Geng Aku

Rabu, 4 November 2009

IC Bezakan Rakyat Sabah Dgn Org Asing.









Parti Maju Sabah (SAPP) bercadang mengeluarkan kad pengenalan khas bagi rakyat negeri ini sebaik saja membentuk kerajaan autonomi selepas memenangi pilihanraya akan datang.
Presiden SAPP Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee berkata, kad pengenalan itu yang dikenali sebagai IC Sabah hanya akan diberikan kepada rakyat Sabah dan Labuan yang memegang MyKad dan bukannya rakyat asing walaupun mereka mempunyai MyKad.

“Pengeluaran IC Sabah bertujuan membezakan rakyat Sabah dan Labuan dengan orang asing disamping menangani masalah pendatang asing tanpa izin dan rakyat asing yang memiliki MyKad dengan cara meragukan,” katanya.

Bekas Ketua Menteri itu berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan 2009 gabungan cawangan Sook, Bingkor dan Liawan di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri selaku Naib Presiden Datuk Frankie Chong, Ahli Majlis Tertinggi merangkap Ketua Jawatankuasa Perhubungan Pusat (CLC) Tungku Suaib Mutalib, Ketua Jawatankuasa Perhubungan Pusat (CLC) Bingkor dan Liawan Richard Lee dan Ketua Jawatankuasa Perhubungan Pusat (CLC) Sook Irene Chan.

Yong berkata, beliau dapati tidak ada sebarang halangan bagi Sabah mengeluarkan kad pengenalan seperti itu bagi rakyat tempatan.

Katanya, banyak kes MyKad palsu dilaporkan dan cadangan mengeluarkan IC Sabah itu adalah salah satu usaha menangani masalah itu serta sindiket pengeluaran kad pengenalan yang juga telah banyak dilaporkan berlaku di negeri ini.

Beliau berkata, IC Sabah dikeluarkan kepada rakyat Sabah dan Labuan di Malaysia supaya pemegang MyKad palsu dan dokumen yang meragui dapat dikenal pasti.

Katanya, IC Sabah juga akan dikeluarkan kepada kanak-kanak yang dilahirkan di luar negeri jika ibu-bapa mereka adalah rakyat Sabah dan Labuan .

Yong berkata, IC Sabah juga bertujuan mengekalkan status mereka yang lahir di luar negeri sebagai rakyat Sabah .
Katanya, pada masa ini rakyat Sabah boleh dikenalpasti melalui nombor -12- yang tertera pada bahagian tengah nombor MyKad masing-masing tetapi nombor itu tidak terdapat pada MyKad rakyat negeri ini yang lahir di luar negeri.

Katanya, rakyat dari Semenanjung dan Sarawak serta luar negara juga layak mendapat IC Sabah jika mereka berstatus pemastautin tetap.

“Tidak ada undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan yang mengatakan Sabah tidak boleh mengeluarkan kad pengenalan diri bagi rakyat tempatan,” katanya.

Beliau berkata, kegagalan Kerajaan Persekutuan mempertahankan hak perlembagaan rakyat Malaysia di Sabah dengan MyKad adalah sebab utama IC Sabah perlu diperkenalkan.

Yong menjelaskan bahawa IC Sabah tidak menggantikan MyKad tetapi memberi status rakyat Sabah kepada rakyat Malaysia di negeri ini dan Labuan . (Sapp.com)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails