|
|
Pada pusingan pertama awal bulan ini, Azizulhasni, 21, tersingkir seawal saringan pertama apabila kejayaannya menduduki tempat kedua dibatalkan kerana didapati bersalah menghimpit pelumba lain.
Namun semalam, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu pula menjadi mangsa dihimpit pelumba Australia, Shane Perkin ketika menuju ke garisan penamat dalam perlumbaan akhir.
Berikutan insiden itu, Perkin yang sepatutnya meraih perak didapati bersalah sekali gus dibatalkan kemenangannya.
Azizulhasni yang menduduki tempat ketiga diberikan posisi sebagai naib juara dengan berada di belakang juara acara itu, Carsten Bergemann dari Jerman.
Pengurus pasukan, Azman Abu Kassim ketika dihubungi di Melbourne berkata, selepas gagal di Manchester, pelumba negara menunjukkan keazaman tinggi untuk menang di sini.
"Kita juga meraih kejayaan bonus kerana seorang lagi pelumba negara, Josiah Ng menang gangsa dalam acara keirin ini. Kejayaan menduduki tempat kedua dan ketiga ini pastinya mencerahkan peluang Azizulhasni dan Josiah untuk layak secara merit ke kejohanan trek dunia tahun depan," katanya.
Selepas berakhir dua pusingan Piala Dunia Klasik ini, untuk kedudukan mata keseluruhan acara keirin, Azizulhasni kini berada di tangga ketiga dengan 10 mata di belakang Bergemann dan Chris Hoy (13 mata).
Josiah pula di tangga kelima dengan lapan mata, berada di belakang pelumba Greece, Christos Volikakis yang mengumpul 10 mata.
Sementara itu dalam acara-acara lain yang berlangsung kelmarin, Muhammad Adiq Husainie Othman hanya mampu menduduki tempat ke-10 acara perlumbaan mata daripada 20 pelumba yang mengambil bahagian.
Manakala acara pecut berpasukan, trio negara menduduki tempat kesembilan daripada 11 pasukan.
Muhammad Syamil Bahrum yang menyertai acara 1km ujian masa pula menduduki tempat tercorot yakni ke-13 dengan catatan masa 1min:05.827s.
Hari ini, Azizulhasni dan Josiah akan turun dalam acara 200m pecut manakala pelumba wanita kita, Fatehah Mustapha menyertai acara 500m ujian masa dan keirin.
Adiq dan Amir Mustapha Rusli pula akan beraksi dalam acara madison.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan