Geng Aku

Rabu, 17 Februari 2010

Adnan Sempit Catat RM7.5 Juta.


Filem Adnan Sempit arahan Ahmad Idham kini mencatat kutipan berjumlah RM7.5 selepas 5 minggu ditayangkan di pawagam. Angka tersebut sudah mengatasi kutipan keseluruhan filem Jangan Pandang Belakang sebanyak RM6.5 juta yang juga arahan serta terbitan Ahmad Idham.

Penerbit MIG Production Sdn Bhd, David Teo, ketika dihubungi berkata, ia adalah satu rekod baru yang dicatat oleh syarikatnya. Beliau turut mengucapkan tahniah kepada seluruh pasukan produksi yang telah bekerja keras menghasilkan produk yang terbaik.

"Saya ingin berterima kasih kepada semua penonton yang telah memberikan sokongan kepada filem ini. Ia memberikan semangat kepada kami untuk terus berkarya dan memberikan yang terbaik kepada semua peminat.

"Kejayaan baru ini sangat berharga bagi suluruh keluarga produksi termasuk pelakon, pengarah dan juga krew. Saya yakin ia adalah tuah pada tahun baru cina ini. Rezeki tu muncul dimana-mana sekiranya kita bekerja secara ikhlas. Saya buat filem bukan untuk menang anugerah, tetapi untuk buat duit.

"Awalnya kami mengagak filem ini hanya untuk tatapan golongan remaja dan Mat Motor sahaja. Tetapi yang jelas, ramai telah  membawa seisi keluarga menonton filem ini dan akui sangat terhibur. Malah golongan Mat Motor sendiri telah berulang kali pergi menonton kerana jalan cerita dan lakonannya begitu menarik dan melucukan," 


Filem lakonan Saheizy Sam, Intan Ladyana, Along Raja Lawak dan Cat Farish itu  mengisahkan percintaan antara Mat Motor dengan gadis korporat. Pelbagai insiden menarik berlaku dalam percintaan mereka sepanjang jalan cerita.

Shaheizy Sam atau lebih mesra dengan panggilan Sam, pertama kali diangkat sebagai pelakon utama. Sememangnya bakat dan pakej yang dimiliki Sam merupakan kelebihan terbaik buatnya memancing penonton.

Selain barisan pelakon dan konsep cerita yang menarik, kejayaan filem tersebut turut dibantu dengan promosi hebat yang tidak putus-putus.

Pada Majlis Bertemu Bintang yang diadakan di pejabat Finas, Ulu Kelang baru-baru ini, filem ini telah turut dipertontonkan kepada tetamu jemputan. Ia langkah Finas untuk mempromosikan filem tempatan. 

Senarai Individu Terkaya Di Malaysia.




Kekayaan 40 orang terkaya di Malaysia terus mencatat peningkatan dengan kekayaan mereka yang terkumpul bernilai RM156.7 bilion pada 15 Januari atau 63 peratus lebih daripada RM96.3 bilion berikutan pemulihan dalam pasaran saham, demikian didedahkan hasil satu kaji selidik oleh Malaysian Business.

Bagaimanapun, menurut kenyataan hasil kaji selidik majalah itu yang dikeluarkan semalam, kekayaan terkumpul mereka masih kurang daripada RM171.9 bilion yang direkodkan pada 2008.

Tan Sri Robert Kuok, 86, dari Kumpulan Kuok yang melepaskan mahkota 'Raja Gula' tahun lepas, masih mendahului senarai dengan kekayaan RM42.76 bilion, meningkat RM16.1 bilion daripada RM26.6 bilion, setahun lalu.

Hartawan telekomunikasi, Ananda Krishnan, 72, berada pada kedudukan kedua dengan kekayaan RM27 bilion.

Konflik Dalaman Akan Hancurkan Parti Makkal Sakti.



Pergolakan kepimpinan dalam parti Makkal Sakti boleh ditangani secara berkesan menerusi pengantara, kata penganalisis politik.

Mereka berpandangan pemimpin yang bertelagah harus mengetepikan perbezaan peribadi dan mencari orang tengah untuk menyelesaikan kemelut parti yang belum mencapai usia setahun itu.

Pensyarah kanan Sains Politik Universiti Sains Malaysia, Dr Sivamurugam Pandian berkata orang tengah atau pihak ketiga boleh menyediakan asas untuk semua pihak terlibat mencari penyelesaian.

"Orang tengah membolehkan pertelingkahan diselesaikan tanpa perlu melalui proses perundangan di mahkamah.

"Di dalam perbicaraan akan ada pihak yang menang dan yang kalah, tetapi menerusi pengantara, ia adalah situasi menang-menang, kerana ada tolak ansur untuk mencapai persetujuan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Parti Makkal Sakti diselubungi konflik dalaman sejak akhir tahun lepas yang menyaksikan satu pihak menyokong Presiden R. S. Thanenthiran dan satu lagi memihak kepada Timbalannya A. Vathemurthy. Selain saling berlaku pemecatan antara satu sama lain, pihak yang bertelagah juga membawa permasalahn itu kepada Pendaftar Pertubuhan.


Parti itu dilancar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 Okt lepas dan dilihat sebagai faktor yang akan menarik semula sokongan masyarakat India kepada Barisan Nasional (BN).

Dr Sivamurugan seterusnya mencadangkan agar Setiausaha Agung BN dan Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku dilantik sebagai orang tengah untuk menyelesaikan kemelut kepimpinan parti itu.

Beliau juga menegaskan tidak ada keperluan untuk parti baru seperti Makkal Sakti itu mengadakan pemilihan semula bagi menyelesaikan konflik.

"Adalah lebih baik jika parti itu mengadakan pemilihan baru selepas ia stabil dan telah menyelesaikan semua isu berbangkit," katanya.

Pandangan beliau turut dipersetujui seorang lagi penganalisis politik, Datuk Dr Denison Jayasooria yang berpendapat pengantara adalah jalan terbaik bagi Makkal Sakti menyelesaikan kemelut kepimpinan mereka.

"Pengantara profesional boleh mengurangkan trauma emosi pada kalangan pihak yang berkenaan," kata Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) itu.

Beliau juga berkata imej Makkal Sakti kini dicemari oleh konflik personalitinya sendiri, justeru pemimpin parti itu harus mengetepikan perbezaan peribadi mereka.

Katanya langkah itu perlu bagi menghalang krisis daripada semakin buruk selain hilang sokongan masyarakat.

"Makkal Sakti harus menyelesaikan masalahnya secepat mungkin untuk mengelakkan parti itu daripada menjadi `tidak penting' pada pilihan raya umum ke-13 nanti," katanya.

Makkal Sakti adalah kumpulan serpihan daripada Hindraf iaitu sebuah pergerakan yang diharamkan, dan pada awal pembentukannya dilihat mampu menjadi sebuah kuasa yang dapat mencabar kedudukan MIC sebagai suara kepada 1.8 juta kaum India di negara ini.

Bagaimanapun perebutan kuasa yang menyelubungi parti itu sekarang menimbulkan persoalan mengenai nasibnya pada masa akan datang.

-- BERNAMA

Anwar Lantik Tiga Pakar DNA, Forensik Asing

Pasukan peguam perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pelantikan tiga pakar asing dalam bidang DNA dan forensik untuk membantu mereka dalam kes tersebut.


Dalam satu kenyataan, peguam Anwar, Sankara Nair berkata beliau akan membawa tiga pakar tersebut ke Mahkamah tinggi Kuala Lumpur esok.

Mereka ialah pakar DNA, Dr Brian Mc Donald dari Sydney Australia, dan pakar forensik - Dr C Damodaran, dari Chennai, India, Dr David Wells dari Melbourne, Australia.

Esok ialah keputusan terhadap permohonan Anwar supaya Hakim yang sedang mendengar kesnya - Datuk Mohamad Zabidin Mohd Dian - menarik diri.

Manakala Mahkamah Rayuan pula telah menetapkan hari ini untuk memutuskan rayuan ketua umum PKR itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk membatalkan tuduhan liwat terhadapnya.

Sejak beberapa hari lalu, Malaysia berdepan dengan tekanan dari ahli parlimen Australia yang mendesak supaya digugurkan tuduhan liwat terhadap Anwar.


Pada masa yang sama, ahli parlimen Amerika pula mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya memastikan perbicaraan kes Anwar berjalan secara adil.

Dr Mc Donald adalah seorang ahli patologi dari Universiti Western Australia. Beliau juga merupakan pengarah DNA Consults.

Beliau dipanggil untuk menyediakan Kepakarannya dalam bidang DNA yang dijangka dikemukakan dalam perbicaraan nanti.

Dr Damodaran pula mempunyai 28 tahun pengalaman dalam bidang forensik dan pengalaman mengajar, di samping 36 tahun pengalaman dalam bio-kimia, toksilogi dan forensik.

Sementara itu, Dr Wells merupakan prof madya dalam bidang jenayah di Universiti Melbourne.

Beliau kini merupakan ketua bahagian Perubatan Klinikal Forensik, Institut Perubatan Forensik Victoria.

Anwar, 63, dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan 24, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.

Ketua pembangkang dan ahli parlimen Permatang Pauh itu, dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan disebat jika disabit kesalahan.

Selasa, 16 Februari 2010

Wardina Bertemu Tuan Guru.


Wardina Saffiyyah


Pelakon dan pengacara terkenal, Wardina Saffiyyah, 31, mengaku berjumpa dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kota Bharu kelmarin.

Bagaimanapun, Wardina menegaskan, perjumpaan itu bukan atas dasar politik sebaliknya atas jemputan Kerajaan Negeri Kelantan yang mengundang beliau sebagai salah seorang panel dalam program Hari Hiburan Islam yang berlangsung di Kota Bharu Mall (KB Mall) pada 14 Februari lalu.

Menurutnya, tiada isu yang harus ditimbulkan berhubung pertemuan beliau dengan Nik Aziz di kediaman rasmi Menteri Besar itu pada tengah hari kelmarin sebelum berlangsungnya program tersebut pada sebelah petang.

"Memang betul saya ke Kelantan dan ada berjumpa dengan Nik Aziz tetapi bukan tentang hal politik. Saya ke sana atas undangan kerajaan negeri dan itu bukanlah kali pertama saya terlibat dalam majlis ilmu di Kelantan," katanya ketika dihubungi semalam.

BN Yang Sememangnya Pengecut.



Keikhlasan Umno dalam membela nasib Melayu terus dipertikai oleh rakyat ekoran beberapa pemimpin parti perkauman tersebut dilihat mengamalkan kronisme dan nepotisme. 

Bercakap pada suatu sidang media di Pejabat PAS negeri di sini semalam, Pesuruhjaya PAS Perak, Abu Bakar Hussain mendakwa amalan kronisme dan nepotisme tersebut sebagai salah satu punca yang mendesak Umno negeri takut membubarkan Dun Perak seperti yang dicabar oleh PAS dan Pakatan Rakyat sebelum ini.



Dakwanya lagi, budaya kronisme-nepotisme tersebut mengakibatkan kepemimpinan Umno negeri sendiri sedar bahawa hanya ahli-ahli Umno dan Barisan Nasional (BN) sahaja sedang menyokong kerajaan 'kudeta' Perak, seperti yang diputuskan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini.

Sedangkan rakyat, menurutnya lagi kian celik politik apabila membandingkan antara kerajaan negeri era Pakatan Rakyat yang dilihat bersih denga kerajaan negeri era Umno serta BN yang dianggap kronisme-nepotisme.



Mengambil contoh inisiatif Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir mengadakan rumah terbuka khas sempena perayaan Tahun Baru Cina kelmarin, beliau mendakwa bahawa Umno sekarang sedang cemas melihat sindrom penolakan rakyat bukan Melayu dan bukan BN ke atas ‘kerajaan mahkamah' di Perak.


Sehubungan itu, beliau menaruh rasa yakin bahawa masyarakat Melayu dan bukan Melayu di Perak umumnya bersama PAS serta Pakatan Rakyat kerana menolak budaya kronisme-nepotisme yang dilihat lazim dilakukan oleh Umno peringkat negeri dan nasional.

Ahad, 14 Februari 2010

Tender Tidak Lulus Punca Zahrain Keluar Parti



Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyifatkan tindakan bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim keluar daripada PKR sebagai menjaga kepentingan individu dan peribadi.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, keretakan antara beliau dan Anggota Parlimen Bayan Baru itu berpunca apabila Zahrain gagal mendapatkan kelulusan tender bernilai RM40 juta untuk mengurus projek Bukit Jambul Golf Resort.

Katanya, beliau tidak meluluskan tender tersebut kerana syarikat yang disokong kuat oleh Zahrain baru sahaja ditubuhkan dua bulan sebelum tender projek dikeluarkan iaitu pada akhir September 2008.

"Saya rasa punca utama beliau letak jawatan ialah gagal dapat projek itu. Adakah saya diktator jika saya tidak beri kelulusan tender berjuta-juta itu kepada syarikat 'dua ringgit' itu?," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau menegaskan bahawa syarikat berkenaan baru sahaja ditubuhkan dan menyebabkan beliau tidak yakin dengan keupayaan syarikat untuk mengendalikan projek yang bernilai lebih RM40 juta itu.

"Saya rasa Zahrain masih lagi geram kerana saya tidak luluskan tender tersebut pada syarikat dua ringgit itu dan punca beliau keluar parti dengan mengatakan saya seorang diktator," katanya.

Selain itu, Lim juga mempersoalkan tindakan Zahrain meletak kesemua jawatannya dalam parti, tetapi tidak sebagai Pengerusi dan Anggota Lembaga Pengarah Island Golf Properties Sdn Bhd sedangkan jawatan itu dilantik oleh kepimpinan parti dalam pakatan pembangkang.

Semalam, Zahrain mengumumkan keluar daripada PKR kerana kecewa dengan perjuangan parti itu dan hilang kepercayaan terhadap penasihat parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, beliau yang mengisytiharkan dirinya sebagai Anggota Parlimen Bebas, berkata keputusan itu dibuat kerana tidak yakin dengan kerajaan pakatan pembangkang Pulau Pinang pimpinan Lim yang dianggapnya diktator dan berfikiran ala komunis. - BERNAMA

Isnin, 1 Februari 2010

Pak Lah Terima Darjah SUMW.

Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi mendahului senarai 240 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Wilayah Persekutuan 2010 sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan di Istana Negara hari ini.
Abdullah dianugerah darjah kebesaran Seri Utama Mahkota Wilayah (SUMW) yang membawa gelaran "Datuk Seri Utama" daripada Pemangku Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad yang juga Anggota Parlimen Johor Baharu turut dianugerahi SUMW.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ahmad Fuad Ismail pula antara tujuh penerima darjah kebesaran Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran "Datuk Seri".

Turut menerima SMW ialah dua hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Gopal Sri Ram dan Datuk James Foong Cheng Yuen, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, Naib Pengerusi Eksekutif Yayasan Al-Bukhary Datuk Ismail Yusof, penasihat media kepada perdana menteri Datuk Jalaludin Bahaudin dan pengerusi Pusat Dagangan Dunia Putra Datuk Alies Anor Abdul yang juga bekas setiausaha politik kepada Datuk Seri Najib Razak semasa menjawat jawatan menteri pertahanan.

- Bernama

Apo Kono Dengan Zambry Ni?

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini mencabar bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan 27 lagi wakil rakyat pembangkang mengosongkan kerusi mereka bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan di 28 kerusi DUN pembangkang di Perak.


Beliau berkata, Mohammad Nizar dan wakil rakyat pembangkang berkenaan tidak perlu teragak-agak untuk mengosongkan kerusi DUN masing-masing sekiranya mereka benar-benar yakin bahawa sebahagian besar rakyat Perak teguh menyokong pembangkang.

"Kalau pembangkang rasa mereka popular sekarang, bubarlah 28 kerusi mereka. Kita tengok sama ada mereka dapat semula 28 kerusi DUN ataupun tidak (pada pilihan raya kecil)," katanya kepada pemberita selepas diwawancara dalam program Setahun Melayari Arus di studio Perak FM di sini hari ini.


Beliau mengulas kenyataan Mohammad Nizar sebelum ini bahawa bekas Menteri Besar Perak itu akan memohon perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah untuk membubarkan DUN Perak sekiranya keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung siapa Menteri Besar Perak yang sah pada 9 Februari ini berpihak kepadanya.

Zambry menegaskan bahawa kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) tidak akan membubarkan DUN bagi membolehkan satu pilihan raya negeri semula diadakan seperti yang dikehendaki oleh pembangkang.

"Nak bubar DUN ini adalah permainan mereka. Saya tidak akan ikut permainan mereka, bukan kerana takut tapi kerana tidak mahu terikut-ikut rentak permainan pembangkang ini," katanya.

Terdahulu dalam wawancara itu, Zambry berkata, fokus utama kerajaan negeri BN yang diterajuinya adalah untuk membangunkan ekonomi dan memakmurkan negeri Perak dan bukannya terheret ke dalam permainan politik pembangkang yang tidak berkesudahan.

"Sebaik sahaja kita (BN) mentadbir, saya telah memaklumkan bahawa kita tidak boleh selamanya bermain dengan politik kerana rakyat di luar sana inginkan sesuatu daripada kita.

Ada masanya rakyat ingin memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang lebih penting khususnya dalam konteks pembangunan ekonomi negeri," katanya.

Zambry yang dilantik Menteri Besar Perak Ke-11 menggantikan Mohammad Nizar pada 6 Februari lepas menyatakan keyakinannya bahawa sokongan masyarakat pelbagai kaum di Perak terhadap BN akan terus bertambah disebalik pelbagai permainan politik yang dimainkan oleh pembangkang.

"Saya yakin bahawa rakyat di Perak tidak akan termakan dengan cara mereka (pembangkang) dan dengan adanya perkembangan ekonomi yang baik, kedudukan keamanan yang baik di Perak dan program pembasmian kemiskinan efektif yang kita lakukan, saya yakin akhirnya rakyat akan bersama-sama dengan kita... dengan syarat kita pun kena buat kerja dengan kuat," katanya. - BERNAMA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails