Geng Aku

Jumaat, 2 April 2010

Penyelidik USM Temui Kaedah Beza Daging Ayam Dan Babi.

 Daging Babi

Sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) menemui kaedah untuk membezakan antara daging ayam dan daging babi dengan menggunakan sejenis campuran gula dinamakan 'ribose'.

Melalui kaedah itu, daging kedua-dua haiwan berkenaan akan bertukar kepada warna tertentu apabila bertindak balas dengan bahan tersebut.

Daging Ayam

Ketua Penyelidik USM, Prof Azhar Mat Easa berkata, proses ujian itu amat mudah dan boleh dilakukan di rumah jika mempunyai peralatannya.

"Seseorang hanya perlu secebis daging dan mencampurkannya dengan gula berkenaan dan campuran ini kemudian dipanaskan dalam suhu tertentu untuk menukarkan warnanya," katanya pada sidang akhbar di USM hari ini yang turut dihadiri penyelidik bersama, Tan Thuan Chew dan Dr Abbas F.M Alkarkhi.

Calon Hulu S'gor: Zaid Antara Dipanggil Anwar.


Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi telah menemui kira-kira 10 orang, termasuk penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim, yang disebut-sebut bakal dipilih menjadi calon parti itu untuk bertanding dalam pilihan raya Hulu Selangor tidak lama lagi.

Menurut sumber-sumber, pertemuan tersebut diadakan di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya selepas tamatnya mesyuarat biro politik parti itu kira-kira jam 11 malam tadi.


“Mereka masuk (bertemu Anwar) secara berperingkat-peringkat, dimulakan dengan dua anggota biro politik, Datuk Zaid Ibrahim dan Shamsul Iskandar Md Akin,” kata mereka ketika ditanya tentang pertemuan tersebut.

Kerusi parlimen Hulu Selangor kosong ekoran kematian penyandangnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad ada 25 Mac lalu akibat barah otak.

Berikutan itu spekulasi berhubung siapakah bakal dicalonkan bagi bertanding mempertahankan kerusi tersebut, berterusan dalam PKR. 


Pelbagai nama disebut-sebut telah dikemukakan kepada parti. Selain Zaid dan Shamsul , turut disebut-sebut ialah penceramah popular, Badrul Amin; 
presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud; bekas setiausaha akhbar Anwar, Khalid Jaafar; dan aktivis peguam, N Surendran.

Manakala PKR cabang tersebut pula menamakan dua anak tempatan - Razali Mokhtar dan Datuk Dr Halili Rahmat.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, sumber-sumber memberitahu kesemua nama yang disebut-sebut itu dipanggil, termasuk beberapa nama lagi yang tidak diketahuinya.

“Jumlah kesemuanya kira-kira sepuluh orang,” kata sumber-sumber itu. Terdapat sumber lain memberitahu, jumlah keseluruhannya 11 orang.


Tambah mereka, pertemuan tersebut hanya sesi “sembang-sembang” dengan Anwar bagi mengenalpasti calon yang paling layak untuk dipilih.

Ditanya tentang perbincangan biro politik yang bersidang malam tadi, sumber-sumber memaklumkan bahawa soal pemilihan calon ditimbulkan tetapi “tidak dibincangkan sangat” kerana ia merupakan bidang kuasa presiden dan ketua umum.

“Presiden dan ketua umumlah yang akan memilihnya,” katanya yang menjangka pemilihan calon tidak akan dibuat tergesa-gesa, termasuk dalam mesyuarat majlis tertinggi PKR Ahad ini.

Ditanya tentang nama-nama yang dianggap selesa, sumber tersebut menamakan Syed Shahir dan Khalid.

“Yang lainnya masih 50-50,” katanya sambil menambah, kemungkinan terdapat di kalangan mereka yang dipanggil semalam tidak berminat dan akan memberikan laluan kepada pihak lain.

Din Beramboi Meninggal Dunia.


Setelah hampir sejam bertarung nyawa, pelawak dan penyampai radio Era FM, Din Beramboi telah kembali ke rahmatullah kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi.

Allahyarham Din Beramboi atau nama sebenarnya Mior Ahmad Fuad Mior Badri, 44, sebelum ini dimasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Selayang kerana disyaki menghidap kejutan denggi berdarah pada 29 Mac 2010. 


Pemergian arwah telah disahkan oleh adik iparnya, Shariffudin Che Man, 37, yang mengumumkan kematian arwah sejurus selepas beliau keluar dari wad ICU.

Turut berada disamping arwah ketika pemergiannya ialah ahli keluarga serta tiga orang rakan artis iaitu Azwan Ali, Zul Yahya dan Ifa Raziah.

Jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke rumah keluarga isterinya, di Taman Ehsan, Kepong sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Frim, sebelum solat Jumaat.

Allahyarham meninggalkan seorang balu Suhaini Che Man dan 3 orang anak Nil Aina,17, Mior Syafiq Aridhuan,12 dan Nir Ain.

Khamis, 1 April 2010

Ibrahim Ali Yang Bersifat Perkauman.


Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali berang dan mengutarakan kata-kata kesat ketika diajukan soalan berhubung Dasar Ekonomi Baru (DEB) dalam wawancaranya dengan Al Jazeera.

Klip video itu disiarkan dalam rangkaian perkongsian video Youtube.


Dalam laporan itu, wartawan Al Jazeera mengajukan soalan berhubung DEB yang didakwa bersifat perkauman.

Se
baik mendengar dakwaan itu, Ibrahim terus berang dan berkata berulang kali berkata: "Jika bangsa-bangsa asing ini mendakwa mereka rakyat kelas kedua, 'don't talk s**t! Don't talk s**t!' Saya ulang untuk kali ketiga, 'don't talk s**t!”

Suara Ibrahim ketika kata-kata kesat itu diluahkan telah disunting oleh Al Jazeera kerana dianggap tidak bersesuaian untuk tontonan.

"Kami bangsa Melayu telah banyak maafkan mereka, malah kami juga berkorban kepentingan kami," kata Ibrahim lagi.

Rencana Al Jazeera itu melaporkan ramai rakyat Malaysia berpendidikan tinggi meninggalkan negara ini kerana dasar-dasar diskriminasi melaui DEB.
Antara yang dipaparkan ialah Shirlene Ong yang telah menetap selama enam tahun di Hong Kong.

“Saya tidak akan pulang ke Malaysia dalam masa terdekat ini. Apa yang mungkin membuat saya menukar pendirian ialah apabila semua rakyat Malaysia dilayan secara saksama," katanya.

Turut diwawancara dalam laporan itu ialah penganalis politik Malaysia, Farish Noor yang mendakwa kebebasan akademik tidak wujud di Malaysia dan kini menjadi pensyarah di Singapura.

Menurut video terbitan Al Jazeera itu, DEB yang diperkenalkan oleh ayahanda Najib, Tun Abd Razak Hussein dan adalah bersesuaian bagi beliau menanggalkan dasar-dasar diskriminasi berkenaan.

One Israel-1M'sia: BN heret Anwar ke JK khas


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz hari ini berkata kerajaan akan mengheret Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jawatankuasa khas mengenai hak dan kebebasan Parlimen.

"Kerajaan mengambil keputusan membentangkan usul untuk membawa wakil Permatang Pauh ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen mengikut Peraturan 18(2)," katanya.


Menurut Nazri kerajaan telah mendengar penjelasan Anwar Selasa lalu dan mendapati hujah-hujahnya tidak mempunyai asas untuk menyokong dakwaannya.

"Anwar langsung tidak tunjukkan bukti untuk sokong dakwaan 1Malaysia diambil daripada 1Israel.

"Apa yang dijelaskan itu tidak beri bukti nyata, hanya kaitkan secara 'circumstantial' perkara lain, seolah-olah Apco diguna oleh operator-operator itu bukan bukti kukuh untuk kaitkan One Israel.
 
 
"Apco juga telah keluarkan kenyataan, disebarkan melalui akhbar, penafian terhadap dakwaan Anwar.

Katanya lagi, beliau bercadang untuk menghantar surat secepatnya esok kepada jawatankuasa berkenaan, yang akan dipengerusikan speaker dewan, untuk merujuk Anwar ke jawatankuasa berkenaan.

Anwar semasa ucapan lebih tiga jamnya ketika hujah penggulungan terima kasih ke atas titah Yang di-Pertuan Agong, mendakwa Apco Worldwide, sebuah agensi perunding dilantik oleh kerajaan Malaysia adalah syarikat yang sama melakarkan slogan "One Israel'.
 
Menurut beliau, Apco pada 1999 menasihatkan perdana menteri Israel ketika itu, Ehud Barak untuk memperkenalkan slogan 'One Israel'.

Nazri kemudiannya memberi ketua umum PKR itu tempoh seminggu untuk memberikan penjelasannya pada Selasa lalu.

Anwar kemudiannya menggunakan kesempatan itu untuk mendedahkan peranan Ethos Consulting, sebuah firma rundingan tempatan yang didakwa bertanggungjawab memperkenalkan Apco kepada perdana menteri. 


Anwar dalam pada itu turut mendedahkan nama dan maklumat ringkas beberapa individu dalam Apco yang didakwa mempunyai hubungan secara langsung dengan kerajaan dan tokoh-tokoh Israel.

Apa-apa yang diluahkan oleh ahli parlimen ketika sidang Dewan Rakyat dilindungi oleh imuniti dan tiada tindakan yang boleh dikenakan, termasuk didakwa di mahkamah kecuali dihadapkan ke jawatankuasa khas itu.

Sekiranya Anwar didapati bersalah, beliau boleh digantung daripada menghadiri sidang parlimen untuk jangka masa yang ditetapkan oleh jawatankuasa berkenaan.

Tugu: PAS Syukur Umno Henti Amalan Syirik.


PAS mengucapkan syukur kepada Allah Taala kerana akhirnya Umno/BN mengumumkan akan berhenti melakukan upacara meletakkan bunga dan bertafakur di hadapan Tugu Negara yang jelas perbuatan syirik dan khurafat.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) berkata, pengumuman Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam membuktikan dakwaan PAS selama ini bahawa perbuatan itu adalah dosa besar Umno kepada Allah adalah benar.

Zahid yang juga Naib Presiden Umno, mengumumkan semalam bahawa upacara memperingati Hari Pahlawan tidak akan dilakukan di Tugu Negara lagi mulai tahun ini dan akan dipindahkan di Putrajaya dalam bentuk majlis yang berbeza.

Idris berkata, PAS tegas menolak amalan meletakkan bunga dan bertafakur di Tugu Negara setiap 1 Julai sempena Hari Pahlawan, dan Majlis Fatwa Kebangsaan yang berbincang pada 6 hingga 7 Oktober 1987 juga telah mengeluarkan fatwa berhubung isu itu bahawa ianya adalah amalan yang bercanggah dengan Islam dan syirik.

“Rakyat, khususnya kaum Melayu selalu bertanya. Apa beza PAS dan Umno, dua-dua parti yang dipimpin Melayu dan Islam, kenapa tidak boleh bersatu?” katanya yang menghargai pemberhentian amalan khurafat itu.

Justeru, ujarnya PAS berharap, isu Tugu Negara itu membuka mata rakyat bahawa PAS dan Umno memang jelas berbeza walaupun Umno mengaku Islam tetapi mereka jelas menolak syariat Islam yang ditetapkan oleh Allah.


“Isu ini juga jelas membuktikan bahawa Islam dan politik tidak dapat dipisahkan. PAS yakin, Umno akhirnya mengambil keputusan ini setelah tertekan bila mana PAS serius membawa isu ini hinggalah ke pentas politik,” ujarnya lagi. 

Menurutnya, walaupun Umno mempunyai biro agama dan menteri agama, tetapi mereka mengambil masa 23 tahun untuk memahami Fatwa Majlis Kebangsaan.

“Hakikatnya perkara ini tidak perlu dibawa ke Majlis Fatwa jika Umno benar-benar memahami Islam dan berjuang atas nama Islam.


“Walaupun Umno bangga mengatakan mereka berjaya membawa syiar Islam dengan wujudnya Tabung Haji, pusat zakat, masjid-masjid besar dan sebagainya, tetapi 23 tahun mereka menafikan fatwa syirik yang dikeluarkan Majlis Fatwa,” katanya.

Jelasnya, Allah sendiri memperingatkan dalam Al-Quran, bahawa semua dosa besar akan diampunkan kecuali syirik dan jelaslah bahawa saranan Majlis Fatwa itu serius dan Umno-BN telah menyesatkan rakyat dengan melakukan upacara syirik itu sejak tahun 1963 iaitu tarikh tugu itu dibina dengan kos RM1.3 juta ketika itu.

PAS, jelasnya menghormati pengorbanan dan jasa pahlawan negara.

Oleh itu, katanya PAS mahu majlis kesyukuran dan tahlil serta memberikan bantuan yang sewajarnya kepada keluarga pahlawan yang telah gugur menjadi program rasmi sempena Hari Pahlawan, bukannya bertafakur dan membazir duit untuk meletakkan bunga di tugu yang tidak bernyawa itu.

Tambahnya, PAS juga berharap agar Umno menghapuskan semua amalan syirik dan khurafat yang mereka lakukan termasuk amalan menepung tawar dan menabur beras kuning seperti yang dilakukan oleh Datuk Ismail Sabri dalam Majlis Pelancaran Van Umno Bahagian Wangsa Maju, minggu lepas.

“PAS yakin rakyat semakin cerdik dan melihat siapa sebenarnya yang memperjuangkan Islam dan siapa sebenarnya yang mengkhianati Islam,” ujarnya.

Masalah Bumbung Bocor Ganggu Sidang Dewan Rakyat.


Sesi jawapan Menteri terganggu seketika pada pukul 5.15 petang semalam selepas bumbung di tempat duduk Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye di dalam Dewan Rakyat bocor lagi.

Boon Chye kemudian bangun memberitahu Timbalan Speaker, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar selepas menyedari air menitik di sebelah tempat duduk beliau akibat hujan lebat tengah hari semalam.

Kes yang sama pernah berlaku pada sidang yang lepas.

Masalah kebocoran yang melibatkan bumbung Dewan Rakyat yang berusia 46 tahun  berlaku hampir setiap tahun.

Pada Mei 2008, bangunan Parlimen yang baru diubah suai dikesan mengalami enam kebocoran pada bahagian bumbungnya.

Masalah kebocoran bumbung Parlimen juga pernah berlaku pada April 2005, menyebabkan Sidang Dewan Rakyat ditangguh hingga Jun bagi membolehkan kerja-kerja membaiki kerosakan dijalankan

Rokok Mengandungi Sel Darah Babi.


Seorang pakar akademik dari Australia semalam mendedahkan satu hasil kajian di Belanda baru-baru ini yang mendakwa menemui sel darah merah babi sebagai kandungan penyekat bahan kimia dalam puntung rokok.

Profesor Simon Chapman dari Universiti Sydney dilaporkan berkata, kajian itu mendapati babi digunakan dalam 185 jenis industri termasuk penemuan sel darah merah haiwan itu dalam penapis (filter) rokok.

Kenyataan beliau yang disiarkan oleh akhbar Daily Telegraph kelmarin menjelaskan, hasil kajian tersebut pastinya mengejutkan perokok yang beragama Islam serta Yahudi yang diharamkan memakan babi.

Menurutnya, setakat ini satu jenama rokok yang dijual di Greece telah didapati mengandungi darah babi.


Antara Fatwa merokok itu HARAM ialah:-* Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwan Islam Malaysia kali ke 37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 di Kuala Lumpur. 

* Fatwa yang termasyur di seluruh dunia iaitu Al-Marhum Mufti Saudi, Syeikh Abdul Aziz bin Baaz


* Fatwa Al-Azhar terdahulu iaitu Syeikh Abdullah Al-Masyd (Ketua Lembaga Fatwa Azhar), Dr. Ahmad ‘Umar Hashim’ (Naib Canselor Al-Azhar) dan lain lain.



10 SEBAB MENGAPA ISLAM MENGHARAMKAN ROKOK
1.Rokok menjejaskan akal (mental)
2. Rokok membahayakan kesihatan fizikal
3.Rokok membahayakan keselamatan diri dan orang lain.
4. Rokok membahayakan keturunan
5. Rokok mengganggu manusia lain.
6. Rokok menimbulkan akhlak buruk
7. Rokok mensia-siakan waktu hidup
8. Rokok bercanggah dengan maruah keislamana
9. Rokok membazirkan harta (wang)
10. Rokok mengandungi dadah (nikotin dan arak)


Kartika Ke Pahang Esok, Jalani Hukuman.


Bekas model Kartika Sari Dewi Shukarno diperintahkan ke Jabatan Agama Islam Pahang di Kuantan esok bagi menjalani hukuman terhadapanya kerana didapati bersalah minum arak, kata bapanya.

Shukarno Mutalib berkata, beliau dimaklumkan oleh peguam mereka bahawa anaknya diminta melaporkan diri ke jabatan tersebut pada jam 8.30 pagi esok.

“Esok saya akan serah dia (Kartika) pada Jabatan Agama. Katanya untuk jalani kerja-kerja (khidmat) masyarakat,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.


Shukarno bagaimanapun tidak pasti sama hukuman sebat terhadap anaknya dibatalkan.

“Saya pun tidak pasti. Ada ruang bincang, kita bincang. Esoklah kita tengok apa jadi,” katanya.

Ditanya perasaannya sekiranya hukuman kontroversiti itu dibatalkan dan digantikan dengan khidmat masyarakat, Shukarno secara berseloroh berkata:

“Kalau tidak gembira, saya tidak hantarlah (ke Kuantan). Tetapi yang penting, saya turut perintah.

"Sama ada gembira atau tidak kita tengok esoklah,” katanya yang kini sudah sampai di Kuala Lumpur dan dijadual bermalam di sini, sebelum bergerak ke Kuantan awal pagi esok.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails