Geng Aku

Khamis, 1 April 2010

Rokok Mengandungi Sel Darah Babi.


Seorang pakar akademik dari Australia semalam mendedahkan satu hasil kajian di Belanda baru-baru ini yang mendakwa menemui sel darah merah babi sebagai kandungan penyekat bahan kimia dalam puntung rokok.

Profesor Simon Chapman dari Universiti Sydney dilaporkan berkata, kajian itu mendapati babi digunakan dalam 185 jenis industri termasuk penemuan sel darah merah haiwan itu dalam penapis (filter) rokok.

Kenyataan beliau yang disiarkan oleh akhbar Daily Telegraph kelmarin menjelaskan, hasil kajian tersebut pastinya mengejutkan perokok yang beragama Islam serta Yahudi yang diharamkan memakan babi.

Menurutnya, setakat ini satu jenama rokok yang dijual di Greece telah didapati mengandungi darah babi.


Antara Fatwa merokok itu HARAM ialah:-* Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwan Islam Malaysia kali ke 37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 di Kuala Lumpur. 

* Fatwa yang termasyur di seluruh dunia iaitu Al-Marhum Mufti Saudi, Syeikh Abdul Aziz bin Baaz


* Fatwa Al-Azhar terdahulu iaitu Syeikh Abdullah Al-Masyd (Ketua Lembaga Fatwa Azhar), Dr. Ahmad ‘Umar Hashim’ (Naib Canselor Al-Azhar) dan lain lain.



10 SEBAB MENGAPA ISLAM MENGHARAMKAN ROKOK
1.Rokok menjejaskan akal (mental)
2. Rokok membahayakan kesihatan fizikal
3.Rokok membahayakan keselamatan diri dan orang lain.
4. Rokok membahayakan keturunan
5. Rokok mengganggu manusia lain.
6. Rokok menimbulkan akhlak buruk
7. Rokok mensia-siakan waktu hidup
8. Rokok bercanggah dengan maruah keislamana
9. Rokok membazirkan harta (wang)
10. Rokok mengandungi dadah (nikotin dan arak)


Kartika Ke Pahang Esok, Jalani Hukuman.


Bekas model Kartika Sari Dewi Shukarno diperintahkan ke Jabatan Agama Islam Pahang di Kuantan esok bagi menjalani hukuman terhadapanya kerana didapati bersalah minum arak, kata bapanya.

Shukarno Mutalib berkata, beliau dimaklumkan oleh peguam mereka bahawa anaknya diminta melaporkan diri ke jabatan tersebut pada jam 8.30 pagi esok.

“Esok saya akan serah dia (Kartika) pada Jabatan Agama. Katanya untuk jalani kerja-kerja (khidmat) masyarakat,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.


Shukarno bagaimanapun tidak pasti sama hukuman sebat terhadap anaknya dibatalkan.

“Saya pun tidak pasti. Ada ruang bincang, kita bincang. Esoklah kita tengok apa jadi,” katanya.

Ditanya perasaannya sekiranya hukuman kontroversiti itu dibatalkan dan digantikan dengan khidmat masyarakat, Shukarno secara berseloroh berkata:

“Kalau tidak gembira, saya tidak hantarlah (ke Kuantan). Tetapi yang penting, saya turut perintah.

"Sama ada gembira atau tidak kita tengok esoklah,” katanya yang kini sudah sampai di Kuala Lumpur dan dijadual bermalam di sini, sebelum bergerak ke Kuantan awal pagi esok.

Rabu, 31 Mac 2010

Pakatan Rakyat Serah Hulu S'gor Kepada PKR.


Pakatan Rakyat akan meletakkan calon daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim,
berkata beliau akan berunding terlebih dahulu dengan kepimpinan tertinggi Pas dan DAP sebelum menamakan calon itu dalam masa terdekat. 

"Ia (pemilihan calon) masih terbuka...itu proses biasa dalam parti, kita kena dengar dari cabang negeri, masyarakat tempatan, kemudian kita bincang dengan rakan-rakan pimpinan PKR serta rujuk kepada pimpinan Pas, DAP dan kita bertanding itu atas nama Pakatan Rakyat," katanya.

Anwar berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Parlimen di Kuala Lumpur hari ini.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat Jumaat ini untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor berikutan kematian penyandangnya Datuk Zainal Abidin Ahmad daripada PKR Khamis lalu akibat barah otak.

Pada pilihan raya umum 2008, Zainal Abidin menewaskan penyandang kerusi itu ketika itu, Datuk G Palanivel daripada Barisan Nasional dengan majoriti 198 undi.

- Bernama

Din Beramboi Disyaki Denggi Berdarah Dan Beransur Baik.


Pelawak terkenal Din Beramboi atau nama sebenar Mior Ahmad Fuad Mior Badri kini dilaporkan dirawat kerana disyaki dijangkiti virus denggi berdarah dan menolak dakwaan kononnya dia diracun.

Anak perempuannya, Nil Aina Adibah Mior, 18, memberitahu keadaan bapanya kini lebih stabil dan masih direhatkan untuk rawatan perubatan.

"Hari ini ayah lebih stabil daripada semalam. Tekanan darah setakat ini lebih baik dari semalam dan dia juga kini sudah boleh menerima darah baru. Bagaimanapun ayah masih lagi direhatkan dan doktor pakar masih lagi merawatnya.

"Doktor memberitahu ayah disyaki denggi berdarah dan terdapat infection virus kencing tikus. Tapi doktor masih lagi membuat rawatan," jelasnya pemberita mengulas perkembangan kesihatan ayahnya ketika ditemui Hospital Selayang di sini har ini.


Menurut Nil, Din dimasukkan ke hospital pada petang Isnin lalu selepas mengalami demam yang mempunyai tanda-tanda denggi.

"Minggu lepas saya dan Ibu mengalami demam kemudian ayah pula, tetapi demam ayah teruk sehingga dia sendiri ke hospital swasta berhampiran. Namun selepas diperiksa, doktor hospital berkenaan menasihatkan ayah agar mendapat rawatan di sini.

"Selepas sampai di Hospital Selayang, dia terus dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi untuk diperiksa. Buat masa ini doktor mengesyaki ayah demam denggi," ujar anak pertama kepada pelawak dan DJ ini.

Dalam pada itu, Abang kepada Din, Shariffudin, memberitahu dia terkejut dengan laporan media mengatakan Din diracun dan memerlukan bekalan darah.


"Saya terkejut dengan berita yang pelbagai versi, saya yang masukkan Din ke sini pun tidak tahu yang dia terkena racun di Zoo. Itu mungkin khabar angin. Dia dimasukkan ke hospital kerana denggi berdarah.

"Saya juga terkejut semalam ramai yang datang untuk menderma darah. Doktor hanya memberitahu jika mahu menderma pergi ke unit lain tapi baru saya tahu ada khabar angin yang mengatakan Din memerlukan darah. Itu semua tidak betul.

"Saya harap orang di luar sana tidak menimbulkan sebarang spekulasi lagi, Din sekarang beransur baik dan dia sedang melalui proses rawatan. Saya harap peminat mendoakan yang terbaik kepadanya," jelasnya.

Selain itu, beberapa selebriti SuriaFM seperti Linda Onn, Halim Othman, Zizi dan rakan-rakan pelawak itu yang lain turut hadir menziarahinya.

Janin Disumbat Dalam Balang


Meskipun dikutuk dan dipantau pihak berkuasa, masih ada 'haiwan' bertopeng wajah manusia sanggup membuang bayi, asalkan nafsu binatang mereka dipenuhi.

Kelmarin, episod menyayat hati sekali lagi berlaku apabila janin lelaki berusia lingkungan empat bulan ditemui di hadapan pintu pagar tokong di Jinjang Utara, Jinjang, Kuala Lumpur.

Jika Jumaat lalu, mayat bayi lelaki berusia enam bulan digonggong anjing di tempat pembuangan sampah, kali ini janin pula disumbat dalam balang plastik menyimpan gula-gula.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, janin lelaki itu ditemui penjaga tokong terbabit kira-kira jam 11.40 malam. 

Beliau berkata, lelaki tempatan berusia 33 tahun itu kemudiannya memaklumkan penemuan itu kepada polis.

“Janin lelaki tersebut masih bertali pusat dan dianggarkan berumur dalam lingkungan empat bulan serta telah cukup sifat.

“Panjang janin itu berukuran 10 sentimeter,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, bagaimanapun tiada saksi yang melihat kejadian berkenaan, dan janin kemudiannya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.

“Satu pasukan khas akan ditubuhkan selepas laporan bedah siasat diperolehi bagi gerakan memburu empunya janin,” katanya.

Katanya, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.

Sidang Dun Perak Kecoh Lagi.


Dewan undangan negeri Perak sekali lagi dicemari apabila ahli dewan undangan negeri Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat bertikam lidah.

Wakil rakyat Pakatan Rakyat terus mengasak speaker R Ganesan yang didakwa dilantik secara tidak sah, sebaik sahaja selesainya bacaan doa.

Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir kemudiannya membentangkan usul kepercayaan kepada Ganesan dengan mengangkat tangan. Semua adun BN berbuat demikian.
 
Zambry kemudiannya mula menjawab soalan lisan pada jam10.15 pagi tetapi beliau terus diganggu oleh adun Pakatan.

Mereka cuba mencelah dangan memegang buku peraturan dewan tetapi mikrofon mereka telah dipadamkan.

Pada sidang hari ini, semua adun Pakatan Rakyat berpakaian serba hitam sebagai tanda bantahan mereka bahawa demokrasi telah mati di negeri itu.
Berikut laporan langsung perkembangan sidang itu.


11.00 pagi: Tujuh pengawal Ganesan yang berpakaian seragam biru muda, menghampiri Tai yang berdekatan dengan Zambry sambil memerhatikannya. Bentara kemudiannya menghalang mereka daripada menyentuh Tai. Ngeh Khoo Ham (DAP - Setiawan) meluru ke arah Tai dan menjerit kepada pengawal keselamatan supaya beredar kerana menurut peraturan Dewan, mereka tidak dibenarkan memasuki Dewan. Tai dan Neh kemudiannya melengkapakan jumlah semua adun Pakatan yang meninggalkan dewan.

10.58 pagi: Nizar kemudiannya bertindak keluar dewan. Bagaimanapun adun Pakatan mengambil masa sebelum meninggalkan dewan.

10.55 pagi: Pihak kerajaan menyambung pembentangan rang undang-undang. Kebanyakan wakil pakatan tidak lagi berada di tempat duduk mereka lagi.

 
10.50 pagi: Ganesan mengumumkan sesi soal jawab tamat. Pembangkang membantahnya sambil menunjukkan kepada jam di dinding yang menunjukkan masa 10.49 pagi, menandakan sesi tersebut lebih pendek berbanding tempoh sejam yang diperuntukkan.

10.42 pagi: Yee Seu Kai (DAP-Pokok Assam) diberikan peluang untuk bertanya soalan. Yee cuba membenarkan Nga untuk membangkitkan soal peraturan dewan. Ganesan berpindah kepada soalan berikutnya.

10.40 pagi:
Wakil pakatan membaling kad kecil bertulis "Dunia sedang melihat", "pencuri" dan "penyamun".

Nizar pergi kepada meja setiausaha kerajaan dan menjatuhkan salah satu poster tersebut di situ. Tiada sesiapa menghalangnya.

10.30 pagi:
Ganesan memanggil Tai Sng Ng (PKR-Kuala Sepetang) untuk bertanyakan soalan ketika.

Tai bangun dan berkata, beliau mahu memberikan laluan kepada Nga Kor Ming (DAP-Pantai Remis) untuk membangkitkan peraturan dewan.

Ganesan mengabaikan permintaan itu. Berlaku kekecohan.

Mohammad Nizar Jamaluddin (PAS-Pasir Panjang) bertempik dengan marah: “Ini peraturan dewan... speaker jenis apa ini?”

Ganesan melangkau soalan tersebut. Tempikan daripada kawasan Pakatan senyap seketika.

Siti Lancarkan Produk Kecantikkan SimplySiti.


Berpandukan kajian selama 2 tahun dan diperteguhkan lagi dengan  pengalaman 15 tahun sebagai anak seni, impian penghibur tersohor negara Dato' Siti Nurhaliza untuk memiliki rangkaian kosmetik dan penjagaan kecantikannya sendiri tercapai dengan pelancaran SimplySiti, di Hotel Mandarin Oriental, di sini.



Ditemani suami tercinta Datuk Khalid Mohamad Jiwa dan ahli keluarga terdekat, majlis pelancaran yang dilangsungkan bagaikan sebuah persembahan hiburan, merupakan hadiah istimewa buat Siti khusus kepada peminat wanita dari pelbagai lingkungan usia yang sentiasa mementingkan keserhanaan dalam soal kecantikan wajah.


Menggunakan teknologi nano dari Korea dan dijamin halal kebersihannya (telah diiktiraf oleh Jakim), SimplySiti hadir menerusi rangkaian alat solek bermula dari gincu bibir, bedak asas, pembayang mata dan juga variasi penjagaan wajah seperti Krim Simply 5 untuk sentiasa tampak anggun dan cantik sepanjang hari bersama motto penjenamaannya, Rahsiaku kini milikmu...

Penggemar muzik pasti tertarik dengan variasi pewarna bibir dari Simply Gorgeous Lip Colour yang dinamakan dari 20 lagu paling popular Siti seperti Aku Cinta Padamu dan Kau Kekasihku.


SimplySiti boleh didapati di lebih 200 farmasi Watson di seluruh negara dengan harga minimal iaitu bermula RM29 sehingga RM69.90 bagi produk penjagaan kulit, manakala RM18.90 sehingga RM59.90 bagi produk kosmetik.

Kedah, Negeri Sembilan Buat Kejutan.


Pasukan bukan pilihan Kedah dan Negeri Sembilan membuat kejutan apabila masing-masing mencipta kemenangan pada pertemuan pertama, suku akhir yang berlangsung malam Selasa.

Pasukan Negeri Sembilan berjaya menumpaskan pasukan tuan rumah, Selangor 2-1 di Stadium Shah Alam.


Kegembiraan Selangor memperolehi gol pertama menerusi tendangan Mohd Safee Sali pada minit ke-41 tidak bertahan lama apabila pasukan pelawat bangkit menjaringkan gol pada babak kedua perlawanan.


Ayam tambatan pasukan Negeri Sembilan, Mohd Zaquan Adha Abdul Razak ternyata tidak kecewakan pasukanya apabila menjaring gol pertama pada minit ke-70.

Seminit selepas gol pertama, S.Kunanlan menjaringkan gol kemenangan bagi pasukan Negeri Sembilan.


Sementara itu, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu, Pasukan tuah rumah gagal menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri setelah tewas 0-2 kepada Kedah.

Penyerang pasukan Kedah, Mohd Faizal Abu Bakar menonjolkan aksi cemerlang apabila menjaringkan gol pertama Kedah pada minit ke-28.

Walaupun pasukan Terengganu berkali-kali membuat serangan namun ternyata kubu Kedah sukar ditembusi.


Gol kedua Kedah dijaringkan oleh Azlan Ismail pada minit ke-58.

Pertemuan kedua, suku akhir dijadualkan berlangsung pada 3 April ini melibatkan pertemuan kedua antara Negeri Sembilan dan Selangor di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan.

Manakala pasukan Kedah pula akan bertemu Terengganu di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah.

-- BERNAMA

Di Penghujung Karier Ketua Wanita MCA.


Kedudukan ketua pergerakan wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun kini ibarat telur di hujung tanduk.

Ini kerana keceluparannya berikrar akan melepaskan jawatannya jika Datuk Seri Dr Chua Soi Lek memenangi pemilihan parti itu Ahad lalu.
Memandangkan Chua kini adalah presiden MCA, Chew kini dalam dilema.

Ditanya pemberita, selepas Chua diumumkan ketua baru MCA, Chew berkata dia berpegang pada kenyataannya sebelum ini tetapi akan berbincang terlebih dahulu dengan pergerakan wanita sebelum membuat sebarang keputusan.

"Apa yang saya luahkan pada awal, masih tidak berubah tetapi saya tidak mahu keputusan saya menjejaskan parti. Saya mahu parti terus terus berkembang,” jelasnya.

Chew, yang juga timbalan menteri, wanita, keluarga dan pembangunan kemasyarakatan berlepas ke Bangkok, sehari selepas itu untuk menghadiri tugasan rasmi.

Beliau dijadual pulang pada Jumaat ini dan akan memanggil mesyuarat exco wanita sebelum mengumumkan keputusannya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails