Geng Aku

Rabu, 17 Februari 2010

Konflik Dalaman Akan Hancurkan Parti Makkal Sakti.



Pergolakan kepimpinan dalam parti Makkal Sakti boleh ditangani secara berkesan menerusi pengantara, kata penganalisis politik.

Mereka berpandangan pemimpin yang bertelagah harus mengetepikan perbezaan peribadi dan mencari orang tengah untuk menyelesaikan kemelut parti yang belum mencapai usia setahun itu.

Pensyarah kanan Sains Politik Universiti Sains Malaysia, Dr Sivamurugam Pandian berkata orang tengah atau pihak ketiga boleh menyediakan asas untuk semua pihak terlibat mencari penyelesaian.

"Orang tengah membolehkan pertelingkahan diselesaikan tanpa perlu melalui proses perundangan di mahkamah.

"Di dalam perbicaraan akan ada pihak yang menang dan yang kalah, tetapi menerusi pengantara, ia adalah situasi menang-menang, kerana ada tolak ansur untuk mencapai persetujuan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Parti Makkal Sakti diselubungi konflik dalaman sejak akhir tahun lepas yang menyaksikan satu pihak menyokong Presiden R. S. Thanenthiran dan satu lagi memihak kepada Timbalannya A. Vathemurthy. Selain saling berlaku pemecatan antara satu sama lain, pihak yang bertelagah juga membawa permasalahn itu kepada Pendaftar Pertubuhan.


Parti itu dilancar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 Okt lepas dan dilihat sebagai faktor yang akan menarik semula sokongan masyarakat India kepada Barisan Nasional (BN).

Dr Sivamurugan seterusnya mencadangkan agar Setiausaha Agung BN dan Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku dilantik sebagai orang tengah untuk menyelesaikan kemelut kepimpinan parti itu.

Beliau juga menegaskan tidak ada keperluan untuk parti baru seperti Makkal Sakti itu mengadakan pemilihan semula bagi menyelesaikan konflik.

"Adalah lebih baik jika parti itu mengadakan pemilihan baru selepas ia stabil dan telah menyelesaikan semua isu berbangkit," katanya.

Pandangan beliau turut dipersetujui seorang lagi penganalisis politik, Datuk Dr Denison Jayasooria yang berpendapat pengantara adalah jalan terbaik bagi Makkal Sakti menyelesaikan kemelut kepimpinan mereka.

"Pengantara profesional boleh mengurangkan trauma emosi pada kalangan pihak yang berkenaan," kata Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) itu.

Beliau juga berkata imej Makkal Sakti kini dicemari oleh konflik personalitinya sendiri, justeru pemimpin parti itu harus mengetepikan perbezaan peribadi mereka.

Katanya langkah itu perlu bagi menghalang krisis daripada semakin buruk selain hilang sokongan masyarakat.

"Makkal Sakti harus menyelesaikan masalahnya secepat mungkin untuk mengelakkan parti itu daripada menjadi `tidak penting' pada pilihan raya umum ke-13 nanti," katanya.

Makkal Sakti adalah kumpulan serpihan daripada Hindraf iaitu sebuah pergerakan yang diharamkan, dan pada awal pembentukannya dilihat mampu menjadi sebuah kuasa yang dapat mencabar kedudukan MIC sebagai suara kepada 1.8 juta kaum India di negara ini.

Bagaimanapun perebutan kuasa yang menyelubungi parti itu sekarang menimbulkan persoalan mengenai nasibnya pada masa akan datang.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails