Langkah kerajaan pusat yang berhasrat untuk menaikkan kadar bayaran  tol bagi lebuh raya yang terletak di kawasan bandar menerima bantahan  daripada pelbagai pihak.
Mendahului bantahan keras terhadap isu  ini ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang berkata  cadangan itu amat bertentangan dengan konsep 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang sering dilaungkan oleh  Perdana Menteri.
"Kerajaan seharusnya menimbangkan cadangan ini  dengan sewajarnya dan melihat kepada kepentingan rakyat yang hidup dalam  kesusahan," kata Guan Eng.
Menurut Guan Eng lagi, kerajaan negeri  akan membantah sekeras-kerasnnya sikap segelintir syarikat yang  mahu mendapatkan keuntungan yang berlipat ganda dengan membebankan 1.5  juta penduduk Pulau Pinang dan 27 juta rakyat Malaysia.
Beliau  mengulas mengenai spekulasi bahawa 10 lebuh raya dijangka akan dinaikkan  kadar tol termasuk di Jambatan Pulang Pinang dan Lebuh Raya Pantai  Timur (LPT), di mana syarikat konsesi terbabit meminta Kerajaan Pusat  untuk mengkaji kadar harga tol baru.
Baru-baru ini, Menteri Kerja  Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor memberitahu pihaknya mencadangkan  beberapa langkah alternatif kepada makmal Bidang Keberhasilan Utama  Negara (NKRA) dalam menangani isu kenaikan tol bagi lebuh raya yang  terletak di kawasan bandar.
Antara yang dicadangkan pihaknya  ialah memanjangkan tempoh konsesi bagi syarikat terlibat tanpa perlu  membayar pampasan.
Namun kementerian berpandangan sekiranya lebuh  raya terbabit hendak dinaikkan tol, perlu ada alternatif yang jelas.
Ini  bagi memastikan kepentingan semua pihak seperti kerajaan, pemegang  saham dan pengguna lebuh raya serta pembayar cukai terjaga.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan