Geng Aku

Khamis, 18 Mac 2010

Pendaftaran Pengundi Secara Automatik Tidak Akan Dilaksana.



Kerajaan tidak bercadang untuk mengadakan sistem pendaftaran pengundi secara automatik bagi rakyat Malaysia yang mencapai umur 21 tahun, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata kerajaan akan meneruskan dasar-dasar yang sedia ada dan tidak akan memaksa rakyat melakukan perkara di luar kerelaan mereka.

"Dalam pilihan raya, tak boleh paksa orang. Kita mengamalkan 'freedom of association, freedom of expression and freedom to make decision'. Kita anggap jika mereka tak mahu daftar, itu salah satu pilihan mereka untuk tidak mahu ambil bahagian," katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.



Fong dalam soalannya bertanya tentang pendirian kerajaan berhubung cadangan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada 16 Mac untuk mendaftarkan pemilih secara automatik bagi menjimatkan masa, kos dan mengurangkan birokrasi.

Sementara itu, Nazri juga berkata kerajaan akan terus meningkatkan usaha-usaha menggalakkan rakyat mendaftar sebagai pengundi terutamanya dari golongan muda.

Menurutnya selain mengadakan promosi melalui iklan, kerajaan turut mengadakan pendaftaran secara berkala secara bulanan dan juga sepanjang masa di pusat-pusat pendaftaran di seluruh negara.

"Kalau remaja tak mahu datang ke pusat daftar, maka kita akan bawa pusat itu kepada mereka di tempat-tempat keramaian seperti di pusat beli-belah," katanya. - BERNAMA

Sultan Selangor Lantik 5 Jaksa Pendamai.


Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini melantik lima orang Jaksa Pendamai yang merupakan pelantikan buat pertama kali dalam pemerintahan baginda.

Dalam satu istiadat di Istana Bukit Kayangan di sini pagi tadi, kelima-lima mereka mengangkat sumpah di hadapan baginda dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan Jaksa Pendamai di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Wira Mohtarudin Baki.

Mereka yang menerima pelantikan itu ialah Orang Besar Daerah Sepang, Prof Datuk Dr Tengku Jamaluddin Tengku Mahmud Shah, Pengerusi Multi-Purpose Bhd Datuk Razman Md Hashim, Ketua Pengarang Kumpulan akhbar The Star, Datuk Seri Wong Chun Wai, Pemerintah Agung St John Ambulans Malaysia Datuk Dr Low Bin Tick dan Setiausaha Kehormat The Pure Life Society, S.Supramaniam.

Pada majlis itu baginda juga melantik Azman Yusof, 54, seorang pelukis sepenuh masa sebagai Pelukis DiRaja Selangor.

Pelantikan Jaksa Pendamai dan Pelukis DiRaja itu berkuatkuasa 1 Januari tahun ini. - BERNAMA

Sultan Perak Lantik Raja Bergelar Baru.


Sultan Perak Sultan Azlan Shah telah memperkenankan kenaikan pangkat gelaran dan pelantikan baru Raja-Raja Bergelar dan Ahli Dewan Negara Perak.

Datuk Seri Raja Iskandar Dzulkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A'fifullah Shah dinaikkan pangkat gelaran daripada Raja Kechil Tengah Perak kepada Raja Kechil Besar Perak.

Gelaran yang disandangnya sebelum ini diganti oleh Raja Kechil Tengah Perak Datuk Seri Raja Ashman Shah ibni Sultan Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, demikian diumumkan oleh Setiausaha Dewan Negara Perak Datuk Ayob Hashim dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sultan Perak juga berkenan membuat pelantikan Raja Ahmad Nazim Azlan Shah bin Raja Ashman Shah sebagai Raja Kechil Tengah Perak yang baru.

Semua pelantikan berkuatkuasa 16 Mac 2010, kata Ayob.

Beliau berkata dua ahli baru Dewan Negara Perak yang dilantik bagi penggal dua tahun mulai 17 Mac 2010 ialah Datuk Seri Dr Jalaluddin Abdul Rahim dan Datuk Seri Ismail Shahudin.

Seramai 10 ahli lain yang dilantik semula ialah Tan Sri Raja Aznam Raja Ahmad, Datuk Yusof Sulaiman, Tan Sri Darshan Singh, Datuk Ismail Shah Bodin, Datuk Abdul Karim Mohd Jamil, Datuk Seri Dr Abdul Shukor Abdullah, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini, Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin, Datuk Zubairi Tajuddin dan Datuk Seri Raja Mansur Raja Razman. - BERNAMA

Selasa, 16 Mac 2010

Usul KPN Ditolak, Ahli Parlimen PR Keluar Dewan.


Ahli Parlimen Pakatan Rakyat bertindak keluar dewan pada sidang Parlimen hari ini berikutan Timbalan Speaker, Ronald Kiandee menolak usul untuk membahas kedudukan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Usul itu dibawa Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar dan  menerima sokongan beberapa Ahli Parlimen tetapi usul berkenaan tetap ditolak.

Kementerian Dalan Negeri kemudian membentangkan usul mengarahkan ketua polis negara supaya memastikan jalan dan laluan ke Parlimen dibuka sepanjang masa tanpa sebarang halangan kepada Ahli Parlimen.

Sebaliknya, Ronald meluluskan usul tersebut selepas mendapat sokongan majoriti sewaktu pengundian lisan, tanpa membukanya untuk dibahaskan.

Perang Mulut Pertikai 1Malaysia, Malaysia Sederhana.


Bahang sidang baru Parlimen dirasakan pagi ini dengan wakil Barisan Nasional dan pembangkang bertikam lidah berhubung konsep 1Malaysia diperkenalkan Datuk Seri Najib Razak dan Malaysia Sederhana oleh DAP.

Pertikaman lidah bermula apabila Najib menyifatkan konsep Malaysia Sederhana atau ‘Middle Malaysia’, yang diperkenalkan DAP pada persidangan kebangsaannya di Ipoh baru-baru ini, sebagai satu penjenamaan semula konsep “Malaysian Malaysia”.

“Malaysian Malaysia adalah satu kegagalan. Apabila sesuatu gagal, apa lagi harus dilakukan selain menjenamakan semula (konsep),” kata beliau dengan senyuman di Dewan Rakyat pagi ini.

Beliau menambah pengenalan Malaysia Sederhana hanya satu respons pembangkang kepada konsep 1 Malaysia.

“Saya merasakan usaha untuk memperkenalkan Malaysia Sederhana hanya satu reaksi kepada 1 Malaysia.

“Selepas 1Malaysia semakin pupopular tiba-tiba ada usaha ini untuk mewujudkan satu lagi konsep atas nama Malaysia Sederhana,” katanya.

“Tetapi kita tahu bahawa ia hanya satu penjenamaan semula Malaysian Malaysian,” katanya.
Ketika penyokong Pakatan Rakyat memperli responsnya Najib yang juga Presiden Umno berkata , “malah Malaysia Sederhana tidak berasaskan Perlembagaan ataupun sejarah negara.”

“Malaysia Sederhana hanya slogan pembangkang dan datang dengan retorik tetapi 1Malaysia pula datang dengan tindakan, rakyat didahulukan pencapaian diutamakan,” katanya.

Isu 1 Malaysia muncul apabila Perdana Menteri ditanya oleh  Alexander Nanta Linggi (BN-Kapit) agar menjelaskan kejayaan konsep dalam menyatupadukan rakyat Malaysia.

'Mohsin Perlu Berani Berdepan Dengan Rakyat'

Ahli parlimen Bagan Serai Mohsin Fadzli Samsuri tidak perlu takut dan khuatir untuk berdepan dengan rakyat di kawasannya sekiranya beliau yakin berada di pihak yang benar, kata pengerusi PKR Perak, Mustaffa Kamil Ayub hari ini.

Mustaffa diminta mengulas kenyataan Mohsin yang
beliau tidak dapat dihubungi kira-kira seminggu selepas keluar PKR baru-baru ini kerana bimbangkan keselamatan dirinya.

Mohsin dilaporkan berkata beliau 'menghilangkan diri' selepas mengumumkan keluar PKR dan menjadi wakil bebas pada 3 Mac lalu atas alasan tidak bersetuju dengan pandangan parti berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

Pengundurannya itu dikritik pelbagai pihak dalam pembangkang, termasuk melalui beberapa siri demonstrasi dan solat hajat tujuh malam supaya beliau mengosongkan kerusi itu bagi memberikan laluan kepada pilihan raya kecil.

Mengulas lanjut, Mustaffa yang juga naib presiden PKR berkata, tidak ada sebarang ancaman terhadap Mohsin tetapi "siapa yang makan cili, dialah yang rasa pedas".

"Beliau tidak perlu menyalahkan orang lain, sebaliknya menilai diri sendiri. Kalau beliau betul, beliau harus berani berdepan dengan rakyat," katanya.

Ditanya sama ada kenyataan Mohsin yang bimbangkan keselamatan itu sebagai satu alasan, Mustaffa mendakwa, ia mungkin sekadar alasan sahaja kerana tidak berani berdepan dengan rakyat selepas keluar parti.

Mustaffa berkata perhimpunan di hadapan pejabat Mohsin bagi mendesaknya mengosongkan kerusi Bagan Serai dilakukan secara aman.

Dilaporkan sekurang-kurangnya demonstrasi diadakan di Bagan Serai susulan peletakan jawatan Mohsin daripada PKR dua minggu lalu.

Hanya sehari selepas beliau mengisytihar keluar PKR, kira-kira 200 pengundi berdemontrasi di hadapan pejabatnya.

Manakala bermula Sabtu lalu, satu solat hajat khas anjuran ahli majlis syura Ulama PAS Ahmad Awang diadakan di pelbagai tempat di parlimen itu bagi memohon hukuman Allah terhadap Mohsin kerana didakwa mengkhianati perjuangan.

Ia dijadual berakhir di Masjid Kampung Tinggi pada Jumaat ini.

Exco: Tiada Rombakan Di Kelantan.


Kerajaan Kelantan tidak akan mengadakan sebarang rombakan yang melibatkan barisan exco dan kepimpinan utamanya di bawah pentadbiran Datuk Nik Aziz Nik Mat, kata beberapa exco kerajaan negeri.

Menurut Mohd Fadhli Hassan (penerangan, pembangunan maklumat, sains dan teknologi) dan Abd Fattah Mahmood (pembangunan insan, belia, sukan dan NGO) khabar angin berhubung perkara itu tidak benar sama sekali.

“Tidak betul. Tidak betul. Sekarang ini orang serang kami (kerajaan negeri) daripada segenap penjuru,” kata Mohd Fadhli.

Sementara Abd Fattah pula menyifatkan pembawa khabar angin tersebut lebih tahu daripada kerajaan negeri sendiri berhubung hal ehwal pentadbiran.

“Nampaknya mereka lebih ke depan daripada kami. Tidak ada apa-apa (rombakan),” kata Abd Fattah Mahmood.

Kedua-dua mereka diminta mengulas dakwaan terbaru di laman-laman blog bahawa rombakan besar akan dibuat di negeri itu pada bulan depan. 


Dua tokoh besar Kelantan dilaporkan akan digugurkan, iaitu Nik Aziz sendiri - setelah lebih 20 tahun memimpin negeri itu - dan exco kanan Kelantan Datuk Husam Musa.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Mohd Fadhli berkata, beliau menasihatkan penulis blog lebih bertanggungjawab dan tidak terlibat menyebarkan perkara yang tidak betul.

Katanya, walaupun mereka tidak terikat dengan etika kewartawanan seperti yang menjadi amalan pihak media, kumpulan tersebut masih “terikat dengan undang-undang tuhan dan dosa-pahala”.

Sementara Abd Fattah pula berkata, penulis blog sepatutnya mengamalkan kebebasan menulisnya dengan penuh tanggungjawab, termasuk tidak melupakan kepentingan umum ketika menghasilkan sesuatu laporan.

“Saya tidak boleh hendak komen niat mereka. Tetapi biarlah ada prinsip, tulislah yang benar dan baik-baik. Tentang niat (mereka) itu hak masing-masing,” katanya.

Beberapa bulan sebelum ini, berlaku perdebatan hangat berhubung pelapis kepimpinan Nik Aziz apabila seorang lagi exconya Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah secara terbuka menyarankan Nik Aziz menamakan penggantinya.

Menteri besar bagaimanapun dilaporkan berkata berdasarkan hierarki dalam PAS dan kerajaan negeri, timbalan menteri besar Datuk Ahmad Yaakub merupakan pelapis nombor satunya, sekali gus menutup spekulasi berterusan pada masa itu.

ISA Perlu Dihapuskan, Bukannya Dikaji.

Pengerusi Gerakan Mansuh ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh (gambar) menjangkakan bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang akan diteliti dan dikaji kabinet Jumaat ini masih menafikan hak asasi seseorang yang dituduh bersalah untuk dibicarakan secara adil di mahkamah.

Sehubungan itu, pindaan rang undang-undang yang dijangka umum akan dibentangkan di Parlimen itu dalam masa terdekat ini bukan sahaja dianggap sebagai suatu inisiatif yang tidak bermakna, malah ISA patutnya dimansuhkan.

“Bagi kami, pindaan yang dibuat ini tidak bermakna, tidak lagi boleh diperbaiki kecuali dimansuhkan,” katanya.

Lebih dari itu, berdasarkan beberapa pengalaman GMI berunding dengan KDN sebelum ini, beliau menganggap pengumuman seperti yang dibuat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam adalah percakapan kosong seorang ahli politik.

“Hakikatnya, sehingga hari ini masih tidak kelihatan perincian-perincian pindaan pada akta ini sehingga menjadi suatu cakap-cakap politik sahaja,” ujarnya.

Tuntas dari itu, Hishammuddin dianggap tidak berniat memperbaiki hatta memansuhkan ISA, tahanan tanpa bicara seperti yang dituntut oleh GMI dan majoriti rakyat Malaysia sebelum ini.

Sebaliknya, menurut beliau, inisiatif Hishammuddin itu sekadar untuk menarik perhatian rakyat terhadap kerajaan.

Bagaimanapun, KDN diminta bersikap jujur dengan melaksanakan ‘semakan kehakiman’ ke atas sesiapa sahaja yang didakwa di bawah akta zalim tersebut, bukan lagi diputuskan bersalah oleh suatu Lembaga Penasihat di bawah KDN.

Semalam, Hishammuddin dilaporkan akan menyerahkan draf pindaan undang-undang berkaitan ISA kepada kabinet, sebelum membentangkan rang undang-undang pindaan itu dalam sidang parlimen Mac-April ini.

Cadangan pindaan itu meliputi lima inti utama yang dipertikai umum, iaitu kuasa Menteri Dalam Negeri, tempoh penahanan, hak dan layanan ke atas tahanan, ISA dianggap alat politik bagi mengekalkan kuasa memerintah dan kaedah tahanan tanpa perbicaraan.

Pun begitu, sekiranya draf pindaan tersebut tidak dibentangkan dalam sesi perbahasan kali ini, beliau berkata, KDN akan terus mendapatkan maklum balas daripada rakyat

MP Bebas Dicabar Kosongkan Kerusi.

Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh mencabar kesemua ahli parlimen Bebas mengosongkan kerusi parlimen bagi mendapatkan mandat baru daripada pengundi kawasan masing-masing.

Menurutnya, sekiranya mereka takut tidak dapat bertanding lagi sebagai calon jika meletak jawatan, mereka boleh memilih satu lagi kaedah iaitu dengan tidak menghadiri persidangan Dewan Rakyat selama enam bulan berturut-turut.

Menurut peruntukan di bawah perkara 52(1) Perlembagaan Persekutuan, jika seseorang ahli mana-mana satu Majlis Parlimen tidak hadir pada tiap-tiap sidang Majlis Parlimen selama tempoh enam bulan tanpa kebenaran Majlis Parlimen itu, maka Majlis Parlimen itu boleh mengisytiharkan bahawa kerusinya kosong.

"Ada peruntukan 52(1), jika seseorang ahli parlimen tidak menyertai persidangan dalam enam bulan, kerusi dia kosong dan dia masih boleh bertanding sebagai calon," katanya yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor.

Beliau berkata demikian semalam ketika diminta mengulas lima wakil rakyat yang kini berada di blok Bebas di parlimen.


Empat daripada mereka adalah bekas wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim, Tan Tee Beng (Nibong Tebal), Zulkifli Nordin (Kulim-Bandar Baharu), Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai).

Zahrain, Tee Beng dan Mohsin sebelum ini mengisytiharkan keluar PKR dan menjadi ahli parlimen Bebas, manakala Zulkifli dipecat daripada PKR.

Seorang lagi ahli parlimen Bebas adalah Datuk Ibrahim Ali (Pasir Mas) yang bertanding dan menang atas tiket PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu.

Tindakan beliau kemudian dilihat sering menentang pendirian PAS dan Pakatan Rakyat sehinga beliau didesak meletak jawatan.

"Jadi lebih baik kelima-lima yang bebas ini meletak jawatan (tidak hadir parlimen), kembali ke kawasan masing-masing untuk dapatkan mandat baru," tambah Karpal.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails