Geng Aku

Selasa, 10 November 2009

Saya Bukan Terdesak-Marsha


Marsha


Marsha tidak tergesa-gesa cari cinta baru kerana tumpuan kali ini pada nyanyian dan lakonan

EMPAT tahun menelusuri persada seni, belum ada kejayaan besar buat gadis dari Tamparuli, Sabah ini untuk membolehkan dirinya berbangga terhadap dunia yang diceburi. Selepas program Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) menutup tirai, artis berusia 24 tahun ini seakan-akan masih mencari tapak yang kukuh, dalam menempatkan namanya sebaris artis yang disegani.

Sebaliknya, cerita peribadi seperti hubungan cintanya bersama Kefli yang kini tinggal kenangan, bagai mengaburi bakat besar milik wanita muda terbabit. Sudah tentu, jika berkeupayaan, Marsha sendiri enggan namanya dikenali dek kisah peribadi sedemikian. Impiannya, biarlah peminat memandang pada kebolehannya dalam dunia nyanyian mahupun lakonan.

Meskipun begitu, Marsha tidak terkilan, jauh sekali nak melatah apabila cerita atau gosip hangat mengenainya tersiar di media massa. Menyedari semua itu asam garam perlu ditelan golongan selebriti sepertinya, dia berdepan cabaran itu dengan tenang. Apabila diberikan ruang, dia tampil memberikan penjelasan.

Begitu juga situasi tatkala Marsha dikatakan terdesak mencari cinta baru, sehingga muncul kisah kononnya wanita cantik ini menyukai Yusry KRU. Sedikit terkejut dengan gosip terbabit, Marsha langsung tidak menyangka gurauannya bersama kakitangan KRU Studios boleh tersebar sehingga muncul di ruangan gosip hujung minggu.

Sedangkan, jelasnya, tidak ada apa-apa pun yang berlaku dan semua itu tersiar di media akibat ‘salah faham’ yang mungkin terjadi waktu itu.


"Saya pernah bertemu Yusry cuma sekali atau dua. Itupun atas urusan kerja. Namun begitu, saya cukup tahu, Yusry sendiri amat memahami apabila cerita seperti itu dimainkan media. Tiada apa-apa pun sebenarnya," kata Marsha ketika ditemui selepas tayangan pratonton filem lakonannya, Senario The Movie Episode 2: Beach Boys, di Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Menurut gadis yang dilahirkan di Michigan, Amerika syarikat yang baru saja muncul bersama single Yang Terbaik, dia ‘penat’ untuk menjalinkan cinta bersama mana-mana jejaka. Harapannya, biarlah dia membawa dirinya jauh ke depan dalam kerjaya muzik atau lakonan. “Menjadi impian saya untuk lebih menyerlah pada 2010! Saya ingin buktikan kepada peminat, saya masih wujud dan aktif dalam bidang ini,” jelasnya yang mahu mengelak daripada dilabelkan sebagai ‘artis majalah’.

Marsha berkata, pada suatu ketika dia pernah berasa keliru apabila diundang media kerana tiada cerita yang hendak dihebahkan. Kini semuanya berubah apabila namanya semakin jadi sebutan, hasil kerja seni yang ditunjukkan. Selain single Yang Terbaik dan beberapa filem yang dibintanginya, termasuk Saus Kacang (filem Indonesia), dia kini dalam perbincangan bernaung di bawah sebuah label syarikat rakaman.

Dia yang pernah berlakon dalam drama Kerana Karina menaruh harapan, jika semuanya jadi kenyataan, impiannya untuk mempunyai album sendiri terlaksana juga akhirnya.

"Saya merancang untuk muncul dengan single demi single terlebih dulu, sebelum semua lagu terbaik itu dikumpulkan dalam satu album. “Sekarang, karier saya bagai bercambah semula dan fokus pula ke atas diri saya seorang" katanya sambil memaklumkan single yang dihasilkan sepenuhnya oleh Edry sudah pun dimainkan di radio seluruh negara, begitu juga oleh radio di Singapura dan Brunei.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails