Geng Aku

Selasa, 8 Disember 2009

Beri Laluan Kepada Orang Najib Adnan Yaakob Bakal Tersingkir?

Defisit belanjawan untuk 10 tahun berturut-turut sekali lagi menggoyah kedudukan Adnan Yaakob sebagai Menteri Besar Negeri Pahang.  Sumber maklumat dalaman UMNO menyebarkan khabar bahawa Adnan Yaakob mungkin "dipindah"ke pusat untuk mengosongkan jawatan yang disandangnya lebih daripada satu dekad, lantas diisi oleh calon yang dilantik Perdana Menteri Najib Abdul Razak.

Pada hakikatnya, sudah tiba masanya untuk menukar MB.  Pimpinan kerajaan negeri oleh Adnan kini terperangkap dalam kebuntuan.  Beliau melihat dasar dirinya sebagai dasar terbaik, malah bermegah dengan dirinya kerana tidak meluluskan lesen pembalakan yang baru.

Namun, beliau bukanlah seorang yang baik dalam pengurusan, bukan sahaja tidak bijak dalam berniaga, malah mengakibatkan defisit belanjawan negeri Pahang untuk 10 tahun berturut-turut.

Pemimpin baru dengan gaya barunya sekurang-kurangnya akan menyuntik sesuatu yang baru untuk negeri Pahang.  Dari kaca mata peniaga, MB ini tidak berwawasan, hanya menjaga sumber dan harta yang sedia ada.  MB ini juga dilihat gagal memikirkan dasar yang terbuka untuk menarik lebih ramai pelabur.

Sebagaimana yang diketahui, Pahang sebuah negeri yang kaya dengan sumber semulajadi.  Seandainya diterokai dan digunakan dengan sebaik-baiknya, maka ia bakal menarik pelaburan, lantas mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan.

Hubungan Najib-Adnan

Hubungan Najib dengan Adnan umpama "mentor" dan "musuh".  Adnan diangkat oleh Najib seketika dahulu.  Namun, tiada kemestian yang selama-lamanya dalam politik.  Semasa zaman Abdullah Ahmad Badawi menjawat PM, Adnan mengalih menjadi pendukung Abdullah sehingga mengabaikan Najib.

Maka, selepas Najib menjawat PM, desas-desus tersebar bahawa kedudukan Adnan akan digantikan pada bila-bila masa.  Biarpun begitu, bukan senang untuk menggoyah kedudukan Adnan.  Adnan memiliki kelebihan, iaitu hubungannya yang baik dengan Institusi Raja di Pahang.  Najib mungkin tidak ingin menimbulkan masalah yang baru buat sementara ini.

Walaupun ini bukan kali pertama tersebarnya khabar bahawa Adnan akan dipindah ke pusat, dan ia mungkin berakhir seperti apa yang berlaku dahulu. 

Oleh itu, tidak menolak kemungkinan bahawa khabar ini diulangi kerana dua faktor.  Pertamanya, ia disebarkan oleh orang UMNO yang tidak berpuas hati dengan Adnan; atau keduanya, ia disebarkan oleh Adnan sendiri untuk menguji siapa yang bermotif untuk mendaki ke atas tangga kuasa untuk menggantikannya, agar beliau boleh memancung kepalanya dengan serta-merta tanpa apa-apa persediaan dari pihak musuh.

Pengganti Adnan

Mereka yang pernah berkesempatan untuk bangkit menggantikan Adnan termasuklah Hasan Arifin dari Rompin, Shahirudin dari Raub, Omar Othman dari Kuala Lipis dan sebagainya. 
Namun, mereka "ditamatkan" dengan begitu sahaja.  Shahirudin gagal mengancam Adnan lagi apabila terlibat dalam politik wang.

Kini, ADUN Lanchang, Mohd Sharkar Shamsudin memiliki peluang yang paling cerah untuk menggantikan Adnan.  Mohd Sharkar bukan sahaja seorang EXCO kerajaan negeri, malah Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pahang.  Lebih penting, Sharkar adalah orang rapat Najib.

Selain itu, mereka yang berpeluang untuk naik ke mercu kuasa termasuklah Shafik Fauzan Sharif dari Inderapura, Mohd Soffi Abdul Razak dari Benta dan Ishak Muhamad dari Bebar.

Demikianlah politik.  Walaupun Adnan diangkat naik oleh Najib seketika dahulu, namun "pengkhianatan" terhadap Najib telah menggadaikan kepercayaan Najib terhadap dirinya. 

Najib tidak lagi melihat Adnan sebagai orang rapatnya.  Untuk memperkukuhkan kuasa dirinya di Pahang, Najib perlu meletak orangnya agar boleh dijadikan kubu dirinya di negeri asalnya.

Najib tidak akan menggunakan seorang "pengkhianat", lebih-lebih lagi Adnan bukan satu-satunya orang yang berbakat dalam negeri Pahang.  Adnan juga menyedari keadaan sedemikian.  Menurut orang dekat Adnan, beliau telah mencari jalan keluar untuk dirinya.

Rumah kediamannya yang lama tidak diduduki itu mula dibaiki semula.  Ini menjadi bukti bahawa Adnan telah mengandaikan sesuatu yang buruk mungkin menimpa dirinya.

Pancung dengan KPI

Sumber dalaman UMNO berkata, Najib bakal merampas kerusi Adnan dengan alasan bahawa prestasi Adnan sebagai MB selama lebih 10 tahun, bahkan defisit belanjawan untuk 10 tahun berturut-turut gagal menjangkau KPI yang ditetapkan.  Ini alasan yang terbaik, malah institusi Raja Pahang mungkin mengangguk kepada pertukaran MB.

Mengikut gaya Adnan (gambar kiri), beliau yang selama ini bersikap acuh tak acuh tidak akan memberi penjelasan jikalau keadaan tidak genting.  Kali ini, ketika menggulung dalam sidang mesyuarat DUN ketika pembentangan belanjawan, beliau mengumumkan stastistik belanjawan dari tahun 2000 hingga 2008, menjelaskan bahawa kerugian hanya berlaku pada tahun 2008, tetapi membuat keuntungan untuk tahun-tahun selainnya.

Mengapa Adnan memberi penjelasan, malah sekaligus mendedahkan perangkaan 8 tahun yang lalu?  Tindakan Adnan boleh dikaitkan dengan spekulasi baru-baru ini, iaitu "masanya sudah sampai".

Satu lagi faktor yang mendorong agar Najib menukar MB adalah kesungguhan Pakatan Rakyat untuk mengambil alih kerajaan negeri ini.  Sememangnya, Pahang memerlukan pimpinan seseorang yang berpotensi dan berbakat secara menyeluruh, malah direstui institusi Raja.  Apakah Adnan bakal dipindah ke pusat?  Kita tunggu dan lihat!

BY-Merdeka review-

MB Kedah Minta Rakyat Tegur Kesilapan Kerajaan Negeri


Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Razak meminta rakyat negeri itu menegur dan memberitahu tindakan silap dan boleh dianggap zalim yang dilakukan kerajaan negeri.

Berucap pada himpunan bulanan bersama kakitangan kerajaan negeri di Wisma Darul Aman semalam beliau memberitahu, kerjasama rakyat itu sangat perlu bagi memudahkan kerajaan negeri bertindak segera bagi membetulkan segala kesilapan demi kesejahteraan rakyat negeri itu.

"Saya mintak semua rakyat tolong tunjuk di mana kerajaan sekarang buat zalim supaya kita dapat baiki.

"Kita mengaku tak semua kita buat adil, kita tak mahu nak jawab depan Tuhan," katanya ketika berucap dihadapan kakitangan dan pegawai kerajaan negeri semalam.

Pada perhimpunan tersebut beliau turut mengingatkan kesemua kakitangan kerajaan negeri cermat dalam menunaikan tanggungjawab pentadbiran agar tidak menzalimi rakyat.

Beliau tidak menolak kemungkinan, kerajaan negeri tidak terlepas dari melakukan perkara tersebut dalam urusan pentadbiran.

"Kita ni pegawai kerajaan. Saya menteri besar, ni ketua jabatan dan exco, kadang-kadang kita buat perkara zalim kat orang, sengaja dan tidak sengaja.

"Saya tekan sangat jangan buat zalim pada orang," katanya .

Lebih lebih lagi katanya, doa orang dizalimi langsung tidak terhijab dan akan dimakbulkan Allah.

Sehubungan itu semua kakitangan di semua peringkat ujarnya perlu berhati-hati agar tidak terjerumus dalam melakukan tindakan yang boleh disifatkan sebagai zalim.

Skuad Negara Diberi Amaran Keras, Skuad Wanita Ditegah Beraksi Di Perlawanan Antarabangsa




Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengeluarkan amaran keras kepada skuad bola sepak lelaki bawah 23 tahun negara supaya tidak mengulangi tindakan luar kawalan selepas mereka mencetuskan insiden kekecohan menyerang pengadil perlawanan selepas mengalami kekalahan 1-3 di tangan pasukan Vietnam pada temasya Sukan SEA Laos ke-25 semalam.

FAM turut mengeluarkan tegahan terhadap skuad bola sepak wanita negara, yang menjadi pasukan belasahan di temasya yang sama, daripada beraksi dalam mana-mana pertandingan antarabangsa mulai tahun depan.

Keputusan itu diumumkan oleh Timbalan Presiden FAM Khairy Jamaluddin Abu Bakar selepas mesyuarat FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya, Isnin.




"Pihak FAM hari ini telah menerima laporan pengurus pasukan Malaysia di Vientiane yang melaporkan tahap pengadilan yang tidak memuaskan. Berikutan itu pengurus pasukan telah membuat aduan rasmi berhubung mutu pengadilan dengan pihak penganjur," katanya.

Selain itu, Khairy berkata pihak FAM, menerusi pengurus pasukan, telah memberi amaran keras kepada setiap pemain supaya tidak mengulangi perbuatan tersebut dalam dua baki perlawanan Kumpulan A nanti.

"Walaupun, mutu pengadilan tidak baik atau tidak setuju dengan keputusan pengadil perlawanan, mana-mana pemain tidak boleh bertindak mengikut emosi masing-masing. Disiplin harus diutamakan kerana ia melambangkan sikap profesional," tambahnya.

Pada perlawanan kedua Kumpulan A yang berlangsung di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional Laos Ahad, Malaysia tewas 1-3, sekaligus menyukarkan laluan negara ke separuh akhir.

Malaysia kini berada di tangga ketiga Kumpulan A selepas mengumpul tiga mata, hasil kemenangan membelasah Timor Leste 11-0 pada Rabu lepas.

Ditanya mengenai peluang skuad Malaysia untuk melayakkan diri ke pusingan separuh akhir, Khairy berkata skuad Malaysia mesti memenangi baki dua perlawanan kumpulan A iaitu menentang Kemboja dan juara bertahan Thailand untuk melayakkan diri ke pusingan suku akhir.

Mengenai persembahan pasukan bola sepak wanita yang tidak memuaskan, Khairy berkata pihak FAM memutuskan mulai tahun depan skuad bola sepak dan futsal wanita tidak dibenarkan beraksi di mana-mana perlawanan antarabangsa kecuali perlawanan persahabatan sahaja.

"Dengan dua kekalahan dibelasah (Thailand 14-0, Vietnam 8-0) yang agak memalukan ini, pihak FAM telah mengambil keputusan untuk tidak membenarkan pasukan bola sepak wanita beraksi di mana-mana pertandingan di peringkat antarabangsa. Yang paling utama sekarang adalah program pembangunan untuk memperkukuhkan, memperkemaskan pasukan bola sepak dan juga futsal," katanya.

'Saya Tidak Lakukan Jenayah' - Remy Ishak

Remy Ishak dan Maya Karin sewaktu pementasan teater Natrah

"Tuduhan yang mengatakan saya ada mengasari seseorang itu tidak benar sama sekali. Saya tidak ada lakukan jenayah pun," luah pelakon utama teater Natrah, Remy Ishak berhubung dakwaan yang mengatakan dirinya pernah memukul seseorang baru-baru ini.

Jumaat lalu, Remy atau nama sebenarnya, Mohammad Zalimei Ishak dibelasah oleh sekumpulan lelaki ketika ingin menuju ke bilik persalinannya di dalam Istana Budaya (IB) sebaik pementasan dan sesi beramah-mesra dengan penonton berakhir.

Remy diserang oleh tujuh orang lelaki yang berjaya melarikan diri setelah kejadian tersebut disedari oleh beberapa orang yang berada di kawasan itu.



Akibat serangan tersebut, pelakon berusia 27 tahun itu dibawa ke hospital setelah mengalami kecederaan di kepala dan kakinya. Remy bagaimanapun mengalami kecederaan ringan dan kemudiannya dibawa ke Balai Polis Jalan Tun Razak untuk membuat laporan polis.

Namun begitu, sebuah akhbar tabloid semalam juga melaporkan bahawa satu laporan polis telah dibuat oleh satu pihak lain beberapa hari sebelum kejadian itu dengan mendakwa bahawa Remy sering mengganggu dan memukul seorang anak kepada ahli perniagaan.
Remy bagaimanapun belum bersedia untuk mengulas lanjut tentang perkara tersebut kerana semuanya masih di dalam siasatan polis.

"Saya tidak mahu cerita panjang, saya serahkan saja pada siasatan polis. Saya tidak mahu perkara ini bertambah rumit, jadi saya tidak mahu bercakap banyak. Apa yang saya ingin tegaskan disini ialah dakwaan tersebut tidak benar.

"Insya-Allah, bila sudah dapat keputusan daripada siasatan itu kelak, saya akan jelaskan kemudian," ujar Remy yang ditemui di IB sebelum pementasan teater arahan Erma Fatima itu bermula malam tadi.



Dalam pada itu, ditanya tentang kejadian yang berlaku Jumaat lalu, dalam nada tenang Remy berkata, dia sendiri amat terkejut ketika itu.

"Saya tidak tahu nak cakap macam mana sebab benda ni saya tidak jangka langsung. Buat masa sekarang, saya 'ok', tidak ada kecederaan teruk dan masih boleh meneruskan pementasan Natrah," ujar Remy yang cukup popular menerusi drama Nur Kasih.

Natrah yang mula dipentaskan 30 November lalu turut dibintangi oleh Maya Karin, Sofea Jane, Umie Aida, Samantha Schubert dan ramai lagi. Pementasan tersebut akan berakhir pada 13 Disember ini.

Malaysia Negara Pertama Asia Tenggara Anjur PGA Tour

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak (tiga, kiri) menunjuk plak pelancaran rasmi ketika merasmikan Kejohanan Golf Klasik Asia Pasifik di Mines Resort and Golf Club dekat sini, hari ini. Turut hadir pengasas Country Heights Holdings Tan Sri Lee Kim Yew (kiri), Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen (tiga, kanan) dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek (dua, kanan). --Foto THE STAR. Oleh GLENN GUAN 

Malaysia mencipta sejarah apabila muncul negara pertama di Asia Tenggara menjadi tuan rumah menganjurkan PGA Tour and Asian Tour.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan Malaysia akan menjadi tuan rumah pertandingan golf berprestij, PGA Tour, tahun depan.

"Ini merupakan cita-cita saya sejak zaman kanak-kanak lagi untuk melihat PGA Tour dibawa ke Malaysia dan kini ia akan menjadi realiti dan hari ini, saya dengan bangganya mengumumkan bahawa pada tahun depan, Malaysia akan menjadi tuan rumah PGA Tour," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan pertandingan Asia Pacific Golf Classic Malaysia di Mines Resort and Golf Club di Seri Kembangan di sini hari ini.

"Kita akan menjadi negara pertama di rantau Asia Tenggara untuk menjadi tuan rumah pertandingan berprestij ini. Ini merupakan satu penghormatan besar diberikan peluang ini," katanya.



Perdana Menteri berharap dengan penganjuran acara sukan berprestij dunia itu akan menambahkan lagi pendapatan Malaysia melalui pelancongan dan meningkatkan kedudukan negara dalam arena sukan antarabangsa.

Menurutnya, Malaysia akan sentiasa memberi perhatian terhadap acara-acara sukan kelas dunia di Malaysia bagi menerapkan semangat kesukanan antarabangsa.

Kejohanan pertama itu akan berlangsung di Mines Resort and Golf Club di Seri Kembangan, dekat sini.

Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan pertandingan golf itu menawarkan hadiah wang tunai berjumlah US$6 juta dan pemenang pertandingan itu akan membawa pulang US$1 juta.

Beliau berkata, sepanjang pertandingan empat hari itu, lebih 400 juta isi rumah dan di 200 negara di seluruh dunia akan menyaksikan pertandingan berprestij itu dan ini merupakan platform yang baik bukan sahaja bagi sukan golf tetapi juga pelancongan Malaysia.

Pertandingan Asia Pacific Golf Classic Malaysia akan disertai 40 pemain bertaraf antarabangsa.

Senarai 25 pemain terbaik daripada pertandingan akhir FedExCup, PGA Tour layak secara automatik, dan begitu juga 10 pemain terbaik dari Asian Tour's Order of Merit dan sekurangkurangnya seorang pemain profesional Malaysia dijamin tempat dalam pertandingan itu.

Isnin, 7 Disember 2009

Kereta Terjunam Dari Tingkat Tiga Di KB Mall, Kota Bharu


ORANG ramai turut membantu Rashidah yang parah akibat terkena serpihan bangunan di KB Mall, Kota Bharu semalam.



KOTA BHARU - Suasana di pusat beli-belah KB Mall di sini petang semalam tiba-tiba gempar dan kelam-kabut. Ekoran dentuman yang sangat kuat, mereka menyangkakan berlaku gempa bumi di pusat beli-belah itu atau satu adegan stunt untuk penggambaran filem sedang berlaku.

Bagaimanapun, punca cemas itu terjawab apabila mereka mendapati sebuah kereta tiba-tiba bagaikan 'terjunam dari langit' terus merempuh bumbung KB Mall menyebabkan dua maut manakala dua yang lain cedera parah.




Dalam kejadian yang menyebabkan orang ramai bertempiaran lari menyelamatkan diri itu, belum sempat membeli barang keperluan, dua sahabat menemui ajal di dalam kompleks di Jalan Sultan Ibrahim di sini itu apabila sebuah kereta tiba-tiba terjunam dari tingkat tiga kompleks tersebut semalam.



Seorang lagi sahabat mereka, Rashidah Ahmad Latfi, 18, cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Mereka bertiga merupakan pelajar sebuah kolej kejururawatan swasta di sini.

Mangsa, Siti Nor Amira Shamsuddin, 19, dari Felda Chiku, Gua Musang maut ketika berada di tingkat dua bersama Rashidah manakala Siti Nor Diana Azman, 18, Kampung Menjual, Chabang Empat, Tumpat berada di tingkat bawah sedang menuju ke atas dipercayai maut terkena serpihan runtuhan bangunan.

Dalam kejadian pada pukul 4.45 petang itu, sebuah kereta jenis Ford Laser yang berada di tempat letak kereta tidak berbumbung di tingkat tiga (atas sekali) bangunan itu dikatakan telah merempuh dinding lalu terjunam ke tingkat dua yang dipenuhi pengunjung.


LUBANG yang terbentuk selepas sebuah kereta terjunam ke bawah dari tempat letak kereta di tingkat tiga dalam kejadian menggerunkan di pusat membeli-belah KB Mall, Kota Bharu semalam.


Kereta tersebut menggelongsor laju di antara dua tangga bergerak di tempat kejadian.
Kejadian yang menggemparkan itu telah menyebabkan beratus-ratus pengunjung termasuk di tingkat lain lintang-pukang keluar bangunan apabila terdengar bunyi dentuman kuat seperti letupan bom.

Nizar V'8! 13 Anggota CC MCA Letak Jawatan



Seramai 13 Ahli Jawatankuasa Pusat (CC) MCA, termasuk Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Naib Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai sudah menandatangani surat peletakan jawatan bagi memberi laluan kepada pemilihan baru parti.


Bagaimanapun Dr Chua berkata, tujuh lagi anggota CC perlu mengambil langkah yang sama kerana syarat mengadakan pemilihan baru memerlukan 20 daripada 30 anggota CC MCA letak jawatan.



Beliau menerangkan tempoh 24 hari diberikan kepada ahli yang lain untuk meletakkan jawatan bagi membolehkan pemilihan parti dibuat.

"Surat perletakan jawatan boleh diserahkan kepada Setiausaha Agung untuk diproses," katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan pemilihan baru parti akan diadakan pada Januari, Dr Chua bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

"Jika cukup ahli letak jawatan, boleh jadi buat pada Januari. Kita tunggu dan lihat sahaja. Masih terlalu awal untuk diperkatakan," katanya kepada media.

Bagi Dr Chua ada beberapa isu lain yang harus diselesaikan terlebih dahulu sebelum pemilihan parti.

"Itu adalah antara tujuan utama mesyuarat Jawatankuasa Khas yang di adakan di Wisma MCA hari ini.

"Jawatankuasa hari ini telah berbincang dan mengkaji mengenai isu teknikal yang harus ditangani supaya keputusan yang dibuat selaras dengan Perlembagaan MCA," ulasnya.

Mengulas kemungkinan Pemuda dan Wanita MCA turut mengadakan pemilihan, Dr Chua menjelaskan perkara itu masih dalam peringkat perbincangan dan akan diperhalusi.

Naib Presiden MCA itu bagaimanapun berharap keputusan yang bakal dibuat selepas ini adalah sebagai satu ruang untuk MCA kembali bersatu padu.

Beliau turut gembira dengan suasana yang baik dalam parti politik itu ketika ini dan berharap ia dapat diteruskan untuk kebaikan parti.

Tiong Lai Senada Dengan Dr Chua

Bagi Datuk Seri Liow Tiong Lai, beliau optimistik masalah dalaman MCA akan diselesaikan secepat mungkin.



Namun beliau berharap pihak media tidak membuat sebarang spekulasi mengenai parti MCA yang akan memburukkan lagi keadaan.

"Harap semua dapat bersabar, jangan buat spekulasi kerana ia akan menjejaskan proses pemulihan parti," katanya.

Liow yang ditemui media sejurus selepas sidang media Dr Chua, menegaskan tiada sebarang tekanan akan dibuat kepada ahli lain yang belum meletakkan jawatan.
"Ini bukan paksaan," katanya ringkas.

Nampak Hantu Teoh Beng Hock Di Plaza Masalam?

Tiga individu mendakwa mereka ternampak satu lembaga yang menyerupai mendiang Teoh Beng Hock merayau-rayau di ibupejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Plaza Masalam, Shah Alam


Menurut laporan akhbar China Press, lembaga tersebut dilihat di tingkat lima bangunan tersebut - tempat Teoh ditemui mati dan di tingkat 14, iaitu pejabat SPRM Selangor.

Laporan itu menyebut seorang pengawal keselamatan dan dua pegawai SPRM terserempak dengan lembaga itu sekitar bulan Oktober lalu - lebih dua bulan selepas Teoh ditemui mati.

Pengawal keselamatan tersebut yang enggan namanya disebut berkata, dia tidak nampak muka lembaga itu, tetapi ia berpakaian sama seperti yang dipakai mendiang ketika datang ke pejabat SPRM dulu.



"Saya nampak mayatnya selepas jatuh. Saya pasti ianya Teoh walaupun saya hanya lihat bahagian belakangnya," katanya sambil menambah kejadian itu berlaku kira-kira jam 6.30 petang.

Ketika mencerita semula kejadian itu, pengawal tersebut berkata dia pergi ke bilik air di tingkat lima di mana secara dia tiba-tiba terdengar bunyi orang berjalan. Pengawal keselamatan yang lain tidak bertugas ketika itu.



"Saya rasa pelik. Biasanya pada waktu itu tiada orang lain di situ. Lalu saya berjalan ke arah tandas... kemudian saya nampak seorang lelaki di depan lif, dia memakai kot hitam dan berseluar putih," katanya.

Pada masa itu, tidak terlintas di fikiran pengawal tersebut bahawa ia adalah lembaga yang menyerupai Teoh itu.

"Saya bertanya dia hendak ke mana kerana tiada orang di atas. Dia menjawab "saya nak naik ke atas", lalu masuk ke dalam lif.

"Ketika itulah saya terfikir yang dia nampak seperti Teoh, jadi saya bergegas ke bilik keselamatan untuk melihat CCTV, tetapi tiada seorang pun dalam lif tersebut.

Natasha Hudson Nafi Bercerai Kali Ketiga.

Natasha menafikan dakwaan yang mengatakan dia pernah berkahwin dengan jejaka Inggeris
 
BUKAN kali kedua seperti mana yang diuar-uarkan kepada umum, sebaliknya kali ketiga! Itulah dakwaan yang menggambarkan perihal sebenar penceraian aktres Natasha Hudson, 27, yang cukup mengejutkan dan tersimpan erat tanpa diketahui ramai.

Justeru, peluang bersemuka dengan Natasha kelmarin adalah ruang terbaik buat kami mendapatkan pengakuan empunya badan akan kesahihan cerita yang diperoleh daripada beberapa sumber.



Sebaik diajukan dengan pertanyaan itu, Natasha yang ditemui sejurus selepas berakhirnya sidang media kelmarin mempamerkan reaksi terkejut.

Dengan nada sedikit meninggi tatkala menafikan pertanyaan itu, Natasha menyatakan bahawa penceraian kali ini adalah yang kedua seperti diketahui umum dan berkeras menolak dakwaan angka penceraian kali ini adalah yang ketiga.



"Apa? Mana anda dengar semua cerita karut ini? Itu tidak benar! Anda tidak boleh sesuka hati membuat tuduhan. Cerita itu sangat mengarut!" tegas Natasha dengan wajah terkejut.

Menurut sumber terdekat dengan Natasha itu, cerita perkahwinan pertamanya bersama seorang jejaka Ireland itu memang tidak diketahui ramai. Malah, ketika ditanya sama ada dia pernah berkahwin dengan seorang jejaka berbangsa Inggeris menerusi perkahwinan pertama, Natasha bertegas, cerita karut itu sama sekali tidak berasas.

"Cerita itu tidak berasas sama sekali. Hakikatnya, saya bercerai hanya sebanyak dua kali dan bukan tiga kali seperti yang didakwa. Pertama, bersama Faiz di mana perkahwinan kami hanya bertahan selama empat bulan dan perkahwinan kedua dengan Shahrin selama dua tahun. Itu kebenarannya.



"Dakwaan yang mengatakan saya pernah berkahwin dengan lelaki mat saleh (jejaka Inggeris) adalah tidak benar dan mengarut. Saya tidak pernah tertarik dengan lelaki mat saleh, apatah lagi untuk berkahwin. Maka, cerita ini sangat mengarut. Anda tidak sepatutnya percaya dengan cerita karut yang dipaparkan di blog dan internet. Itu sama sekali tidak benar!" tegas Natasha lagi.

Malah, Natasha turut menambah bahawa tuduhan dan dakwaan tersebut membuatnya teruja dan tidak sabar untuk bercerita kepada orang tuanya.

Dalam pada itu, ibu kepada Nessa Helena ini terus ditanya mengenai tindakannya meminggirkan wartawan ketika di majlis perkahwinannya dengan Datuk Shahrin Zahari dan mula mencari media setelah berlakunya episod luka ini.




Natasha bagaimanapun menyesali perbuatannya dan mengaku dia banyak belajar daripada kesilapan itu.

"Saya benar-benar belajar daripada tindakan saya dulu. Ketika itu saya masih muda dan tidak berfikir panjang ketika membuat keputusan. Saya beranggapan bahawa keputusan itu adalah pilihan terbaik tetapi ternyata saya silap.

"Saya tidak pandai bergaul dengan rakan media dan tidak sedar tindakan bodoh itu akhirnya mengundang padah. Kini, saya belajar daripada kesilapan itu dan cuba perbaiki diri," akui Natasha mengakhiri bicara kontroversi itu.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails