"Apa pun, kami bukan mahu menyembunyikan sesuatu. Kami mahu perkara ini disiasat secara telus. Polis sedang menyiasat dan kita patut tunggu sehingga mereka menyiapkan siasatan mereka," janji timbalan perdana menteri.
Mengulas kes kematian mengejut dan luar biasa setiausaha politik exco kerajaan Selangor di bawah pejabat Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, lapor Bernama, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menggesa semua pihak membenarkan polis menjalankan siasatan tanpa sebarang halangan.
"Kami tidak boleh membuat andaian kerana kami masih belum mengenal pasti sebab di sebalik kejadian ini. Tolong jangan menunding jari kepada sesiapa.
"Kami tidak boleh menuduh sesiapa atau membuat dakwaan tidak berasas kerana ia akan menimbulkan masalah tidak sepatutnya kelak. Mari kita tunggu polis menyiasat kejadian ini," beliau dipetik berkata.
Semalam, Teoh Beng Hock, 30, setiausaha politik kepada Ean Yong Hian Wah, exco pembangunan kampung baru Selangor, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam selepas disoal siasat suruhanjaya tersebut.
Mayatnya ditemui sembilan tingkat di bawah dari pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 oleh penjaga bangunan itu pada kira-kira 1.30 tengah hari.
Teoh membantu dalam siasatan SPRM berhubung dakwaan penyalahgunaan peruntukan oleh beberapa ADUN Pakatan Rakyat di negeri berkenaan.
Laporan akhbar mendedahkan Teoh dipanggil memberikan keterangan oleh SPRM pada petang Rabu dan dibenarkan keluar dari ibu pejabat SPRM itu pada kira-kira 3.45 pagi semalam.
"Penyiasatan itu adalah tanggungjawab polis. Mereka perlu menjalankan penyiasatan terperinci. Tiada apa yang perlu ditakutkan.
"Polis boleh menyiasat sesiapa sahaja, termasuk SPRM, ahli politik dan individu. Tidak patut ada sebarang halangan terhadap penyiasatan polis," Muhyiddin dilaporkan berkata.
Beliau menggesa semua pihak supaya tidak beremosi berhubung kejadian itu.
Ditanya mengenai demonstrasi anjuran parti-parti pembangkang khususnya DAP berhubung kejadian itu, katanya, perkara itu tidak perlu kerana polis lebih tahu mengenai situasi itu.
"Ini di bawah bidang kuasa keselamatan. Jika polis kata tidak perlu
menganjurkan demonstrasi seperti itu, dengan itu jangan salahkan mereka jika mereka mengambil tindakan terhadap demonstrasi seumpama itu.
"Kejadian ini mendapat banyak perhatian. Jangan buat tuduhan palsu... biarkan polis siasat.
"Saya pasti polis akan memastikan penyiasatan dilakukan secara terperinci, tiada apa akan disembunyikan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan