Geng Aku

Rabu, 10 Mac 2010

Top 12 Pelajar AF8.

  

Seramai 12 orang terdiri dari enam perempuan dan enam lelaki telah diumumkan sebagai pelajar Program realiti TV popular Akademi Fantasia bagi musim kelapan (AF8) semalam.

Ujibakat yang dijalankan pada Januari lalu telah memilih enam orang pelajar dari Malaysia 
Timur iaitu empat pelajar perempuan daripada negeri Sabah iaitu Nadiawati Ainul Basir, 23, Dayang Nor Anum Arjuna Aharun, 19, Erma Suhaimi, 21 dan Siti Adira Suhaimi, 19, manakala Zafarina Jamhari, 28, dan Muhd Shahril Firdaus El, 22 berasal dari Sarawak.

Pemilihan lebih ramai pelajar dari negeri Borneo telah menimbulkan persoalan terhadap pihak Astro seperti ingin meraih undi daripada negeri yang dikatakan masih taksub dengan program tersebut.

Bagaimanapun Pengetua AF8, Norman Abdul Halim memjelaskan bahawa pemilihan adalah berdasarkan kualiti merit bukan berdasarkan kuota atau meraih undi.


"Kita tidak memilih ikut kouta dengan menetapkan beberapa orang di sebuah negeri tetapi kita lebih mengikut kepada merit iaitu kualiti yang mereka ada sebagai seorang penghibur.
"Saya lihat penyartaan peserta daripada Sabah Sarawak lebih menonjol daripada Semenanjung bukan disebabkan perkara lain," ujarnya.

Selain itu enam orang pelajar yang terpilih dari Semenanjung ialah Nadia Emilia Roselan, 21, Muhammed Shahril Mohd Saleh Hussein, 26, Muhammad Alif Kadim, 18, Ahmad Shahir Zawawi atau Shahir, 21, Emirza Awan Zulazrin Chew, 20 dan Muhd Firdaus Maulana Mohamed atau Mulana, 22.

Dalam pada itu, apa yang menarik ialah dua pelajar AF8 musim ini terdiri daripada dua adik-beradik perempuan iaitu Ema dan Adira yang berasal dari Sabah.

Menurut Norman pemilihan kedua-dua mereka adalah berdasarkan kualiti dan bakat masing-masing.

"Kami memilih adik beradik ini disebabkan kekuatan vokal masing-masing dan aura mereka yang tersendiri dan mereka datang ujibakat di Kuala Lumpur bukan di Sabah," ujarnya yang menjanjikan kelainan pada AF8 kali ini.

Menurutnya lagi, pelajar-pelajar akan melalui proses pembelajaran melalui pelan jangka panjang yang telah dirancangkan.

"Saya tidak mahu mereka keluar dari akademi tanpa mengutip sebarang nilai. Paling kurang pun enam orang saya janjikan boleh pergi jauh dalam industri ini," katanya.

Perjuangan 12 orang pelajar ini akan dimulakan dengan episod pembukaan Tirai AF Sabtu ini pada jam 9 malam di Astro Ria bersama Sarimah dan Jimmy selaku hos. Manakala kehidupan seharian mereka dalam diari boleh ditonton mulai 15 Mac, pada jam 7.30 malam bersama Jimmy Shanley.

Selasa, 9 Mac 2010

2 Tahun PR Memerintah, Umno Masih 'Gila Talak'



Biarpun dua tahun pakatan rakyat memerintah Pulau Pinang, Umno dan Barisan Nasional (BN) masih dilihat 'gila talak' dan sukar menerima hakikat mereka kini bergelar pembangkang di negeri itu.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, sikap itu jelas dapat dilihat apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Umno dan BN masih enggan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menjayakan program untuk kebaikan rakyat negeri itu.

"Kerajaan Negeri boleh bekerjasama dengan mana-mana Adun pembangkang untuk mengadakan program kemasyarakatan tetapi jelas, mereka angkuh. 

"Untuk adakan juga kita terpaksa menyalurkan melalui agensi lain, " ujar Lim ketika berceramah di Pusat Pendidikan Islam Padang Menora, Tasek Gelugor sempena Ulangtahun Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

Tegas Lim, mereka bukan sahaja enggan memberikan kerjasama, malah menyerang pula kerajaan negeri dengan isu perkauman dan agama seperti anti Melayu, diktator dan pelampau Cina.

Serangan sedemikian jelas Lim kerana kemarahan segelintir kepimpinan Umno dan BN ekoran syarikat kroni mereka terlepas peluang mendapatkan projek semenjak kerajaan negeri memperkenalkan sistem tender terbuka.

"Tengok kes gerai mereka sanggup mengheret Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) bersama bersekongkol menyerang kita. 

"Sepatutnya kita sama-sama membina keutuhan kerana Kerajaan Negeri bukan anti Melayu-Islam, " tegasnya.

Dalam ceramah itu juga, Lim mengumumkan kerajaan negeri akan memberikan RM100 setahun kepada warga emas bagi menghargai mereka dan berusaha membasmi miskin tegar tidak kira bangsa, agama dan latar belakang politik.

Pemberian itu akan bermula penghujung Mac ini kepada warga emas berdaftar.

Turut berceramah malam tadi ialah Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1, Dr Mansor Othman dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu. 

Najib Tolak P'Raya Peringkat PBT.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menolak tuntutan dua kerajaan negeri Pakatan Rakyat untuk mengadakan pilihan raya di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, pilihan raya PBT tidak perlu diadakan kerana ia hanya menyebabkan wujudnya politiking.

6 Mac lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata beliau telah mengutus surat kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf meminta mereka menguruskan perjalanan pilihan raya kerajaan tempatan.

Pilihan raya itu membabitkan dua majlis tempatan - Majlis Tempatan Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Tempatan Seberang Perai (MPSP)

Selang sehari kemudian, kerajaan Selangor pula mengikuti jejak langkah Pulau Pinang.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim beliau juga akan mengutus surat kepada SPR bagi mengendalikan pilihan raya tempatan negeri itu. 

Pilihan raya kerajaan tempatan ditiadakan lebih 40 tahun lalu berikutan pengenalan Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang memansuhkannya.

Ia digantung berikutan perisytiharan darurat pada 3 Sep 1964 dan sehingga hari ini belum dipulihkan.

Desakan agar pilihan raya PBT diadakan semula semakin mendapat sokongan sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana orang ramai tidak berpuas hati dengan dakwaan pentadbiran serta pengurusan kewangannya yang lemah.

Sementara itu, ahli dewan undangan negeri, Seri Setia,Nik Nazmi Nik Ahmad menggesa Najib supaya tidak menjadikan piliha raya PBT itu satu isu besar.

Katanya,terlalu awal bagi Najib membuat komen sedemikian sedangkan SPR masih belum membuat keputusannya.

"Jelas, Umno terperangkap pada masa silam," katanya ketika dihubungi.

Sambil menekankan bahawa "ketelusan" dan karenah birokrasi yang minimum mampu membantu urus tadbir yang baik, tambahnya, pilihan raya PBT diamalkan di negara-negara di seluruh dunia yang demokrasinya matang.

Adun, Jawi, Tan Bee Huat juga bersependat dengan Nik Nazmi.

Menurutnya, ahli majlis yang dilantik oleh rakyat akan memastikan mereka melaksanakan tanggung jawab dengan baik.

Beliau juga menggesa Perdana Menteri supaya lebih berfikiran terbuka dan mengingatkan beliau bahawa mereka yang dilantik itu sepatutnya berkhidmat kepada rakyat dan bukannya ahli politik.

GERAK Cadang Ahli Parlimen Lompat Parti Hilang Kelayakan, Jawatan.


Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi (GERAK) hari ini mencadangkan Ahli  Parlimen yang melompat parti, hilang kelayakan dan jawatan secara automatik sebagaimana amalan Parlimen India.

Badan Bukan Kerajaan (NGO) itu juga menggesa  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan sama ada tindakan melompat parti itu didorong gejala rasuah atau suapan politik bernilai jutaan ringgit.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Ahli Lembaga Pengarah GERAK, mereka melihat gejala lompat parti sebagai mengkhianati dan menodai kepercayaan pengundi terhadap amalan demokrasi berparlimen di Malaysia.



GERAK juga menggesa SPRM memantau gejala lompat parti dan mengambil tindakan segera jika ada bukti, selain meminta mana-mana pihak yang memiliki maklumat mengenai amalan rasuah menyerahkannya kepada pihak berkuasa.

GERAK juga menyeru supaya Ahli Parlimen di Malaysia supaya lebih berintegriti dan amanah terhadap tanggungjawab memperjuangkan nasib rakyat dan negara.


Kebelakangan ini, beberapa pemimpin bermasalah dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) belot dan melompat parti sama ada mengaku sebagai wakil rakyat bebas atau menyertai Umno.

Antara mereka ialah Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim; Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng dan Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Samsuri.

Isnin, 8 Mac 2010

Anwar Rela Tak Jadi Ketua Pembangkang.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jika perlu beliau sanggup melepaskan jawatan ketua pembangkang kepada DAP yang kini mendominasi jumlah kerusi Pakatan Rakyat di parlimen.

“Oleh kerana jumlah kerusi PKR sekarang kurang, saya pelawa (tokoh popular DAP) Lim Kit Siang yang lebih banyak pengalaman. Saya tidak akan pertahankan.

“(Bergurau) Saya lebih pengalaman sebagai menteri. Tetapi Lim awal-awal lagi berkata, perkara itu bukan isu,” katanya.

Setelah kehilangan empat ahli parlimen - 3 keluar parti dan 1 dipecat - parti itu kini hanya memiliki 26 kerusi berbanding DAP sebanyak 28. PAS pula mempunya 23 wakil dalam Dewan Rakyat.

Pada lazimnya, pembangkang yang terkuat dalam parlimen akan melantik seorang wakil mereka sebagai ketua pembangkang.

Ketika menyampaikan ucapan perdana sempena Konvensyen Pakatan Rakyat Selangor di Shah Alam hari ini, Anwar juga berkata, usaha Umno yang mahu mengambil kesempatan atas keadaan tersebut tidak akan berjaya.

“Umno pening macam mana hendak lagakan ketiga-tiga parti ini. Mereka tidak tidur. (Kalau tidur dan) mimpi pun, (mimpi) macam mana hendak gaduhkan kita,” katanya disambut gelak-ketawa para perserta.

Sementara itu, Lim (bawah) yang juga ahli parlimen Ipoh Timur yang berucap sebelum itu turut menyatakan pendirian yang sama.

“DAP komited pada satu matlamat, (iaitu) menuju ke Putrajaya. Anwar akan terus menjadi ketua pembangkang sehinggalah beliau menjadi perdana menteri (pada suatu hari nanti),” katanya.

PKR, DAP dan PAS Selangor hari ini menganjurkan konvensyen pertama mereka dekat bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri bagi mengukuhkan persefahaman antara mereka.

Konvensyen bertemakan “Bermuafakat Menjunjung Amanah Rakyat” itu berjaya menghimpunkan kira-kira 500 peserta daripada ketiga-tiga anggota parti masing-masing di seluruh Selangor.

Berdasarkan ucapan-ucapan pemimpinnya, konvensyen tersebut dilihat cuba mentententeramkan penyokong Pakatan Rakyat supaya tidak bimbang dan panik dengan fenomena keluar parti seorang demi seorang yang melanda wakil rakyat mereka.

S'gor Ikut Pulau Pinang Adakan P'Raya Tempatan

Kerajaan Selangor akan mengikuti jejak langkah Pulau Pinang bagi memulakan semula pilihan raya kerajaan tempatan di negeri itu, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Kita akan bersama-sama kerajaan Pulau Pinang untuk menulis surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya memberi kita penerangan, bagaimana sokongannya, jika kita ingin menjalankan pilihan raya tempatan,” katanya.

Abdul Khalid ditanya sama ada kerajaan negeri akan mengikut langkah Pulau Pinang yang mengumumkan bahawa pilihan raya kerajaan tempatan akan diadakan semula di negeri itu.

Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dilaporkan berkata, pilihan raya membabitkan Majlis Tempatan Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Tempatan Seberang Perai (MPSP).

Lim dilaporkan berkata, pihaknya juga menghantar surat kepada SPR pada 4 Mac lalu meminta pihak tersebut menguruskan perjalanan pilihan raya berkenaan.

Abdul Khalid juga berkata, pihaknya telah membuat kajian dan penelitian berhubung pelaksanaan pilihan raya tersebut.

“Tidak guna kita jadi satu demokrasi yang lebih merugikan rakyat. Oleh itu, kita akan lakukan (pilihan raya tempatan),” kata Abdul Khalid.

Bagaimanapun, tambahnya, masih banyak perkara yang belum jelas berhubung perkara itu, termasuk peruntukan undang-undang berhubung pelaksanaannya.

"Kita mahu jelaskan dulu," katanya dalam sidang media selepas berucap di konvensyen Pakatan Rakyat Selangor di di Shah Alam hari ini
“Berjuta-juta ringgit habis, berjam-jam kempen habis dan rakyat akan rasakan mereka tertipu. Oleh itu, kita akan buat dengan teratur,” katanya.

Sebelum itu, dalam ucapannya, beliau menggamatkan dewan apabila menyindir Wanita Umno dengan menyifatkan mereka “memakai selendang merah yang mengghairahkan”.
Katanya, pemimpin Umno sibuk membahagikan tanah Selangor sesama sendiri ketika memerintah negeri itu sebelum ini, sibuk berkunjung ke luar negara, memperagakan barang berjenama, sibuk dengan gelang emas yang banyak dan “pertandingan buat (dandan) rambut,”.

“Tetapi kita tidak mahu buat begitu. Di hati kecil kita (ada) perjuangan,” katanya disambut tepukan gemuruh kira-kira 500 peserta.

Pakatan menganjurkan konvensyen hari ini bagi memantapkan persefahaman sesama parti-parti yang bergabung PKR, PAS dan DAP di negeri itu.

Polis Buat Taik Lagi...



  
Satu kekecohan berlaku sebentar tadi apabila polis cuba menyuraikan perhimpunan sambutan ulang tahun kedua, Pakatan Rakyat di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Lebih seribu penyokong yang menghadiri upacara berkenaan berang dan melaungkan slogan 'reformasi' sambil bertakbir.

Beberapa penyokong juga mencerca polis yang cuba mengagalkan ceramah yang sedang mereka ikuti.

Antara pemimpin Pakatan yang hadir ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, dan naib presiden PAS, Mahfuz Omar.
Turut dijadualkan berucap pada malam ini ialah Ketua Umum, PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lebih 20 anggota polis bersama Unit Simpanan Persekutuan (FRU) tiba kira-kira jam 9.50 malam dan terus menyerbu pentas ceramah ketika naib presiden PKR, Azmin Ali sedang berucap.
Apabila melihat kehadiran polis, Azmin tidak membuang masa dan terus 'menyapa' mereka.

"Tempat yang kita kumpul malam ini dimiliki oleh kerajaan Selangor, bukannya Umno ataupun (Datin Seri) Rosmah Mansor. Ini tanah persendirian, pemiliknya adalah MB (Tan Sri) Khalid Ibrahim.

"Kita kumpul sini dengan aman, Umno jangan takut (kepada) rakyat, polis marilah berkawan dengan rakyat," katanya.

Ceramahnya kemudian ditangguhkan ketika jawatankuasa "Majlis Ulangtahun Pakatan Rakyat' berbincang dengan pihak polis.

Pada masa yang sama dua truk FRU yang dilengkapi meriam air juga kelihatan berada di Kelab Sultan Sulaiman ini.

Selepas perbincangan kira-kira 15 minit, ceramah berkenaan dibenarkan diteruskan tetapi orang ramai diminta berpindah ke dalam bangunan kelab.

Pasukan polis dilaporkan terus berada di sekitar kawasan bagi memantau keadaan.
Azmin kemudiannya meneru
skan ceramahnya di sebuah bilik yang sesak dengan penyokong Pakatan Rakyat.

Kira-kira jam 10.25 malam, Anwar tiba bersama isterinya, Datin Seri Wan Azizah.

Ketika ceramahnya Azmin mendakwa "tadi ada beberapa pemimpin dibelasah oleh polis"

Ahad, 7 Mac 2010

Zul Tidak Akan Merayu.


Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin yang baru dipecat Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini tidak akan merayu ekoran keputusan itu dan tidak akan melepaskan kerusinya di kawasan terbabit.

Sebaliknya beliau menegaskan akan kekal menjalankan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat bebas kerana kedudukannya dipilih oleh rakyat bukan parti.

Beliau juga akan mengkaji dan menimbang pilihan yang ada sebelum mengambil tindakan sewajarnya selain tidak menolak kemungkinan menyertai PAS sekiranya parti itu memperjuangkan Islam pada masa depan.


Bagaimanapun tegasnya, Umno dan komponen Barisan Nasional bukan pilihanya.

"Saya baru menerima makluman daripada rakan pemberita tentang keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR (MPPPKR) yang bermesyuarat sebentar tadi yang memutuskan saya dipecat dari parti.

"Ini adalah permulaan satu titik hitam dalam sejarah perjuangan reformasi yang bermula pada 2 September 1998. Ia juga adalah permulaan kepada kejatuhan dan kehancuran PKR.

"Keputusan hari ini jelas membuktikan bahawa parti sudah dikuasai sepenuhnya oleh 'firaun-firaun kecil' yang mempunyai agenda dan rancangan jahat yang sempit lagi anti Islam. Ini juga membuktikan bahawa PKR tidak mempunyai sebarang agenda untuk perjuangan Islam," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini malam ini.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution sebelum itu mengesahkan pemecatan berkenaan selepas keputusan itu dicapai sebulat suara dalam mesyuarat bulanan MPPPKR yang diadakan hari ini.

Sehubungan itu, Zulkifli juga diberi tempoh 14 hari untuk merayu keputusan itu.
Zulkifli yang juga seorang peguam dihadapkan kepada Lembaga Disiplin parti bagi menjawab isu berhubung laporan polis yang dibuatnya terhadap rakan sekutu dari PAS, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkenaan isu kalimah Allah dan kritikan beliau terhadap kepimpinan DAP.

Khamis lepas, anggota Parlimen yang terkenal dengan tindakan 'menentang arus' dalam PKR itu bertindak keluar daripada sidang Lembaga Displin yang membicarakan kesnya kerana membantah anggota panel terdiri daripada bukan Islam.

Sementara itu, Zulkifli mendakwa telah dihukum tanpa diberi peluang membela diri menurut prinsip hak asasi kemanusiaan dan nilai keadilan sejagat saperti yang dilaungkan oleh kepimpinan parti selama ini.

"Kepantasan tindakan memecat saya membuktikan kepalsuan slogan mereka. Sedangkan saya hanyalah sekadar menuntut hak asasi kemanusiaan dan nilai serta prinsip keadilan sejagat dipatuhi, dan prinsip tersebut mewajibkan seseorang hanya boleh dibicarakan oleh rakan sekufunya.

"Saya hanya menuntut dibicarakan oleh panel yang beragama Islam, kerana isunya membabitkan kalimah Allah, iaitu persoalan aqidah, syariat dan Islam. Sebaliknya mereka meletakkan panel yang majoritinya bukan Islam untuk menghina dan mengaibkan saya dan umat Islam," tegasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kini menjadi satu trend dalam PKR untuk melancarkan serangan peribadi yang tidak berasas terhadap sesiapa juga yang tidak bersetuju atau tidak lagi mahu bersekongkol dengan kepimpinan parti.

"Saya berharap mereka akan menghentikan serta-merta tindakan bacul melakukan serangan peribadi terhadap sesiapa juga yang memilih untuk tidak lagi mahu bersama mereka. Itulah adalah hak demokrasi dan hak asasi tiap manusia, iaitu hak untuk memilih," ujarnya.

Beliau meminta pihak-pihak tertentu jangan mengeruhkan keadaan sehingga memaksa orang lain mengambil sikap membuka segala-galanya dan mendedahkan semua keburukan mereka.

PKR Pecat Zul



Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini memecat Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin dan memintanya mengosongkan kerusi Parlimen itu.
 
Setiausaha Agung parti Saifuddin Nasution berkata keputusan itu dicapai sebulat suara dalam mesyuarat bulanan Majlis Pimpinan Pusat PKR yang diadakan hari ini.

"Ya, sah Zulkifli dilucutkan keanggotaan parti," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Beliau berkata Zulkifli juga diberi tempoh 14 hari untuk merayu keputusan itu.

Zulkifli yang juga seorang peguam, dihadapkan kepada Lembaga Disiplin parti bagi menjawab isu berhubung laporan polis yang dibuatnya terhadap rakan sekutu dari PAS, Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad berkenaan isu kalimah Allah dan kritikan beliau terhadap kepimpinan DAP.

Khamis lepas, anggota Parlimen yang terkenal dengan tindakan 'menentang arus' dalam PKR itu bertindak keluar daripada sidang Lembaga Displin yang membicarakan kesnya kerana membantah anggota panel terdiri daripada bukan Islam.

Zulkifli memberitahu pemberita selepas itu bahawa tindakan tersebut berasaskan prinsipnya yang tidak mahu tunduk atau mengiktiraf panel bukan Islam bagi membicarakan isu berhubung agama Islam.Beliau juga memberitahu pemberita tidak berhasrat untuk keluar daripada PKR kerana masih yakin dengan kepimpinan parti.



Pagi ini, Zulkifli menerusi surat terbuka di dalam blognya sekali lagi merayu anggota majlis pimpinan pusat PKR agar memberi peluang kepada beliau membela diri di hadapan panel disiplin beragama Islam berhubung isu yang dibangkitkan.

"Saya menuntut supaya saya diberikan keadilan. Sebab itu saya menyokong perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan keadilan dalam kes liwat beliau.

"Perjuangan beliau ingin mendapat keadilan sehingga sampai ke peringkat mendapat sokongan luar. Kalau Datuk Seri Anwar menuntut keadilan, saya juga menuntut keadilan yang sama...kita patut amal apa yang kita war-warkan," katanya dalam surat itu.

Sebelum ini, Zulkifli mendakwa beliau adalah mangsa rancangan jahat "firaun-firaun kecil" dalam parti yang sengaja mahu memalukan dan mengaibkan beliau dan agama Islam serta sanggup melakukan apa sahaja bagi memastikan beliau dipecat. BERNAMA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails