Geng Aku

Isnin, 7 Disember 2009

Nizar V'8! 13 Anggota CC MCA Letak Jawatan



Seramai 13 Ahli Jawatankuasa Pusat (CC) MCA, termasuk Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Naib Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai sudah menandatangani surat peletakan jawatan bagi memberi laluan kepada pemilihan baru parti.


Bagaimanapun Dr Chua berkata, tujuh lagi anggota CC perlu mengambil langkah yang sama kerana syarat mengadakan pemilihan baru memerlukan 20 daripada 30 anggota CC MCA letak jawatan.



Beliau menerangkan tempoh 24 hari diberikan kepada ahli yang lain untuk meletakkan jawatan bagi membolehkan pemilihan parti dibuat.

"Surat perletakan jawatan boleh diserahkan kepada Setiausaha Agung untuk diproses," katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan pemilihan baru parti akan diadakan pada Januari, Dr Chua bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

"Jika cukup ahli letak jawatan, boleh jadi buat pada Januari. Kita tunggu dan lihat sahaja. Masih terlalu awal untuk diperkatakan," katanya kepada media.

Bagi Dr Chua ada beberapa isu lain yang harus diselesaikan terlebih dahulu sebelum pemilihan parti.

"Itu adalah antara tujuan utama mesyuarat Jawatankuasa Khas yang di adakan di Wisma MCA hari ini.

"Jawatankuasa hari ini telah berbincang dan mengkaji mengenai isu teknikal yang harus ditangani supaya keputusan yang dibuat selaras dengan Perlembagaan MCA," ulasnya.

Mengulas kemungkinan Pemuda dan Wanita MCA turut mengadakan pemilihan, Dr Chua menjelaskan perkara itu masih dalam peringkat perbincangan dan akan diperhalusi.

Naib Presiden MCA itu bagaimanapun berharap keputusan yang bakal dibuat selepas ini adalah sebagai satu ruang untuk MCA kembali bersatu padu.

Beliau turut gembira dengan suasana yang baik dalam parti politik itu ketika ini dan berharap ia dapat diteruskan untuk kebaikan parti.

Tiong Lai Senada Dengan Dr Chua

Bagi Datuk Seri Liow Tiong Lai, beliau optimistik masalah dalaman MCA akan diselesaikan secepat mungkin.



Namun beliau berharap pihak media tidak membuat sebarang spekulasi mengenai parti MCA yang akan memburukkan lagi keadaan.

"Harap semua dapat bersabar, jangan buat spekulasi kerana ia akan menjejaskan proses pemulihan parti," katanya.

Liow yang ditemui media sejurus selepas sidang media Dr Chua, menegaskan tiada sebarang tekanan akan dibuat kepada ahli lain yang belum meletakkan jawatan.
"Ini bukan paksaan," katanya ringkas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails