Pakatan Rakyat berjaya menyapu bersih semua saluran pengundian di DUN Permatang Pasir semalam, sementara menjauhkan jurang antara PR dengan BN dengan rekod 6-1, dalam pilihan raya kecil sejak Malaysia dilanda tsunami politik pada 8 Mac 2008.
UMNO-BN yang tidak meletakkan calon dalam pilihan raya kecil DUN Penanti, 31 Mei 2009, walau bagaimanapun mengekalkan rekod kekalahan 6 kali berturut-turut di Semenanjung Malaysia selepas PRU ke-12, dalam pertembungannya dengan Pakatan Rakyat.
Kemenangan mutlak PAS-PR
PAS dari PR semalam bernafas lega, apabila menundukkan calon UMNO-BN dengan kemenangan mutlak di kesemua saluran pengundian. Menurut keputusan terperinci yang terpapar, BN hampir menembusi saluran pengundian kedua di Permatang Ara (97% pengundi Melayu) dengan 287 undi, bagaimanapun tidak kesampaian apabila PAS-PR memperolehi satu undi lebih daripadanya.
Begitu juga apabila UMNO-BN dihampakan dengan 10 undi sahaja, di saluran pengundian kedua di Kampung Pelet, kawasan yang terdiri daripada 72% pengundi Melayu. PAS-PR memperolehi 185 undi, berbanding UMNO-BN dengan 175 undi.
Antara sembilan daerah mengundi, PAS-PR menang dengan margin majoriti yang paling selesa di Cross Street, dengan menyapu 75% undi. Cross Street terdiri daripada lebih 80% pengundi bukan Melayu. Sebaliknya, di daerah mengundi yang terdiri daripada 93% pengundi Melayu, Kubang Semang, menyaksikan PAS-PR merangkul 74% jumlah undi.
Di daerah mengundi seperti Sama Gagah, Permatang Pauh dan Permatang Tengah, PAS-PR berjaya mencatat nisbah jumlah undi 7:3, berbanding UMNO-BN.
UMNO-BN hanya mampu merapatkan jurang di daerah mengundi seperti Permatang Ara (43% undi), Kampung Pelet (42% undi) dan Bukit Indera Muda (40% undi). Dari struktur kaum pengundi, kawasan tersebut adalah kawasan Melayu majoriti, dengan Permatang Ara 97% pengundi Melayu, Kg.Pelet 72% pengundi Melayu dan Bukit Indera Muda 96% pengundi Melayu.
Pengundi muda tetap memihak PR
Walau bagaimanapun, PR kekal dengan kelebihannya di saluran pengundian ketiga dan keempat, memperlihatkan sokongan pengundi muda terhadap pakatan politik baru ini. Walaupun di kawasan yang majoritinya pengundi Melayu, misalnya di ketiga-tiga daerah pengundian di mana UMNO-BN "berjaya merapatkan jurang", golongan pengundi muda tetap bersama PR. Di Permatang Ara misalnya, UMNO-BN kalah dengan satu undi di saluran pengundian kedua, tetapi kalah dengan 152 undi majoriti (PAS 349: BN 197) di saluran ketiga.
Di daerah mengundi Permatang Tengah misalnya, dengan majoriti 89% pengundi Melayu, jumlah undi di saluran pengundian ketiga, keempat dan kelima menyaksikan bagaimana UMNO-BN tewas dengan 491 undi majoriti, apabila PAS-PR memperolehi 804 undi dan UMNO-BN mendapat 313 undi.
UMNO-BN dijangka tidak berubah
Jelas, kelebihan UMNO-BN hanya pada saluran pengundian pertama dan kedua, iaitu golongan pengundi yang umurnya lebih lanjut, di kawasan pengundi Melayu majoriti. Peningkatan sokongan Melayu mungkin tidak jelas, khususnya di kubu politik Anwar Ibrahim. Tetapi, mungkinkah keputusan ini cukup untuk memberangsangkan pemimpin UMNO?
Pengarah Strategi PKR, Tian Chua meramalkan bahawa UMNO-BN akan terus dengan propagandanya seperti "Anwar pengkhianat", "DAP hina Islam" dan sebagainya, memandangkan peningkatan undi 1% pun mungkin memberi kepuasan kepada UMNO.
"Sememangnya kami (PR) juga bimbang akan kehilangan undi Melayu, tetapi selagi kami mengambil pendekatan yang sederhana, mengekalkan sokongan dari struktur pengundi yang sedia ada, maka UMNO-BN akan musnah dengan sendirinya," jelas Tian Chua kepada MerdekaReview.
Kelas pekerja bersama PR
Ahli Parlimen Batu ini mengingatkan bahawa golongan yang tidak mengundi semalam adalah dari kelas pekerja, yang tidak mempunyai cuti, malah mungkin keberatan untuk balik mengundi kerana tambang kenderaan yang mahal.
Beliau yakin bahawa penurunan peratus pengundian sebanyak 10%, dikenalpasti sebagai pengundi pekerja yang akan mengundi untuk PR. Maka, kemenangan PAS-PR semalam mengukuhkan keyakinan PR bahawa strategi dan pendekatan yang sama wajar diteruskan, untuk berdepan dengan PRU ke-13.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan