Manakala penyiasatan polis Perancis menunjukkan Altantuya Shaariibuu tidak pernah memasuki Perancis dari tahun 1999 hingga 2006, terdapat gambar-gambarnya yang diambil di Paris yang disiarkan beberapa tahun lepas, yang menunjukkan sebaliknya.
Laporan mengenai siasatan polis Perancis telah disiarkan oleh portal berita Free Malaysia Today (FMT) dalam artikel bertajuk 'French probe: Altantuya never entered France' (Siasatan Perancis: Altantuya tidak pernah masuk Perancis').
Laporan yang disiarkan semalam itu berdasarkan dokumen sulit siasatan yang dikemukakan kepada inkuiri kehakiman Perancis yang sedang menyiasat dakwaan pemberian sogokan dalam perjanjian pembelian kapal selam Scorpene pada 2002 antara firma Perancis, DCNS dan kerajaan Malaysia.
Bagaimanapun, pada tahun 2007, satu siri foto diberikan kepada Asia Sentinel oleh Syed Abdul Rahman Al-Habshi - bekas konsul kehormat Mongolia di Malaysia - yang menunjukkan Altantuya "sedang makan angin ke Eropah".
Menurut portal berita yang berpejabat di Hong Kong itu, Syed Abdul Rahman ketika itu enggan menyatakan dari mana datangnya gambar tersebut.o
Ianya dipercayai telah ditemui bersama barangan milik Altantuya selepas dia dibunuh, demikian menurut laporan Asia Sentinel dalam sebuah artikel yang bertajuk 'Who was Altantuya Shaariibuu?' ('Siapakah Altantuya Shaariibuu?') tulisan John Berthelsen pada 5 Disember tahun tersebut.
"Jika anda ke laman Asia Sentinel, anda akan melihat gambar-gambarnya berdiri di depan Louis Vuitton, Buddha Bar, Notre Dame Catheral dan lokasi-lokasi lain di Paris," kata Berthelsen kepada Malaysiakini.
Berthelsen, bekas wartawan Asia Wall Street Journal di Malaysia, juga berkata, keluarga Altantuya enggan mengulas lanjut mengenai gambar-gambar tersebut.
Bagaimanapun, pada bulan April tahun ini, bapa Altantuya - Setev Shaariibuu - memberitahu satu sidang akhbar yang dianjurkan oleh Suaram di Kuala Lumpur bahawa visa anak perempuannya itu ke Perancis, dikeluarkan di Kuala Lumpur di bawah nama itu "Amina Abdullah" dan anaknya itu sepatutnya memasuki Paris selepas terbang ke Jerman.