Geng Aku

Ahad, 22 November 2009

Azza masih belum tersungkur




BEKAS anggota kumpulan Elite yang sentiasa sensasi, siapa lagi kalau bukan Azzarima Zawarii atau Azza,30, yang dilihat seperti sudah tidak popular sejak kebelakangan ini.

Sebelum ini Azza dikatakan menghadapi masalah kesihatan sehingga menyebabkan keadaan badannya menjadi kurus kering selain kehidupannya tidak terurus.

Penderitaan Azza bertambah parah apabila perkahwinannya dengan Mohd. Ehsan Tun Ahmad Zaidi Adruce pada 14 Februari 2001 hanya mampu bertahan setakat tiga tahun sahaja.

Tetapi hari ini Azza bangun semula dengan semangat baru apabila dia bertemu dengan seorang insan yang menjadi pembakar semangat dalam hidupnya.

Percintaan Azza dengan Firhan Yusof, 29, sejak setahun lalu memberi keceriaan dalam hidup wanita ini selepas sekian lama dia merana.

Tapi sayang, walaupun Azza berjaya mengubat kelukaan hati yang parah itu, dia masih tidak mampu bangkit seperti Azza yang dahulu.
Bakat Azza seperti tidak dihargai apabila tiada pengarah atau pihak produksi yang mahu menawarkan apa-apa peluang berlakon untuknya.

Menolak anggapan tersebut, wanita ini berkata dia masih belum jatuh sebaliknya terlalu ramai bakat-bakat baru yang muncul menyebabkan orang diluar sana seolah-olah melupakan siapa itu Azza?



Bukan untuk meninggalkan dunia seni ini tetapi jelas Azza dia sebenarnya menantikan apa juga tawaran yang hendak diberikan.

“Saya tak pernah berkata untuk pencen atau kecewa dalam dunia lakonan tetapi peluang untuk saya masih terhad. Itu yang sedih,” jelasnya.

Ditanya apakah punca perkara itu terjadi, menurut Azza dia kehilangan telefon bimbit membuatkan orang ramai sukar menghubunginya selama ini bagi membolehkan dia merebut apa juga peluang yang ditawarkan.



Kerana perkara itu pengarah sukar mengesan Azza sehingga membuatkan dia bagaikan “hilang pekerjaan.”

Tidak memilih apa juga peluang, hari ini Azza mahu membuktikan bahawa dia bukan sudah tersungkur.

Malah Azza mahu berjaya seperti bintang-bintang lain dan berharap akan ada pelung untuknya pada waktu terdekat.

“Azza boleh berlakon dan mampu menjadi pengacara. Kalau ada peluang itu, berikanlah kepada Azza,” pintanya.

Mengakui kesengsaraan Azza dulu mungkin menjadi penyebab mengapa orang ramai bimbang untuk mengambilnya berlakon tetapi janji wanita ini dia sebenarnya sudah berubah.

Dalam erti kata lain Azza hari ini adalah seorang Azza yang baru.

Bercerita mengenai aktiviti selama menghilang jelas Azza sebelum ini dia terlibat dengan bisnes penjagaan kesihatan milik keluarganya.

Bagaimanapun Azza hanya terlibat sebagai duta bagi mempromosikan sahaja barang berkenaan tetapi tidak lagi meneruskan perniagaan itu kerana minatnya masih menebal dalam bidang seni.

Ditanya sejauhmanakah hubungannya Azza dengan Firhan, sehingga hari ini dia bahagia dengan hubungan itu.

Soal perkahwinan pula masih terlalu awal untuk diperkatakan kerana mereka masing-masing sedang mencari keserasian sebelum menamatkan hubungan itu di jenjang pelamin.

Tidak dapat dinafikan kadang-kala ada juga pergolakan tetapi itu semua adalah asam garam orang yang bercinta.

Harapan Azza hanyalah satu, dia mahu hubungannya itu kekal bahagia buat selama-lamanya kerana selama ini dia sudah puas berendam air mata.



“Azza bahagia dengan Firhan dan kami masih lagi kekal sebagai pasangan kekasih,” katanya.

Tidak menetapkan tempoh menamatkan zaman solo masing-masing, Azza sebenarnya masih perlu bekerja mengumpul wang sebelum membuat keputusan untuk berumahtangga.


Mengakui setiap insan mahukan kehidupan yang lebih baik, atas dasar itulah dia tidak boleh terlalu cepat untuk membuat keputusan berumahtangga.

“Siapa yang tak nak kahwin? Semua orang mahu kearah itu tetapi buat masa ini biarlah Azza berkawan dulu dengan dia kerana kedudukan kewangan pun masih belum stabil untuk berkahwin,” katanya.

Mengisi masa lapang dengan bermain bersama anak angkatnya Marissa yang kini berusia empat tahun, azam wanita ini dia mahu membuktikan suatu hari nanti dia mampu menjadi artis yang berjaya.

Dan harapan Azza ialah kehidupannya selepas ini akan lebih cerah dan menjadi bertambah gemilang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails