Geng Aku

Ahad, 21 Mac 2010

Bukan Mudah Kukuhkan Karier Pengacaraan - Yasmin Hani




PENGACARA dan pelakon Yasmin Hani mengakui bukan mudah untuk mengukuhkan karier pengacaraannya setelah kontrak bersama Astro tamat kira-kira dua tahun yang lalu.
Sejak kali terakhir wajah jelita ini menghiasi program signatur Astro Ria, Ria Sentral pada tahun 2008, sehingga hari ini Hani masih terus mencari peluang pengacaraan yang baru bagi melancarkan kariernya.

Walaupun namanya bukan lagi asing dalam dunia pengacaraan, pengalaman selama sembilan tahun itu belum mampu membuatkan pengacara berusia 31 tahun ini kukuh berdiri dalam bidang ini.

"Saya menganggap kerjaya saya hari ini seperti satu permulaan baru. Saya bagaikan orang baru yang perlu bekerja keras.

"Saya perlu ringan mulut untuk bertanya sana dan sini bagi mencari tawaran pengacaraan," ujarnya.

Malah, sejak bergerak sendiri tanpa ikatan kontrak dengan mana-mana program atau stesen TV, Hani menganggap dirinya tidak ubah seperti pendatang baru yang masih bertatih untuk terus mengukuhkan karier dan periuk nasi.

"Kemunculan saya sebagai pengacara bebas kini boleh diibaratkan seperti salam perkenalan.

"Macam orang baru, saya perlu mencari peluang kerja. Saya lalui waktu yang sukar tapi saya perlu terus berusaha untuk mencari rezeki," luah hati Hani.

Situasi itu pernah membuatkan Hani hampir 'terduduk' kekecewaan. Akuinya, mencari rezeki di luar sana secara bersendirian tanpa ikatan kontrak dengan mana-mana program bukanlah sesuatu yang mudah untuk dihadapi. Namun, Hani terus melangkah demi bidang yang dicintainya ini.

"Sebelum ini, saya cukup selesa selama sembilan tahun terikat dengan Astro. Karier pengacaraan saya berjalan dengan lancar.

"Saya tidak perlu runsing kerana semua perkara melibatkan program disusun dengan baik. Saya hanya perlu datang untuk rakaman dan balik selepas rakaman selesai.

"Namun, sejak kontrak tamat saya amat merasakan keperitan untuk mengembangkan karier ini.

"Terus-terang saya kata, bukan senang untuk mengukuhkan karier pengacaraan bila tiada kontrak dengan mana-mana stesen atau program TV.

"Saya mengenalpasti punca yang membuatkan karier pengacaraan saya tidak begitu lancar kerana mungkin ramai yang tidak tahu saya sudah tiada apa-apa kontrak dengan Astro lagi.

"Selama ini saya begitu sinonim dengan program-program Astro. Apabila kontrak dengan mereka sudah tamat pun orang luar sangka saya masih selebriti Astro.

"Mungkin sebab itu, tidak banyak tawaran pengacaraan lain yang datang. Apa pun, saya bersyukur kerana masih ada juga beberapa tawaran program telah dan bakal saya kendalikan," katanya.

Namun, dengan beberapa tawaran pengacaraan yang datang kebelakangan ini, Hani mungkin boleh menarik nafas lega.

Terbaru, dia terlibat dalam proses rakaman untuk program hiburan 13 episod, Layar Lensa di RTM. Sebelum itu, pelakon berdarah kacukan ini baru sahaja menyiapkan rakaman program Pop Sensasi yang juga akan bersiaran di RTM.

Hani juga bakal mengendalikan program Prelude Anugerah Industri Muzik (AIM) bulan depan.

Kerajaan Harus Ambil Iktibar Dari Bantahan Dunia.



Kerajaan diminta mengambil iktibar dari bantahan Ahli-Ahli Parlimen United Kingdom mendesak Umno-BN menghentikan penderaan politik terhadap pembangkang.

Pelbagai pihak berpandangan bahawa maruah negara dan rakyat Malaysia telah diperjudikan di mata dunia oleh pemimpin-pemimpin politik yang menghalalkan apa sahaja cara demi kepentingan politik sempit.


Badan hak asasi manusia, Suara Rakyat Malaysia mengulangi gesaan masyarakat antarabangsa mendesak Umno-BN untuk tidak memperkudakan aparatus kerajaan untuk menghancurkan seteru politik mereka.

Penyelaras Suaram, E Nalini berkata pihaknya telah melihat dan menerima pelbagai aduan berhubung salahguna kuasa pemerintah yang menghalang pembangkang dari merapati masyarakat.


"Ceramah-ceramah yang dianjurkan pembangkang, misalnya yang dianjurkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, selalu dihentikan oleh polis. Polis adalah di bawah institusi kerajaan. 

Mereka menerima arahan daripada IGP dan ini menunjukkan memang ada diskriminasi kepada pembangkang," jelas beliau.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Tian Chua dan Nurul Izzah dipanggil ke Balai Polis Petaling untuk diambil keterangan berhubung ceramah mereka di Taman Seri Sentosa. Mereka dipanggil atas alasan melanggar syarat permit dan menyentuh isu perkauman.


Pada malam 8 Mac lepas, program memperingati Kemenangan Dua Tahun Pakatan Rakyat terhalang selepas Unit Simpanan Persekutuan merempuh masuk premis Kelab Sultan Sulaiman dan menyerbu pentas yang menempatkan pimpinan Pakatan Rakyat.

Modus operandi seperti ini tidak terhenti di lapangan, bahkan terlanjur sehingga ke Dewan Rakyat.

" Di Parlimen juga kita boleh nampak sebarang resolusi yang dibawa oleh pembangkang selalunya akan ditolak. Walaupun resolusi yang dibawa bermanfaat kepada rakyat tetapi akan ditolak atas alasan tidak ada masa," kata Nalini.

Selangor,NS,T'ganu & Kedah Ke Separuh Akhir.


RUDIE (kiri) diasak pemain pertahanan Pos Malaysia, Mohd. Roslan Basiron pada aksi di Stadium Shah Alam malam tadi.


SELANGOR mudah melangkah ke saingan separuh akhir Piala FA selepas menewaskan Pos Malaysia 3-0 pada aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Shah Alam malam tadi.

Terdahulu, Selangor membelasah Pos Malaysia 5-1 pada aksi suku akhir pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, sekali gus layak ke saingan separuh akhir dengan agregat 8-1.

Pada aksi semalam, biarpun hanya dibarisi majoritinya pemain simpanan, Selangor tetap membuktikan kehebatan mereka apabila R. Surendran berjaya membuka tirai jaringan menerusi rembatan kencang dari dalam kotak penalti seawal minit kedua.

Skuad kendalian K. Devan itu terus menguasai perlawanan dan hasilnya, Rudie Ramli berjaya menyumbat gol kedua Selangor pada minit ke-38.
Surendran sekali lagi meletakkan namanya selaku penjaring apabila meledak gol ketiga pada minit ke-41.

Tersentak dengan tiga gol Selangor itu, Pos Malaysia dilihat memperkemaskan jentera serangan mereka dengan melancarkan serangan ke arah kubu Selangor.

Bagaimanapun, kekentalan bahagian pertahanan skuad Gergasi Merah yang diketuai oleh Bunyamin Omar berjaya mengekang setiap gerakan pasukan pelawat.



Sebaik babak kedua bersambung, Selangor mula memperlahankan rentak permainan sehingga keputusan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan.

Selangor akan berdepan dengan Negeri Sembilan dalam perlawanan separuh akhir pertama yang dijadual berlangsung pada 30 Mac ini.

Cucu Maut Di Pangkuan Nenek.


KEADAAN kereta mangsa yang remuk dalam kemalangan maut di Kilometer 17, Jalan Seremban-Kuala Pilah semalam.


KUALA PILAH – Memang ditakdirkan sepasang suami isteri, Roslley Hasan, 48, dan Roziah Shamsudin, 42, terkorban dalam kemalangan di Kilometer 17, Jalan Seremban-Kuala Pilah dekat Ulu Bendul di sini semalam.

Lebih memilukan, mayat cucu mereka, Mohd. Danish Mohd. Zaidi berusia setahun lima bulan ditemui tidak bernyawa di atas pangkuan Roziah.

Kejadian berlaku ketika pasangan suami isteri itu sedang menuju ke stesen bas Terminal One di Seremban untuk menghantar anak mereka, Nurul Zailin pulang ke Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang. 

Selain Nurul, seorang lagi anak mereka, Nurul Shamimi, 11, dan menantu, Saidatul Akmal Samsudin, 18, turut berada dalam kereta yang dipandu Roslley.




Dalam kejadian pukul 9.30 malam itu, semua mangsa maut akibat cedera parah di kepala dan badan selepas bertempung dengan sebuah kereta lain dari arah bertentangan.

Nicol Raih Gelaran Keenam.




DATUK Nicol David berjaya merangkul kejuaraan keenam Kejohanan Skuasy Terbuka Kuala Lumpur CIMB 2010.

Selepas kempunan muncul juara pada edisi 2009, ratu skuasy negara ini kembali merampas mahkota kejuaraan selepas membenam pemain Mesir, Omneya Abdel Kawy pada aksi final di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur semalam.

Nicol hanya memerlukan masa selama 31 minit untuk menumbangkan pemain pilihan keempat itu dengan kemenangan straight set 11-4, 11-2, 13-11.


“Saya sudah menjangkakan perlawanan ini memang sukar. Omneya bermain dengan cukup tenang kerana dia tidak kisah sama ada menang atau kalah.

“Sebaliknya, saya perlu menang kerana saya bermain di tempat sendiri selain untuk menebus kegagalan tahun lalu.

“Pada suatu ketika, Omneya memberi sedikit tekanan kepada saya tetapi mujur, saya dapat mengekalkan rentak permainan untuk meraih kemenangan straight set,” kata Nicol yang juga pemain No. 1 dunia.

Selaku juara, Nicol membawa pulang trofi dan wang tunai US$8,550 manakala Omneya membawa pulang wang tunai US$6,075.


AKSI Nicol (kiri) ketika menentang Omneya pada final Skuasy Terbuka Kuala Lumpur CIMB 2010 di Berjaya Times Square semalam.


Untuk rekod, Nicol sebelum ini telah menjuarai kejohanan yang sama pada edisi 2000, 2002, 2005, 2007 dan 2008.

Dalam saingan final lelaki, pemain No. 1 dunia, Ramy Ashour meraih gelaran sulungnya di Kuala Lumpur setelah menewaskan rakan senegaranya dari Mesir, Karim Darwish 11-8, 11-8, 11-9 dalam masa 41 minit.

“Set terakhir agak sukar kerana saya terpaksa mengejar mata setelah ketinggalan 5-9. Karim bermain dengan bagus dan mentalnya juga kuat,” katanya.

Ramy membawa pulang sebuah trofi dan wang tunai US$7,600 manakala Karim meraih US$5,200.

Petronas Temui Lapangan Minyak Terbesar Di Dunia?


Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah hari ini mendakwa beliau diberitahu bahawa syarikat minyak nasional, Petronas, telah 'menemui satu lapangan minyak yang sangat besar,kemungkinan yang terbesar di dunia'.

Penemuan ini, tegasnya, bermakna Petronas akan mempunyai masa depan yang sangat baik.

Bagaimanapun, pengerusi pengasas Petronas itu enggan memberikan butiran lanjut.

"Saya diberitahu...tiada pengumuman dibuat mengenai penemuan lapangan minyak yang sangat besar. Saya diberitahu terdapat penemuan besar... yang boleh memberi tekanan kepada harga minyak.

"Saya juga diberitahu ia merupakan lapangan minyak atau telaga minyak terbesar (bukan hanya) di sini tetapi juga di tempat-tempat lain di dunia.

"Saya tidak boleh dedah (lokasi)...saya tidak boleh beri tahu anda," katanya semasa ditanya berulang kali mengenai penemuan itu, yang beliau sebutkan dalam ceramahnya yang bertajuk, "Conversations on the Constitution and Oil Royalty -- A Constitutional Right?" anjuran Majlis Peguam Malaysia, di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau juga tidak menamakan siapa yang memberitahunya mengenai perkembangan Petronas itu. 



Sementara itu, Petronas dalam satu kenyataan ringkas, menafikan penemuan tersebut.

"Petronas ingin menjelaskan bahawa ia tidak membuat sebarang penemuan seumpama itu dan sebarang kenyataan yang menyebut mengenai penemuan sedemikian adalah tidak benar," kata perbadanan minyak nasional itu semasa dihubungi Bernama.

Tengku Razaleigh baru-baru ini tidak bersetuju dengan pendirian Kerajaan Persekutuan bahawa kerajaan Kelantan tidak mempunyai hak untuk menuntut royalti bagi minyak yang dikeluarkan dari kawasan luar pantai negeri itu.

Tengku Razaleigh, yang juga bekas menteri kewangan berkata penemuan lapangan minyak yang besar bermakna Petronas mempunyai masa depan yang baik tetapi menambah, ia perlu diurus dengan sewajarnya.

"Saya berharap Petronas akan diurus dengan baik...tiada ketirisan, agar wang dapat kembali kepada rakyat," katanya.

Beliau juga berkata beliau gembira walaupun Petronas terpaksa membelanjakan wang bagi pembinaan Menara Berkembar Petronas di sini dan pembangunan Putrajaya, pusat pentadbiran persekutuan, syarikat minyak nasional itu "masih meraih untung, dengan wang dan masih mempunyai baki rizab".

Petronas menyumbang kira-kira RM75 bilion setahun kepada kerajaan persekutuan, di mana ia bersamaan dengan kira-kira 42 peratus daripada pendapatan negara.

Sejak ditubuhkan pada 17 Ogos, 1974, Petronas telah berkembang menjadi sebuah syarikat minyak dan gas antarabangsa bersepadu dengan kepentingan perniagaan di 31 negara.

Petronas tersenarai di kalangan syarikat terbesar Fortune Global 500 di dunia.

Fortune menyenaraikan Petronas sebagai syarikat ke-95 terbesar dunia pada 2008 dan ke-80 terbesar pada 2009.

Ia juga menyenaraikan Petronas di kedudukan kelapan bagi syarikat paling mendapat untung di dunia dan syarikat yang paling meraih untung di Asia.

Harga minyak jatuh sejak dua minggu lepas sebanyak 2.8 peratus kepada di bawah AS$80 setong pada Jumaat. London Brent Crude bagi Mei turun AS$1.60 setong kepada AS$79.88.

- Bernama

92 Peratus Rakyat Malaysia Percaya Media Baru.

Sebanyak 92 peratus rakyat Malaysia mengikuti media baru seperti laman sosial Facebook dan Twitter, kata pensyarah kanan Universiti Malaya Prof Dr Abu Hassan Hasbullah.
Katanya, jika dibandingkan dengan Amerika Syarikat dan Eropah, Malaysia mempunyai lebih ramai pengikut setia media baru yang lebih percayakan laporannya berbanding dengan media arus perdana.

Menggalakkan penyertaan golongan muda dalam jaringan sosial, Abu Hassan mengajak lebih banyak penyertaan golongan tersebut di internet.

Bercakap kepada kira-kira 900 pemuda di Kongres Anak Muda Kebangsaan di Petaling Jaya, Abu Hassan berkata kebangkitan media baru sekarang ini telah menjadi semacam “agama” pada masa kini.

Katanya, untuk membawa perubahan dalam negara ini, orang muda mestilah melangkah setapak lagi memasuki media baru dan meninggalkan politik lama.

“Keluarlah daripada politik primitif dan majulah ke depan,” katanya yang terkenal dengan kajian masa depan melalui pusat kajiannya Zentrum Future Studies.

Sementara itu, dalam persidangan sehari anjuran sekretariat belia Selangor itu turut dihadiri beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat, antaranya Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai), Khalid Samad (Shah Alam) dan Tony Pua (Petaling Jaya Utara).

Penutupannnya petang tadi dirasmikan oleh Menteri Mesar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sendiri.

Dalam ucapannya, Khalid antaranya menyeru golongan muda supaya mengambil bahagian dalam lebih banyak aktiviti kerajaan negeri, antaranya "Jom daftar undi" dan rancangan pembangunan sektor pertanian luar bandar.

Sabtu, 20 Mac 2010

Zizan, Fazilah Selamat Diijab Kabul.


ZIZAN dan Fazilah Hani (kiri) ceria selepas majlis akad nikah yang diadakan di Masjid Negara, Kuala Lumpur semalam.


Pelakon popular, Zizan Nin, 36, selamat diijabkabulkan dengan pasangannya yang merupakan wartawan penyiaran dan penyampai berita Bahasa Malaysia Edisi 7 saluran ntv7, Fazilah Hani Harun di Masjid Negara di sini semalam.

Dengan mas kahwin RM651, Zizan yang terkenal menerusi drama Saka sah menjadi suami Fazilah Hani dengan hanya sekali lafaz.

SPR Umum Kata Putus Pilihan Raya PBT Selasa Ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan pendiriannya Selasa ini berhubung pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang hendak diadakan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat.

SPR akan mengadakan mesyuarat terakhir Isnin ini sebelum mengumumkan keputusannya pada keesokan hari.

“Sebenarnya kami (panel SPR) sudah membincangkan permintaan Pulau Pinang dan Selangor Selasa lalu dan cuma pada Isnin ini kami akan membuat penelitian terakhir berhubung kenyataan yang akan dibuat, selewat-lewatnya Selasa minggu depan,” kata Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (gambar) ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

Perbincangan panel SPR di ibu negara Selasa lalu berlandaskan laporan yang dikemukakan penasihat perundangan.

“Keputusan yang kami akan buat, umumkan adalah berlandaskan undang-undang, Perlembagaan Persekutuan... tidak berkaitan dengan aspek-aspek lain... kami mahu keputusan yang bakal dibuat itu tepat, sempurna dari segi lunas perundangan,” katanya.
Selain itu tambah beliau, perkara tersebut perlu diteliti dengan mendalam memandangkan permintaan Pulau Pinang dan Selangor agak berlainan walaupun menyentuh perkara yang sama.


“Pulau Pinang mahu memberi kuasa kepada kami (SPR) mengendalikan pilihan raya kerajaan tempatan manakala Selangor mahu kami mengkaji sama ada boleh mengadakan pilihan raya (kerajaan tempatan).

“Jadi ini melibatkan soal perundangan dan perlu diteliti secara mendalam,” katanya.
Kedua-dua negeri itu baru-baru ini meminta agar SPR mengadakan perbincangan dengan mereka sebelum membuat keputusan terakhir.

Selasa lalu Abdul Aziz berkata, kajian teliti perlu dilakukan dari segi Perlembagaan dan undang-undang berkaitan sebelum menjawab dua surat yang diterima daripada kedua-dua kerajaan negeri tersebut.

Katanya langkah itu bagi memastikan jawapan yang akan diberikan kepada mereka tepat dan betul dan mereka benar-benar faham mengenai kedudukan perkara itu pada masa ini.

“Kita akan hantar surat jawapan kepada kerajaan negeri itu terlebih dahulu sebelum mengumumkan pendirian SPR selewat-selewatnya minggu depan,” katanya.

Abdul Aziz juga berkata sebagai badan bebas dan profesional, SPR tidak terikat dengan sesiapa sama ada pendapat Perdana Menteri, pihak pembangkang atau sesiapa sahaja dalam memutuskan perkara itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah menulis surat kepada Pengerusi SPR pada 8 Mac lalu dengan memberi kuasa kepada mereka untuk mengadakan pilihan raya PBT.

Isnin lalu kerajaan Selangor meminta SPR mengkaji peraturan dan memberi pandangan mengenai tindakan mengadakan pilihan raya PBT di negeri itu.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini berkata pilihan raya PBT yang sudah dimansuhkan sejak sekian lama itu tidak perlu diwujudkan semula.
Katanya proses pemilihan ahli majlis PBT tidak semestinya menjamin mutu perkhidmatan PBT yang lebih baik.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails