Geng Aku

Jumaat, 19 Mac 2010

Ketua Pengarang Kena Gantung Dua Minggu.

Akhbar harian Cina, China Press hari ini menggantung ketua pengarangnya, Teoh Yong Khoon selama dua minggu berikutan keputusannya menyiarkan laporan peletakkan jawatan Tan Sri Musa Hassan sebagai Ketua Polis Negara, Sabtu lalu.
Akhbar itu juga dalam permohonan maaf sebanyak empat perenggan di muka hadapannya hari ini berkata mereka menyesali tindakan berkenaan.

"Laporan yang tidak tepat itu mengakibatkan kesulitan kepada perdana menteri, kementerian dalam negeri dan menterinya, ketua piolis negara serta timbalannya. Perkara itu tidak dijangkakan dan kami amat menyesalinya.

“Justeru, kami ingin memohon maaf kepada mereka yang terbabit,” kata laporan itu.

Semalam, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Ahmad Fuad Abdul Aziz dalam satu kenyataan akhbar berkata pihaknya berpuas hati dengan penjelasan bertulis China Press mengenai isu berkenaan.

Sehubungan itu, menurut Ahmad Fuad, KDN tidak akan mengambil sebarang tindakan kecuali menyerahkan kepada China Press untuk mengambil tindakan dalaman terhadap pengarang yang bertanggung jawab.

Pada laporannya Sabtu lalu, China Press menyiarkan laporan bahawa Musa (kanan) telah mengemukakan surat peletakan jawatannya kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beberapa jam selepas berita itu disiarkan, Musa dan Hishamuddin segera menafikannya.

Bagaimanapun, Hishamuddin selepas perasmian Penggal Ketiga Parlimen Ke-12 oleh Yang di-Pertuan Agong, Isnin lalu mendedahkan bahawa rombakan barisan pimpinan tertinggi pasukan polis akan dilakukan.

Katanya lagi, rombakan berkenaan bukan sahaja akan membabitkan KPN tetapi juga

Musa Hitam: Wang Ihsan Atau Royalti Biar Kerajaan Negeri Uruskan


Bekas timbalan perdana menteri Tun Musa Hitam berkata pembayaran wang royalti atau ihsan seharusnya diserahkan kepada kerajaan negeri untuk diuruskan sebagaimana diperuntukkan mengikut undang-undang, bukannya dikendalikan oleh kerajaan pusat dengan mewujudkan jawatankuasa khas.

Justeru seolah-olah senada dengan pendirian bekas pengerusi dan pengasas Petronas Tengku Razaleigh Hamzah, Musa memberitahu, berdasarkan pengalamannya itu beliau lebih “arif” dalam isu pertikaian wang royalti antara kerajaan negeri Kelantan dan pusat sekarang.

Dalam temu bual dengan Astro Awani hari ini, Musa (gambar) berkata pembayaran wang itu biar apapun istilahnya mesti dibuat kepada kerajaan negeri kerana matlamatnya adalah untuk pembangunan rakyat.

“Sama ada wang ihsan ke royalti, itu tak mustahak. Asalkan mereka menggunakannya untuk pembangunan rakyat.

“Kita harus wujudkan satu sistem di mana kita boleh memantau penggunaan wang itu, walaupun kuasanya diberikan kepada negeri berkenaan,” katanya.

Pandangan ini dibuat ketika soal wang royalti menjadi isu politik hangat buat masa sekarang dengan Tengku Razaleigh, bekas menteri kewangan dan Ketua Umno Gua Musang berulang kali menegaskan Kelantan berhak menerima royalti atau bayaran tunai tetapi bukannya wang ihsan yang ditentukan kerajaan pusat.

Perkara itu ditekankan beliau pada ceramah perdana di Kota Baru akhir Januari lalu.
Tengku Razaleigh akan muncul pada majlis dialog yang diadakan di negeri jiran Terengganu, yang juga hanya pernah dibayar wang ihsan selepas ia jatuh ke tangan PAS pada 1999, malam ini.

Beliau dijadual untuk menyentuh isu itu sekali lagi yang sebelum ini mencetuskan polemik dan rasa tidak puas hati di kalangan pemimpin Umno-BN.

Musa, yang pernah bergandingan dengan Tengku Razaleigh pada pemilihan Umno tahun 1987 melawan kepimpinan Presiden Umno ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad, menyedari pandangannya ini mungkin akan menimbulkan keresahan di kalangan pemimpin Umno.

“Jelas kepada saudara, bila dengar saya cakap ni, saya punya pendapat ‘not mainstream’.
“Ada orang kata boleh jadi lagi dekat dengan Tengku Razaleigh. Jangan salah faham pulak...

Musa dah balik dengan Tengku Razaleigh, tak ada, kita dah tua, ‘don’t worrylah’,” katanya.
Dalam komennya itu Musa juga percaya bahawa Tengku Razaleigh tahu apa yang beliau pertahankan.

“Kalau betullah kata Tengku Razaleigh, saya fikir Tengku Razaleigh arif dalam hal ini, oleh sebab dia dulu dengan Petronas, dia dalam kerajaan,” katanya.

Sebelum ini Tengku Razaleigh mempertahankan hak Kelantan menuntut royalti minyak.

Kerajaan Kelantan pula pada tahun lalu menuntut royalti RM2 bilion hasil operasi cari gali minyak di perairannya daripada kerajaan pusat.

Namun kerajaan pusat mendakwa Kelantan tidak layak menerima royalti berkenaan kerana dua telaga minyak berkenaan terletak di kawasan 150 batu nautika dari perairannya.

Sebaliknya kerajaan pusat melalui perbincangan dengan Petronas memutuskan untuk membayar RM20 juta dalam bentuk wang ihsan kepada Kelantan iaitu lima peratus hasil pengeluaran gas di Blok Medan Bumi Selatan.

Pembayaran itu akan dibuat sebelum akhir bulan ini.

Untuk tujuan itu kerajaan pusat menubuhkan Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin yang juga Timbalan Pengerusi Umno Kelantan.

Mesyuarat pertama jawatankuasa Khamis lalu memutuskan bahawa kumpulan pelajar miskin dan mereka yang ditimpa bencana akan turut dipertimbangkan untuk mendapatkan bantuan daripada dana wang itu.

Ku Li: Umno-BN Terjejas Jika Lawan Arus Dalam Isu Royalty .

Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah tidak menolak kemungkinan kedudukan Umno-BN akan terjejas pada pilihan raya umum ke-13 jika rakyat Kelantan terus dinafikan hak dapatkan royalti.

“Susahlah sikit kalau tidak bersama dengan apa yang menjadi harapan rakyat. Orang panggil menentang arus.

“Apapun kena tengok pada pilihan raya nanti, sebab saya bukan tok nujum,” kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat Parlimen Pasir Puteh di Dewan Maahad Saniah dekat sini, petang tadi.

Hadir sama pada majlis tersebut Ahli Parlimen Pasir Puteh Mohamed Husein.

Tengku Razaleigh dalam perjalanan ke Kuala Terengganu bagi menyampaikan ceramah berkaitan isu royalti anjuran NGO malam ini.

Hampir dua bulan lalu Tengku Razaleigh menyampaikan ceramah yang sama di Kota Bahru dengan menegaskan Kelantan berhak menerima wang royalti lima peratus.

Dalam pertemuan singkat itu beliau sekali lagi mempersoalkan kredibiliti kerajaan Umno yang terus mempertikaikan hak Kelantan dalam isu royalti dengan menganggap sebagai berfikiran sempit.

“Saya rasa sempit sangat pemikiran kita, kalau Umno pun kenapa tak mahu bagi kepada rakyat Kelantan? Apa kerana PAS menang, tak mahu bagi?

“Kalau begitu silap, minyak ini hak rakyat seluruhnya. Soal politik soal lain. Ini soal kehidupan, soal kemajuan rakyat bersama.

“Masalah orang (rakyat) hendak kepada Umno atau PAS itu hak dia (rakyat) masing-masing.

“Duk bercakap 1 Malaysia… 1 Malaysia… tapi macam mana 1 Malaysia kalau sebelah sini ‘rebeh’ (tidak diberi keadilan),” katanya.

Menjawab usaha NGO yang bertindak akan menyerahkan memorandum bersabit isu tuntutan royalti minyak kepada Yang di-Pertuan Agong Sabtu ini, Tengku Razaleigh menyifatkan ia satu tindakan yang baik.

“Baguslah kalau hendak bawa memorandum kepada Agong supaya Agong lebih maklum.

“Tambahan dulu rakyat Terengganu dapat royalti tapi dinafikan selepas ia diperintah PAS,” katanya.

Semalam Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) dan Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) mengumumkan dua memorandum melibatkan Kelantan dan Terengganu berkaitan tuntutan royalti akan diserah kepada Yang di-Pertuan Agong sempena keberangkatan baginda ke Terengganu Sabtu ini.

Bulan ini genap 10 tahun Terengganu dinafikan hak royalti oleh kerajaan pusat.

Zahrain Minta Datuk Seri Dari 'Pemimpin Cauvanis Dan Komunis'


Kelancangan melulu Datuk Seri Zahrain Hashim terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang Dewan Rakyat, semalam bukan satu yang menghairankan kerana ia datangnya dari seseorang yang hipokrit dan gila pangkat.

Malah, Ahli Parlimen Bayan Baru itu sanggup membelakangi keputusan mesyuarat parti dan secara diam-diam menulis surat kepada Lim Guan Eng bagi memperoleh gelaran Datuk Seri walaupun kemudian melabelkan Ketua Menteri Pulau Pinang itu sebagai cauvinis  dan komunis,

Bercakap pada sidang media di lobi Parlimen, Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasuition  mendedahkan Zahrain pernah mempengerusikan mesyuarat di Pulau Pinang yang dihadiri semua wakil rakyat negeri itu dan mengambil ketetapan  untuk tidak meminta atau menerima apa- apa gelaran.

Namun dalam diam, bekas Pengerusi Perhubungan Negeri PKR Pulau Pinang itu menulis surat kepada Lim Guan Eng meminta gelaran 'Datuk Seri' biarpun kini mengecam Ketua Menteri Pulau Pinang itu sebagai komunis.

"Semasa Zahrain mempengerusikan mesyuarat di Pulau Pinang, mesyuarat memutuskan semua wakil rakyat Pulau Pinang tidak akan menerima apa-apa gelaran Datuk walaupun ditawarkan.

"Apa yang dia (Zahrain) buat selepas itu? Dia menulis pada Ketua Menteri meminta gelaran tersebut," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Setiausaha Agung PKR itu melabel Zahrain sebagai seorang yang hipokrit dan kini berperanan sebagai tentera baru Umno dan mengibaratkan kecaman Zahrain sebagai 'menepuk air di dulang, akhirnya terpercik ke muka sendiri'.

"Ini karektor dia (Zahrain). Yang menariknya Bayan Baru menulis kepada pemimpin yang dia sendiri label sebagai komunis dan cauvinis semata-mata untuk meminta gelaran," katanya.

Khamis, 18 Mac 2010

PKR Balas Salakan 'Anjing Penyerang' BN.

Setiauasaha agung PKR Saifuddin Nasution (bawah) hari ini melabelkan empat bekas ahlinya yang kini menjadi ahli parlimen bebas, khususnya Datuk Seri Mohd Zahrain Hashim (Bayan Baru) sebagai 'anjing penyerang' Barisan Nasional.

"Mereka digunakan sebagai 'anjing penyerang', 'askar upahan',” kata Saifuddin ketika sidang media di lobi parlimen.

Katanya, MP bebas itu kini adalah senjata terbaru BN untuk menyerang Pakatan Rakyat kerana terlalu sedikit MP Bn yang mampu berbuat demikian.

Semalam, ucapan sulung Zahrain selaku wakil rakyat Bebas yang mendedahkan punca beliau meninggalkan PKR, menyebabkan suasana persidangan Dewan Rakyat bertukar kecoh.

Malah kurang lima minit selepas bekas pengerusi PKR Pulau Pinang itu berucap mulai jam 5.05 petang semalam, ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak keluar Dewan selepas Zahrain (bawah) mengaitkan Anwar dengan kegagalan pakatan pembangkang untuk mengambil alih kerajaan Persekutuan melalui perancangan "16 September".'Pemimpin Umno hidangkan arak'

Bagaimanapun menurut Saifuddin, fenomena itu hanya halangan kecil dan tidak akan mengalihkan perhatian Pakatan daripada musuh sebenar mereka - Umno dan BN.

“BN adalah musuh politik utama kita. Kita berdepan dengan pembunuh Altantuya, kita menghadapi mereka yang merompak kekayaan rakyat dan kita berdepan juga dengan kerajaan yang mengamalkan rasuah,” katanya.

Saifuddin juga mendakwa dia didatangi oleh seorang anggota kanan MP Umno yang juga seorang menteri kabinet dan diberi amaran agar menghentikan membuat pendedahan yang memalukan Umno dan BN.

Menteri kanan itu dikatakan tidak senang dengan kenyataan Saifuddin di Dewan Rakyat semalam bahawa ada pemimpin Umno yang menghidangkan minuman keras pada ulang tahun perkahwinannya.

Saifuddin juga memberitahu Dewan Rakyat dalam satu lawatan yang dianjurkan oleh Umno ke amerika syarikat, seorang pemimpin parti itu tertidur di kasino dan gagal mengikuti rombongan berkenaan.

Orang Asli Bukan Bumiputera.



Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim kesal kerana Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz gagal memahami bahawa Perlembagaan Persekutuan tidak meletakkan Orang Asli sebagai kaum bumiputera.
Katanya, menurut Perkara 153 and 161 Perlembagaan Persekutuan, Orang Asli tidak diberi hak keistimewaan sebagai Bumiputera.

Zaid (kanan) berkata Orang Asli tidak dikategorikan sebagai bumiputera, kerana Perlembagaan Persekutuan hanya memperuntukkan orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak sahaja yang dianggap sebagai bumiputera.

“Hanya 'Malays and the Natives of Sabah and Sarawak' dianggap sebagai Bumiputera. Inilah nasib Orang Asal di negara ini,” katanya.

“Sepatutnya merekalah orang yang paling layak sekali kerana bukan sahaja sebagai Orang Asal dan anak putera bumi bertuah ini tetapi juga kerana mereka paling miskin.
“Menteri sendiri tidak mengetahui status mereka, masakan mereka akan mendapat pertolongan dan pembelaan yang patut dan sewajarnya,” katanya dalam tulisan di blognya.

Kedangkalan pemimpin Umno itu hanya disedari ketika MP Hulu Rajang, Billy Abit Joo pada sidang parlimen semalam bertanyakan sama ada pengiktirafan status bumiputera perlu diperjelaskan dan kriteria Bumiputera diseragamkan.

Nazri dilaporkan terus menjawab “tidak perlu”.

Beliau sebaliknya mendakwa status bumiputera telahpun diseleraskan dan digolongkan dalam tiga kategori seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaaan Persekutuan, iaitu Melayu, anak-anak negeri Sabah dan Sarawak serta Orang Asli.
Orang Asli naik minyak di Putrajaya

Zaid mengulas tindakan lebih 2,000 Orang Asli yang berarak ke pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, semalam untuk menyerahkan memorandum bantahan mereka.
Memorandun itu mengandungi hal-hal penganiayaan di tangan kerajaan Barisan Nasional selama lebih 50 tahun, tentang tanah nenek-moyang mereka yang dirampas dan diambil untuk pembangunan projek BN.

Zaid juga melahirkan rasa bangga dengan kebangkitan dan keberanian Orang Asli untuk menentang kezaliman Jabatan Hal-Ehwal Orang Asli yang menindas kaum mereka.

“Walaupun polis menggunakan kuasa mereka untuk menahan perarakan itu ke pejabat Najib Razak, sekurang-kurangnya Orang Asal tanahair kita sudah berani bangkit. Mereka sudah mula “naik minyak” kerana masalah mereka selama ini dipandang ringan oleh kerajaan BN,” katanya..

Bagi Zaid, masa depan Orang Asli di bawah BN tidaklah cerah kerana jawapan Nazari semalam hanya membuktikan kerajaan BN tidak tahu sangat atau tidak mengambil berat perihal nasib Orang Asli.

Sultan Selangor Tidak Rasmi AGM Perkasa 27 Mac.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak akan merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan pertama Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) pimpinan Ahli Parlimen Bebas Datuk Ibrahim Ali, 27 Mac ini.

Laporan media sebelum ini menyebut baginda akan merasmikan pertemuan tahunan itu.
Bagaimanapun Presiden Perkasa berkata mesyuarat tersebut akan diteruskan sebagaimana telah dirancang.

Dengan ditemani Timbalan Setiausaha Agungnya Daud Ibrahim, Ibrahim memberitahu pertemuan sulung mereka akan tetap diadakan pada tarikh itu di Dewan Tun Razak 2, Pusat Dagangan Dunia Putra.

“AGM Perkasa akan diteruskan sebagaimana dirancang pada 27 Mac ini... kira-kira 10,000 ahli telah menyatakan persetujuan setakat ini. Kemungkinan lebih ramai lagi (akan hadir) sebagai pemerhati dan ramai lagi berminat untuk hadir,” kata Ibrahim di bangunan Parlimen hari ini.

“Tuanku Sultan Selangor telah memutuskan untuk tidak hadir kerana beberapa sebab... saya dimaklumkan pejabat Sultan Selangor akan mengeluarkan kenyataan hari ini, saya tiada komen apa-apa mengenai kenyataan itu,” katanya.

Bagaimanapun Ibrahim berkata beliau sedang mengkaji untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar The Sun yang semalam melaporkan bahawa Sultan Selangor tidak akan hadir merasmikan mesyuarat tahunan Perkasa.

“Saya telah melantik seorang peguam untuk mengambil tindakan perundangan ke atas The Sun.


“Saya tidak tahu di mana mereka mendapat maklumat. Laporan The Sun berniat jahat, mereka ada agenda tersembunyi,” kata beliau.

Kata Ibrahim, laporan itu mendalwa Sultan Selangor telah “menasihatkan” beliau agar tidak begitu lantang dalam pendiriannya yang dilihat sebagai “ultra-Melayu”.

Ibrahim menafikan beliau memperlihatkan suara seakan-akan “ultra-Melayu”.

Semalam Perkasa mengecam laporan The Sun yang disifatkan mempunyai niat jahat apabila cuba memburuk-burukkan pertubuhan itu dengan menggunakan nama Sultan Selangor.

Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hasan Syed Ali berkata, laporan itu yang seolah-olah menunjukkan bahawa Sultan Selangor tidak berkenan untuk merasmikan mesyuarat agung pertama Perkasa adalah tidak benar.

Menurutnya, Perkasa telah menerima surat daripada Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohd. Munir Majid pada 1 Feb lalu berhubung perkenan baginda untuk berangkat merasmikan mesyuarat agung Perkasa.


Laporan itu juga menyebut bahawa Sultan Selangor telah menyatakan rasa bimbang baginda mengenai perjuangan Perkasa Ibrahim pada satu pertemuan kelmarin.

The Sun melalui satu sumber dalam laporan itu turut mendakwa Sultan Selangor telah menasihati Ibrahim supaya mengurangkan sikap ultranya itu.

Syed Hasan berkata, Perkasa sedang menyusun rapi semua persiapan menyambut keberangkatan Sultan Selangor ke majlis perasmian mesyuarat agung pertubuhan itu.

“Ini termasuk mengedarkan kad jemputan kepada para tetamu kita nanti. Seramai 8,000 tetamu dijangka hadir,” katanya.

MB Perak Tidak Boleh Hadir Siding DUN 30 Mac Ini, Kata Sivakumar.

Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar hari ini berkata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir tidak boleh menghadiri sidang DUN pada 30 Mac ini kerana tempoh penggantungannya  daripada menghadiri mesyuarat masih belum berakhir.

“Dr Zambry telah digantung selama 18 bulan manakala enam anggota exco selama 12 bulan...tempoh penggantungan enam anggota exco telah berakhir bulan ini,” katanya pada sidang akhbar di pejabat DAP Perak di sini.

Sivakumar yang juga Adun Tronoh berkata penggantungan Dr Zambry yang berkuatkuasa sejak 3 Mac 2009 masih berjalan tetapi enam lagi exco yang digantung selama 12 bulan itu sudah tamat tempoh penggantungan dan akan dibenarkan hadir.

Sivakumar mendakwa beliau masih Speaker yang sah dan telah menghantar notis menghadiri Sidang DUN pada 30 Mac ini kepada semua Adun Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang kecuali Dr Zambry dan tiga Adun Bebas.


“Tiga katak (Adun Bebas) tidak dipanggil menghadiri Sidang DUN kali ini kerana saya sudah menerima surat peletakan jawatan mereka pada Februari 2009...mahkamah masih belum memutuskan sama ada mereka masih wakil rakyat yang sah kerana semakan kehakiman yang difailkan oleh saya terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya masih belum dibicara,” katanya.

Beliau berkata penggantungan Dr Zambry dan enam anggota exco oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN telah disahkan pada 3 Mac oleh Sidang DUN yang diadakan di bawah pokok berhampiran Bangunan Perak Darul Ridzuan.


Mengenai kedudukan Speaker Datuk R.Ganesan, Sivakumar mengulangi bahawa pelantikan Ganesan adalah tidak sah kerana tidak dibuat mengikut peraturan.

Katanya, usul pelucutan Speaker dan usul pelantikan Speaker baru telah beliau tolak iaitu sehari sebelum Sidang DUN 7 Mei 2009, jadi mengikut peraturan sidang, usul berkenaan tidak berbangkit.

Katanya, pelantikan Ganesan juga dibuat sebelum titah perasmian oleh Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah dan itu bermakna peraturan mesyuarat telah dilanggar kerana perkara pertama dalam sidang perasmian ialah titah perasmian dan agenda lain adalah selepasnya.

Sivakumar berkata beliau menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari lalu yang mengatakan Dr Zambry sebagai Menteri Besar yang sah atau ketua eksekutif tetapi jawatan beliau sebagai Ketua Legislatif tidak berubah dan oleh itu akan terus menjalankan tugas sebagai Speaker.

BN mempunyai 28 Adun serta tiga Adun bebas yang menyokongnya manakala PR mempunyai 28 Adun dalam DUN Perak. — Bernama

Hari Keputeraan Sultan Johor, Hari Hol Almarhum Dipinda.


Sambutan ulang tahun hari keputeraan Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar telah dipinda daripada 8 April kepada 22 November.
 
Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor dalam satu kenyataan berkata Hari Hol Almarhum turut dipinda daripada 19 Jun 2010 kepada 11 Januari 2011.

Sultan Ibrahim yang dimasyhurkan sebagai Sultan Johor kelima pada 23 Jan lepas, iaitu sehari selepas kemangkatan ayahanda baginda, telah berkenan terhadap pindaan tarikh-tarikh itu, kata kenyataan tersebut. - BERNAMA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails