Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak akan merasmikan  Mesyuarat Agung Tahunan pertama Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia  (Perkasa) pimpinan Ahli Parlimen Bebas Datuk Ibrahim Ali, 27 Mac ini.
Laporan media sebelum ini menyebut baginda akan merasmikan pertemuan  tahunan itu.
Bagaimanapun Presiden Perkasa berkata mesyuarat tersebut akan  diteruskan sebagaimana telah dirancang.
Dengan ditemani Timbalan Setiausaha Agungnya Daud Ibrahim, Ibrahim  memberitahu pertemuan sulung mereka akan tetap diadakan pada tarikh itu  di Dewan Tun Razak 2, Pusat Dagangan Dunia Putra.
“AGM Perkasa akan diteruskan sebagaimana dirancang pada 27 Mac ini...  kira-kira 10,000 ahli telah menyatakan persetujuan setakat ini.  Kemungkinan lebih ramai lagi (akan hadir) sebagai pemerhati dan ramai  lagi berminat untuk hadir,” kata Ibrahim di bangunan Parlimen hari ini.
“Tuanku Sultan Selangor telah memutuskan untuk tidak hadir kerana  beberapa sebab... saya dimaklumkan pejabat Sultan Selangor akan  mengeluarkan kenyataan hari ini, saya tiada komen apa-apa mengenai  kenyataan itu,” katanya.
Bagaimanapun Ibrahim berkata beliau sedang mengkaji untuk mengambil  tindakan undang-undang terhadap akhbar The Sun yang semalam melaporkan  bahawa Sultan Selangor tidak akan hadir merasmikan mesyuarat tahunan  Perkasa.
“Saya telah melantik seorang peguam untuk mengambil tindakan  perundangan ke atas The Sun.
“Saya tidak tahu di mana mereka mendapat maklumat. Laporan The Sun  berniat jahat, mereka ada agenda tersembunyi,” kata beliau.
Kata Ibrahim, laporan itu mendalwa Sultan Selangor telah  “menasihatkan” beliau agar tidak begitu lantang dalam pendiriannya yang  dilihat sebagai “ultra-Melayu”.
Ibrahim menafikan beliau memperlihatkan suara seakan-akan  “ultra-Melayu”.
Semalam Perkasa mengecam laporan The Sun yang disifatkan mempunyai  niat jahat apabila cuba memburuk-burukkan pertubuhan itu dengan  menggunakan nama Sultan Selangor.
Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hasan Syed Ali berkata, laporan itu  yang seolah-olah menunjukkan bahawa Sultan Selangor tidak berkenan untuk  merasmikan mesyuarat agung pertama Perkasa adalah tidak benar.
Menurutnya, Perkasa telah menerima surat daripada Setiausaha Sulit  Sultan Selangor, Datuk Mohd. Munir Majid pada 1 Feb lalu berhubung  perkenan baginda untuk berangkat merasmikan mesyuarat agung Perkasa.
Laporan itu juga menyebut bahawa Sultan Selangor telah menyatakan rasa bimbang baginda mengenai perjuangan Perkasa Ibrahim pada satu pertemuan kelmarin.
Laporan itu juga menyebut bahawa Sultan Selangor telah menyatakan rasa bimbang baginda mengenai perjuangan Perkasa Ibrahim pada satu pertemuan kelmarin.
The Sun melalui satu sumber dalam laporan itu turut mendakwa Sultan  Selangor telah menasihati Ibrahim supaya mengurangkan sikap ultranya  itu.
Syed Hasan berkata, Perkasa sedang menyusun rapi semua persiapan  menyambut keberangkatan Sultan Selangor ke majlis perasmian mesyuarat  agung pertubuhan itu.
“Ini termasuk mengedarkan kad jemputan kepada para tetamu kita nanti.  Seramai 8,000 tetamu dijangka hadir,” katanya.
 


 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan