Geng Aku

Jumaat, 20 November 2009

Nizar V'8! Lembaran baru pergelutan politik: Saiful vs Altantuya? Lingam!

 0leh-Merdeka Review

Suasana politik tidak kembali tenang sejak dilanda tsunami pada 8 Mac 2008.  Presiden UMNO ketika itu yang diasak dari dalam dan luar, semakin hilang kawal.  Sebaliknya, Pakatan Rakyat dilambung pada kemuncak keghairahannya untuk menuju ke Putrajaya.

Bulan Jun 2008 menyaksikan pertembungan langsung antara dua orang "bakal Perdana Menteri".  TPM Najib Razak bersama isterinya dikaitkan sekali lagi dengan isu pembunuhan Altantuya Shaariibuu, oleh Raja Petra Kamaruddin (kiri, gambar kiri).  Blogger yang berpengaruh ini membuat akuan sumpah pada 18 Jun, menuduh Rosmah Mansor, isteri TPM berada di tempat kejadian pembunuhan Altantuya.

10 hari kemudian, seluruh Malaysia digemparkan sekali lagi, apabila "kes liwat Anwar Ibrahim II" ditayangkan.  Kali ini, pembantunya Mohd. Saiful Bukhari tampil membuat tuduhan, disusuli kemudiannya dengan angkat sumpah di masjid, sebagai cubaannya untuk memperkukuhkan tuduhan tersebut, terutamanya di kalangan masyarakat muslim.

Anwar vs Najib 1:0
Cubaan meludah ke arah Anwar Ibrahim kali ini berakhir dengan pengaiban pada dirinya.  Survey Merdeka Center yang diumumkan pada awal Julai memperlihatkan hanya 10% responden mempercayai bahawa Anwar melakukan liwat.  Seterusnya, survey yang diumumkan pada awal Ogos 2008, menunjukkan bahawa sokongan terhadap Najib Razak hanya berada pada paras 34%, satu tamparan sengit terhadap bakal PM UMNO-BN ketika itu.

Malah, reputasi UMNO-BN jatuh merudum dalam PRK Permatang Pauh pada 26 Ogos, hampir terkubur dalam undi majoriti Anwar Ibrahim yang tertimbun.  UMNO-BN yang menayangkan "Kes Liwat II" ini nyata lebih tertekan pada waktu itu, walaupun menguasai segala jentera negara.

Meskipun begitu, "Kes liwat II" tidak melabuh tirai begitu sahaja.  Isu ini masih diungkit, secara tersurat mahupun tersirat dalam PRK yang berlangsung selepas PRK Permatang Pauh.  Malah, Saiful Bukhari cuba memastikan "ketidakadilan yang menimpa dirinya" tidak hilang dari ingatan khalayak, mengingatkan orang ramai melalui blognya bahawa "Justice delayed Is Justice denied".

Kes liwat Anwar II diungkit lagi
Senario politik berubah dari masa ke masa, khususnya selepas Anwar Ibrahim gagal menyempurnakan rancangan 16 September.  PR mula hilang fokus, perbalahan dalaman mula timbul, dan lebih ketara, jurang antara hasil kerja PR dan harapan rakyat kian melebar.

Sementara UMNO-BN yang diterajui Najib Razak, semakin kembali ke landasannya, apatah lagi setelah teruja dengan kemenangan PRK Bagan Pinang.  Melainkan beberapa parti komponen BN yang masih bergelut dalam kemelut, BN kini dilihat berada dalam keadaan terbaiknya selepas tsunami 8 Mac 2008.


Senario sedemikian memberi nafas baru kepada UMNO-BN, bukan sahaja memantapkan dirinya, tetapi bersiap sedia untuk meneruskan "serangan yang belum selesai" itu.  Maka dalam konteks inilah, mula wujudnya pertikaian "mengapa Anwar cuba melengah-lengahkan perbicaraan".

Awang Selamat, dalam kolumnya di Mingguan Malaysia pada 6 September 2009, mengusik Anwar dengan mengubahsuai laungan slogannya "lawan tetap lawan" kepada "tangguh tetap tangguh".

Pada hari keesokannya, Utusan Malaysia menonjolkan isu liwat ini di muka surat depannya, dengan memetik hujah Chandra Muzaffar, "Kenapa mahu yangguh perbicaraan kalau tidak salah -- Anwar tidak perlu takut".

Menteri Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Nazri Aziz, malah Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Rosnah Abdul Rashid Shirlin dipetik untuk mengulas pandangan yang diketengahkan oleh Awang Selamat.  Tidak cukup dengan itu, isu liwat ini berlanjutan untuk hari-hari seterusnya, apabila mereka yang keluar parti dari PKR seperti Lokman Nor Adam, Roslan Kassim, S.Nallakaruppan beratur di atas lidah parti untuk mencabar dan menyelar Anwar.

Lebih-lebih lagi, ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah yang keluar dari PKR pada 29 Oktober 2009, menyebut "soal moral" Anwar antara sebabnya meninggalkan PKR.  Bekas Ketua AMK, Mohd Ezam Mohd Nor tidak melepaskan kesempatan ini untuk mendesak agar Presiden PKR, Wan Azizah Wan Ismail, yang juga isteri kepada Anwar Ibrahim untuk menjawab persoalan moral suaminya.

Bala pula muncul kembali
Serangan bertubi-tubi ini semestinya disedari PR, yang juga tidak akan berpeluk tubuh begitu sahaja.  Maka, secara "kebetulannya", mereka yang "hilang" kerana kes Altantuya mula timbul semula untuk menggilap ingatan ramai.  Raja Petra Kamaruddin misalnya, melalui Malaysia Today mendakwa bahawa kebenaran di sebalik kes pembunuhan Altantuya akan terbongkar sebelum hari Krismas tahun ini.

Balasubramaniam, penyiasat persendirian yang "hilang" selepas akuan sumpahnya yang mengaitkan Najib Razak dengan Altantuya, dan kemudian ditarik balik keesokannya, kini muncul dalam klip video yang tersiar di Malaysia Today.  Apa yang berlaku sebelum dan selepas kehilangan diri dan keluarganya itu terdedah sedikit demi sedikit mulai 13 November.

PKR pula, melalui lidah partinya mendakwa bahawa gambar yang boleh menunjukkan hubungan antara Najib dengan Altantuya kini disorok oleh polis.  Suara Keadilan Bil 206 (10-17 November 2009), memetik dari Free Malaysia Today yang menemuramah wartawan penyiasatan Perancis Arnaud Dubus, berkata gambar "yang tidak dibuat salinan" itu telah diberikan kepada Konsul Kehormat Mongolia di Malaysia, dan diserah kepada polis kemudiannya.

Kenyataan tersebut sememangnya tidak perlu disokong dengan bukti.  Ia bertujuan untuk mencalit imej Najib Razak yang pernah "bersumpah" bahawa dirinya tidak mengenali Altantuya.  Apa pun kemungkinan di sebaliknya, yang sudah pasti, Saiful dan "Altantuya" kini telah masuk semula ke gelanggang politik.

Lingam jawapannya
Ramai akan bersetuju bahawa yang dibicarakan itu bukan Anwar atau Najib, tetapi sistem kehakiman negara Malaysia.  Biarpun mahkamah memutuskan sama ada Anwar bersalah atau Najib tidak terlibat, dalam kes yang menyebut nama masing-masing, gagal mengubah persepsi awam.

Buktinya, Anwar telah dijatuhkan hukuman 10 tahun yang lalu, diulangi tuduhan yang sama sepanjang satu dekad ini, gagal menghalang sokongan rakyat terhadapnya.  Sebaliknya, walaupun media arus perdana terus mendakwa tuduhan terhadap Najib bersama isterinya dalam isu Altantuya adalah fitnah semata-mata, gagal membersihkan nama PM dalam pandangan umum.

Inilah masalah persepsi yang menghantui Najib.  Walaupun populariti Najib menampakkan lonjakan kebelakangan ini, bahkan tindakan undang-undang terhadap Anwar mungkin boleh mencelarukan langkah PR sendiri, tetapi jikalau inilah kesudahannya, maka ia hanya akan memperkukuhkan persepsi bahawa sistem kehakiman negara kita terus diperkudakan.

Dengan kata lain, walaupun kuasa berada dalam tangan Najib, tetapi beliau sebenarnya tersepit di dalam dilema ini.  Dalam kes liwat mahupun Altantuya, sebarang keputusan mahkamah yang bercanggah dengan persepsi rakyat, walaupun mungkin benar, tidak akan diterima.
Perlu dinyatakan bahawa persepsi ini bukan sekadar persepsi, tetapi berasas, kerana kerajaan tidak memperlihatkan tekad untuk memperbetulkan sistem kehakiman.  Menteri Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Nazri Aziz boleh mempertahankan Lingam dengan seribu satu alasan dalam Dewan Rakyat, tetapi rakyat telah memberi jawapan dengan mengundi Loh Gwo Burne sebagai wakil rakyat Kelana Jaya.

Akhir kata, Najib Razak yang jelas lebih tangkas dan tegas dalam langkah politiknya, berbanding Abdullah Ahmad Badawi, boleh mengambil jalan singkat atau langkah "drastik" untuk menamatkan igauan yang menghantuinya selama ini, iaitu Anwar dan Altantuya.  Anak Abdul Razak yang mewarisi corak pemerintahan Mahathir Mohamad ini, dipercayai akan melakukan segala-galanya untuk mengekalkan kuasa dirinya.

Cuma, sekeras Mahathir pun gagal mengubah persepsi rakyat dalam kes liwat Anwar.  Apatah lagi, Najib kini berdepan dengan masyarakat Malaysia yang telah melalui zaman "Reformasi" dan "tsunami politik".

Nizar V'8! Johor Tiru Kerajaan Pakatan.



Syarikat Air Johor (SAJ) akan memperkenalkan skim pemberian rebat air kepada keluarga miskin tegar dan miskin bagi meringankan beban golongan berkenaan, kata menteri besar Johor.

Datuk Abdul Ghani Othman berkata golongan miskin tegar itu akan menerima rebat bil air sehingga 20 meter padu pertama atau RM12 manakala keluarga miskin pula akan menerima rebat sehingga 10 meter padu pertama atau RM4.



"Pemberian rebat itu untuk meningkatkan bantuan jaringan keselamatan sosial bagi meringankan beban golongan sasaran seperti keluarga miskin dan miskin tegar termasuk kumpulan Orang Asli miskin tegar," katanya ketika membentangkan Bajet Johor 2010 pada persidangan DUN di Nusajaya hari ini.

Abdul Ghani berkata sebanyak 9,596 keluarga di negeri ini adalah keluarga miskin, miskin tegar dan mudah miskin yang dikenal pasti sehingga kini melalui pangkalan Data Nasional, E-Kasih.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 4,049 keluarga adalah ketua isi rumah miskin dan miskin tegar yang menjadi kumpulan sasaran utama kerajaan negeri dalam mencapai matlamat membasmi kemiskinan tegar sepenuhnya dan mengurangkan separuh kemiskinan menjelang akhir tahun depan.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri juga bercadang untuk memberi perlindungan takaful bernilai RM30,000 seorang kepada 2,975 anggota penjawat awam negeri yang memegang jawatan berisiko tinggi.

"Insentif ini dicadangkan memandangkan kerajaan negeri prihatin kepada risiko yang dihadapi oleh penjawat awam seperti pembantu penguatkuasa, pemandu, penghantar notis, pegawai keselamatan dan pekerja awam yang lain," katanya. BERNAMA

Nizar V'8! Selangor Wakil Tunggal Negara Ke Piala AFC 2010

Hanya pasukan Selangor yang akan mewakili Malaysia untuk bersaing pada kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2010 berbanding dua pasukan sebelum ini.




Setiausaha Agung Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad berkata Selangor layak ke kejohanan itu selaku juara Piala FA dan Liga Super pada tahun ini.

"Manakala pasukan kedua yang layak mengikut peraturan yang ditetapkan oleh AFC adalah Perlis yang di atas kapasiti naib juara Liga Super namun skuad Singa Utara itu telah menolaknya.




"Jadi FAM telah memohon kepada AFC untuk menggantikannya dengan pasukan lain, namun badan induk bola sepak Asia itu melalui surat maklum balasnya dua hari lepas telah menolaknya," katanya kepada Bernama di sini Khamis.

Kali terakhir Selangor menyertai kejohanan itu adalah tiga tahun lepas namun tewas kepada kelab Al Nejmeh dari Lebanon di peringkat suku akhir.




Undian untuk menentukan kumpulan pada kejohanan tahun depan itu akan diadakan pada 7 Dis ini di Rumah AFC, Bukit Jalil dengan 32 pasukan akan dibahagikan kepada lapan kumpulan.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan iaitu 16 pasukan akan layak ke pusingan kedua dan pusingan seterusnya.



Pada saingan tahun ini, Malaysia diwakili oleh Kedah dan Johor FC namun hanya Kedah mara ke pusingan kedua sebelum tewas kepada kelab Vietnam, Becamex Binh Duong FC.

Sementara itu, Azzuddin turut mengesahkan FAM masih belum menerima sebarang surat rasmi mengenai penarikan diri Kuala Muda NAZA bagi saingan Liga Malaysia musim depan.

"Saya hanya mengetahui perkara ini melalui media," katanya ketika ditanya mengenai kedudukan pasukan berstatus kelab itu yang akan beraksi di dalam Liga Super.

Nizar V'8! Mahkamah tidak berhak putuskan kedudukan Dun Kota Seputeh


Speaker Dun Perak V. Sivakumar semalam menegaskan bahawa kedudukan kerusi Dun Kota Seputeh sama ada kosong atau sebaliknya mesti diputuskan oleh Speaker Dun sendiri.

"Apa yang berlaku dalam Dewan Undangan Negeri mesti diselesaikan dewan (Undangan Negeri), tidak perlu pada keputusan Mahkamah."

Ujar Sivakumar, tindakan Speaker Dun Kedah Datuk Dr. Abdul Isa Ismail mengumumkan kekosongan Dun tersebut berdasarkan Surat Kekosongan Dun yang diterimanya sebelum ini, adalah muktamad.

"Keputusan Speaker (DUN) Kedah adalah muktamad, tidak perlu dan tidak  boleh dibawa ke Mahkamah."

Tambahnya lagi, Speaker Dun hanya diminta memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) badap pelaksana itu boleh mengadakan suatu pilihanraya kecil dalam masa 60 hari.



Beliau juga mencabar BN menunjukkan klausa undang-undang yang membenarkan SPR atau Mahkamah sendiri berhak mendahului keputusan Speaker Dun.

"Nampak jelas dia (SPR) dan BN tak boleh campur tangan, sila tunjuk kepada saya di mana kuasa atau di mana autoriti Mahkamah hingga boleh memutuskan kekosongan (Dun Seputeh) itu."

Dakwanya lagi, BN cuba menghalang pilihanraya kecil Dun tersebut dari berlaku.

"BN yang minta jangan kosongkan kerusi itu (Dun Kota Seputeh)."



Dalam perkembangan berkaitan, mahkamah akan memutuskan sama ada menerima rayuan BN agar pilihanraya kecil tidak berlaku di Dun Seputeh esok.

Bagi BN, Datuk Abu Hassan Sarif masih layak bergelar Adun Seputeh walaupun sekian lama tidak menghadiri sidang Dun.

Bagi mereka, alasan kesihatan yang diberikan Abu Hassan sudah memadai untuk menghalang keputusan Speaker Kedah tersebut.

Sekiranya Mahkamah menerima rayuan tersebut, ianya menjadi satu lagi titik gelita dalam istitusi kehakiman negara, setelah Mahkamah sebelum ini mencampuri beberapa urusan autonomi dalam Dun Perak.

Nizar V'8! Anwar Beri Jaminan Urusan Ambil Alih Hutang Talam Akan Dilakukan Secara Telus & Terbuka



Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hari ini, parti itu akan memastikan sebarang pemindahan wang kerajaan negeri dalam urusan pengambilalihan hutang Talam Corp Bhd dengan anak syarikat PKNS yang berjumlah RM 391 juta oleh Kerajaan Negeri Selangor akan dilakukan secara telus.

Malah katanya, segala urusan berkaitan isu itu terbuka untuk penelitian awam.

Sehubungan dengan itu katanya, para pemimpin dalam PKR berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berhubung perkara tersebut.

“Tuntas dengan prinsip ketelusan dan pertanggungjawaban, Tan Sri Khalid Ibrahim memberi jaminan bahawa transaksi tersebut terbuka untuk penelitian awam,” kata Anwar dalam laman blognya hari ini.


Beliau menegaskan bahawa PKR telah membincangkan isu pinjaman yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk mengambil alih hutang Talam Corp Bhd dengan anak syarikat PKNS yang berjumlah RM 391 juta itu secara panjang lebar setelah ia dibangkitkan oleh Setiausaha Agung, Datuk Salehuddin Hashim melalui edaran e-mail kepada semua wakil rakyat parti itu beberapa hari lalu.

“Keadilan sememangnya menghormati pandangan yang dibangkitkan oleh pimpinan yang menyentuh dasar mana-mana negeri, termasuklah negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat(PR).

“Ini membuktikan iltizam kami untuk terus berpegang serta melaksanakan prinsip-prinsip asas demokrasi dan tadbir urus yang baik,” kata Anwar dalam tampalan pada laman blognya hari ini.



Menurut beliau, e-mail setiausaha agung PKR itu sebenarnya hanyalah untuk edaran dalaman sahaja dan ia merupakan pandangan peribadi bertujuan mendapat penjelasan daripada Khalid berhubung isu tersebut.

“Perlu ditegaskan di sini setiausaha agung PKR tidak menuduh wujudnya penyelewengan oleh menteri besar dan Kerajaan Negeri Selangor berhubung perkara ini,” katanya lagi.

Nizar V'8! Sidang DUN Pahang kesoh isu lawatan PBT



Sidang Dewan Undangan Negeri Pahang hari ini kecoh apabila isu lawatan kerja ahli majlis dan kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) ke Vietnam dipersoalkan pihak pembangkang.

Kekecohan itu berlaku selepas Leong Ngah Ngah (DAP-Triang) mempersoalkan lawatan ke negara berkenaan yang disifatkan lebih mundur daripada Malaysia.

Beliau berkata, PBT sepatutnya melakukan lawatan ke negara maju seperti Singapura untuk mempelajari kejayaan mereka.



Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, yang bangun mencelah berkata lawatan tersebut bukan hanya sekadar melihat kejayaan sesebuah negara namun turut bertujuan melihat kelemahan yang ada.

"Ini supaya kita menginsafi diri dan mencari kekuatan untuk memperbaiki mutu perkhidmatan," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang di sini hari ini.

Sementara itu, Datuk Lau Lee (BN-Damak) berkata lawatan itu memberi kesan positif khususnya dalam mengetahui amalan Dasar Terbuka yang dipraktikkan negara tersebut untuk menarik pelaburan asing.



Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan, Datuk Hoh Khai Mun, menjawab soalan Datuk Dr Ng Keong Chye (BN-Ketari) mengenai negara dan kos perbelanjaan bagi setiap lawatan yang diadakan PBT dari 2006 hingga 2009.

Katanya, kebanyakan PBT melawat negara Asia termasuk China, Indonesia dan Vietnam dengan keseluruhan kos RM838,344.

Beliau berkata, PBT terbabit mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri Pahang untuk setiap lawatan ke luar negara. - Bernama

Nizar V'8! Mew Choo kejutkan No. 1 dunia




WONG Mew Choo berjaya melakukan kejutan selepas berjaya mengalahkan pemain No. 1 dunia, Wang Yihan untuk mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka China, semalam.




Wong Mew Choo mendapat tonik terbaik menjelang Sukan SEA bulan depan apabila melakar kejutan terbesar ke atas pemain No. 1 dunia, Wang Yihan untuk mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka China semalam.

Cabaran Malaysia pada suku akhir hari ini turut diteruskan dua pasangan utamanya, beregu lelaki, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan beregu wanita, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui.

Walaupun peluang Mew Choo untuk merampas kembali kejuaraan yang dimenangi pada 2007 tetap sukar kerana dijangka berdepan pemain China sepanjang laluan ke final, namun kemenangan ke atas Yihan, juara Seluruh England 2009 hadir tepat pada masanya, ketika Temasya Laos tinggal kurang sebulan lagi.

Malah, dia juga dilihat memiliki kelebihan psikologi ke atas para pencabar utamanya di Laos nanti seperti Maria Kristin dari Indonesia dan Salakjit Ponsana (Thailand), yang masing-masing gagal menembusi pemain China.

Pada ketika Mew Choo hanya memerlukan 36 minit untuk menyingkirkan Yihan 21-18, 21-17, Maria pula kalah mudah 13-21, 13-21 di tangan pemain bukan pilihan dari China, Wang Shixian.

Shixian kini bakal menjadi pencabar Mew Choo di suku akhir, iaitu pertemuan pertama kedua-dua pemain. Jika Mew Choo menang, dia perlu berdepan dua lagi pemain China, antara pilihan keenam, Jiang Yanjiao atau Shi Xiaoqian.



"Kemenangan ini hadir tepat pada masanya kerana ia boleh meningkatkan keyakinan Mew Choo menjelang Sukan SEA bulan depan, apatah lagi Mew Choo sering tidak konsisten kerana kecederaan. Bagaimanapun saya rasa peluang untuk dia mengulangi pencapaian muncul juara pada 2007 masih tidak mudah. Ada ramai lagi pemain China menanti sepanjang jalan, mereka memiliki ramai pemain yang sama taraf dan sebaik Yihan.

"Apa pun saya tetap percaya, kemenangan ini mampu memberi kelebihan psikologi kepada Mew Choo ke atas pencabar yang bakal ditemui di Laos nanti, apatah lagi pencabar utamanya seperti Maria Kristin dan Salakjit Ponsana masing-masing kalah kepada pemain China,'' kata ketua jurulatih perseorangan, Rashid Sidek.

Nizar V'8! Ong Pertahan Perubahan, Chua Kembali Ketuai Johor



Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat mempertahankan keputusannya merombak Majlis President, dengan menyatakan bahawa beliau memerlukan pasukan yang menyokong penih pelan perpaduan lebih menyeluruh (GUP) untuk memulihkan semula parti menjelang pilihan raya umum.

"Kita tidak mampu untuk mempunyai pemimpin yang menentang GUP - lebih-lebih lagi, mereka yang menentang pelan yang mendapat restu daripada Perdana Menteri -- berada dalam Majlis Presiden MCA," katanya dalam blognya Khamis.

Krisis berterusan dalam parti komponen kedua terbesar Barisan Nasional itu menyebabkan Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan hari ini beliau akan bertemu dengan pemimpin-pemimpin terbabit berikutan keadaan yang semakin buruk.




Dalam blognya, Ong memberitahu timbalan presiden parti Datuk Seri Dr Chua Soi Lek kembali sebagai ketua perhubungan MCA Johor, jawatan yang dilepaskannya awal tahun lepas setelah skandal video seksnya tersebar.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah atas pelantikannya sebagai pengerusi jawatankuasa perhubungan MCA Johor yang baru," kata Ong yang mengambil alih jawatan itu selepas Chua.

Ong, bagaimanapun, tidak memberi bayangan sama ada beliau mengubah ketua parti di negeri lain.

Semalam, Ong menggantikan sembilan anggota Majlis Presiden yang menyokong naib presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai, termasuk Ketua Pemuda Datuk Dr Wee Ka Siong dan ketua Wanita Datin Paduka Chew Mei Fun.



Tindakan itu diselar oleh Liow manakala reaksi Wee dan Chew yang menangis disiar di muka depan beberapa akhbar harian.

Ong berkata GUP yang disahkan Jawatankuasa Pusat (CC) parti semalam perlu dilaksana segera.

"Oleh itu, saya memerlukan satu pasukan yang 100 peratus di belakang usaha untuk mengembalikan perpaduan kepada MCA menjelang pilihan raya umum akan datang.

"Untuk menjayakannya, saya perlu merombak beberapa jawatan dalam parti dan telah memasukkan pemimpin yang mempunyai pengalaman dan visi untuk menggerakkan GUP, yang mendapat dua pertiga sokongan daripada CC," katanya.

Beliau berkata adalah tidak benar sayap Pemuda dan Wanita dipinggir.



Wee dan Chew masih boleh duduk dalam Majlis Presiden sebagai anggota jemputan bagi menyuarakan pandangan mereka.



"Pada masa seperti ini, adalah penting untuk semua pemimpin parti mengenepikan perbezaan mereka demi perpaduan. MCA tidak mampu lagi untuk membazirkan masa bagi mendapatkan semula sokongan rakyat menjelang pilihan raya umum akan datang.

"Inilah sebab kenapa saya boleh bekerja dengan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek walaupun kami mempunyai perbezaan sebelum ini," kata Ong.

Khamis, 19 November 2009

Nizar V'8! Nik Aziz Tidak Bersalah-Nazri Aziz



Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menyifatkan Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat dilihat tidak bersalah dalam isu tajaaan menunaikan tajaan haji di Makkah oleh individu tertentu.

Beliau secara peribadi berkata, isu tersebut sudah selesai dan berdasarkan laporan akhbar, Mursyidul Am Pas itu menjawab soalan wartawan dengan ‘jujur’ menunjukkan beliau tidak bersalah sekiranya menerima tajaan tersebut.





“Secara peribadinya saya rasa dia tidak bersalah. Lagipun dia (Nik Aziz) tidak pergi ke Makkah bagi haji yang ditaja. Mungkin kerana jawatannya sebagai Menteri Besar menyebabkan isu tersebut menjadi kontroversi.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails