dengan tulang kering dilazim untuk digunakan sebagai kayu pukul, penggunaan kedua-dua siku dan lutut dengan berkesan juga ditekankan.

Kelajuan, ketepatan dan kuasa teknik-teknik Muay Thai memang terkenal di kalangan pengamal seni mempertahankan diri, dan para peninjunya seringkali boleh menumpaskan lawan dengan sekali pukul sahaja.

Patah tulang sesuatu yang biasa di gelanggang, tetapi banyak juga peninju ini yang menemui ajal oleh kerana sepakan maut atau serangan berbahaya menggunakan siku.

Satu lagi elemen yang unik bagi Muay Thai ialah pusingan pinggul untuk melepaskan tumbukan serta sepakan yang kuat.

Aly menunjukkan pergerakan itu dengan menyepak dan menumbuk beg tumbukan dengan bunyi impak itu menakutkan penulis.

"Mempelajari teknik mempertahan dan menyerang sesuatu yang mesti kerana ini 100 sentuhan fizikal," jelas Aly.

"Peninju boleh mensasar mana-mana bahagian tubuh lawan dan hanya tidak boleh menggunakan kepala untuk memukul lawan."

Beliau menjelaskan bahawa buat masa ini beliau mempunyai 600 anak buah yang telah mendaftar untuk kelas awalan, pertengahan dan lanjutan dengan kelas latihan peninju diadakan tahun ini bersempena dengan pertandingan pada Jun ini.

LEBIH DARIPADA BERTARUNG

Tetapi bertanding untuk menunjukkan kehebatan bukan menjadi matlamat semua yang belajar Muay Thai.


Seni ini yang dipopularkan oleh filem-filem seperti 'Ong Bak' dan acara-acara pertandingan seni mempertahankan diri, kini menjadi pilihan semua lapisan masyarakat sebagai senaman fizikal dan untuk mempertahankan diri.

"Anak buah saya kebanyakannya adalah wanita dalam lingkungan usia 20-an, anak buah paling muda berusia 12 tahun, dan yang tertua berusia 63 tahun. Ia membina stamina, mencergaskan anda dan meningkatkan keyakinan anda."

Sementara itu, Lee Yoon Kong yang berusia 61 tahun turut bersetuju. Beliau mengikuti latihan Muay Thai hampir selama enam bulan dan sudahpun mula merasai kehebatannya.
"Sebab utama mengapa saya belajar Muay Thai ialah untuk mencergaskan diri dan lagipun jika kita tidak sihat kita yang menjadi beban kepada masyarakat! Saya kini bebas daripada ubatan-ubatan yang saya ambil selama ini untuk kawal paras kolestrol. Saya rasa lebih sihat sekarang berbanding sebelum menyertai kelas ini."

Yoon Kong menambah, ia juga merupakan sukan mempertahan diri dan pertarungan berkesan yang membawa bersama tumbukan terbaik tinju dan sepakan seni mempertahan diri.

"Muay Thai menggunakan setiap bahagian tubuh sebagai senjata. Lagipun, ia tidak mempunyai 'katas' untuk dipelajari. Kebolehan untuk menumbuk dan menyepak dengan betul menyingkatkan masa untuk menumpaskan lawan dalam senario mempertahankan diri."
Darshini yang berusia 28 tahun berkata, latihan lasak yang dilaluinya telah membantu membentuk tubuhnya.

"Apa yang saya suka dengan kelas-kelas ini ialah anda banyak berpeluh berbanding senaman lain seperti yoga. Anda juga dapat menguatkan badan. Sejak saya menyertai latihan tiga bulan yang lepas, saya berjaya mengurangkan berat badan."

MUAY THAI PUNCA SIKAP AGRESIF?

Tiada belas kasihan, berdarah dan boleh membawa maut, adalah sukar untuk tidak mengaitkan seni seperti Muay Thai dengan keganasan.

Itu tanggapan salah, jelas Aly dan menambahkata itulah tanggapan lazim yang tidak tepat.
"Muay Thai mengajar individu supaya berdisiplin, berendah hati dan mengawal tindak tanduk dan perasaan.

"Pada masa yang sama, jurulatih perlu fahami apa yang anak buah mereka mahu. Mereka tidak harus melatih sahaja. Mereka mesti mengambil usaha untuk mengetahui latarbelakang dan peribadi anak buah mereka.

"Di Thailand, terdapat muda-mudi yang melanggar undang-undang dengan menyertai kumpulan samseng atau terlibat dalam pergaduhan selepas belajar Muay Thai. Jurulatih perlu profesional untuk mengelakkan anak buah mereka daripada menyalahgunakan kemahiran mereka."

PILIHAN SENI MEMPERTAHAN DIRI DE FACTO

Sebagai sukan pertarungan, Muay Thai telah menerima pengiktirafan dunia kerana kejayaannya sebagai seni mempertahankan diri hebat yang menggabungkan elemen-elemen pelbagai seni mempertahankan diri yang lain.

Di Malaysia, Aly berkata para peminat Muay Thai berharap untuk membentuk sebuah persatuan rasmi menjelang Oktober ini.

"Buat masa ini Muay Thai tidak mempunyai pengiktirafan rasmi di negara ini. Persatuan-persatuan bagi Tomoi telah diwujudkan oleh penggemar seni itu di Kelantan tetapi belum lagi bagi Muay Thai. Kami berharap menerusi persatuan ini sukan ini dapat maju seiring dengan sukan mempertahankan diri yang lain di negara ini."

Dengan lagak gaya, penulis meletakkan buku dan pen dan mencuba beberapa aksi tumbukan dan sepakan. Aly meneruskan dengan sesi latihannya tetapi beliau tidak menyatakan sesuatu. Bagaimana mengagumkan seni Muay Thai ini. - BERNAMA

Rabu, 24 Mac 2010

Yip Tarik Balik Surat Letak Jawatan.

ADUN Titi Tinggi, Yip Sun Onn telah menarik balik surat peletakan jawatannya lewat petang ini, melalui SMS kepada Speaker DUN Perlis, Datuk Yazid Mat.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Yazid mengesahkan bahawa beliau menerima SMS dari Yip pada kirak-kira jam 7 malam ini.

Ekoran keputusan Yip itu, beliau berkata, kerusi DUN Titi Tinggi tidak kosong "dan masih ada orangnya".

Menurut Yazid, dalam SMS tersebut, Yip berkata beliau telah menyedari dan menginsafi tindakannya meletakkan jawatan sebelum ini.

"Katanya, beliau lebih mementingkan parti dan penyokongnya di kawasannya dan di negeri Perlis," kata Yazid.

 
Menjawab soalan, Yazid menegaskan bahawa Yip menarik balik peletakan jawatannya atas kehendaknya sendiri dan bukan kerana ada sebarang janji yang ditawarkan.



Isnin lalu, Pada Yip, 52 menghantar surat peletakan jawatan sebagai ADUN Titi Tinggi kerana kecewa tidak dilantik semula memegang jawatan exco kerajaan negeri Perlis.

Tempatnya digantikan oleh ADUN Indera Kayangan, Dr Por Choo Chor.

Anwar Beri Penjelasan Isu 1Malaysia Pada Selasa.


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi penjelasan di Parlimen Selasa depan berhubung dakwaan beliau kononnya gagasan 1Malaysia ditiru daripada slogan 1 Israel.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) R. Sivarasa berkata, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee telah bersetuju untuk memberi ruang kepada Anwar memberi penjelasan kepada Ahli Parlimen berhubung isu berkenaan pada 11.30 pagi Selasa depan, selepas sesi soal jawab.

Kiandee menetapkan demikian selepas Anwar menghantar surat kepadanya meminta diberi ruang untuk menjelaskan isu tersebut di Parlimen, kata Sivarasa kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini selepas beliau dan Anwar dilihat masuk ke pejabat Speaker Dewan Rakyat dan keluar dari pejabat itu selepas kira-kira 15 minit.


Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, tuduhan Anwar sebelum ini dianggap serius dan beliau perlu memberi penjelasan dalam tempoh ditetapkan.

Bagaimanapun, beliau berkata, tindakan terhadap Anwar akan dirujuk mengikut peraturan mesyuarat, memandangkan perkara itu dilafaz oleh beliau di dalam Dewan.

"Kita tunggu seminggu dan beliau (Anwar) kena buat penjelasan, sebab dia punya tuduhan macam kita ini bersama dengan Israel dan menyokong (Israel) adalah tuduhan yang serius," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.


Mengenai tindakan yang boleh dikenakan terhadap Anwar berhubung pendedahan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mengenai rancangan 16 September, Mohamed Nazri berkata, ia terserah kepada hasil siasatan polis.

Zahrain, bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang yang telah keluar parti untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas, baru-baru ini mendedahkan bahawa Anwar menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika merancang mengambil alih kerajaan pada 16 September 2008. - BERNAMAaan memandang serius dakwaannya itu.

Selasa, 23 Mac 2010

Adun Titi Tinggi Letak Jawatan.


Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Md Isa Sabu sahkan terima surat perletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Titi Tinggi, Yip Sun Onn, jam 3 petang semalam.  

Yip Sun Onn

Menurutnya, pihaknya sedang merayu Adun berkenaan supaya menarik semula hasrat itu dan yakin tiada pilihan raya kecil akan diadakan.

Beliau dikatakan bertindak demikian selepas digugurkan daripada Exco Perlis


woit...takut prk ke? takut kecundang dengan rakyat?kah kah

Kerajaan Pulau Pinang Hargai Chong Wei Dan Nicol Dengan Insentif


Jaguh badminton Datuk Lee Chong Wei dan ratu skuasy negara Datuk Nicol David masing-masing menerima sumbangan penghargaan sebanyak RM20,000 daripada kerajaan negeri malam Isnin.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata sumbangan itu sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri kepada kedua-dua wira negara itu yang juga merupakan anak jati Pulau Pinang.

"Kerajaan negeri tidak berpuas hati sekiranya kejayaan yang begitu gemilang tidak diberi sedikit imbuhan, lantaran itu pihak kerajaan negeri memberi sumbangan ini sebagai tanda penghargaan," katanya kepada pemberita di sini.

Katanya negeri itu berasa bertuah kerana adanya jaguh dunia itu dan berharap mereka dapat menyumbang bakti melatih generasi baru terutamanya generasi negeri itu.

Baru-baru ini, Chong Wei merangkul kejuaraan All England ke-100 manakala Nicol memenangi Kejohanan Terbuka Kuala Lumpur CIMB Sabtu lalu.

Sementara itu, Chong Wei berkata beliau bertuah menerima penghargaan daripada kerajaan negeri itu.

-- BERNAMA

Pemilihan MCA: 101 Calon Rebut 31 Jawatan.


Seramai 101 calon akan bertanding merebut jawatan tertinggi MCA Ahad ini, iaitu antara yang teramai dalam sejarah pemilihan parti itu.

Jawatan presiden menyaksikan rebutan tiga penjuru antara penyandang, Datuk Seri Ong Tee Keat, bekas Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, dan bekas Presiden MCA, Tan Sri Ong Ka Ting. 

Jawatan timbalan presiden pula menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara dua bekas naib presiden iaitu Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Datuk Seri Kong Cho Ha.
Seramai 10 calon termasuk penyandang, Datuk Seri Ng Yen Yen, pula bertanding merebut empat jawatan naib presiden.

 
Sehingga jam 5:00 petang tadi, berikut senarai mereka yang mengemukakan pencalonan.

PRESIDEN:
1. Datuk Seri Ong Tee Keat — Penyandang
2. Tan Sri Ong Ka Ting
3. Datuk Seri Dr Chua Soi Lek
TIMBALAN PRESIDEN:
1. Datuk Seri Kong Cho Ha
2. Datuk Seri Liow Tiong Lai 

NAIB PRESIDEN (EMPAT JAWATAN):
1. Datuk Seri Ng Yen Yen – Penyandang
2. Datuk Donald Lim Siang Chai
3. Datuk Chor Chee Heung - Bekas ahli jawatankuasa pusat
4. Datuk Yeow Chai Thiam – Pengerusi MCA Negeri Sembilan
5. Datuk Loke Yuen Yow – Bekas timbalan setiausaha agung
6. Khoo Keok Hai – Ketua MCA Sandakan
7. Gan Ping Sieu - Penyandang ahli jawatankuasa pusat
8. Datuk Yew Teong Look - Ketua MCA Wangsa Maju
9. Wong Siong Wee - Ketua MCA Kuala Krai
10. Datuk Yap Pian Hon 

Bagi ahli jawatankuasa pusat (CC), 86 pencalonan diterima bagi merebut 25 kerusi.
Setiausaha agung, Datuk Wong Foon Meng juga mengumumkan tiada bantahan yang dikemukakan dan semua nama yang disenaraikan itu layak bertanding pada pemilihan parti Ahad ini.

4.25pm Datuk Seri Ong Tee Keat serah borang bertanding presiden. Sebelum ini, Tan Sri Ong Ka Ting dan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek telah menyerahkan borang bertanding presiden. Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Datuk Seri Kong Cho Ha tanding timbalan dan 53 tanding jawatankuasa pusat. 

4.12pm Datuk Chor Chee Heung menjadi calon keenam tanding jawatan naib presiden. Sebelum ini, Tan Sri Ong Ka Ting dan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek serah borang bertanding presiden. Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Datuk Seri Kong Cho Ha tanding timbalan dan 53 tanding jawatankuasa pusat. 

4.03pm
Tan Sri Ong Ka Ting merupakan calon kedua yang menyerahkan borang bertanding jawatan presiden MCA.

Manakala Datuk Seri Kong Cho Ha pula menyerahkan borang bertanding jawatan timbalan presiden. 

3.45pm Datuk Seri Liow Tiong Lai serah borang pencalonan untuk bertanding timbalan presiden MCA.

3.20pm Calon kelima menyerahkan borang untuk bertanding jawatan naib presiden ialah pengerusi MCA Negeri Sembilan dan bekas anggota jawatankuasa pusat, Yew Chai Thiam. 

3.00pm Bekas naib presiden MCA, Datuk Donald Lim menyerahkan borang pencalonan bagi bertanding jawatan tersebut.

Sehingga ini, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek telah menyerahkan borang pencalonan untuk jawatan presiden.

Dengan itu, bagi jawatan naib presiden, empat orang telah berbuat demikian. Tiga lagi ialah Datuk Loke Yuen Yow, Datuk Ng YenYen dan pengerusi MCA Sabah, Datuk Khoo Keok Hai.

Bagi jawatankuasa pusat, 47 orang telah mengemukakan borang pencalonan masing-masing.
Pencalonan bagi pemilihan baru MCA pada 28 Mac ini, dibuka di Wisma MCA di Kuala Lumpur pada jam 1 tengah hari dan dijadual ditutup pada jam 5 petang.

Setiausaha agung parti Datuk Wong Foon Meng mengumumkan secara rasmi bermulanya proses pencalonan itu yang akan diikuti dengan tempoh bantahan selama 30 minit.
Proses pencalonann itu bermula agak lembap dengan beberapa calon tiba di dewan membawa kertas pencalonan masing-masing tetapi kemuncak pencalonan dijangka bermula pada kira-kira pukul 3 petang di mana mereka yang akan bertanding bagi jawatan utama dan tertinggi parti akan menyerahkan kertas pencalonannya.

Sebanyak 31 jawatan akan dipertandingkan, termasuk jawatan presiden dan timbalan presiden, empat jawatan naib presiden dan 25 untuk anggota jawatankuasa pusat (CC).

Jawatan presiden dijangka menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara penyandang Datuk Seri Ong Tee Keat, bekas presiden Tan Sri Ong Ka Ting dan bekas timbalan presiden Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Pemilihan baru itu diadakan berikutan peletakan beramai-ramai 22 anggota CC parti pada awal bulan ini. Pemilihan parti terakhir diadakan pada Oktober, 2008.

Khalid Nafi Ini Penggal Terakhir Beliau Sebagai MB

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan spekulasi bahawa ini mungkin penggal terakhir beliau sebagai Menteri Besar Selangor dan akan kembali ke dunia korporat.

Katanya beliau tidak pernah memikirkan mengenai pekara itu atau dibangkitkan secara rasmi.

"Peranan saya di luar spekulasi kerana saya ingin berkhidmat kepada orang ramai selagi rakyat dan rakan-rakan saya dalam parti (Parti Keadilan Rakyat) mahukan saya," kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan jabatan kerajaan negeri di sini hari ini.

Khalid yang juga pengerusi perhubungan PKR negeri berkata beliau akan terus aktif dalam politik jika itu adalah yang terbaik untuk beliau lakukan.

Beliau adalah ketua pegawai eksekutif Kumpulan Guthrie Berhad dari 1995 hingga 2003 sebelum memasuki politik dan menyertai PKR.

Sementara itu, Khalid berkata permintaan untuk memperbaiki jalan-jalan di Selangor adalah tinggi kerana negeri ini bertanggungjawab untuk penyelengaraan kira-kira 4,000 kilometer (km) dan 1,000 km di negeri ini adalah jalan persekutuan.

Mengenai cadangan Sime Darby Property untuk membangunkan sebahagian kawasan Taman Subang Ria di Petaling Jaya sebagai taman rekreasi, beliau berkata ia lebih sesuai jika taman itu dimajukan dahulu sebelum kediaman.

Pengarah urusan Sime Darby Property Bhd, Datuk Tunku Putra Badlishah, dilaporkan berkata bahawa syarikat itu merancang membangunkan kediaman untuk membiayai kos taman rekreasi tersebut disebabkan kosnya yang tinggi, yang hanya kira-kira 20 peratus daripada harga hartanah itu. Khalid juga berkata Taman Subang Ria ialah sebuah hartanah persendirian milik Kumpulan Sime Darby, dan bukan taman awam seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak. - BERNAMA

PR Cabar Kerajaan Perjelas Siapa APCO


Pakatan Rakyat (PR) mencabar kerajaan untuk membatalkan perlantikan Syarikat APCO Worldwide dalam urusan komunikasi negara, kerana didakwa ia bertentangan dengan dasar luar negara.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyenaraikan segala urusan kerajasama di antara kerajaan dengan APCO termasuk jumlah bayaran dan tugasan yang diberikan kepada APCO.

Menurutnya, jawapan kerajaan menerusi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz bahawa kerajaan telah melantik APCO dalam mengendalikan urusan komunikasi negara adalah jelas penglibatan langsung syarikat itu.


"Saya minta kerajaan perjelaskan siapa APCO, berapa dia dibayar, apa peranan dalam negara ini dalam bidang komunikasi, kesihatan, pendidikan, mauklumat dan kesemuanya."Sama ada ini berkaitan dengan keselamatan negara ataupun tidak, kerana ini mempunyai kenyataan dengan jawapan saya nanti," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Menurutnya, beliau akan memberi jawapan mengenai kenyataannya sebelum ini yang mengaitkan kerajaan dengan sebuah firma penasihat Israel dalam masa terdekat.


"Kenyataan Perdana Menteri ini tidak menafikan penglibatan APCO secara menyeluruh dalam komunikasi di negara ini, isunya bukan 1Malaysia sama seperi 1Israel tetapi isu tindakan kerajaan bersekongkol dengan Israel.

"Saya akan memberi penjelasan mengenai perkara ini dengan hujah saya nanti termasuk memberi kenyataan tambahan mengenai siapa APCO itu sendiri," katanya.


Sementara itu, Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusuf berkata, perlantikan APCO sebagai perunding komunikasi negara bertentangan dengan dasar luar negara yang jelas mengutuk tindakan Israel yang menindas rakyat Palestin.

Menurutnya, APCO yang merupakan sebuah firma perunding antarabangsa yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu mempunyai majoriti pemiliknya adalah dari individu berpengarah dalam pentadbiran Israel.

"Jawapan kerajaan adalah, kerajaan tidak melantik mana-mana syarikat luar atau dalam negara dalam menguruskan gagasan 1Malaysia secara khusus, kalau tidak khusus apa?

"Soalannya mudah adakah kerajaan mengambil APCO untuk menguruskan 1Malaysia? dan bukanya soalan mempromosikan 1Malaysia secara khusus atau tidak," katanya.

Beliau berkata, jawapan kedua yang diberikan oleh kerajaan pula tidak menafikan penglibatan APCO oleh kerajaan iaitu APCO hanya dilantik untuk melaksanakan urusan komunikasi secara menyeluruh.

"Saya mahu tanya apakah komunikasi menyeluruh yang dilakukan oleh kerajaan setelah (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) kalau bukan gagasan 1Malaysia.

"Sekiranya mahu menyangkal tindakan Ketua Pembangkang mengenai 1Malaysia dengan 1Israel, kita perlu lihat bahawa tindakan tersebut sebagai langkah untuk menyelamatkan negara," katanya.

Anwar membuat dakwaan itu ketika beliau membahaskan usul menjunjung kasih titah menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong semasa perasmian persidangan Dewan Rakyat Isnin lepas.

PAS Tahu Rancangan 16 September


Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menjelaskan bahawa parti itu mengetahui mengenai rancangan yang dilakukan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil alih kerajaan pusat pada 16 September 2008 lalu.

Menurutnya, PAS turut bersama dalam perancangan tersebut kerana parti itu dan Pakatan Rakyat (PR) berusaha untuk mengubah kerajaan pusat sama seperti tindakan Barisan Nasional (BN) yang berusaha mengubah kerajaan sesebuah negeri.

“Memang kita bersama (PR), kita berusaha untuk membuat perubahan tersebut, kita memang berusaha sepertimana BN, ia adalah amalan demokrasi negara,” katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.


Ditanya adakah beliau mengetahui bahawa ada golongan ulama dalam parti itu yang mendakwa mereka tidak mengetahui mengenai perancangan itu, Abdul Hadi bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai pandangan peribadi sesetengah pihak.

“Dakwaan itu tidak tepat dengan hakikat yang sebenar, kami lebih faham apa yang berlaku, PAS juga bijak menangani hal ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan, dakwaan lapan nama ahli parlimen yang dikatakan akan melompat keluar dari BN oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim juga tidak tepat.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi menuntut perkataan Tuhan dalam Rukun Negara ditukar kepada nama Allah kerana penganut agama lain sudah menerima kalimah Allah seperti mana yang dituntut oleh penganut Kristian.

Katanya, Islam tidak pernah melarang orang bukan Islam dari menggunakan nama Allah dalam agama mereka walaupun terdapat percanggahan.

“Orang bukan Islam sudah menyedari kalimah Allah ini memberi makna yang unggul, perkataan seperti God dan Lord tidak menepati apa yang mereka mahukan.

“Oleh itu, kerajaan perlu menerima secara positif dalam menangani hal ini dan pada masa sama ia akan menuju kepada perpaduan rakyat,” katanya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails