Geng Aku

Jumaat, 30 April 2010

Budak Melecur: Amy Search Diperintah Bayar RM18,000.


Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini memerintahkan penyanyi Amy Search membayar ganti rugi berjumlah RM18,000 kepada seorang kanak-kanak lelaki yang melecur akibat terkena tomyam panas di Restoran Cheng Ho milik penyanyi itu.

Hakim Sabariah Othman memutuskan bahawa sebagai majikan, Amy boleh dipertanggungjawabkan apabila kecuaian dilakukan oleh pekerja ketika dalam tugas.

Sabariah menetapkan RM8,000 bagi ganti rugi am terhadap kecederaan di bahagian badan kanak-kanak itu, RM10,000 untuk ganti rugi khas dan enam peratus faedah atas jumlah penghakiman. 


Pada 24 Sept 2008, Nik Zahir Nik Mohd Idris memfailkan saman bagi pihak anaknya, Nik Muhammad Zakwan, 4, kerana mendakwa pekerja Restoran Cheng Ho milik Amy di Wangsa Maju cuai sehingga menyebabkan bahagian belakang badan anaknya melecur.

Dalam saman itu, Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 51, sebagai pemilik restoran Cheng Ho, di mana kejadian itu berlaku, telah dinamakan sebagai defendan.

Amy diwakili peguam Ahmad Zaharil Muhaiyar manakala plantif diwakili Adnan Seman.

- Bernama

Sudah Tiba Masanya Saya Sokong Pakatan Rakyat-Thamrin Ghafar


Bekas Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Thamrin Ghafar menyifatkan sudah tiba masa bagi beliau menyokong Pakatan Rakyat setelah melihat penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa berleluasa yang dilakukan oleh pimpinan Umno dan Barisan Nasional selama lebih 50 tahun mentadbir negara.

Bercakap kepada Suara Keadilan baru-baru ini anak mantan Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghafar Baba itu berkata beliau sendiri tidak bersetuju dengan banyak dasar yang dilaksanakan kerajaan Umno-BN yang tidak memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

"Saya dah mula sedar bahawa banyak isu yang saya sendiri tidak boleh terima tentang dasar Umno dan Barisan Nasional. Saya rasa sudah sampai masanya saya terpaksa mengubah sikap," kata Thamrin yang juga adalah bekas Pengerusi MARA.


Kehadiran beliau pada dua majlis utama semasa kempen pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor telah mengejutkan penyokong Pakatan Rakyat.

Thamrin pertama kalinya hadir pada majlis Pidato Perdana anjuran Pemuda Pakatan Rakyat di Sg Buaya 24 April lalu dan juga ceramah 'grand finale' di Stadium Mini Kuala Kubu Baharu bersama-sama pimpinan Pakatan Rakyat. -sk

Khamis, 29 April 2010

Keluarga Aminulrashid Terharu Dengan Keprihatinan Kerajaan Selangor


Ahli keluarga Allahyarham Aminulrashid, remaja berusia 15 tahun yang mati ditembak polis, menyatakan rasa terharu dengan keprihatinan dan sumbangan  yang diberi kerajaan Selangor.

Mereka meluahkan demikian ketika dikunjungi Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim di rumah mereka di Jalan Mahjung, Seksyen 11 di sini, kira-kira jam 4.30 petang semalam.

"Rasa bersyukur ada yang prihatin kepada ibu tunggal macam makcik. Sebab makcik pun ada anak sekolah hendak lanjutkan pelajaran. Apapun, kematian arwah terbela,  itu sahaja," kata Norsiah Abdullah.

Norsiah adalah ibu kepada Aminulrashid.

"Alhamdulillah, sekurang-kurangnya ada orang yang prihatin masalah yang kami hadapi sekarang," kata Norazura kepada TV Selangor.

Akhirnya Ezam 'Kotak' Dapat Jawatan Senator.

Bekas ketua pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ezam Mohd Nor adalah antara empat orang yang akan dilantik sebagai Senator.

Menurut The Star Online, mereka yang lain termasuk timbalan presiden MIC Datuk G Palanivel, pengerusi eksekutif firma Rahim and Co, Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman dan ketua Wanita Umno Pagoh, Noriah Mahat.
Mereka akan mengangkat sumpah jawatan di hadapan presiden Senat, Tan Sri Abu Zahar Ujang di Dewan Negara, Isnin depan.

Ezam (kiri) juga adalah bekas setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang terkenal kerana pernah mengakui mempunyai enam kotak yang dikatakan mengandungi dokumen mengenai salah laku pemimpin kerajaan.

Dia bagaimanapun kemudian menafikan perkara itu sebaliknya mendakwa kotak itu suatu pembohongan dan dijaja sebagai modal politik sejak 1999 selepas Anwar dipecat daripada Umno dan kerajaan.

Selepas meninggalkan PKR dan menyertai Umno, Ezam berkata dia bukan saja dikutuk kerana meninggalkan perjuangan mereka tetapi juga digelar ahli parti itu sebagai "Ezam Kotak".

Sementara itu, bagi timbalan presiden MIC, Datuk G Palanivel, ura-ura yang beliau akan dilantik sebagai senator bukan lagi rahsia.

Perlantikannya itu dikatakan sebagai menghargai pengorbanannya yang tidak dicalonkan pada pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor tetapi sebaliknya menyokong calon kompromi, P Kamalanathan.

Selain dilantik sebagai senator, Palanivel juga dijangka akan diberikan jawatan sebagai timbalan menteri.

Adun BN Manipulasi Soalan Kerana Politik Sempit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa (gambar) menyifatkan beberapa Adun BN memanipulasikan soalannya kerana politik sempit mereka.

Beliau hari ini tampil menjelaskan isu kekecohan yang berpunca daripada soalan bertulis yang dikemukakannya semasa persidangan Dun Kedah, 26 April lalu.

Menurut beliau, soalan 'panas' yang meminta penjelasan berkaitan bidang kuasa Tuanku Sultan sebagai Ketua Agama Islam yang perlu dihormati telah mengundang pertikaian wakil-wakil Barisan Nasional (BN) yang tersalah tafsir maksud soalan yang dikemukakannya.

“Saya meletakkan soalan ini agar semua pihak mendapat penjelasan sebenarnya berkaitan bidang kuasa Tuanku Sultan yang mutakhir ini dilihat tidak dihormati oleh pihak-pihak tertentu.


"Soalan itu bertujuan mendapatkan batas sempadan supaya semua pihak dapat menghormati kuasa Tuanku Sultan dalam hal-hal berkaitan pentadbiran agama Islam yang diketuai oleh baginda kerana kebelakangan ini terdapat campur tangan terutama dalam soal perlantikan imam dan pegawai masjid.

"Turut diutarakan supaya dijelaskan kepada pihak tertentu yang menuduh kerajaan negeri akan memecat imam-imam apabila berusia 60 tahun," jelasnya.


Nasir berkata, wakil-wakil BN telah memanipulasikan soalan tersebut demi kepentingan politik sempit yang akhirnya mengakibatkan berlaku pertikaman lidah di antara mereka dengan wakil-wakil Pakatan Rakyat.

"Soalan tersebut cukup jelas dan tidak langsung berniat untuk mempertikaikan bidang kuasa Tuanku Sultan tetapi telah dipolitikkan oleh wakil BN yang bimbang akan dibuktikan mereka adalah pihak yang mengganggu gugat pentadbiran agama di negeri ini," katanya.

Menurutnya lagi, soalan yang dikemukakan adalah ekoran dari tindakan Adun Bakar Bata, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah yang mencampuri urusan pentadbiran agama Islam dalam hal berkaitan imam dan pegawai masjid, baru-baru ini.

Nasir tetap mempertahankan pendapatnya bahawa soalan itu tidak langsung menyentuh dan mempertikaikan bidang kuasa atau menghina Tuanku Sultan Kedah jika ia dibahaskan.

Rabu, 28 April 2010

Bahtera Nabi Nuh Ditemui


PEGAWAI Turki, Murat Guven menunjukkan spesimen kayu berusia 4,800 tahun yang didakwa tinggalan bahtera Nabi Nuh.


HONG KONG - Sekumpulan penjelajah China dan Turki kelmarin mendakwa mereka mungkin telah menemui bahtera Nabi Nuh pada ketinggian 4,000 meter di sebuah lereng curam di Gunung Ararat, timur Turki.

Jurucakap pasukan berkenaan memberitahu, beberapa binaan kayu yang mereka temui di lokasi itu didapati berusia 4,800 tahun berdasarkan ujian penentuan tarikh karbon iaitu sama usianya dengan zaman banjir besar pada era Nabi Nuh.

"Penemuan ini bukan mengesahkan 100 peratus bahawa ia bahtera Nabi Nuh tetapi kami yakin ia 99.9 peratus adalah bahtera itu," kata seorang anggota pasukan penjelajah, Yeung Wing-cheung.

Menurutnya, binaan kayu itu dibahagikan kepada beberapa petak, sebahagiannya memiliki rasuk kayu yang dipercayai digunakan untuk menempatkan sejumlah haiwan dalam bahtera itu.

Wong Ho Leng VS. Lau Hui Yew Di PRK SIBU.


Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng, dipilih oleh Pakatan Rakyat (PR) negeri sebagai calon DAP untuk bertanding pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu pada 16 Mei in.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, membuat pengumuman tersebut pada majlis jamuan malam yang dihadiri oleh pemimpin empat parti gabungan dalam PR di sebuah restoran di sini.


Majlis itu turut dihadiri oleh setiausaha agung PAS Datuk Mustapha Ali, timbalan pengerusi Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) Johnny Wong Sie Lee, timbalan pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wan Zainal Abidin Wan Sanusi dan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.

Wong, 50, seorang peguam, merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek.

Terdahulu itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, mengumumkan peguam Robert Lau Hui Yew dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sebagai calon BN.


Kerusi Parlimen Sibu menjadi kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Robert Lau Hoi Chew akibat barah pada 9 April lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 8 Mei ini sebagai tarikh penamaan calon dan 16 Mei ini sebagai hari pengundian. Dalam pilihan raya umum 2008, Robert Lau mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 3,549 undi, dengan menewaskan Wong dan Lim Chun Chuang dari PKR.


Sibu mempunyai 54,695 pengundi berdaftar termasuk 2,537 undi pos.

-- BERNAMA

Selasa, 27 April 2010

Polis Perlu Jaminan Siasatan Telus, Keselamatan Saksi Jadi Keutamaan.


Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mahu polis Selangor memberi  jaminan siasatan kes seorang remaja berusia 15 tahun yang mati ditembak polis awal pagi semalam, dijalankan secara adil dan telus.

Sambil berharap polis tidak melakukan sebarang usaha untuk melindungi anggota polis, Khalid juga mahu jaminan sama diberi kepada seorang rakan mangsa yang menjadi  saksi utama kejadian berkenaan.

Aminulrasyid Amzah ditembak mati oleh peronda polis kira-kira jam 2 pagi di Jalan Tarian 11/2 Shah Alam, sekitar 100 meter dari rumah mangsa


Mangsa dikatakan sedang memandu Proton Iswara ketika kejadian lantaran polis mengesyaki Allayarham adalah kumpulan geng samun.

Berhubung kejadian itu Khalid pada sidang media berasa ecewa dengan kenyataan awal polis yang  mendakwa remaja tersebut terlibat dalam kegiatan menyamun dan memiliki senjata.

Beliau juga meminta media arus perdana tidak memainkan sebarang spekulasi berhubung kematian  Aminulrashid yang  berat sebelah hingga meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga mangsa dan saksi kejadian

Khalid mengingatkan polis bahawa mereka tidak memiliki  kuasa yang membenarkan  mereka boleh menembak seseorang sesuka hati biarpun jika pemandu tidak mempunyai lesen kereta, kecuali keselamatan mereka terancam.

Beliau menegaskan polis harus mematuhi  prosedur  sebelum mengambil sebarang tindakan drastik yang mengancam nyawa orang awam

Kemenangan Yang Tak Perlu Dibanggakan.

Sebaik keputusan pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor diumumkan, kalungan tahniah dan puji-pujian melimpah sesama pemimpin Barisan Nasional. Namun jika diteliti, kemenangan oleh P Kamalanathan itu bukan sesuatu yang membanggakan.
Majoriti yang diperolehinya adalah 1,725 undi dan jika undi pos sebanyak 627 yang terdiri daripada anggota keselamatan yang lazimnya berpihak kepada BN diketepikan, BN cuma mendapat majoriti 1,078.

Jumlah itu agak jauh lebih kecil daripada jumlah undi 6,176 yang dimenangi oleh BN di tiga kerusi dewan undangan negeri yang terletak di parlimen Hulu Selangor pada pilihan raya umum 2008 lalu.

Ini menjelaskan mengapa Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari pengundian begitu yakin Kalamanathan mampu menang dengan sekurang-kurangnya majoriti 6,000 undi.

'Undi pecah'

Pada pilihan raya umum yang lalu, pengundi memberikan undi mereka kepada PKR pada peringkat persekutuan tetapi bagi kerusi negeri, mereka memilih BN.

Antara fakt
or yang mempengaruhi trend pengundian ketika itu adalah kerana rakyat di Hulu Selangor, khususnya masyarakat Melayu dikatakan cukup tidak berpuas hati dengan G Palanivel dari MIC yang memegang kerusi parlimen berkenaan dari 1990 hingga 2008.

Sebelum ini, MIC berkeras mahukan timbalan presiden mereka sekali bertanding di Hulu Selangor, namun akar umbi, Umno menentang keputusan itu.

Tindakan itu menyaksikan BN kali ini meletakkan muka baru dengan mengetengahkan Ketua Penerangan MIC, P Kamalanathan.

Selain calon muka baru, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga mengumpan penduduk Hulu Selangor dengan pelbagai janji dan sogokan.

Dua yang palin
g ketara ialah peruntukkan RM3 juta untuk SRJK (C) Rasa dan RM5 juta sebagai bayaran pampasan peneroka Felda Sungai Buaya. Namun umpan itu dengan syarat jika BN memenangi kerusi Hulu Selangor.

Di sebalik semua itu, BN masih gagal mengubah trend pengundian kerana majoriti yang diperolehi mereka pada Ahad lalu masih kekurangan 4,451 daripada apa yang sepatutnya dikumpul daripada tiga kerusi negeri pada pemilihan 2008.

Majoriti yang dimenangi BN hanya mewakili 3.5 peratus daripada jumlah undi yang dibuang dan dianggap antara yang paling rendah. Lazimnya majoriti BN berlegar melebihi paras 8,000 undi sejak 1990.

Justeru, Hulu Selangor tidak lagi boleh dikatakan kubu kuat BN.

Najib yang menyedari hakikat berkenaan, cuba mengelak soalan wartawan apabila ditanya sama ada keputusan pilihan raya itu adalah bukti rakyat menyokong agenda pembaharuannya.

Sebelum ini, Najib dilaporkan berkata pilihan raya kecil Hulu Selangor adalah medan terbaik sebagai pungutan suara bagi rancangan pembaharuannya termasuk Model Ekonomi Malaysia, gagasan 1Malaysia dan program tranformasi kerajaan.
Melayu sokong BN, Cina undi Pakatan

Bagi tujuan perbandingan, keputusan pilihan raya kecil Hulu Selangor hampir menyerupai keputusan pilihan raya di Bukit Gantang dan Bagan Pinang yang menyaksikan pertambahan undi Melayu untuk BN dan pada masa yang sama peningkatan sokongan masyarakat Cina kepada Pakatan Rakyat.
Ini amat ketara sekali di Hulu Selangor apabila BN menang di semua daerah mengundi yang mempunyai majoriti masyarkat Melayu manakala Pakatan menyapu bersih di kawasan Cina.

Pada pusingan kali ini, dianggarkan BN berjaya menguasai 65 peratus undi Melayu yang sekali gus meranapkan harapan PKR untuk merampas sekurang-kurangnya 40 peratus undi Melayu.

Sebagai rujukan, berikut sampel enam daerah mengundi yang mempunyai majoriti pengundi Melayu: Kpg Soeharto (66.1 peratus mengundi BN), Gedangsa (60.6), Sungai Tengi (68.4), Batang Kali (61), Hulu Kali (62.7) dan Sungai Buaya (73.5).

Menurut laporan akar umbi, insentif kewangan yang ditaburkan oleh Najib dan konco-konco BN serta serangan peribadi ke atas calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim, sedikit sebanyak mempengaruhi pengundi Melayu.

Namun umpan dan serangan berkenaan tidak berkesan di kalangan masyarakat Cina seperti yang dilihat pada sampel daerah mengundi yang mempunyai majoriti pengundi Cina.

Sampelnya seperti berikut: Kalumpang (77.2 peratus mengundi PKR), Ulu Yam Timur (71.1), Kerling (68), Kuala Kubu Bharu (78.4), Kampung Baru Batang Kali (80.5), Ulu Yam Lama (71.1) dan Kampung Baru Rasa (82.5).

Sepanjang tempoh berkempen, PKR dan DAP menjaja isu Muhyiddin yang mengakui bahawa dia adalah Melayu terlebih dahulu dan kemudian baru rakyat Malaysia.

Selain itu, kenyataan Datuk Seri Noh Omar yang menggesa masyarakat India dan Cina supaya berterima-kasih kerana diberi taraf warga negara serta isu kematian Teoh Beng Hock terus menjadi modal mereka.

MCA ternyata tidak berdaya menangkis atau mampu memberikan jawapan yang bertenaga tetapi sebaliknya terpaksa membawa Najib datang ke Hulu Selangor untuk menaburkan janji-janji.

Bagi sesetengah penganalisis, pemenang terbesar pada pilihan raya kecil Hulu Selangor ini adalah masyarakat Cina. Ini kerana mereka berjaya menyampaikan mesej secara jelas kepada BN dan pada masa yang sama, menerima habuan ataupun akan menerima ganjaran yang dijanjikan.Apa seterusnya?

Di kalangan pengundi India, PKR hanya memenangi satu daripada lima daerah mengundi yang mempunyai majoriti pengundi India.

Ada yang berpendapat kegagalan PKR menarik sokongan masyarakat India adalah kerana kerajaan negeri Selangor lembap dalam menagani masalah yang dihadapi oleh komuniti itu.

Kegagalan Pakatan Rakyat mendapatkan sokongan daripada Hindu Rights Action Force (Hindraf) dan Parti Hak Asasi Manusia juga dikatakan membawa padah.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails