Geng Aku

Selasa, 10 November 2009

Mayat Teoh Akan Digali Dari Kubur Pada 21 November

Mahkamah Koroner di sini Isnin memerintahkan mayat mendiang Teoh Beng Hock, yang disemadikan lebih tiga bulan lepas, digali dari kubur pada 21 November bagi membolehkan bedah siasat kedua ke atas mayat mendiang dijalankan keesokkannya.




Koroner Azmil Muntapha Abas juga memerintahkan bedah siasat kedua itu dilakukan oleh Ketua Pathologi Hospital Sungai Buloh Dr Shahidan Md Noor dan dibantu oleh Dr K. Saravanan untuk mengambil gambar-gambar bedah siasat itu, dengan kehadiran empat pakar forensik, di Hospital Sungai Buloh.

"Tugas menggali mayat akan dilakukan oleh Hospital Sungai Buloh," katanya.
Empat pakar forensik itu ialah Dr Khairul Azman Ibrahim, Dr Prashant Naresh Samberkar, Dr Pornthip Rojanasunand dari Thailand dan pakar forensik yang dilantik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara itu peguam Datuk Abdul Razak Musa yang mewakili SPRM berkata SPRM akan memastikan bahawa pakar dari luar negara yang dilantik dapat hadir pada bedah siasat kedua itu.

Beliau turut memohon supaya mahkamah mengeluarkan perintah bertulis dalam bahasa Inggeris bagi membolehkan pihak SPRM memaklumkan mengenai perintah tersebut kepada pakar mereka.

Sementara itu, Gobind Singh Deo, peguam pemerhati bagi keluarga Teoh, memberitahu mahkamah bahawa polis akan berada di sana bagi memastikan semua peraturan dipatuhi.

Teoh, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di sini pada 16 Julai selepas memberikan keterangan kepada SPRM Selangor berhubung dakwaan salah guna peruntukan kerajaan negeri oleh Exco Selangor. Pejabat SPRM Selangor terletak di tingkat 14 bangunan yang sama.

Keluarga Teoh memohon mayat setiausaha politik kepada Exco Selangor Ean Yong Hian Wah itu digali semula berikutan keterangan Dr Pornthip dalam inkues bagi mengenal pasti punca kematiannya bahawa wujud 80 peratus kemungkinan yang dia telah didera dan dicekik.
Dr Khairul Azman Ibrahim dan Dr Prashant, pakar patologi kerajaan yang menjalankan bedah siasat pertama, telah memberitahu inkues itu bahawa kemungkinan Teoh membunuh diri.

Sementara itu, pada awal prosiding Abdul Razak berkata tindakan saksi ke-20 T. Sivanesan yang mendakwa beliau dipukul dan didera oleh pegawai SPRM pada 4 dan 5 September tahun lepas adalah satu tindakan yang sengaja dilakukan untuk menjatuh dan memalukan SPRM.




Ketika menyoal balas Sivanesan, Abdul Razak mempersoalkan rasional saksi itu yang hanya membuat laporan polis pada 11 September 2008 sedangkan beliau telah dibebaskan pada 9 September dan fakta bahawa Sivanesan hanya mendapatkan rawatan pada 12 September walaupun mendakwa dipukul dengan teruk sehingga pengsan sebanyak dua kali.

"Di dalam mahkamah juga kamu membuat drama dengan membawa seluar dalam yang koyak yang disimpan selama setahun sebelum dibawa ke mahkamah. Saya menyatakan bahawa oleh kerana awak tidak serahkan seluar dalam itu kepada polis, maka kamu sendiri yang koyakkannya?" kata Abdul Razak.
Sivanesan bagaimanapun menafikan semua cadangan yang dikemukakan oleh Abdul Razak dengan menyatakan bahawa beliau perlu berbincang dengan bapa saudaranya sebelum membuat laporan polis.

Abdul Razak juga mencadangkan bahawa percanggahan terdapat dalam laporan polis oleh Sivanesan pada 27 Julai 2008 dan keterangannya di mahkamah khususnya berhubung identiti sebenar pegawai yang menderanya, menunjukkan bahawa dakwaan itu hanyalah rekaan saksi itu semata-mata.

Prosiding bersambung Jumaat ini. BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails