Geng Aku

Ahad, 22 November 2009

Nik Aziz Nafi Husam Mahu Letak Jawatan


Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menafikan Exco kanan Kerajaan Negeri Datuk Husam Musa akan melepaskan jawatan dalam parti dan kerajaan negeri itu.


Mursyidul Am PAS itu juga menolak dakwaan perkembangan terbaru itu sebagai berlaku episod terbaru perpecahan dan kekusutan dalam parti itu.

Beliau menyifatkan tindakan sebuah akhbar harian yang menyiarkan laporan itu hari ini sebagai usaha untuk memecahbelahkan PAS dan melariskan jualan akhbar berkenaan.

"Saya baru baca sebuah akhbar rasa terlalu amat terkejut dengan siaran tajuk Husam letak jawatan, walaupun ada tanda soal," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Laporan itu memetik beberapa sumber sebagai berkata hasrat Husam itu bagaimanapun tidak dipersetujui oleh Nik Abdul Aziz yang sekali gus memberikan Husam cuti lima hari bermula hari ini untuk berehat dan menenangkan fikirannya.



Nik Aziz berkata laporan akhbar berkenaan sama sekali tidak benar dengan memetik sumber termasuk daripada blog tertentu yang kononnya mempunyai maklumat Husam akan melepaskan jawatan berikutan kemelut dalaman Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Nik Abdul Aziz yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan berkata jika benar sekali pun Husam mahu meletakkan jawatan, beliau sama sekali tidak akan membenarkan perkara itu berlaku.

Beliau berkata kerajaan negeri sangat memerlukan khidmat dan buah fikiran Husam kerana sepanjang perkhidmatannya, Husam banyak membuat rundingan dengan kerajaan Pusat termasuk mengenai tanah dengan Felda, Felcra dan terbaru tuntutan royalti petroleum.

"Mengapa orang kita tidak tahu menilai orang yang berguna (seperti Husam)," katanya.

Ketika ditanya sama ada benar Husam pernah menyatakan hasratnya untuk melepaskan jawatan baik dalam parti mahu pun kerajaan, Nik Abdul Aziz berkata: "Tak ada... sayapun tak terfikir dia nak berhenti. (Ini pandai-pandai akhbar) nak bawa berita panas supaya orang beli akhbar".

Nik Abdul Aziz berkata Husam sememangnya ada menemuinya di pejabat dua hari lepas dan hanya memaklumkan bahawa beliau dinasihati oleh doktor agar mendapat rawatan di hospital kerana mengalami masalah sakit tulang belakang.

"Masalah nak berundur tak berundur, langsung tidak timbul baik dalam kepala dia atau saya," katanya.

Beliau berkata tindakan akhbar menyiarkan laporan itu sebenarnya mengguriskan hati orang yang dalam keadaan sakit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails