Kesemua 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak dari Pakatan  Rakyat tidak akan menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang  dipanggil Speaker lantikan Barisan Nasional, Datuk R.Ganesan pada 30 Mac  ini.
Adun Pasir Panjang, Datuk Seri Nizar Jamaluddin berkata Pakatan  Rakyat tidak mengiktiraf notis yang dikeluarkan itu kerana Ganesan bukan  Speaker yang sah, sebaliknya jawatan itu masih disandang Speaker V  Sivakumar.
Bagaimanapun, Nizar berkata, ADUN Pakatan Rakyat sedia menghadiri  sidang dewan berkenaan jika notis dikeluarkan oleh Speaker S. Sivakumar.
“Kalau dia panggil kita tidak hormat sebab dia bukan Speaker…kita  tidak iktiraf surat dia. Jadi kita hanya hadir jika Speaker yang sah,  Sivakumar panggil (sidang DUN),”katanya ketika dihubungi TVSelangor.
Terdahulu, Speaker lantikan Barisan Nasional, Datuk R Ganesan melalui  notis yang ditandatangani Setiausaha DUN Perak, Rumaizi Baharin  memanggil sidang Dewan 30 Mac ini.
Sidang itu adalah yang pertama kali selepas Mahkamah Persekutuan  membuat keputusan kontroversi baru-baru ini, apabila mengisytiharkan  Datuk Seri Zambry Kadir sebagai Menteri Besar yang sah.
Semua wakil rakyat turut diminta menghantar soalan bertulis sebelum  15 Mac.
Bagaimanapun, dalam sidang DUN berkenaan, setiap wakil rakyat hanya  dibenar mengemukakan maksimum lima soalan bertulis dan tiga soalan lisan  sahaja.
Nizar menjelaskan keputusan untuk tidak mengiktiraf Ganesan sebagai  Speaker dibuat kerana lantikan Speaker lantikan BN iyu telah melanggan  peraturan 36A(5) Perlembagaan Negeri Perak
Ganesan sebelum ini gagal meletakkan jawatan sebagai Peguam selepas  tiga bulan dilantik sebagai Speaker.
“Dia telah melanggar peraturan 36A(5) Perlembagaan Negeri Perak yang  dilanggar oleh Ganesan ini, dari segi peraturan juga dia melanggar  Peraturan Dewan, dari segi Perlembagaan, dia melanggar Perlembagaan  Perak…dia tidak patuh pada Perlembagaan Perak. Jadi semua ini  menunjukkan dia adalah bukan Speaker,” katanya. -TVS
 

 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan