Geng Aku

Ahad, 27 Disember 2009

Sein Nana Juarai Sehati Berdansa Musim Ketiga


 Pasangan Sein dan Nana dinobatkan sebagai juara program pertandingan tarian, Sehati Berdansa pada Malam Kemuncak Sehati Berdansa yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, malam ini.

Pasangan suami isteri itu membawa pulang hadiah sehingga RM200,000 iaitu sebuah kereta Audi A4 (1.8) , pakej bulan madu ke Rom Itali beserta trofi setelah menewaskan pasangan Sazzy dan Nazril pada program yang disiarkan secara langsung di Astro Ria itu.

Badan kebajikan yang diwakili oleh pasangan juara itu iaitu Persatuan Albinisma Kuala Lumpur pula menerima wang tunai berjumlah RM20,000.manakala koreografer pasangan tersebut juga, Bayu turut menerima hadiah pakej percutian ke Rom, Itali beserta sebuah trofi.

Dalam pada itu, naib juara badan kebajikan yang diwakili oleh iaitu Persatuan Parkinson Malaysia menerima wang tunai berjumlah RM 15,000.

Juara Sehati Berdansa malam tadi ditentukan 100 peratus berdasarkan undian SMS oleh penonton manakala Joseph Gonzalez, Linda Jasmine, Lisdawati dan Fauzi Nawawi bertindak selaku pengkritik pada program akhir itu.

Kedua-dua pasangan selebriti itu telah mempersembahkan dua jenis tarian iaitu Kurik Kundi dan Tarian Latin dengan bimbingan koreografer masing-masing.



Program akhir yang dihoskan oleh Fahrin Ahmad, Scha AlYahya dan Awal Ashaari itu juga turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa oleh enam lagi pasangan selebriti yang telah tersingkir daripada program tersebut sebelum ini.

Program pertandingan tarian yang disertai oleh para selebriti dan pasangan masing-masing itu adalah hasil adaptasi dari program India,

Mereka mewakili badan kebajikan masing-masing di mana setiap minggu sebanyak RM1,000 akan disumbangkan kepada badan-badan tersebut jika pasangan yang mewakilinya masih kekal di dalam program itu.

Sabtu, 26 Disember 2009

2.85 Juta Bumiputera Tidak Daftar Sebagai Pengundi




Kira-kira 65 peratus atau 2.85 juta daripada 4.38 juta rakyat negara ini yang berusia 21 tahun ke atas yang tidak mendaftar sebagai pengundi adalah Bumiputera, kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar.


Katanya, jumlah itu diperoleh selepas SPR membuat pemadanan dengan data penduduk berusia 21 tahun ke atas yang dimiliki Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).



Beliau berkata, daripada jumlah itu Selangor mencatatkan jumlah pengundi tidak berdaftar paling tinggi iaitu 787,500 diikuti Johor (605,00), Perak (527,000), Sarawak (475,000), Kuala Lumpur (350,000), Kedah (317,000) dan Sabah (280,000).

Ia diikuti Kelantan (247,000), Pulau Pinang (217,000), Pahang (200,000), Negeri Sembilan (154,000), Melaka (95,000), Terengganu (82,000), Perlis (32,000), Labuan (11,500) dan Putrajaya (7,200).

Beliau berkata, jika tidak ada usaha untuk menggiatkan kempen pendaftaran, jumlah mereka yang tidak berdaftar akan terus meningkat kerana setiap tahun ada kira-kira 450,000 individu mencapai berusia 21 tahun di seluruh negara.

“SPR mengenal pasti sikap sambil lewa atau tidak memberi keutamaan sebagai pengundi menjadi punca utama perkara ini berlaku, tetapi keadaan berubah menjelang setiap pilihan raya umum apabila SPR terpaksa memproses lebih satu juta permohonan dalam tempoh setahun sebelum pilihan raya diadakan.

“Justeru, SPR meminta semua pihak termasuk parti politik, pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan penduduk supaya membantu usaha meningkatkan kesedaran di kalangan rakyat untuk mendaftar sebagai pengundi,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Wan Ahmad berkata, sehingga bulan ini, jumlah keseluruhan Daftar Pemilih Induk ialah 11.7 juta.

Mengenai kempen pendaftaran pemilih, katanya, proses pendaftaran dilaksanakan sepanjang tahun di 690 pejabat pos berkomputer, kaunter bergerak SPR dan menerusi 2,245 penolong pendaftar pemilih yang dilantik mewakili parti politik.

“Walaupun kempen pendaftaran kerap diadakan, tahap kesedaran di kalangan rakyat khususnya yang berusia 21 tahun ke atas masih rendah kerana mendaftar sebagai pengundi bukanlah mandatori kepada mereka yang layak,” katanya.

Mengenai pendaftaran secara automatik, Wan Ahmad berkata, pelaksanaannya memerlukan pindaan terhadap Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan seseorang warga negara adalah layak untuk didaftarkan sebagai pemilih sekiranya memenuhi syarat ditetapkan.

Antaranya, sudah mencapai umur 21 tahun ke atas, menetap di mana-mana Bahagian Pilihan Raya di Malaysia dan tidak hilang kelayakan untuk menjadi seorang pemilih.


“Ketika ini, SPR menjadikan pangkalan data JPN sebagai sumber rujukan utama dan secara anggaran ada lebih 3 juta rakyat negara ini tidak mengemaskinikan alamat semasa berbanding yang tertera dalam MyKad masing-masing.

“Jika pendaftaran secara automatik dilaksanakan, SPR bimbang proses pengundian akan menjadi kelam-kabut dan ini boleh menjejaskan peratusan mengundi,” katanya.

UMNO Pasang Startegi Huru Harakan PR Di Selangor?



Umno dipercayai sedang menggerakkan satu perhimpunan kononnya untuk mendesak agar PAS Selangor keluar dari Pakatan Rakyat.

Menurut satu sms yang dihantar kepada Harakahdaily, perhimpunan itu akan diadakan esok 27 Disember jam 11 pagi  di perkarangan pejabat perhubungan PAS Selangor dekat sini.

Dalam perhimpunan itu, sms itu memaklumkan, satu memorandum akan diserahkan dan menurutnya memo itu akan diterima sendiri oleh Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali.



"Datanglah beramai-ramai demi kepentingan Melayu...," tulis sms itu.

Ketika disemak dari penghantar sms itu, didapati sumbernya adalah penggerak Umno di negeri ini.

"Dia nak ambil kesempatan dari isu yang berlaku di Selangor sekarang untuk memecahkan PAS," kata sumber yang menghantar mesej ini kepada Harakahdaily.



Sementara itu, blogger Raja Petra Kamarudin dalam tulisannya memberitahu, para pemimpin Umno telah memberitahu orang-orangnya dalam agensi kerajaan negeri ini bahawa Barisan Nasional akan mengambil alih Selangor Januari ini.

Ekoran itu, katanya, banyak agensi kerajaan negeri yang masih dipimpin oleh penyokong Umno 'tidak berfungsi sebagaimana yang sepatutnya'.



Ini kerana, mereka menunggu apakah kerajaan negeri Pakatan di Selangor ini akan jatuh atau tidak ke tangan BN Januari ini sebagaimana yang dijanjikan pemimpin Umno itu.


Adalah dipercayai, jika benarlah tulisan Raja Petra ini bermakna antara strategi Umno adalah dengan memecahkan PAS di Selangor dan seterusnya memecahkan Pakatan Rakyat.

Jumaat, 25 Disember 2009

UMNO Pulau Pinang Yang Terdesak.


Perebutan kerusi Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang antara Gerakan dan Umno hanyalah bertujuan untuk meraih semula simpati daripada masyarakat Melayu yang kebanyakannya sudah hilang keyakinan dan kepercayaan kepada mereka.

Menurut Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohd Salleh Man, apa yang dilakukan oleh Umno pada tahun ini adalah episod drama ulangan sepertimana yang telah mereka lakukan pada tahun 1986 yang lalu.

"Pada pilihan raya umum tersebut Umno telah berjanji untuk mendapatkan kerusi Ketua Menteri sekiranya memenangi kerusi dalam pilihan raya tersebut.Tetapi mereka tidak juga berjaya menjadikannya sebagai satu kenyataan.



"Kini propaganda yang mereka lakukan pada tahun-tahun terdahulu dilakukan sekali lagi semata-mata untuk meraih sokongan yang sudah pudar dikalangan masyarakat Melayu khususnya.

"Namun begitu apa yang berlaku dalam BN Pulau Pinang tidak akan membawa apa-apa perubahan senario politik di negeri ini.Rakyat sebenarnya sudah faham dan menyedari taktik yang digunakan oleh Umno dan Gerakan dalam meraih sokongan setelah kepercayaan rakyat kepada mereka semakin terhakis," katanya.




Menurut Mohd Salleh lagi tindakan Umno menggesa Gerakan supaya memberikan kerusi Pengerusi BN kepada mereka sudah tidak relevan lagi kerana rakyat tidak mudah untuk menerima mereka lagi setelah melihat kepada bentuk kepimpinan yang lemah dan tidak telus oleh kepimpinan BN sebelum ini.

Khamis, 24 Disember 2009

Tony Fernandez Nafi Beli West Ham.




Tony Fernandes

Datuk Seri Tony Fernandes menafikan bahawa dia telah membuat tawaran untuk membeli kelab West Ham meskipun telah mengadakan perbincangan dengan kelab tersebut.

CB Holdings, syarikat yang memiliki West Ham, sedang mencari pelabur baru dan mereka sangat berharap ahli perniagaan dari Malaysia itu bersetuju membeli 51 peratus saham dalam kelab Liga Perdana England itu.

Tony Fernandes merupakan individu yang membawa semula pasukan Lotus ke kancah perlumbaan Formula Satu (F1) tahun depan dan dilihat sebagai alternatif terhadap penjualan West Ham kepada bekas pemilik Birmingham, David Gold dan David Sullivan.



Begitupun, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat penerbangan tambang murah AirAsia itu menafikan laporan tersebut kepada akhbar London Evening Standard kelmarin.

"Tidak, bukan dalam masa terdekat ini. Saya sedang sibuk menguruskan tentang pasukan F1 saya, jadi ia (pembelian West Ham) bukan sesuatu yang akan saya lakukan," katanya.

Bank dari Iceland, Straumur memiliki saham sebanyak 70 peratus dalam syarikat CB Holdings dan telah menolak tawaran sekitar £50 juta (RM274.2 juta) daripada Gold dan Sullivan ke atas kelab yang dianggarkan bernilai £120 juta (RM658 juta) itu.



Tony Fernandes yang meminati kelab West Ham mengakui bahawa masa depan kelab yang menduduki tangga kedua terbawah Liga Perdana England itu tidak begitu cerah.

"Saya sangat risau tentang masa depan West Ham. Mereka dalam keadaan genting sekarang ini dan cara pengurusan kewangan juga teruk," kata Tony.

"Peminat kelab ini, termasuk saya mahukan yang terbaik, tetapi kedudukannya tidak begitu bagus untuk menarik pelabur baru." - Agensi

Najib Yang Terus Dicurigai.



Kemenangan tipis Barisan Nasional (BN) dalam pengundian Bajet 2010 di Dewan Rakyat 14 Disember lalu menguatkan lagi persepsi bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menghadapi krisis keyakinan, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Hakikat bahawa 71 orang ahli Parlimen BN tidak hadir dalam pengundian untuk menerima belanjawan sulung yang dibentangkan oleh Najib tidak dilihat sebagai suatu kebetulan semata-mata oleh pasaran dan tokoh-tokoh perniagaan.

"Perkara itu ditimbulkan dalam pertemuan saya dengan tokoh perniagaan dua hari lalu," katanya.



Dalam peristiwa itu, kerajaan Najib melalui saat paling mencemaskan apabila jumlah undi diperolehi terlalu tipis, di mana BN berjaya mengatasi pembangkang hanya dengan tiga undi sahaja (66-63) untuk membolehkan Bajet 2010 akhirnya diluluskan.

Menurut Salahuddin, mereka mempersoalkan adakah ketidakhadiran begitu ramai ahli Parlimen BN itu adalah satu kebetulan atau sesuatu yang dirancang.

"Bagi mereka, apa yang berlaku itu menunjukkan ketidakmampuan Najib menguasai parti yang diketuainya sendiri.



"Mereka juga tidak menolak kemungkinan Najib adalah Perdana Menteri yang paling lemah dalam sejarah Malaysia dan bukan (Tun) Abdullah (Ahmad Badawi)," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Sekurang-kurangnya Abdullah berjaya menguasai Umno dan BN dan mendapat kepercayaan yang lebih baik dari Najib di tahun-tahun awal pemerintahannya, katanya.

Mengenai apa yang didakwa sebagai reformasi ekonomi yang cuba ditonjolkan sebagai kekuatan Najib, Salahuddin tidak melihat perkara itu diterima tanpa dipersoalkan oleh pasaran.

"Pandangan (Prof) Jomo (K Sundaram) bahawa dasar ekonomi terbuka Najib tidak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dipandang serius oleh pasaran," katanya.

Malah, kata beliau lagi, isu kehilangan dua enjin jet pejuang F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut mendapat perhatian serius pasaran dan masyarakat perniagaan.



"Mereka mempersoalkan, jika Najib tidak menunjukkan prestasi yang meyakinkan dalam menjaga hanya satu kementerian, bagaimana beliau boleh memberi keyakinan umum bahawa beliau mampu menunjukkan prestasi yang baik untuk mentadbir sebuah negara?" kata Salahuddin.

Beliau juga memberitahu, tokoh perniagaan yang ditemui itu juga menunjukkan kepadanya indeks penerimaan terhadap prestasi Najib sebagai Perdana Menteri yang merudum dengan begitu mendadak dalam masa yang singkat.

Menurut tinjauan Merdeka Center yang ditunjukkan oleh tokoh perniagaan berkenaan kepadanya, kata Salahuddin, kadar penerimaan terhadap prestasi Najib sebagai Perdana Menteri mencapai tahap sehingga 65 peratus dalam tempoh 19 Jun hingga 1 Julai tetapi merudum lebih 10 peratus dan berada pada tahap 56 peratus dalam tempoh 4 hingga 14 September lalu.

"Dalam tempoh antara 19 Jun hingga 1 Julai itu juga, sebanyak 74 peratus responden Melayu dan 74 peratus responden India berpuas hati dengan pencapaian Najib sebagai Perdana Menteri, manakala tahap sokongan masyarakat Cina pula melonjak sehingga 48 peratus," katanya.

Bagaimanapun, dalam tempoh 4 hingga 14 September lalu, tahap penerimaan itu merudum kepada 64 peratus di kalangan masyarakat Melayu, 68 peratus di kalangan masyarakat India dan hanya 36 peratus sahaja di kalangan masyarakat Cina, kata Salahuddin lagi.

Beliau tidak menolak kemungkinan Najib semakin dilihat sebagai liabiliti kepada BN dan negara.

Filem Muallaf Ditayangkan Hari Ini Di Malaysia.


JURUSOLEK terkenal, Hathim Thai menambahkan efek di kepala botak Sharifah Amani sewaktu penggambaran dua tahun lalu.


SAYA merupakan antara orang yang paling gembira saat mendapat tahu filem Muallaf akhirnya berjaya ditayangkan di negara ini.

Masakan tidak, sebelum dapat ditayangkan di negara kelahiran pembikin ceritanya, Allahyarham Yasmin Ahmad, filem ini terlebih dahulu sudah jauh berkelana serata dunia.

Apa yang membanggakan filem ini mendapat sambutan di luar dugaan ketika ditayangkan di Singapura, tidak salah saya pada tahun lalu.




Tidak cukup dengan itu, Muallaf diulang tayang di sana untuk kali kedua atas permintaan rakyat republik itu sendiri yang begitu menyanjung dan mengagumi filem kelima arahan Allahyarham Yasmin ini.

Sebetulnya, sewaktu menghadiri tayangan prebiu di Cathay Cineleisure, The Curve, Damansara, minggu lalu, ia merupakan kali kedua saya menonton filem ini.

Kali pertama, saya menontonnya di pejabat Allahyarham Yasmin, jika tidak silap saya sekitar dua tahun lalu iaitu beberapa bulan selepas Muallaf disiapkan.



Masih jelas terbayang di minda saya saat Allahyarham Yasmin mengirimkan khidmat pesanan ringkasnya kepada saya bertanyakan sama ada mahu menonton Muallaf.

Sudah pasti saya memberikan jawapan saya dengan pantas dan saya menyifatkan diri saya bertuah kerana menjadi salah seorang daripada mereka yang sempat menonton filem ini sebelum ia terperap dua tahun.

Seperti biasa, sebaik sahaja filem tamat, Allahyarham meminta pandangan saya tentang filem Muallaf.


"Filem ini berat tapi saya suka, Cik Min (panggilan saya untuk Allahyarham). Lain daripada filem-filem Cik Min sebelum ini." Itulah komen saya kepadanya dan dia hanya tersenyum sambil memeluk saya.

"I tahu bukan semua orang akan dapat terima Muallaf tapi I buat filem ini ada sebabnya. Semuanya tentang kemaafan dan keampunan.



"Apa sahaja yang kita lakukan keampunan serta kemaafan itu penting agar kita dapat hidup aman dan tenang di muka bumi ini dan juga di alam yang abadi," katanya dengan penuh jujur.

Maaf jika tulisan ini berbaur peribadi dan pasti akan ada yang tidak suka tetapi saya fikir ini adalah satu luahan saya untuk filem ini dan juga untuk Allahyarham.

Benar. Muallaf adalah tentang kemaafan dan keampunan. Sejahat mana pun seseorang itu atau betapa kecewanya perasaannya atas tindakan seseorang, namun jauh di sudut hatinya akan terselit juga kebaikan dan perasaan untuk memaafkan.

Kemaafan dua beradik terhadap bapa mereka biarpun sebelum ini puas mereka didera mental dan fizikal kesan daripada sikap bapa mereka yang panas baran serta tidak mengamalkan cara hidup Islam yang betul.



Kisah yang lain pula adalah tentang keampunan seorang anak kepada ibunya biarpun selama dia hidup, dia menyimpan dendam terhadap ibunya hanya kerana satu kesilapan sahaja.

Itulah yang cuba ditonjolkan oleh Allahyarham Yasmin menerusi filem Muallaf ini. Mungkin mendengarkan tajuknya ramai yang akan berfikir tentang kisah mereka yang memeluk agama Islam.

Sebelum ini, ramai yang berpendapat filem ini mampu mencetuskan kontroversi dan provokasi menerusi watak Rohani dan Rohana yang dilakonkan oleh adik-beradik, Sharifah Amani dan Sharifah Aleysha.

Masakan tidak, kedua beradik ini gemar mengungkapkan rangkap-rangkap dari al-Quran dan kitab Injil dalam mencari jawapan kepada masalah yang mereka tempuhi.

Kehebatan mereka itu ternyata cukup mengagumkan seorang cikgu bernama Brian Goh (lakonan Brian Yap) yang memiliki pengalaman silam yang cukup pahit sewaktu zaman kanak-kanak.

Di sini terletaknya keberanian Allahyarham Yasmin apabila cuba menonjolkan watak-watak ini yang cuba membicarakan tentang soal agama dari perspektif anutan yang berbeza.



Mungkin ramai yang tidak boleh menerimanya tetapi setiap rangkap yang diungkapkan seharusnya diteliti dan diperhalusi maksudnya yang akhirnya membawa kepada kuasa Sang Pencipta.

Percayalah, bukan semua boleh menerima Muallaf dengan terbuka kerana untuk menonton filem ini ia sememangnya mencabar minda penonton untuk menghayati maksud yang tersirat serta tersurat.

Filem ini masih lagi mengekalkan sentuhan Allahyarham Yasmin. Apa yang membezakan Muallaf dengan filem-filemnya terdahulu hanyalah konteks jalan ceritanya sahaja.

Muallaf merupakan naskhah paling berat yang pernah diarahkan oleh Allahyarham Yasmin.

Menurut adiknya, Datin Orked Ahmad, dua bulan sebelum meninggal dunia, Allahyarham Yasmin merupakan orang yang paling gembira apabila mendapat tahu filem ini akan dipertontonkan kepada khalayak negara ini.

Allahyarham Yasmin (meninggal dunia pada 25 Julai lalu ) berdepan dengan rintangan dan cabaran dalam menghasilkan filem ini. Sudah pasti, siapa yang dapat lupa kontroversi Sharifah Amani yang membotakkan kepalanya dalam membawakan watak Rohani.

Kisah itu telah mencetuskan polemik dan perdebatan sehingga menjadi isu nasional dan berlarutan untuk beberapa ketika.

Namun, jangan berharap untuk melihat adegan rambutnya dicukur itu secara keseluruhan dalam filem ini kerana pastinya anda akan berasa hampa.

Sebaliknya, anda akan tahu serta sedar rasionalnya Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-19 itu berbuat demikian dan mengapakah ia begitu penting dalam menggerakkan filem ini.

Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) ternyata cukup 'baik hati' untuk meluluskan filem ini tanpa sebarang potongan biarpun pada mulanya mereka mahu mencincang dua adegan filem ini kerana dianggap provokatif.

Mujurlah mereka sedar atas permintaan penerbit filem ini, MHz Film yang berjaya menyakinkan filem ini akan cacat seandainya ia dipotong.

Cuma ada dua adegan sahaja yang dipadamkan dialognya kerana ia dilihat mampu menyentuh sensitiviti masyarakat di negara ini.

Usai menonton filem ini, saya menjadi sebak dan tanpa saya sedar air mata saya bergenang. Dalam masa yang sama, saya gembira kerana filem ini berjaya juga ditayangkan.

Malah, suasana ketika sidang media juga suram dan tidak seperti mana ketika tayangan pra tonton Talentime di tempat yang sama beberapa bulan sebelum itu.

Sedih kerana tiada lagi pengkarya yang menghasilkan filem-filem yang begitu indah dan memiliki semangat serta sarat dengan kasih sayang dan cinta.

Juga tiada lagi seorang bijak pandai yang mampu menjawab setiap persoalan yang diajukan kepadanya tanpa disedari jawapannya itu membuatkan kita berfikir di sebaliknya.

Jika anda mahu menonton filem yang memulakan tayangannya hari ini (24 Disember), tontonilah ia dengan minda dan hati yang terbuka kerana anda akan mendapat sesuatu daripadanya.

Juga, jangan sesekali membanding-bandingkan Muallaf dengan karya Allahyarham Yasmin yang lain kerana kesemua filemnya iaitu Rabun, Sepet, Gubra, Mukhsin dan Talentime bergerak di atas landasan yang berbeza.

Untuk Allahyarham Yasmin Ahmad, jasamu akan terus dikenang sebagai pengkarya yang genius, berwawasan dan kreatif.

Dirimu hanya satu dan kamu tiada galang gantinya. Semoga roh kamu dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama orang yang beriman. Al-Fatihah...

Kes Saman Anwar Didengar 25 Feb' Ini.



Kes saman 100 juta ringgit Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Menteri Luar Negeri Datuk Anifah Aman akan bermula 25 Februari ini.

Peguam mewakili mantan Timbalan Perdana Menteri itu, Sankara Nair memfailkan saman terhadap pegawai kanan kerajaan itu pada 27 Mei lalu.

Anifah dituduh membuat kenyataan berbaur fitnah terhadap Anwar dalam satu sidang media 16 Mei lalu di Washington D.C. Anifah mendakwa Anwar menyogoknya dengan jawatan Kabinet sekiranya wakil rakyat BN itu melompat ke Pakatan Rakyat.

Anwar membidas kenyataan Anifah itu sebagai cubaan untuk melakar Anwar sebagai seorang individu yang tidak jujur, tidak berprinsip dan rasuah. Selain dari Anifah, Anwar turut menamakan Kerajaan Persekutuan sebagai defendan.

Duit Rakyat Lenyap 2.4 Juta.


Bendahari PAS, Dr. Hatta Ramli mendakwa kerajaan cuba menyembunyikan isu pelupusan dakwat kekal bernilai RM2.4 juta yang tidak digunakan pada pilihanraya umum ke-12 yang lalu daripada pengetahuan umum.

Dr. Hatta yang merupakan salah seorang jurucakap Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) berkata, tindakan kerajaan itu jelas berniat untuk menyembunyikan pembaziran yang dilakukan apabila ianya hanya diketahui umum setelah dibangkitkan pada Persidangan Dewan Negara baru-baru ini.

"Dalam hal ini kita pun tidak sedar bahawa dakwat ini telah dilupuskan begitu sahaja sehinggalah ia ditimbulkan di Dewan Negara baru-baru ini.Jadi ertinya kerajaan cuba menyembunyikan isu ini. Mereka seboleh mungkin mahu menyorokkan isu ini,"

"Jelas ini satu pembaziran akibat perancangan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang tidak bijak dalam merancang perbelanjaan wang rakyat," katanya ketika dihubungi Harakahdaily petang tadi.

Dr. Hatta yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai turut mempersoal keberkesanan tindakan tersebut sedangkan katanya ianya boleh dijual semula bagi mengelakkan pembaziran.

"Siapakah yang akan bertanggungjawab di atas kehilangan wang kerajaan sebanyak RM2.4 juta ini dan kenapakah dakwat itu tidak boleh dikembalikan dan tidak dijual semula untuk mengelakkan pembaziran,"katanya.

Perkara ini juga tegasnya menunjukkan Kementerian berkenaaan gagal mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) yang baik.

Ini melibatkan KPI Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan SPR.Kalau  dalam kes biasa dalam mana-mana jabatan kerajaan tindakan boleh diambil terhadap mereka yang gagal dalam merencanakan penggunaan  wang kerajaan," tegasnya.

Bagaimanapun beliau berkata, meskipun dakwat itu telah dilupuskan, BERSIH akan tetap menuntut penggunaan dakwat kekal dalam PRU ke-13 nanti.

"Untuk pilihanraya akan datang, BERSIH akan terus menuntut penggunaan dakwat kekal ini. Kita akan mendesak agar SPR membeli dakwat yang baru dan membenarkan penggunaannya," katanya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong sebelum ini berkata, dakwat yang tidak dapat digunakan kerana masalah keselamatan dan perundangan itu telah dilupus pada 25 November lepas.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Senator Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim menegenai keputusan yang dibuat terhadap dakwat kekal yang telah dibeli dan kemudian mahu dijual semula sehingg tarikh luputnya telah berlalu.

Pada PRU ke-12 yang lalu, SPR bersetuju menggunakan dakwat kekal setelah dituntut BRSIH, namun membatalkannya  di saat akhir menjelang hari pengundian atas alasan terdapat individu yang dilaporkan membeli dakwat ini secara haram dari negara luar dan berniat membuat kacau.

Namun sehingga sekarang, kerajaan masih gagal membuktikan kebenaran akwaan tersebut malah tida tangkapan spesifik dibuat terhadap individu yang didakwa melakukan kesalahan itu.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails