Geng Aku

Khamis, 3 Disember 2009

Makkal Sakti Kian Hancur..



Parti Makkal Sakti Malaysia, yang dilancarkan dua bulan lalu oleh Perdana Menteri, menuju perpecahan dengan kumpulan bertelagah mendesak Presidennya R S Thanenthiran melepaskan jawatannya dengan segera.

Kumpulan yang dipimpin oleh Timbalan Presiden A Vathemurthy yang mendakwa menerima sokongan lebih 15 daripada 27 anggota Jawankuasa Pusat (CC) tidak mahu Thanenthiran memimpin parti ini lagi.

“Kami mahu Thanenthiran melepaskan jawatan presiden dan tidak lagi memimpin parti. Usul untuk menyingkirkan sepatutnya dibincangkan hari ini tetapi mesyuarat CC dibatalkan minit terakhir, kami tidak tahu siapa di belakangnya,” kata Vathemurthy pada sidang di sini sebentar tadi.

Mesyuarat CC yang dijadual membincangkan usul menggugurkan Thanenthiran sepatutnya bersidang malam ini.

Tetapi Setiausaha Agung R Kannan telah membatalkan notis mesyuarat tengah malam tadi.
Parti Makkal Sakti yang didaftarkan Mei tahun ini telah dilancarkan oleh Najib pada 10 Oktober lalu dan pernah dilihat sebagai sebuah parti politik alternatif untuk masyarakat India negara ini.



Bagaimanapun MIC telah memperlihatkan bantahan dengan mengatakan bahawa penubuhannya akan memecahbelahkan lagi masyarakat India yang pernah menyaksikan perpecahan teruk ketika pilihan raya umum Mac 2008.



Mengulas lanjut, Vathemurthy berkata majoriti anggota CC dan ahli akar umbi jelas sudah tiada keyakinan ke atas kepimpinan Thanenthiran.

“... dan merasakan bahawa kepimpinannya yang berterusan sebagai presiden adalah satu ancaman teruk kepada kestabilan, kemajuan dan masa depan bagi Parti Makkal Sakti Malaysia yang baru ditubuhkan dan bagi masyarakat India Malaysia secara keseluruhan,” kata beliau pada sidang media di sini.

Seramai 12 daripada anggota CC yang beliau dakwa menyokongnya hadir pada sidang media hari ini.

Beliau menambah pihaknya amat kecewa kerana tanpa sebarang notis awal dan kelulusan, setiausaha agung secara unilateral telah membatalkan mesyuarat yang dijadual untuk diadakan mulai pukul 7.30 petang ini.

Mesyuarat itu dipanggil oleh kumpulan beliau dan awalnya telah mendapat kelulusan setiausaha agung.

Katanya, berdasarkan perlembagaan parti mesyuarat khas boleh diadakan jika empat anggota CC membuat permohonan dan perlu diadakan dalam tempoh tujuh hari.

“Kami telah mendapatkan nasihat perundangan dan percaya bahawa tindakan setiausaha agung (membatalkan mesyuarat CC pada minit-minit terakhir) adalah tidak sah dan tidak adil buat kami,” katanya lagi.

Beliau mendakwa amalan tidak prihatin Thanenthiran dan gagal memperlihatkan kepimpinan yang efektif telah menyebabkan parti ini berpecah kepada dua.

“Beliau menguruskan parti ini macam hanya milik seorang individu dengan sokongan anggota keluarga dan saudara mara beliau sebagai anggota CC,” katanya. Salah seorang adik Thanenthiran juga merupakan Naib Presiden parti.

Vathemurthy juga mendakwa  Thanenthiran tidak telus dan tidak bertanggungjawab dalam soal kewangan.

“Sebagai contoh, apabila kami tanya beliau tentang jumlah wang yang telah dikumpulkan sejak parti ditubuhkan dan sumbernya, beliau tidak melayan pertanyaan kami dan mengatakan bahawa kami tidak wajar menanya perkara-perkara ini.



“Jadi di mana prinsip demokrasi dalam parti yang kita perjuangkan ini?” katanya.
Sehubungan itu beliau meminta agar Perdana Menteri dan semua pihak yang terbabit agar memutuskan segala urusan dengan Thanenthiran mulai sekarang.

“Oleh kerana isu ini memerlukan perhatian serius, kami akan menggunakan apa jua saluran untuk menyelamatkan parti ini,” katanya.

Ketika ditanya mengenai tindakan susulannya, Vathemurthy berkata beliau akan memohon agar diadakan satu lagi mesyuarat khas CC dalam waktu terdekat.

“Kami akan memberikan mereka satu lagi peluang untuk membincangkan agenda ini (melucutkan kedudukan Thanenthiran).

“Kemudian kami akan bergerak dari sana,” kata beliau sambil menambah akan memilih presiden baru daripada kalangan anggota CC semasa ataupun seorang dari luar parti.
Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut tetapi menegaskan, calon itu bukan bekas Timbalan Presiden MIC Datuk S Subramaniam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails