Geng Aku

Sabtu, 6 Mac 2010

Sultan Perak Dipohon Tak Perkenan Sidang DUN.

Ketua DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham hari ini mendakwa jika Datuk R Ganesan diiktiraf sebagai speaker Perak yang sah, perkara itu akan menggugat sistem raja berpelembagaan di negara ini.

Ini kerana menurut beliau yang juga ADUN Sitiawan, Ganesan dipilih secara tidak sah.

Beliau mendakwa, Ganesan dilantik sebagai 'speaker' oleh ADUN BN dalam sidang DUN pada 7 Mei lalu ketika Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah belum merasmikan sidang.

Katanya, Ganesan dilantik ketika sesi pagi iaitu kira-kira jam 10.30 pagi sedangkan Raja Nazrin merasmikan sidang DUN kira-kira jam 3 petang.

"Jika Sultan Perak mengiktiraf Ganesan, kepercayaan rakyat terhadap institusi beraja akan merosot.

"BN juga sudah memulakan tradisi bahawa perasmian sidang DUN oleh Sultan atau Raja Muda tidak diperlukan kerana speaker boleh dilantik sebelum sesi bermula," katanya pada sidang akhbar di Ipoh hari ini.

Ngeh yang juga timbalan setiausaha agung DAP juga mempertikaikan sesi pagi yang dipengerusikan oleh adun Jelapang, Hee Yit Foong ketika proses pelantikan Ganesan.

Ini kerana Hee tidak dibenarkan memasuki sidang DUN kerana sudah meletak jawatan sebagai wakil rakyat.

Hee, bekas wakil rakyat DAP dan dua lagi adun bebas tidak dibenarkan memasuki sidang DUN ketika itu kerana speaker yang disingkirkan V Sivakumar mendakwa mereka sudah meletak jawatan berikutan tindakan ketiga-tiganya keluar parti masing-masing.

Dua lagi wakil rakyat bebas itu adalah adun Behrang, Jamaludin Mohd Radhi dan adun Changkat Jering, Mohd Osman Jailu.

Tindakan ketiga-tiga adun yang berpaling tadah itu membolehkan BN menubuhkan kerajaan Perak pada 6 Februari tahun lalu.

EPF Umum Dividen 5.65 Peratus Bagi 2009.


Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar dividen 5.65 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2009, dengan peningkatan sebanyak 115 mata asas berbanding kadar 4.50 peratus yang dibayar pada tahun 2008.

Kadar dividen itu diumumkan setelah KWSP memperoleh pendapatan bersih tertinggi pernah dicapai sebanyak RM19.63 bilion, yang merupakan peningkatan 34.82 peratus berbanding RM14.56 bilion pada 2008.

“2009 merupakan tahun yang penting bagi KWSP kerana berjaya keluar dari krisis kewangan global. Walau pun KWSP terus berdepan dengan persekitaran ekonomi yang kurang memberangsangkan, pelaburan KWSP berupaya memberikan prestasi yang kukuh pada tahun itu,” kata Pengerusi KWSP Tan Sri Samsudin Osman.
Pada tahun yang dikaji, sebanyak 72.53 peratus pelaburan dilaburkan dalam Instrumen Berpendapatan Tetap selaras dengan pendekatan pelaburan berhemah yang diamalkan KWSP, sementara 27.05 peratus dilaburkan dalam pelaburan ekuiti dan selebihnya dalam hartanah.

Setakat 31 Disember 2009, portfolio pelaburan KWSP meningkat 8.55 peratus atau RM29.25 bilion kepada RM371.26 bilion berbanding RM342.01 bilion pada 2008.

Mengenai prospek 2010, Samsudin berkata: “Prospek 2010 bergantung kepada prestasi ekonomi negara dan global."

Beliau berkata keadaan pasaran kewangan global masih tidak stabil dan boleh memberikan kesan kepada nilai pelaburan dan pendapatan masa depan KWSP.

"Kami akan terus memberikan tumpuan kepada matlamat utama KWSP melindungi simpanan ahli dan memberikan pulangan nyata yang munasabah,” kata Samsudin.

- Bernama

Jumaat, 5 Mac 2010

Saman RM2 Juta, Nabil Rasa Dianiaya?


"Setelah menggunakan khidmat saya sebagai pelakon, mengeksploitasikan tagline saya dalam filem Lu Pikirlah Sendiri De Movie  serta  mendapat keuntungan RM2.1 juta daripada tayangan filem itu, kini dia (Aminah Rhapor) mahu saman saya pula? Wajarkah keputusannya?" soal juara Raja Lawak Musim Ke-2, Nabil.

Nabil atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad, 27, berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pengarah Lu Fikirlah Sendiri The De Movie, Aminah Raphor yang berhasrat untuk  mengambil tindakan undang-undang ke atas dirinya selepas didakwa gagal memenuhi kontrak perjanjian. 

Dalam laporan yang dikeluarkan murai.com.my semalam (3 Mac 2010), Aminah menjelaskan keputusan itu (saman) dibuat setelah Nabil didapati telah memberi kenyataan media baru-baru ini yang telah menjatuhkan reputasi filem berkenaan.

Reaksi Nabil?

"Siapa Aminah Rhapor? Orang kenal ke dia? Penonton datang ke panggung wayang nak tengok saya bukannya dia. Walaupun saya mengkritik filem lakonan saya, tetapi filem tu tetap mengecap keuntungan.

"Saya bukannya boikot filem Lu Pikirlah Sendiri De Movie ataupun menghasut orang ramai jangan tonton filem ini. Jadi, apakah tujuan dia ingin menyaman saya. Adakah dia saman saya kerana saya bagi pendapat yang jujur? aAtaupun dia tamakkan duit. Kalaulah filem ini rugi, boleh lah saman saya tetapi filem ini untung. Dah dapat untung RM2.1 nak lagi saman saya RM2 Juta.


"Sebelum ini, saya bagi pendapat peribadi saya bahawa filem ini tak bagus. Malah ramai yang cakap macam tu. Kalaulah saya tahu selama ini artis tidak boleh bersuara, memang saya tak akan masuk program Raja Lawak sebelum ini.

"Dia SMS minta saya buat permohonan maaf secara terbuka, saya dah buat  melalui media. Tetapi tidak pula secara langsung kepada pihaknya. Kalau dia nak saman juga terpulanglah,” kata Nabil atau Nabil Ahmad, 27.


Menerusi SDAF Pictures iaitu syarikat produksi yang menerbitkan Lu Pikirlah Sendiri De Movie,  Nabil yang kini menghadapi tuntutan saman sebanyak RM2 Juta. Notis tuntutan saman bertarikh 24 Februari 2010 itu telah dikeluarkan menerusi syarikat guaman Hing & Alvin Advocate & Solicitor. 

Dalam notis tuntutan saman itu, Nabil diminta menjelaskan RM2 Juta kepada  SDAF Pictures ataupun kes ini dibawa ke mahkamah sekiranya gagal. Bagaimanapun Nabil menjelaskan pihaknya belum lagi menerima surat tersebut.

 "Apa yang penting saya nak orang tahu bahawa saya dianiayai dan dipergunakan oleh orang yang banyak duit. Saya rasa tuntutan saman ini adalah satu penindasan ke atas saya dan ia sememangnya tidak berasas.

"Sekarang ini saya perlu menunggu nasihat daripada pihak peguam saya. Sedia ataupun tidak saya terpaksa melalui perkara ini," katanya.

Subsidi Petrol Berperingkat batal.


ISMAIL SABRI bertemu dengan pengguna di stesen minyak Petronas di Presint 16, Putrajaya semalam.

Kerajaan semalam mengesahkan tidak akan meneruskan cadangan mengadakan sistem subsidi minyak berperingkat yang sepatutnya dilaksanakan pada 1 Mei depan dan tiada kenaikan harga bahan api itu buat masa sekarang.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan perkara itu berkata, keputusan tersebut dibuat selepas kerajaan mengambil kira kepentingan rakyat. 

"Keputusan ini bermakna sistem petrol bersubsidi negara kekal seperti biasa dan rakyat asing di negara ini masih boleh membeli petrol dengan harga subsidi.

"Saya juga ingin nyatakan tidak ada kenaikan harga petrol setakat ini," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam. 

Sebelum ini, kerajaan bercadang melaksanakan penggunaan MyKad sebagai mekanisme kepada sistem dua harga petrol untuk rakyat tempatan dan bukan warganegara mulai 1 Mei depan.

MP Lompat Seperti 'Buaya Di Balik Batu'-Nik Aziz


Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata, tindakan beberapa wakil rakyat PKR yang keluar parti dan menjadi wakil bebas disifatkan sebagai "buaya di sebalik batu".

"Sedihnya, ribut tidak (ada), hujan pun tidak, tiba-tiba bah melanda! Syak saya teramat kuat akan adanya kepentingan politik (mereka) tersendiri. Ini bukannya udang di sebalik batu, bahkan buaya," katanya.

Nik Aziz (kiri, berserban) yang juga mursyidul am PAS mengulas 'fenomena' keluar parti yang menghantui PKR setelah tiga anggota parlimennya berpaling tadah dalam tempoh yang amat dekat.

Mereka ialah Datuk Seri Zahrain Hashim (Bayan Lepas), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohsin Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai).

Dalam satu kenyatan hari ini, Nik Aziz berkata, jika terdapat perasaan tidak puas hati dengan kepimpinan sedia ada, perkara itu boleh disuarakan dengan dengan pelbagai cara, tetapi bukan dengan melompat parti.

"Usulkan sahaja sidang tergempar, ambil tindakan kepada mana-mana pemimpin yang bersalah. Paling tidak, adakan perbincangan dari hati ke hati.

"Bukankah ini menjadi amalan biasa turun temurun di dalam menyelesaikan urusan rumahtangga parti?" soalnya yang kini sedang mendapatkan rawatan kerana sakit dada di Hospital Universiti Sains Malaysia di Kota Bharu sejak kelmarin.

Sehubungan itu, Nik Aziz menambah, pemimpin yang meninggalkan parti perlu juga meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen sebagai tanda menghormati mandat yang diberikan rakyat kepadanya.

"Bertanding atas tiket parti lain, tiba-tiba menukar haluan. Bukankah ini satu penipuan? Umpama meminang anak dara orang dengan perwatakan lebai, alih-alih bertukar rupa menjadi pencuri," sindirnya.

Beliau juga menasihatkan PKR - yang disifatkanya sebagai parti yang masih muda - tidak berputus asa kerana perkara yang sama pernah berlaku pada PAS sendiri, termasuk melibatkan pemimpin tertingginya.

"Hari ini, PAS sudah dewasa dan matang, tidak lagi kedengaran pimpinan yang melompat sebagaimana dahulu.

"Bahkan Kelantan pernah diperintah dengan kelebihan satu kerusi dan dua undi! Alhamdulillah, tidak ada yang melompat," katanya.

Najib 'Kemaruk' Majoriti 2/3-Datuk Zaid.

Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak untuk menghentikan perbuatan 'merampas' ahli parlimen Pakatan Rakyat, khususnya dari PKR demi menghormati proses demokrasi.
"Mengapa beliau begitu kemaruk dengan majoriti dua pertiga di Parlimen? Buat masa ini, Barisan Nasional mempunyai bilangan kerusi yang mencukupi bagi meluluskan sebarang undang-undang,” kata Zaid (kanan) pada sidang akhbar yang diaturkan secara tergesa-gesa.

"Pada pendapat anda, adakah England kukuh kerana mereka mempunyai dua pertiga (majoriti)? Tak! England tidak pernah ada majoriti dua pertiga.”

Sejak beberapa minggu kebelakangan lalu, PKR digoncangkan dengan tiga ahli parlimennya berpaling tadah sehingga menimbulkan krisis kepimpinan parti, terutama terhadap ketua numumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Andaian jika ketiga-tiga mereka mesra BN di Dewan Rakyat, gabungan itu cuma memerlukan tujuh lagi kerusi untuk mendapatkan majoriti dua pertiga.

Khamis, 4 Mac 2010

5 Hari Sambutan Dua Tahun PR P Pinang.


Menjelang dua tahun pemerintahan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang pada 8 Mac ini, berbagai program telah disusun atur bagi memeriahkan sambutan yang diadakan selama lima hari bermula 6 Mac.

Pengerusi Hal Ehwal Islam Pulau Pinang, Abdul Malek Kasim dalam kenyataan medianya berkata, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) diwajibkan berada di setiap program yang melibatkan penyertaan mereka seperti mengedarkan risalah penerangan di beberapa lokasi pasar malam, pasar hari, medan selera, pasar raya dan sebagainya.

Malam kemuncak sambutan turut melibatkan semua pemimpin keempat-empat negeri di bawah Pakatan Rakyat iaitu Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Kelantan pada 10 Mac bertempat di Tapak Ekspo Seberang Jaya bermula jam 9.00 malam.

Datuk Seri Azizan Abdul Razak

Tan Sri Khalid Ibrahim

Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik

Lim Guan Eng

Mereka ialah Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Tan Sri Khalid Ibrahim, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat serta Lim Guan Eng.

"Semua rakyat diminta hadir beramai-ramai untuk mendengar sendiri apa yang diperjuang dan menjadi dasar kerajaan yang ada di bawah Pakatan Rakyat, " tambahnya yang juga Pengerusi Hal Ehwal Pengguna Pulau Pinang.

Menurut beliau yang juga Adun Batu Maung, pada 6 Mac sebelah pagi, semua Adun Pakatan Rakyat akan ke pasar Bayan Baru, Sungai Ara, Taman Lip Sin dan Taman Ipin, Jalan Baru Batu Maung.

Sebelah malamnya pula siri ceramah penerangan diadakan di Tapak Pesta Sungai Nibung dengan menampilkan tiga setiausaha agung parti PR.

Pada 7 Mac, program edaran risalah diteruskan ke pasar Kepala Batas, pasar hari di Penaga, Tasek Gelugor dan Nibung Tebal.


Manakala Majlis Kenduri Rakyat juga diadakan di Bakau Tua pada pukul 12 tengah hari di mana para petugas dan Adun Pakatan Rakyat akan dipertemukan di sana.

Sebelah malam, dua ceramah serentak iaitu di Dewan Millenium yang diuruskan oleh Sekrateriat Wanita Pakatan Rakyat dan debat perdana antara Sekrateriat Pemuda Pakatan Rakyat dengan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, Jais Karim, Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang (DPMPP), Rizal Faris Mohideen dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Pulau Pinang, Norman Zailan.

Pada 8 Mac pula, pukul 4.00 petang taklimat GST oleh kepimpinan Pakatan Rakyat.
Kuliah Maghrib khusus menceritakan dasar dan pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat di Masjid Kampung Melayu dan Pusat Pendidikan Padang Menora, Tasek Gelugor.

Malam tersebut juga diadakan dua ceramah serentak iaitu di Padang Menora dan Dewan Serbaguna Nibung Tebal.

Pada 9 Mac, edaran risalah diteruskan di Pasar Chowrasta.  Kuliah Maghrib di Masjid Terapung, Tanjung Bungah manakala ceramah diadakan di Kompleks Sukan, Balik Pulau dan Taman Ciku, Bukit Mertajam.

Pada 10 Mac, semua Adun akan menyedarkan risalah di Pasar Seberang Jaya dan Taman Cermai, Permatang Pauh.

Kuliah Maghrib diadakan di semua daerah di mana kemuncaknya cerama menteri besar dan ketua menteri dari negeri Pakatan Rakyat.

Soi Lek Letak Jawatan Timbalan Supaya Ada Pemilihan Yang Baru.


Datuk Seri Dr Chua Soi Lek hari ini meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden MCA berkuat kuasa serta-merta bagi memberi laluan pemilihan baru diadakan dalam tempoh sebulan untuk menyelesaikan krisis parti itu.

Ketika mengumumkan keputusannya itu pada satu sidang akhbar di Wisma MCA di sini hari ini, beliau berkata, tujuh lagi anggota jawatankuasa pusat (CC) MCA juga telah meletak jawatan.

Sebelum ini, 13 anggota jawatankuasa itu berbuat demikian. Ini bermakna 21 orang iaitu dua pertiga daripada anggota CC yang dipilih telah meletak jawatan bagi membolehkan pemilihan baru diadakan.

Ketika ditanya sama ada beliau telah memberitahu Presiden Parti, Datuk Seri Ong Tee Keat mengenai tindakannya itu, Dr Chua berkata beliau tidak berbuat demikian.

"Saya masih belum beritahu kepada presiden, akan tetapi borang peletakan jawatan masih ada pada saya kerana setiausaha agung tiada di pejabatnya," katanya.



Beliau juga meminta supaya mesyuarat agung tahunan MCA hujung minggu ini ditangguhkan.

"Peletakan jawatan ini adalah untuk memenuhi janji saya pada EGM (mesyuarat agung luar biasa) tahun lepas di mana saya telah mengutarakan pandangan bahawa kita mungkin perlu pemilihan baru agar kemelut parti dapat ditangani.

"Yang penting ialah parti bukannya soal pemimpin atau kepentingan diri melebihi parti," katanya.

Chua berkata, sejak Januari hingga semalam, beliau telah menerima surat peletakan jawatan daripada tujuh anggota CC yang dipilih.

Mereka ialah Naib Presiden Datuk Seri Kong Cho Ha yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Gan Tian Loo, Dr Por Choo Chor, Datuk Seri Tan Chai Ho, Tee Siew Keong, Datuk Chong Itt Chiew dan Loh Seng Kok.

Dalam pada itu, Chua berkata, dengan 21 ahli CC meletakkan jawatan,pemilihan baru perlu dibuat dalam masa satu bulan mengikut fasa 41 perlembagaan parti.

Jangan Takut Dengar Ceramah Pakatan Rakyat


Rakyat di negara ini tidak perlu takut mendengar ceramah politik yang dianjurkan Pakatan Rakyat kerana fungsi parti politik adalah untuk membela rakyat, kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. 

Berucap pada ceramah anjuran Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Krau, di Felda Jengka 17, dekat sini, semalam, Tuan Ibrahim berkata rakyat perlu membebaskan diri mereka daripada resapan budaya Umno yang mahu rakyat terkongkong daripada mendapat maklumat secara bebas. 

“Corak pentadbiran dan pengurusan pemerintahan Umno yang banyak menyeleweng menyebabkan negara kehilangan berbilion-bilion ringgit. Banyak isu yang belum selesai seperti isu PKFZ, kehilangan injin jet, stadium runtuh, kapal selam yang tidak boleh menyelam.  

“Penyelewengan ini cuba ditutup dengan mereka mencipta berbagai isu bagi mengalih pandangan dan tumpuan rakyat. Mereka cuba tutup, maka sebab itu rakyat kena hadir ceramah bagi mendapatkan maklumat yang tidak mampu didedahkan media. Rakyat termasuk orang Umno tak perlu takut hadir ceramah. Tak perlu takut pada orang politik kerana tugas orang politik untuk membela dan menjaga rakyat,” katanya.  

Turut berceramah ialah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang, Ustaz Sharil Azman dan Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails