Geng Aku

Selasa, 10 November 2009

Kelantan Nafi Pemain Jual Perlawanan




Kelantan menolak dakwaan kononnya pemain menjual permainan yang menyebabkan pasukan itu kalah kepada Negeri Sembilan pada perlawanan akhir Piala Malaysia pada Sabtu lepas.

Pengurus pasukan, Azman Ibrahim, berkata kekalahan itu juga bukan kerana kelemahan strategi ketua jurulatih, B. Sathianathan.




"Semuanya spekulasi sahaja. Bagi saya adalah tidak benar disebabkan Kelantan kalah pada perlawanan itu pelbagai tuduhan dibuat dan andaian dikeluarkan banyak pihak," katanya ketika mengulas kekalahan pasukan Kelantan itu.

Beliau ditemui pemberita sekembali dari Kuala Lumpur bersama pasukan Kelantan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini, dan disambut oleh 50 penyokong.

Dalam perlawanan yang disaksikan oleh lebih 60,000 penonton itu, Kelantan kalah 3-1.

Azman berkata sekiranya betul ada cubaan membeli pemain Kelantan, pihak yang membuat andaian itu perlu memberi maklumat kepada pihak berkuasa.

"Bagi saya perkara itu tidak berlaku, mungkin ada pihak mahu spekulasi isu ini setelah Kelantan kalah pada perlawanan itu," katanya.

Bagaimanapun beliau mengakui ada kelemahan dari segi penempatan posisi pemain yang membawa kepada pasukan itu mudah ditembusi dan permainan agak lemah.

Azman berkata sebagai jurulatih, Sathianathan tahu tentang pemain yang hendak diketengahkan walaupun baru mengetuai pasukan Kelantan.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails