Geng Aku

Sabtu, 5 Disember 2009

PKR P.Pinang Kecewa Dianaktiri Media Tempatan



Parti Keadilan Rakyat Pulau Pinang melahirkan kekesalan dan tidak berpuas hati terhadap media televisyen tempatan yang dianggap berat sebelah dan hanya memandang remeh usaha kerajaan negeri itu dalam memperkenalkan dan mempromosikan sektor pelancongan kepada umum.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Delima, R. Sanisvara Nethaji, beliau melahirkan kekesalan dan mempersoalkan media tempatan yang tidak merencanakan sebarang promosi mengenai Pulau Pinang walaupun negeri itu antara yang menjadi tumpuan para pelancong.



Meskipun Pulau Pinang mencapai banyak kejayaan dalam sektor pelancongan, namun tiada sebarang promosi dari media tempatan.

Katanya, ini jelas terbukti selepas pilihanraya umum tahun lepas setelah pembangkang berjaya memerintah Pulau Pinang, tiada sebarang promosi yang dilakukan lagi oleh media tempatan seperti TV3, RTM1, RTM2 dan lain-lain.


Sanisvara menggesa Kementerian Penerangan dan Pelancongan mengambil tindakan inisiatif terhadap media tempatan supaya Pulau Pinang tidak dianaktirikan kerana Pelancongan merupakan sumber pendapatan terpenting di negeri itu.



Sementara itu, Adun Batu Lanchang, Law Heng Kiang menyokong kenyataan Sanisvara dimana Pulau Pinang telah mencapai satu tahap yang membanggakan setelah mendapat pengiktirafan UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia pada 7 Julai 2008 dan mencatatkan peningkatan dari 5.1 juta ke 6.3 juta pada tahun sama.

Katanya, kejayaan sektor pelancongan telah menyumbang dua pertiga daripada pendapatan negara iaitu sebanyak RM250 juta ringgit.

Menurutnya lagi, pada Disember tahun lepas majalah ”Travel and Leisure” dari Amerika Syarikat juga telah menyenaraikan Pulau Pinang sebagai salah satu pulau yang terbaik di Rantau Asia dan menerusi undian dari ”The New York Times” pada tahun ini, pembaca telah memilih negeri ini sebagai destinasi kedua di antara 44 tempat mesti dilawati dalam kategori makanan enak.



Tambahnya, lebih membanggakan apabila syarikat televisyen Jerman dengan kerjasama pihak UNESCO datang ke Pulau Pinang pada September lepas untuk pembikinan dokumentari tentang warisan negeri ini.

Hal ini jelas menunjukkan pihak media luar negara berminat dan tertarik terhadap sektor pelancongan Pulau Pinang jika dibandingkan dengan media tempatan.

Persoalan yang menjadi tanda tanya segelintir pihak PKR adalah mengapa media tempatan tidak merencanakan sektor pelancongan tersebut kepada umum sebaliknya media luar negara yang berminat terhadap sektor pelancongan Pulau Pinang dan menjayakan sektor perlancongan ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails