Geng Aku

Jumaat, 26 Mac 2010

Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor Tak Lama Lagi


Kematian Ahli Parlimen Hulu Selangor, Allahyarham Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad malam ini membuka laluan kepada satu lagi pilihan raya kecil bagi edisi ke-10 selepas pilihan raya umum 2008.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar bagaimanapun berkata, pihaknya perlu menunggu notis kekosongan daripada Speaker Dewan Rakyat berhubung kekosongan kerusi berkenaan.

"Mengikut prosedurnya kita perlu mendapatkan notis kekosongan daripada Speaker Dewan Rakyat terlebih dahulu.

"Selepas notis dikemukakan, SPR akan bermesyuarat sebelum mengumumkan kekosongan kerusi berkenaan secara rasmi," katanya kepada mStar Online di sini malam ini.

Allahyarham meninggal dunia di kediamannya di Batu 9 1/2, Jalan Cheras, Kajang, akibat barah otak, kira-kira 9.27 malam ini, demikian menurut adiknya Md. Hambali Ahmad.
Zainal Abidin, 71, merupakan bekas Timbalan Menteri Besar Selangor.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan bahawa Allahyarham mengambil cuti sakit.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata pilihan raya kecil akan diadakan kerana kekosongan berkenaan berlaku dalam tempoh tiga tahun dari tarikh pertama kali Dewan Rakyat bersidang.

"Bagi kes kekosongan ini, pilihan raya kecil akan diadakan bagi memilih wakil rakyat baru kerana ia masih berada dalam tempoh tiga tahun selepas Dewan Rakyat bersidang buat pertama kali... iaitu selepas pilihan raya umum yang lalu," katanya.

"Melainkan jika tempohnya melebihi tiga tahun daripada tarikh awal Dewan Rakyat bersidang... pilihan raya kecil tak perlu diadakan sehinggalah Parlimen dibubarkan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails