Geng Aku

Ahad, 28 Februari 2010

Nik Aziz Tonton Filem Buat Julung Kali.


Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) akan menonton filem “Ketika Cinta Bertasbih” yang akan ditayangkan di Balai Islam Lundang esok, yang menurut pegawainya ini kali pertama beliau berbuat demikian di khalayak ramai dalam hidupnya.


Setiausaha Politik kepada Nik Aziz, Wan Nik Wan Yusuf mengesahkan perkara itu.

 “Setakat ini disahkan tok guru akan hadir,” katanya.

“Jika Tok Guru Nik Aziz hadir menonton filem itu, maknanya ini adalah kali pertama beliau menonton filem dalam hidupnya.

“Sebelum ini beliau memang tak pernah menonton wayang.


“Tok Guru rasa minat nak tengok filem itu kerana mesejnya yang berunsur kerohanian dan keagamaan,” kata beliau.

Tayangan filem tersebut diadakan sempena Hari Hiburan Islam selaras dengan usaha kerajaan negeri yang tidak pernah menyekat persembahan hiburan, yang sebahagiannya menjadi aspirasi rakyat Kelantan khususnya di kalangan remaja.

Sementara itu Timbalan Ketua Pemuda PAS negeri Ahmad Baihaqi Atiqullah yang juga selaku pengarah program berkata tayangan filem berkenaan dijangka bermula pukul 9 malam.

Pensyarah Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah dijemput mengupas filem tersebut.


“Saya menjemput orang ramai hadir bersama-sama menonton filem bercorak kerohanian itu selain untuk berhibur, ia juga dapat menambah ilmu pengetahuan,” katanya.

“Ketika Cinta Bertasbih” sebuah filem yang diadaptasikan daripada novel karya penulis Indonesia, Habiburrahman El-Syirazi dan merupakan filem “box-office” di Indonesia tahun lalu.

Pada 14 Feb lalu, lebih 1,000 penonton menyaksikan tayangan filem “Ketika Cinta Bertasbih” bahagian pertama yang diadakan di Kelantan Trade Centre (KTC).

Sempena program tersebut Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan telah meraikan kunjungan selebriti TV3, Wardina Safiyyah dan Habiburrahman yang juga selaku pengarah filem tersebut.

Nik Aziz menghargai kehadiran mereka ke negeri ini sebagai ikon kepada persembahan hiburan Islam.

Sabtu, 27 Februari 2010

Pakatan-Satu Lawan Satu Di Sarawak.


Pakatan Rakyat telah bersetuju agar semua pertandingan dalam pilihanraya negeri Sarawak yang akan datang adalah pertembungan satu lawan satu antara Pakatan dengan BN.

Setiausaha agung PKR, Saifuddin Nasution berkata, Pakatan telah mula membuat persiapan untuk menghadapi pilihanraya negeri itu yang dijangka diadakan beberapa bulan akan datang, kemungkinan antara bulan Jun dan Julai ini.

Pilihan raya negeri Sarawak - yang terakhir berlangsung pada 2006 - mesti diadakan dalam tempoh 16 bulan ini. Sarawak merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang tidak mengadakan pilihanraya negeri serentak dengan pilihanraya Parlimen.


Saifuddin berkata, strategi satu lawan satu itu - yang telah menghasilkan kemenangan besar kepada pembangkang dalam pilihanraya umum 2008 - akan digunakan dalam pilihan raya negeri Sarawak kali ini.

"PKR, DAP dan PAS pada prinsipnya telah bersetuju dengan pertandingan satu lawan satu dengan BN. Kita pastinya berharap ia akan memberi impak yang besar kali ini," katanya kepada Malaysiakini.

Tsunami politik pada 2008 menyaksikan lima negeri di Semenanjung jatuh ke tangan pembangkang serta menafikan BN penguasaan majoriti dua pertiga di Parlimen.


Sarawak mempunyai 71 kerusi negeri, dengan 62 daripadanya dikuasai oleh BN. Manakala DAp, Parti Cinta Malaysia yang baru ditubuhkan dan Bebas, menang sembilan kerusi.

Pilihan raya umum 2008 telah menyaksikan berlakunya beberapa pertandingan tiga penjuru yang membabitkan parti-parti Pakatan di Sabah dan Sarawak.

Saifuddin yang juga ahli parlimen Machang berkata, perkara itu telah dibincangkan oleh majlis presiden Pakatan pada hari Isnin.

Majlis itu, kata beliau, seterusnya akan menumpukan kepada perbincangan mengenai pilihan raya negeri Sarawak, khususnya mengenai strategi pertandingan satu lawan satu, serta memanfaatkan jentera pilihan raya bersama.

Timbalan Yang Di-Pertuan Agong Berangkat Pulang Ke Kedah


Timbalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berangkat pulang ke Kedah hari ini, selepas sebulan melaksanakan fungsi jawatan Yang di-Pertuan Agong.

Baginda yang juga Sultan Kedah diiringi Sultanah Kedah Tuanku Hamimah Hamidun berlepas dari Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada jam 11.30 pagi.

Baginda yang ditabalkan sebagai Sultan Kedah pada 20 Feb 1959, adalah Yang di-Pertuan Agong kelima dari 20 September 1970 sehingga 20 September 1975.

Hadir sama bagi mengucapkan selamat berangkat ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Turut sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Baginda memangku jawatan itu semasa ketiadaan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin yang menjalani rawatan susulan fisioterapi di Medical Park, St Hubertus, Bad Wiessee, Jerman sejak 26 Januari lepas.

Semalam, Tuanku Mizan selamat pulang ke tanah air diiringi oleh Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah serta anakanda-anakanda baginda.

Pada 30 November tahun lepas, Tuanku Mizan menjalani pembedahan lutut di Pusat Perubatan Klinikum Rechts Der Isar, Der Technischen Universitat Munchen, Munich. - BERNAMA

YDP Agong Selamat Pulang Ke Tanah Air.


Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin selamat pulang ke tanah air selepas menjalani rawatan susulan fisioterapi di Bad Wiessee, Jerman sejak 26 Jan lepas.

Keberangkatan pulang Seri Paduka pada 11.30 malam diiringi oleh Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah serta anakanda-anakanda baginda.

Menurut kenyataan Istana Negara, keadaan Tuanku Mizan dilaporkan baik selepas mendapat rawatan di Medical Park, St.Hubertus.


Tuanku Mizan turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat yang telah mendoakan kesejahteraan baginda sepanjang menjalani rawatan.

Pada 30 Nov tahun lepas, Tuanku Mizan menjalani pembedahan lutut di Pusat Perubatan Klinikum Rechts Der Isar, Der Technischen Universitat Munchen, Munich.

Agihan Wang Ehsan, Kelantan Tak Ambil Peduli.


Kerajaan Kelantan tidak akan menyekat langkah kerajaan Pusat untuk memberi wang ehsan kepada rakyat negeri itu melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), kata Timbalan Pesuruhjaya PAS III Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah (bawah).
Beliau, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, berkata apa yang menjadi tuntutan kerajaan negeri ialah wang royalti, bukannya wang ehsan.

"Soal dia nak bagi wang ehsan kepada rakyat Kelantan melalui JPP kita tidak sekat kerana itu hak mereka, malah kita tidak akan ambil tahu (kepada siapa wang itu hendak diberikan).

"Soal Kerajaan (Pusat) nak bagi wang ehsan serah pada dia, tetapi kita tetap tuntut royalti. kita akan usaha melalui pelbagai cara yang munasabah," katanya kepada pemberita, di Kota Bharu hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa kerajaan Pusat tetap mahu memberi wang ehsan kepada Kelantan kerana yakin ada rakyatnya yang mahu menerima pemberian berkenaan.

Kerajaan Kelantan bertegas mahukan kerajaan pusat membayar royalti minyak dan bukan wang ehsan walaupun pemimpin Barisan Nasional mendakwa, negeri tersebut tidak layak menerima royalti kerana dua telaga minyak yang didakwa milik Kelantan terletak lebih tiga batu nautika dari pesisiran pantai negeri itu.

Dua telaga minyak berkenaan terletak 150 batu nautika dari perairan Kelantan dan Kerajaan pusat bersetuju memberi RM20 juta wang ehsan kepada penduduk Kelantan, yang merupakan bayaran pertama sebanyak lima peratus daripada hasil dua telaga minyak pada 2008.

Perkara ini seperti yang termaktub dalam perjanjian Akta Peroleum 1974, iaitu bayaran lima peratus daripada hasil keuntungan minyak dan gas kepada kerajaan negeri.

Jumaat, 26 Februari 2010

Gambar Kat Mentor Yang Mengiurkan.

Seksi, panas, glamor dan bergaya. Inilah penampilan ‘berani mati’ penyanyi dari program realiti Mentor, Kat yang telah dirakamkan di studio The Virage, 15 Februari lalu.

Umat Islam Perlu Perkukuhkan Perpaduan Agar Terus Menjadi Umat Terbilang - Timbalan Agong



Timbalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Syah bertitah umat Islam perlu mengukuhkan persaudaraan, membina perpaduan dan meningkatkan pencapaian agar terus menjadi umat yang terbilang.

Baginda bertitah tanpa menghayati ajaran Islam yang sebenar diyakini umat Islam tidak akan mampu menjadi umat contoh bahkan akan terus dihina dan diperlekehkan.


"Sejarah telah membuktikan bahawa keagungan tamadun Islam yang dahulunya hebat dan gagah akhirnya tersungkur lantaran ada antara penganutnya yang tidak mengamalkan sepenuhnya ajaran Islam.

"Malahan yang lebih mendukacitakan telah berlaku perpecahan, pergeseran dan persengketaan di kalangan sesama umat Islam," titah baginda pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di Masjid Putra di sini pada Jumaat.

Turut hadir Sultanah Kedah Tuanku Hajah Haminah Hamidun, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Sehubungan itu baginda bertitah umat Islam perlu mengambil iktibar daripada peristiwa lampau dan menjadikan Nabi Muhammad S.A.W sebagai contoh dalam kehidupan agar benar-benar menjadi mukmin yang hebat.

Baginda bertitah tema sambutan pada tahun ini iaitu "Memantap Ukhuwah, Memperkasa Ummah" menuntut agar umat Islam mencontohi ukhuwah yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad dan menjadikan intipati ajaran Islam sebagai asas membangun ummah.

"Dalam mengorak langkah ke arah itu, umat Islam perlu sentiasa bersedia dan menyiapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan maklumat semasa agar dapat bergerak seiringan dengan tuntutan zaman.

"Sikap sambil lewa membuang masa dan takut bersaing perlu dihapus dan diganti dengan nilai-nilai positif yang boleh membentuk jati diri mukmin sejati," titah baginda.

Baginda bertitah Al-Quran dan As-Sunnah perlu dijadikan sebagai panduan dalam membina kekuatan diri ke arah membangun ummah yang mapan dan berjaya.

Baginda bertitah umat Islam perlu menjadi yang terbaik, mementingkan pencapaian dan mampu membawa perubahan ke arah kebaikan dan bukan hanya mengikut telunjuk dan budaya orang lain serta berpuas hati dengan apa yang ada.

"Sepatutnya umat Islam sentiasa berusaha ke arah mencapai kejayaan dan mencipta kemajuan.

"Inilah semangat yang perlu ada pada setiap peribadi Muslim yang menerima dan yakin dengan ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W," titah baginda.

Baginda bertitah hakikatnya, Islam sentiasa menganjurkan umatnya berusaha ke arah pencapaian hidup yang cemerlang dalam segenap aspek kehidupan.

Sehubungan itu, titah baginda, umat Islam perlu mempersiapkan diri dengan keimanan yang utuh, penguasaan ilmu yang mantap, akhlak yang mulia dengan mengorak langkah yang tersusun rapi dan salin membantu ke arah kebaikan.

"Beta pasti cahaya Islam akan terus menyinari bumi yang tercinta ini dengan rahmat dan kasih sayang Ilahi," titah baginda.


Sementara itu di SRI AMAN, kira-kira 5,000 masyarakat Islam termasuk kira-kira 100 masyarakat kaum Dayak dan Cina menyertai majlis perhimpunan dan perarakan sempena sambutan maulidur rasul peringkat negeri Sarawak di sini hari ini.

Perhimpunan yang bermula dan berakhir di Padang Kementerian Pembangunan Sosial (KPUS) Lama di sini turut disertai Yang Dipertua Negeri Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud bersama-sama 122 kontinjen yang terdiri daripada agensi kerajaan, pelbagai persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO).


Di KOTA KINABALU, hampir 10,000 umat Islam menyertai Yang Dipertua Negeri Tun Ahmadshah Abdullah dan 88 kontinjen dalam perarakan Maulidur Rasul dari Padang Merdeka ke Bangunan Majlis Ugama Islam (Wisma Muis) di Sembulan.

Turut serta Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, anggota Kabinet negeri dan ketua-ketua jabatan kerjaan persekutuan dan negeri.


Di SEREMBAN, kira-kira 13,000 orang mengambil bahagian dalam sambutan dan perarakan Maulidur Rasul peringkat negeri di Padang Majlis Perbandaran Seremban dan berakhir di Jalan Datuk Bandar Tunggal.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir mendahului perarakan 86 kontinjen dengan kira-kira 12,000 peserta yang terdiri daripada jabatan dan agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan, pelajar institusi pengajian tinggi serta pelajar sekolah.

Turut serta Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud serta Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin, anggota Exco, wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan.


Di KUALA TERENGGANU, Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Tengku Sri Panglima Raja, Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud mengetuai perarakan sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri yang disertai oleh 4,000 umat Islam yang bermula dari Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah hingga ke Stadium Negeri.

Turut serta Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mazlan Ngah, para Exco Kerajaan Negeri dan pemimpin-pemimpin masyarakat.

Sebanyak 109 kontinjen terdiri daripada agensi-agensi kerajaan, sekolah, Institusi Pengajian Tinggi, swasta dan NGO mengambil bahagian dalam perarakan itu.



Di MELAKA, Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Khalil Yaakob mengetuai perarakan yang disertai oleh kira-kira 8,000 orang dari Stadium Tun Fatimah di Bukit Serindit ke Kompleks Al Azim di sini.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Wira Othman Muhammad, anggota Exco kerajaan negeri dan pegawai kanan kerajaan turut menyertai perarakan yang disertai oleh 137 kontinjen termasuk jabatan dan agensi kerajaan, NGO, syarikat swasta, pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Ekspo Perdagangan Islam selama empat hari turut diadakan sempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini.


Di KUANTAN, sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri akan diadakan malam ini di Auditorium RTM Pahang.

Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan isteri baginda Tengku Puan Pahang Tengku Azizah Aminah Maimunah Sultan Iskandar dijangka berangkat ke majlis itu yang akan turut dihadiri oleh Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob.

-- BERNAMA

Adun Titi Serong Selamat Dalam Kemalangan.



Adun Titi Serong, Perak, Drs Khalil Idham Lim terlibat dalam kemalangan kereta di Bukit Berapit petang semalam ketika dalam perjalanan memenuhi undangan program hi-tea dan ceramah di Tapah.

Ketika dihubungi, Khalil yang juga Ketua Penerangan PAS Perak berkata, beliau dan pemandunya tidak dapat mengelak apabila tiba-tiba sahaja sebuah lori kontena keluar dan meski mengelak namun berlaku juga geselan di sebelah kiri.

“Saya bersyukur kerana kami tidak mengalami apa-apa kecederaan meskipun kereta saya mengalami kerosakan teruk, namun dalam keadaan menggeletar dan trauma, saya masih boleh keluar dan menghubungi kawan-kawan berhampiran,” jelasnya.

Di dalam blognya, Cina Islam, beliau menyatakan selamat sampai sekitar jam 10.30 malam tadi di rumahnya di Parit Buntar dihantar oleh Unit Amal Bukit Gantang.

“Sebenarnya sehari dua ini badan juga kurang sihat dan pagi tadi saya sempat menemui doktor meminta ubat batuk, demam dan selsema. Selain itu saya mengambil peluang untuk memeriksa jantung, kolesterol dan kandungan gula. Alhamdulillah keadaan jantung dalam keadaan baik, kandungan gula 4.2 dan kolesterol 5.06. Kata doktor semuanya baik dan normal.

“Alhamdulillah saya dalam keadaan baik dan akan kembali bertugas esok hari. Petang esok saya akan menaiki kapal terbang dari Penang ke KL untuk menaiki kapal terbang ke Miri, Sarawak pada awal pagi sabtu ini kerana program yang telah diatur lebih awal. 

”Awal pagi minggu 28 Februari saya balik ke Kuala Lumpur untuk mengikuti tiga program yang diatur dan hanya akan kembali ke Parit Buntar pada pagi Isnin depan,” tambahnya lagi.

Menurutnya, semangat kembali pulih walaupun telinga masih rasa bengang dan terbayang-bayang bagaimana kejadian petang tadi, namun tidak melemahkan semangat untuk meneruskan perjuangan yang belum selesai.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, pimpinan PAS Perak serta sahabat-sahabat yang membantu semasa dan selepas kejadian, ketika membuat laporan di IPD Kuala Kangsar sehinggalah yang menghantarnya sampai ke rumah di Parit Buntar.

Guan Eng Sertai Sambutan Maulidur Rasul.


Mana-mana individu dan badan bukan kerajaan (NGO) hari ini menerima tempelakan kerana apa yang mereka dakwa bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang tidak mengadakan perarakan Maulidur Rasul tahun ini terjawab.

Perarakan 53 kontinjen dimulai dengan ketua-ketua jabatan melalui beberapa jalan termasuk Padang Kota Lama, Dewan Undangan Negeri, pejabat agama menuju ke Dewan Sri Pinang.

Turut meraikan majlis ialah ketua menteri, Lim Guan Eng. (gambar sebelah)
Sementara itu, Masjid Jamek Jelutong mencipta sejarah kerana mengadakan perarakan kali pertama sempena sambutan Maulidur Rasul esok, 27 Februari bermula jam 9.00 pagi.

Pengerusi kariahnya, Mohd Yusuf Mohd Noor memberitahu, pada sebelah malam diadakan ceramah agama yang disampaikan oleh Ustaz Alkhairy Ismail dari Jabatan Agama Islam Kedah.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails