Geng Aku

Jumaat, 18 Disember 2009

Skuad Bola Sepak Malaysia Menang..


Malaysia akhirnya menamatkan kemarau pingat emas bola sepak dalam Sukan SEA selepas mengalahkan Vietnam, 1-0 di peringkat akhir yang berlansung di Stadium Utama, Kompleks Sukan Kebangsaan di sini hari ini.


Pemain-pemain kebangsaan bawah 23 tahun tiba dengan tidak diberi harapan memenangi sebarang pingat membuat kejutan dengan memenangi pingat emas pada Sukan SEA-25 itu.

'Kemenangan' itu dihadiahkan oleh hasil gol sendiri pemain Vietnam, Mai Xuan Hop pada minit ke-84 sekali gus menjadikan jumlah pungutan pingat kontinjen negara sebanyak 40 emas di sini.

Kali terakhir Malaysia memenangi emas untuk bola sepak pada Sukan SEA Kuala Lumpur 1989, dengan kemenangan 1-0 ke atas Singapura.

Pemain Vietnam, Mai Xuan Hop (kanan) menangis ketika pemain-pemain Malaysia meraikan kemenangan mereka. Kemenangan itu menjadi lebih manis selepas Malaysia ditewaskan oleh Vietnam 1-3 pada perlawanan peringkat kumpulan 6 Disember lalu.

Mai Xuan Hop (kanan) hanya mampu bersedih ketika pemain-pemain negara meraikan kemenangan 1-0 ke atas Laos. -Foto AP
 
Pada saingan suku akhir, pemain-pemain muda negara menundukkan juara bertahan Thailand, 2-1 di peringkat kumpulan untuk menempah tempat separuh akhir sebelum menewaskan Laos, 3-1 di hadapan 20,000 penyokong tuan rumah.

RM600,000 Dikirim Buat Rosmah Di Dubai-Tian


Ahli parlimen PKR Tian Chua mendakwa individu yang tidak dikenal pasti telah menghantar RM600,000 melalui pengurup wang kepada Datin Seri Rosmah Mansor ketika isteri perdana menteri berada di Dubai, Ogos tahun lalu.

Tian Chua berkata, beliau mempunyai dokumen yang membuktikan berlakunya transaksi yang melanggar undang-undang tersebut.




Beliau bagaimanapun, tidak tahu tujuan wang itu digunakan.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Petaling Jaya hari ini, Tian juga mendakwa bahawa dua tokoh korporat melakukan kesalahan yang sama.

Beliau mendakwa Datuk Abu Sahid Mohamad telah menghantar RM22.2 juta ke United Kingdom antara Jun dan Ogos 2008, melalui pengurup wang Salamath Ali. Ia didakwa untuk membeli hartanah.


Tian juga mendakwa ahli perniagaan Syed Mohammad Syed Nursin pula menghantar RM1.19 juta ke UK melalui Salamath Ali, juga untuk tujuan membeli hartanah.

Syed Mohammed adalah adik kepada jutawan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Tian berkata, beliau mempunyai salinan surat tunjuk sebab yang dihantar oleh Bank Negara kepada pengurup tersebut, memintanya menjelaskan mengenai pengiriman wang secara haram itu.

Ahli parlimen Batu menggesa Bank Negara supaya menyiasat orang yang menghantar wang tersebut dan bukan hanya memfokuskan siasatan kepada pengurup terbabit sahaja.

Pertemuan Media-KDN Panas, Isu Garis Panduan

Kementerian Dalam Negeri (KDN) merangka draf garis panduan yang lebih terperinci yang bakal mengetatkan lagi kawalan dalaman ke atas industri media cetak - tetapi kali ini mereka tidak berdiam diri.

Draf itu diumumkan oleh pegawai kanan KDN dalam satu pertemuan Isnin lalu dengan wakil-wakil media cetak di Kuala Lumpur.

Pertemuan itu, yang dijadual berlangsung sepanjang hari, ditamatkan separuh jalan, ekoran protes dan perdebatan hangat dengan wakil-wakil media terbabit.

Antara perkara yang dibangkitkan ialah tiadanya wakil daripada Institut Akhbar Malaysia dan Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ).

Para peserta juga menegaskan bahawa mereka tidak diberi sebarang notis awal mengenai perbincangan berhubung garis panduan tersebut.

Wakil kerajaan yang hadir termasuk Ketua Setiausaha KDN Datuk Mahmood Adam, timbalannya yang menjaga bahagian keselamatan, Ahmad Faud Abdul Aziz dan setiausaha bahagian kawalan penerbitan dan teks al-Quran, Abu Hassan Dahaman.

Seorang peserta mendakwa garis panduan itu satu percubaan untuk memaksa media menerima peruntukan di dalamnya sebagai 'prinsip bersama' dan oleh itu, membebaskan kementerian daripada dipersalahkan dalam perkara itu.

Beberapa peserta juga merasakan sempadan sempit yang dinyatakan dalam draf tersebut boleh menjejaskan industri media negara.

Rabu, 16 Disember 2009

PAS Anggap 70 Ahli Parlimen BN Boikot Bajet Najib



Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad  menganggap bahawa majoriti ahli parlimen Barisan Nasional tidak menyokong Budget 2010 yang telah dibentangkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.
 
Katanya, Tindakan 70 orang ahli parlimen dari 137 (1 lagi adalah Speaker) yang tidak hadir semasa sesi undian bagi kelulusan budget berkenaan semalam, mengambarkan bahawa mereka memboikot atau menolak bajet berkenaan.





Hanya 66 orang sahaja yang hadir bagi menyokong usul budget berkenaan dan ini adalah kurang dari separuh dari jumlah keseluruhan ahli parlimen yang sepatutnya hadir.

Budget 2010 diluluskan hanya dengan majoriti 3 undi sahaja, itu pun selepas Najib dan beberapa orang Menteri Kabinet dipanggil untuk hadir ke Dewan Rakyat malam tadi.

"PAS melihat bahawa komitmen yang ditunjukan oleh ahli parlimen BN semakin rapuh dan mereka kini sudah tidak memperdulikan lagi kehendak dan keperluan rakyat.




"Parlimen gagal dimanfaatkan sebagai tempat untuk membela rakyat dan mereka boleh hadir atau tidak sesuka hati sedangkan gaji serta elaun mereka dibayar penuh mengunakan wang rakyat," katanya.

PAS, katanya, berharap agar penyakit ini tidak berjangkit kepada ahli-ahli parlimen Pakatan kerana ia boleh menjejaskan keyakinan rakyat di masa hadapan.

Negara Miliki Tren Terpantas


TREN ETS ini dipamerkan di Stesen Kereta Api Kuala Lumpur hari ini dan esok untuk maklum balas orang ramai.


Malaysia melakar sejarah tersendiri apabila secara rasminya semalam menerima tren baru berteknologi tinggi serta mesra pengguna yang dikenali sebagai Electric Train Set (ETS) yang dijadual beroperasi sepenuhnya pada April 2010.




Tren itu yang dibekalkan oleh CMK Konsortium dengan kerjasama Hyundai Rotem dari Korea dan Mitsubishi Electric Corporation dari Jepun dengan kos RM240 juta dikategorikan sebagai tren terpantas yang pernah dimiliki negara dengan kelajuan 140 kilometer sejam.

Set pertamanya yang didatangkan dengan enam gerabak tiba dari Pelabuhan Klang pada 3 Disember lalu manakala baki empat set akan tiba secara berperingkat pada tahun depan.

Lebih mengagumkan, perkhidmatan ETS itu yang menghubungkan laluan Ipoh-Seremban-Ipoh bakal menjimatkan kira-kira sejam waktu perjalanan.

FAM Bertegas Singkirkan Pasukan Berstatus 'Pokai'


PASUKAN yang masih berdepan masalah kewangan dalam saingan Liga Malaysia musim depan bakal dikenakan hukuman tegas daripada FAM.



PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akan membatalkan serta-merta penyertaan sesebuah pasukan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) 2010 jika mereka didapati berhutang biarpun untuk hanya tempoh sebulan.

Penolong Setiausaha Agung FAM, Ahmad Fuad Daud berkata, tindakan itu akan diambil sekira- nya terdapat aduan terhadap pasukan yang gagal membayar sama ada gaji pemain, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) atau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Jika kita mendapat aduan mereka gagal membayarnya selepas tamat sesatu bulan itu, maka penyertaan pasukan tersebut dalam Liga M 2010 akan terbatal serta- merta dan pemain mereka dibenarkan untuk pendaftaran khas dengan pasukan lain.



"Selain itu, pasukan boleh dikenakan tindakan penggantungan selama tiga musim, dilucut- kan deposit, diminta membayar kos pengelolaan dan didenda maksimum RM100,000," kata Ahmad Fuad pada Majlis Taklimat Liga M 2010 di Wisma FAM, Kelana Jaya pagi semalam.

Liga Super 2010 bakal disertai 14 pasukan iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Terengganu, Pahang, Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Kelantan, T-Team, Johor FC, Johor, KL Plus, Kuala Lumpur dan Perak.

Liga Perdana 2010 pula menampilkan 12 pasukan iaitu PKNS, Sabah, Harimau Muda B-19, Pos Malaysia, Staf USM, Melaka, Felda United, Sarawak, PDRM, ATM, Majlis Perbandaran Muar dan Shahzan Muda.


KETUA Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahya (dua dari kanan) melakukan cabutan undian untuk pasukan yang akan bersaing dalam kempen Liga Malaysia bagi musim 2010 di Kelana Jaya semalam.


Jelas Ahmad Fuad, saingan Liga FAM 2010 pula kini baru mempunyai lima pasukan dari saingan musim lalu iaitu Tambun Tulang, UiTM FC, Ban Hoe Leong, Penjara Melaka dan Melodi Jaya.

"Liga FAM 2010 dikhaskan kepada pemain berusia 28 tahun (lahir 1982) dan ke bawah. Pemain lebih usia 28 tahun hanya dibenarkan jika dia merupakan pemain profesional yang diberi kontrak.

"Negeri-negeri juga diingatkan untk menyenaraikan pasukan untuk Liga FAM ini sebelum 11 Januari depan. Kita memerlukan minimum lapan pasukan dan jika gagal mencapai jumlah itu, Liga FAM 2010 akan dibatalkan," ujarnya.

Sementara itu, pendaftaran kedua untuk Liga Super dan Liga Perdana hanya akan dibuka dari 5 hingga 18 Mei depan manakala pendaftaran pemain pinjaman untuk saingan Piala Malaysia akan dibuka dari 26 Julai hingga 9 Ogos.

Menyentuh soal disiplin penonton, Ahmad Fuad berkata, tinda- kan tegas akan dikenakan terhadap pasukan yang para penyokongnya didapati bertindak liar.

"Pasukan boleh dikenakan denda maksimum RM100,000, potong mata kemenangan, beraksi di stadium kosong dan juga stadium akan ditutup untuk beberapa perlawanan," katanya.

Liga M 2010 juga akan disiarkan secara langsung setiap Jumaat di Astro dan setiap Sabtu di RTM bagi perlawanan-perlawanan pilihan.

PAS Tetap Pertahan Agenda Hudud, Negara Islam



PAS tidak akan sekali-kali berkompromi dengan perjuangannya untuk menegakkan negara Islam dan melaksanakan hudud kerana ia sebahagian tuntutan agama, tegas menteri besar Kelantan.

"Mana boleh kompromi, ini ibadat. Bila kita tolak politik Islam, (maksudnya) kita tolak ibadat. Sedangkan Tuhan buat manusia ini untuk beribadat.

"Ibadat bukan bermakna sembahyang sahaja," kata Datuk Nik Aziz Nik Mat, juga mursyidul am PAS, ketika diwawancara Malaysiakini Khamis lalu.

Beliau diminta mengulas pendirian PAS berhubung cita-cita besar parti itu apabila ia secara rasmi bersama Pakatan Rakyat apabila gabungan didaftarkan.




PAS dan DAP sering bergeser berhubung isu negara Islam dan hudud sehingga memaksa DAP meninggalkan Barisan Alternatif pada 2001.

Bagaimanapun kedua-dua parti itu berpayung bawah Pakatan Rakyat bersama PKR selepas kemenangan besar mereka pada pilihan raya umum 2008.



Ditemui di pejabatnya di Kota Bharu, Nik Aziz bagaimanapun positif bahawa perbincangan berterusan berhubung perkara itu antara tiga parti utama tersebut boleh menjernihkan keadaan.

"Islam sebut, bawa mari hujah (kamu). Awak tidak faham, (awak) boleh caci Islam, boleh caci apa saja. Islam beri peluang jawab (dengan) hujah.

"Cuma kalau tidak faham, kita tanya orang lain," katanya.

Diminta mengulas sikap beberapa pemimpin kanan DAP yang agak lantang dengan dua agenda PAS tersebut, seperti pengerusi DAP Karparl Singh, Nik Aziz secara sinis berkata:

"Tidak apa. Karpal Singh ini kira orang tua. Kadang-kadang bila orang kacau kita, kita tengok orang itu. Kadang-kadang kita kata, biarlah. Dia sudah tua, kita hormatlah dia.

"Orang yang bercakap macam itu, sudah tidak ada sekarang, makin kurang. Itu watak lama."


Berikut petikan wawancara berhubung isu tersebut:

Hubungan dalam parti-parti Pakatan, selalu muncul isu hudud, kerajaan Islam. Setakat mana PAS sebagai parti yang perjuangkan Islam boleh berkompromi dalam perkara ini, yang selalu menyebabkan perselisihan faham dengan DAP?

Mana ada manusia boleh hidup senang dari muda sampai ke tua. Kadang-kadang kena kudis, doktor pun berkudis juga. Jadi, lumrah alam dan dunia memang begitu. Ada syaitan-malaikat, baik-jahat, syurga-neraka.

Tidak usahlah perkara ini. Hendak sebut, (sila) sebut. Tetapi kena dengar jawapan (kami). Kalau kamu seorang sebut, (tetapi) tidak hendak dengar jawapan, mana boleh.

Islam sebut, bawa mari hujah (kamu). Awak tidak faham, (awak) boleh caci Islam, boleh caci apa saja. Islam beri peluang jawab (dengan) hujah. Cuma kalau tidak faham, kita tanya orang lain.

Cumanya, kita masih berpegang dan tidak akan berkompromi dengan idea negara Islam, dengan hudud?

Mana boleh kompromi, ini ibadat. Bila kita tolak politik Islam, (maksudnya) kita tolak ibadat. Sedangkan Tuhan buat manusia ini untuk beribadat. Ibadat bukan bermakna sembahyang sahaja. Sembahyang pun kalau tidak betul cara ibadatnya, ditolak Allah.

Bagi kami (sebagai) pejuang Islam, semua kerja itu ibadat. Hatta ceramah pun ibadat. Orang hendak bagi duit minyak, bagi. Tidak beri, maka cicah roti denga budu. Biasalah dalam PAS ini, kerana kami dapat pahala.

Orang tolak Islam dapat pahala apa? Kita doa, itu (juga) ibadat. Orang Umno berdoa juga, doa dengan allah, Allah mana hendak terima (doa, sebab) kamu tolak Islam.

Bagaimana hasrat ini hendak jadi kenyataan sebab dalam DAP misalnya, orang mudanya agak OK tetapi orang lama macam pengerusinya Karpal Singh itu nampak keras sikit.

Tidak apa. Karpal Singh ini kira orang tua. Kadang-kadang bila orang kacau kita, kita tengok orang itu. Kadang-kadang kita kata, biarlah. Dia sudah tua, kita hormatlah dia.

Orang yang bercakap macam itu, sudah tidak ada sekarang, makin kurang. Itu watak lama.

Apa boleh buat? Nabi Muhammad dulu, bapa saudaranya Abu Talib membela baginda, tetapi dia tidak turut Islam. Apa boleh buat?

(Membaca hadis) Nabi kata, baginda ajar bapa saudaranya mengucap (dua kali syahadah), tetapi dia (Abu Talib) kata: 'kalau aku mengucap, aku malu.'

Malu (sebab) bapa saudara turut (ajaran) anak saudara. Biasanya anak saudara yang ikut bapa saudara. (Abu Talib kata,) 'tidak mengapalah, biar aku masuk neraka daripada tanggung malu.' Ada juga orang sebut macam itu.

Habis itu, kita akan terus beri nasihat? Berbincang?

Ya, nasihat, sebut, bincang. Saya suka sangat kalau orang tanya saya. Kalau saya boleh jawab, saya jawab. Tidak boleh jawab, saya kata tanya orang lainlah, saya tidak berapa faham.

Selasa, 8 Disember 2009

Liga Super 'Pahang' Diselamatkan Lagi...






REKOD 'cemerlang' Pahang yang tidak pernah turun ke liga bawahan berterusan apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam mengumumkan skuad Tok Gajah itu akan kembali bersaing dalam Liga Super 2010 yang ber- mula 9 Januari depan.

Pahang sebelum ini sepatutnya telah tersingkir ke Liga Perdana 2010 setelah tewas 1-5 ke- pada Selangor dalam aksi terakhir Liga Super 2009 pada 25 Julai lalu, sekali gus menduduki tangga kedua tercorot.



Pada 15 Ogos lalu, Mesyuarat Majlis FAM juga mengesahkan bahawa Pahang akan turun beraksi dalam Liga Perdana 2010 bersama-sama pasukan tercorot Liga Super 2009 iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Namun, Mesyuarat Majlis FAM semalam yang dipengerusikan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah selaku Presiden FAM bertindak 'menyelamatkan' pasukan negeri itu pada saat akhir sambil 'mengorbankan' skuad B-21 kebangsaan, Harimau Muda A.

"Hari ini (semalam) mesyuarat Majlis FAM telah membuat sedikit perubahan untuk pasu- kan-pasukan bertanding dalam Liga Super dan Liga Perdana musim depan.

"Setelah dibincang secara panjang lebar, Harimau Muda A dicadangkan untuk tidak beraksi dalam Liga Super 2010 supaya pemain-pemainnya dilepaskan beraksi untuk pasukan negeri masing-masing.

"Bagi menggenapkan 14 pasukan, Pahang dinaikkan semula ke Liga Super. Liga Perdana pula, kami akan jemput satu pasukan dari Liga FAM untuk menggenapkan 12 pasukan," kata Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Che Mat Jusoh pada sidang media semalam.



SULTAN AHMAD SHAH beramah mesra dengan pegawai yang hadir sebelum baginda
mempengerusikan Mesyuarat Majlis FAM di Wisma FAM semalam.



Mengulas lanjut perkara tersebut, Timbalan Presiden FAM, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Pahang dipilih menggantikan Harimau Muda A kerana 'kedudukannya' yang paling atas dalam senarai asal pasukan-pasukan Liga Perdana 2010.

"Tiada soal pilih kasih. Keputusan ini telah dipersetujui oleh suara majoriti dalam mesyuarat Majlis FAM hari ini (semalam).



"Harimau Muda B iaitu skuad B-19 kebangsaan akan kekal dalam Liga Perdana manakala Harimau Muda A di bawah jurulatih Azraai Khor Abdullah hanya akan dikumpul apabila ada tugasan antarabangsa," jelas Khairy.

Kosmo! pada 27 Julai lalu telah melaporkan tentang kemungkinan Pahang akan diselamatkan lagi oleh FAM daripada terjerumus ke saingan Liga Perdana.

Keputusan FAM semalam sebenarnya 'ulangan' kepada tindakan mereka ketika menukar format Liga Malaysia 2007 sejurus berakhir saingan musim 2006.






FAM ketika itu mengubah format daripada lapan pasukan kepada 14 pasukan, sekali gus menyelamatkan Pahang yang menduduki tangga ketujuh daripada lapan pasukan pada Liga Super 2006.

Dalam pada itu, Sultan Ahmad Shah dalam titah baginda ketika mesyuarat semalam memberitahu, Datuk Gulzar Mohammad telah meletak jawatan sebagai Naib Presiden FAM secara sukarela berkuat kuasa 22 November lalu atas alasan kesihatan dan tumpuan kepada pernia- gaannya.

Selain itu, pada tarikh yang sama, FAM turut melantik Tan Sri Mohd. Noor Abdul Rahim sebagai Bendahari FAM yang baru mengganti- kan Datuk Cheong Keap Tai.

Perarakan Kepala Lembu: Mahkamah Tetapkan 12 April Tarikh Perbicaraan



Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini menetapkan 12 April depan untuk mendengar perbicaraan kes perarakan kepala lembu dalam satu protes di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Ogos lalu.

Hakim Hasdi Hasan menetapkan perbicaraan itu berjalan selama lima hari sehingga 16 April depan.



Kes berkenaan disebut di mahkamah hari ini dan kesemua 12 individu yang didakwa berhubung kes itu mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan atau tuduhan alternatif di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana 'menimbulkan rasa tidak puas hati dan permusuhan penganut Hindu dan sengaja lukakan perasaan penganut hindu'.

Mereka ialah Ibrahim Sabri, 42; Ahmad Mahayuddin Abd Manaf, 36; Eyzva Ezhar Ramly, 35; Mohd Azmir Mohd Zain, 35; Ahmad Suhairy Zakaria, 39; Mohd Hilmi Ni, 40.


Mereka juga didakwa bersama enam orang lagi kerana menyertai perhimpunan haram, mengikut Seksyen 27(5)(a) Akta Polis 1967.

Mereka ialah Jainudin @ Zainudin Md Yusuff, 67; Mohd Jurit Ramli, 39; Mohammad Nordin Zakaria, 63; Jamil Mohamad Isa, 40; Rahimuddin Md Harun, 39, dan Azhari Shaari, 39.
Mereka diwakili peguam Hashim Ibrahim, manakala timbalan pendakwaraya ialah Datuk Razali Che Ani.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails