Geng Aku

Sabtu, 13 Mac 2010

Ahli Parlimen Bebas Disatukan Di Blog F.


Sidang Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen Ke-12 yang akan dirasmikan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, pada Isnin ini akan menyaksikan tujuh Ahli Parlimen Bebas diletakkan dalam satu kelompok di Dewan Rakyat.

Mendahului kedudukan Ahli Parlimen Bebas itu ialah Ahli Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali yang akan duduk di barisan ke-3, diikuti Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai) di barisan ke-4 di blok F.

Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Eric Enchin Majimbun pula akan berada di barisan terakhir blok berkenaan bersama-sama dengan Datuk Dr Chua Soon Bui (Tawau) dan Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baharu).



Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah, berkata kedudukan baru Ahli Parlimen Bebas itu sudah mendapat kelulusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

“Bagaimanapun, kedudukan Ahli Parlimen Bebas itu masih tertakluk kepada perubahan seperti kemungkinan beralih kerusi,” katanya pada taklimat kepada media mengenai persiapan menjelang Penggal Ketiga Parlimen Ke-12 di sini, semalam.

Roosme berkata, mesyuarat Parlimen itu akan berlangsung selama 32 hari, dari 15 Mac hingga 15 April depan dan 11 hari (26 April hingga 6 Mei).


Tuanku Mizan yang menyempurnakan istiadat pembukaan Penggal Ketiga Majlis Parlimen itu akan turut bertitah di Parlimen sebelum titahnya dibahaskan selama tujuh hari, manakala tempoh empat hari diperuntukkan kepada menteri Kabinet untuk menjawab perbahasan.

Selain tujuh wakil Bebas, persidangan Parlimen kali ini menyaksikan 137 kerusi adalah wakil Barisan Nasional (BN) manakala 78 kerusi wakil pakatan pembangkang.

GST Tidak Akan Dibentangkan Di Parlimen.


Pemerintah memutuskan untuk tidak membentangkan usul Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) di sesi Parlimen depan.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata langkah ini diambil bagi memberi lebih banyak masa untuk mendapatkan pandangan dari rakyat.

“Kami mahu pandangan umum (rakyat). Bila ia dibentangkan ia bergantung kepada langkah kami mendekati rakyat dan penerimaan daripada rakyat,” kata Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kuala Lumpur (DPMM Kuala Lumpur), hari ini.

Prestasi Empat Negeri Pakatan Lebih Baik Daripada BN.



Rakyat digesa memandang ke hadapan bersama Pakatan Rakyat untuk memajukan negara kerana empat buah negeri yang diterajui selepas menang pada pilihan raya umum lalu menunjukkan prestasi dan mampu melakukan yang lebih baik daripada Barisan Nasional (BN), kata Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tegasnya, BN nampak sahaja selesa mentadbir tetapi sebaliknya diseliputi keresahan dalaman apabila berbagai isu melanda.

"Rakyat kena pandang ke hadapan bersama Pakatan Rakyat, usah lagi bersama BN yang nyata lemah dalam pentadbiran.  Nampak saja selesa tapi penuh dengan resah dan musibah, " terangnya dengan diiringi laungan reformasi dan Allahu Akbar.

Menurutnya, pilihan raya umum yang dijangkakan berlaku dua tahun lagi memerlukan perubahan yang lebih luas supaya Pakatan Rakyat tidak lagi menjadi pembangkang.

Namun, katanya bagi memastikan kuasa BN mantap, mereka akan berusaha melaksanakan program pendekatan seiras dengan apa yang dibuat menerusi Pakatan Rakyat kerana pendekatan BN yang lalu tidak lagi releven dan menjadi bahan ditertawakan rakyat.

Sehubungan itu, tambah Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, BN sepatutnya akur dengan kehendak rakyat yang telah menyatakan sokongan padu kepada Pakatan Rakyat di setiap pilihanr aya kecil yang diadakan sepanjang tahun 2009.

"Prestasi Pakatan Rakyat memang tinggi pada masa ini manakala nama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kini menjunam teruk.  Itulah yang menggerunkan Umno dan BN, " jelasnya.

Justeru, beliau meminta rakyat melihat apa yang terjadi kepada kes Altantuya, pembelian kapal selam, kehilangan enjin jet, gejala rasuah, masalah dadah, moral remaja dan seumpamanya yang semua tidak dapat diselesaikan oleh pemerintahan BN.

Menurutnya, kepimpinan BN yang ada hanya pandai bercakap tetapi tidak pula bijak bagi menanganinya dengan baik kerana mereka lebih gemar bersandiwara, suka menipu dan bercakap bohong.

“Maka, rakyat yang mempunyai kuasa mutlak kena bekerja untuk menghindarkan BN daripada terus menjahanamkan negara ini.

"Jika rakyat tidak mahu melihat negara ini hancur ekoran ketidakcekapan pemerintahan, tiada jalan lain mereka hanya perlu memangkah parti dalam gabungan Pakatan Rakyat di samping berdoa mengikut agama masing-masing.  Mudah-mudahan apa yang terjadi dapat diselamatkan," katanya lagi.
 

Siapa Ulama PAS Sokong Zulkifli Noordin?

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zukifli Noordin diminta menjelaskan siapakah ulama PAS yang dikatakan menyokongnya ekoran dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Setahu saya, hanya Ustaz Taib Azamuddin (Ahli Parlimen Baling) dan saya sahaja yang rapat dan selalu membela beliau. Sejak petisyen terhadapnya ditarik balik oleh calon Umno/BN, dia tidak lagi berhubung dengan saya.

“Apabila saya hubungi Ustaz Taib, dia pun beritahu hal yang sama. Jadi siapa sebenarnya ulama PAS yang sokong beliau lagi,” kata bekas Naib Presiden PAS, Ustaz Ahmad Awang (gambar) kepada Harakahdaily.

Dalam satu kenyataan media, Zulkifli berkata, beliau mendapat sokongan penuh daripada ulama PAS.

“Saya tertanya-tanya siapakah ulama PAS itu,” ujar Ahmad lagi yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Perak.

Sebelum ini, satu media elektronik melaporkan Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS sedia mempertimbangkan Zulkifli menyertai parti itu.

Namun dalam kenyataan kepada Harakahdaily sebagai menjelaskan laporan itu, beliau memberitahu apa yang dinyatakan itu adalah dasar terbuka PAS.

Begitupun, beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang yakin PAS tidak akan menerima Zulkifli sebagai ahli.

TNB Jadi Tali Barut BN.

Umno-Barisan Nasional sanggup mengguna apa cara sekalipun untuk menggagalkan agenda perubahan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat.




Malam tadi ucapan Ketua Umum KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim di majlis makan anjuran KEADILAN Kota Tinggi disebuah restoran di bandar tersebut diganggu sekali lagi, tetapi kali ini Umno-BN memperalatkan Tenaga Nasional Berhad pula.

Tidak sampai sepuluh minit Anwar berucap kepada kira-kira 1,000 penyokong tiba-tiba bekalan elektrik terputus menyebabkan jemputan berada di dalam kegelapan untuk beberapa minit.

Di luar restoran kelihatan sebuah trak TNB yang digunakan untuk membaiki kabel diletakkan ditepi jalan.

Apabila ditanya punca bekalan elektrik terputus seorang pekerja TNB hanya menjawab masalah teknikal.

Yang peliknya masalah bekalan elektrik hanya berlaku setelah Anwar memulakan ucapan beliau.
Setelah penyokong mula melaungkan reformasi dan Suara Keadilan mengambil gambar, trak tersebut terus beredar dan bekalan elektrik kembali pulih seperti sediakala. -SK

Kenapa Jumpa TPM?

Tindakan timbalan presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa hadir dalam program bersama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bercakap soal “perpaduan politik Islam” menimbulkan kecurigaan banyak pihak.
Laporan di blog-blog berhubung kehadiran mereka pada pelancaran buku Natrah pada 9 Mac lalu, mengaitkannya dengan idea kerajaan perpaduan antara PAS-Umno, yang menjadi isu hangat sebelum ini.

Mengulas perkara tersebut, ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad - antara pemimpin paling lantang menentang idea kerajaan perpaduan, hari ini berkata, beliau sendiri akan bertanyakan perkara tersebut kepada Nasharuddin (atas).

“Kena tanya beliau (sebab hadir). Tidak perlulah rasa curiga atau apa. (Kita) kena tanya beliau secara langsung. Bila ada peluang, bila saya jumpa beliau di parlimen, saya akan tanyalah, kenapa beliau hadir.

“Adakah beliau hadir atas jemputan atau jawatan dia hadir untuk menunjukan kesatuan apa? Tetapi dari sudut fakta sejarah, isu Natrah ini pun tidak mencapai perpaduan Melayu. Kalau benar tercapai (perpaduan Melayu), mungkin British tidak berani benarkan apa berlaku untuk berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada beliau merasa curiga dengan kehadiran Nasharuddin yang sentiasa dikaitkan dengan idea kerajaan perpaduan dengan Umno.

Pada 9 Mac, Nasharudin hadir dalam pelancaran buku bertajuk Natrah: Cinta, Rusuhan dan Air Mata oleh Muhyiddin Yassin di ibu negara.

Dalam program tersebut, Nasharudin dilaporkan berkata, usaha mewujudkan perpaduan di kalangan parti politik yang mewakili umat Islam boleh dicapai jika semua pihak berusaha bersungguh-sungguh ke arah itu.

Katanya, semua pihak tidak harus bersikap mengalah walaupun beberapa usaha sebelum ini bagi mewujudkan persefahaman antara parti politik terbesar umat Islam iaitu Pas dan Umno, terhenti di separuh jalan.

Bercakap dalam sidang media di pejabatnya di Shah Alam hari ini, Khalid berkata, setahunya kehadiran Nasharuddin dalam program tersebut tidak mewakili PAS, tetapi atas kapasiti peribadi.

Beliau juga menegaskan, bahawa muktamar agung PAS sebelum ini telah menetapkan tiada sebarang usaha boleh dilakukan untuk bekerjasama dengan Umno.

“Kehadiran mereka setahu saya tidak mewakili PAS dan tidak dilakukan atas nama PAS. Dan mungkin dilakukan secara peribadi. Dan saya hendak tegaskan bahawa muktamar PAS telah menolak apa-apa jua usaha untuk bekerjasama dengan Umno. Dan semua pemimpin mesti akur kepada keputusan muktamar,” katanya.

Tian Chua Kemalangan, Seorang Maut .


Sebuah kenderaan yang dinaiki Pengarah Strategik PKR yang juga Ahli Parlimen Batu, Tian Chua terlibat dalam kemalangan dengan sebuah motosikal ketika mereka dalam perjalanan ke sini untuk menghadiri ceramah malam semalam mengakibatkan penunggangnya maut.

Insiden pukul 9 malam itu, dikatakan berlaku di Kilometer (KM) 49 Jalan Johor Baru-Mersing apabila kereta berkenaan bertembung dengan sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan.

Penunggang motosikal itu meninggal dunia selepas dimasukkan ke Hospital Kota Tinggi - dua jam selepas kemalangan tersebut.

Mangsa dikenali sebagai Mohd Salleh Hamdan, 23, seorang prebet di Kem Tentera Mersing.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Osman Mohamed Sebot berkata, Tian Chua, pemandunya dan seorang lagi penumpang di dalam kereta Mercedes Benz yang dinaiki mereka itu tidak mengalami apa-apa kecederaan.

Bagaimanapun katanya, lelaki berusia 45 tahun yang memandu kereta itu kini ditahan buat sementara waktu untuk membantu siasatan.

Sementara itu keluarga Mohd Salleh ketika ditemui di Hospital Kota Tinggi masih tidak mempercayai yang mangsa telah meninggal dunia.

Tunangnya, Noraliza Said Abd Basar, 26, ketika ditemui berkata, mereka telah saling mengenali antara satu sama lain lebih sembilan tahun dan bercadang untuk berkahwin Jun ini.

“Saya seperti tidak percaya dia telah tiada dan apa yang tinggal kini hanyalah memori indah mereka bersama,” katanya.

Mereka telah melangsungkan pertunangan tiga bulan yang lalu.

Sementara itu bapa Mohd Salleh, Hamdan Saum, 48, berkata, anaknya adalah seorang yang penyayang dan sangat mengambil berat akan hal ehwal mereka sekeluarga.

“Dia jarang mengambil cuti tetapi entah kali ini dia mengambil cuti daripada latihannya dan mahu kembali ke rumah tetapi ini yang berlaku,” katanya yang juga bekas anggota tentera.

Tian Chua pula telah merakamkan rasa sedihnya di atas kejadian malang itu dan berkata, PKR telahpun melancarkan derma kilat untuk membantu meringankan kesengsaraan keluarga mangsa.

Jumaat, 12 Mac 2010

Tempoh Mohsin Tarik Balik Keputusan Tamat - Ahmad Awang

Malam tadi tamatlah tempoh tujuh hari yang diberikan oleh pendukung Pakatan Rakyat (PR) Bagan Serai kepada ahli parlimen kawasan ini, Mohsin Fadzli Samsuri untuk menarik balik keputusannya meninggalkan PR.

Mulai malam esok, mereka mulai mengadakan solat hajat selama tujuh hari memohon kepada Allah agar ahli parlimen itu insaf atau menyerahkan kembali mandat rakyat itu  dengan meletakkan jawatan.

Majlis solat hajat akan diadakan esok bermula dengan solat Mghrib di Balai Kuliah Tasawur Islam Simpang Empat Semanggol, kata bekas Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Ustaz Ahmad Awang (gambar kanan).

Katanya, semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu, beliaulah yang memperkenalkan Mohsin kepada orang ramai  khasnya masyarakat Cina dan PAS Kawasan Bagai Serai.

Beliau yang juga Ahli Majlis Syura berkata, solat hajat itu akan berakhir Jumaat depan di Masjid Tinggi Bagan Serai,” ujarnya.

"Saya cuba hubungi dia (Mohsin), sejak keluar berita, hanya semalam dia sms balas saya dan tolak apa yang kami minta. Apa yang kami minta supaya tidak sokong Bebas, tidak sokong BN dan sokong Pakatan sama ada dalam atau luar parlimen.

"Selepas tamat tempoh, dia nampaknya berkeras dan kami akan mengadu kepada Allah memohon petunjuk daripada-Nya kerana dia khianat amanah rakyat masalah pilihan raya lalu," ujarnya.

Mohsin (gambar kiri) mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 3 Mac lalu dengan alasan kecewa Pakatan mengkritik institusi raja dan kehakiman dan tidak puas hati sikap PKR menyokong penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Beliau juga meletak semua jawatan dalam parti dan menjadi Ahli Parlimen Bebas.

Pada PRU ke-12 lalu, Mohsin yang mendapat 18,943 undi menewaskan calon BN, Datuk Zainal Abidin Zin dengan majoriti 3,413 undi.

Perhimpunan Bantah GST Di Parlimen Isnin Ini.

Satu perhimpunan aman bagi membantah pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan diadakan seperti yang dirancang Isnin ini, kata penyelaras Protes, Dr Hatta Ramli.

Perhimpunan aman itu akan diadakan selama sejam, mulai 9 pagi di sekitar kawasan jejambat Lebuh Raya Mahameru, berdekatan bangunan Parlimen, sebelum sidang baru Dewan Rakyat bermula, Isnin ini.
Dr Hatta menjangka kira-kira 2,000 orang akan menyertai perhimpunan itu termasuk ahli parlimen Pakatan Rakyat dan anggota pertubuhan hak asasi manusia dan parti-parti pembangkang yang membantah pelaksanaan GST.

"Pukul 10 kita akan bersurai kerana semua ahli parlimen akan membahaskan perkara ini di dalam dewan selepas itu.

"Semuanya sudah bersedia, tunggu untuk berhimpun sahaja," kata Dr Hatta yang juga ahli parlimen Kuala Krai.

Sebelum ini, Dr Hatta (kanan) dilaporkan berkata perhimpunan itu diharap berjaya menarik perhatian Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, yang akan merasmikan perbahasan Dewan Rakyat.

Rang undang-undang cukai barangan dan perkhidmatan itu akan dibentangkan untuk bacaan kedua pada sidang Dewan Rakyat Isnin ini.

Dr Hatta Ramli juga dilaporkan berkata kumpulan berkenaan membantah pelaksanaan GST kerana ia membebankan golongan miskin. Ia berslogankan 'Cukai yang memiskinkan rakyat, Gagalkan sebelum terlambat'.

Sebelum ini juga, terdapat juga forum-forum dianjurkan oleh NGO dan parti politik, membantah pelaksanaan cukai tersebut.

Ketika dihubungi Ma
laysiakini pagi ini, Dr Hatta berkata tidak ada sebarang perarakan Isnin ini.

Menurutnya, segala persediaan untuk menjayakan perhimpunan itu termasuk persiapan dari sudut keselamatan turut dititikberatkan.

Mengulas lanjut, Dr Hatta yang akan mengetuai perhimpunan tersebut menjelaskan pihaknya tidak memohon permit kerana menyifatkan ia merupakan perhimpunan aman.

Ditanya sama ada pihaknya memaklumkan perkara itu kepada polis, Dr Hatta berkata: "Kita rasa mereka sudah tahu, perkara ini bukan rahsia lagi".

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails