Geng Aku

Isnin, 28 Disember 2009

Bolehkah PR Tumbangkan BN Satu Lawan Satu?



NAIB Presiden Kebangsaan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr Jeffrey G Kitingan dengan nada yang lemah lembut ketika memberitahu wartawan diruang legar berkata ‘PRU13 nanti kita mahu satu lawan satu dengan BN’ di mana ungkapan itu merupakan ungkapan sulung beliau sejurus selepas beliau dilantik semula ke jawatan asal PKR setelah ‘de-facto’ Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dikatakan tidak menerima perletakkan jawatan Dr Jeffrey termasuk Christina Liew.


Bagaimanapun persoalan lain yang masih menjadi tanda tanya banyak pihak bahawa kelahiran ‘Parti Cinta Sabah’ atau lebih dikenali PCS, apakah benar Jeffrey tidak terlibat langsung dengan PCS yang kini sedang dalam proses kelulusan pendaftaran daripada ROS (Registrar of Societies).


Jikalau jawapan beliau ‘tidak’, beranikah orang orang kanannya melakukan pendaftaran PCS tanpa restu daripada beliau sendiri atau mungkinkah rancangan mendaftar PCS sebagai suatu ‘ploy’ untuk ‘menggertak’ kepimpinan PKR pusat khususnya MP Batu, Tian Chua yang menjadi ‘orang tengah’ menyelesaikan krisis itu supaya melakukan sesuatu yang lebih cepat seperti yang dijangkakan.

Di sudut yang lain, sungguhpun PCS belum sah sebagai sebuah parti politik yang terdaftar dengan ROS namun kelahirannya sangat dinanti-nantikan rakyat tempatan di sini khususnya masyarakat KDM yang ‘align’ dengan Dr Jeffrey suatu ketika dulu.

Malahan kumpulan ini tidak akan berganjak dengan keputusan mereka untuk terus menghuni ‘sulap baru’ seperti PCS walaupun dalam keadaan serba kekurangan namun itu bukan penghalang utama kepada mereka untuk terus memperjuangkan ‘visi dan misi’ rakyat Sabah yang kini dahagakan ‘kebebasan bersuara’ semoga suara rakyat dapat didengari oleh pihak-pihak tertentu.

Meskipun pemergian ‘The Little Huguan Siou’ (merujuk kepada Dr Jeffrey) kembali semula ke pangkuan PKR namun pengikut-pengikut beliau yang sebilangan besarnya di kawasan Pedalaman tidak akan mengikut jejak langkahnya malah mereka akan terus bertahan sehingga berapa lamapun dalam ‘sulap baru PCS’.




Senario seumpama ini sukar untuk mempercayai bahawa gagasan PR akan dapat membulatkan tekad dan matlamat mereka untuk menyusun strategi ‘satu lawan satu bagi menentang BN’ pada PRU13 sepertimana yang diungkapkan Dr Jeffrey.

Persoalan lain, bagaimana pula dengan SAPP, PCS (jika lulus pendaftaran), Bersekutu yang bukan dalam gagasan PR? Sudah pastilah parti-parti yang berada di luar PR juga akan turut meletakkan calon-calon mereka.

Seperkara lagi yang mengekang kelancaran keberkesanan strategi itu, antara lainnya ialah kesepaduan dalaman PR itu sendiri juga sehingga kini belum kelihatan kelibat kekuatan mereka apatah lagi PKR yang sering bercakaran sesama sendiri.

Gagasan PR khususnya pemimpin-pemimpin DAP yang lebih cenderung menjadikan masalah jambatan, pondok bas, jalanraya sempit dan sebagainya sambil merakamkan gambar-gambar bersama pemimpin mereka untuk mengeksploitasikan kelemahan pembangunan kerajaan sebagai isu dan modal politik mereka adalah kurang berkesan malah membosankan rakyat kerana apa juga yang dilakukan DAP itu, rakyat menyifatkannya sebagai NATO (No Action Talk Only).




DAP harus bijak memilih isu yang boleh menarik perhatian masyarakat Tiong Hua terutamanya bagi pengundi Tiong Hua yang mendiami kawasan perumahan, bandar dan bandaraya kerana di Sabah secara tradisinya DAP dianggap sebagai sebuah parti untuk masyarakat Cina meskipun umum telah tahu bahawa DAP juga sebuah parti berbilang kaum (multi racial party).

Kesimpulannya, PR atau parti-parti pembangkang yang bukan dalam gagasan PR termasuk PCS yang sedang menunggu kelulusan pendaftarannya dari pihak ROS, harus mencari suatu pendekatan atau formula yang lebih berkesan untuk menumbangkan kerajaan BN di Sabah pada PRU13 akan datang ini.

BN di saat ini bukannya kuat sangat dan ia diibaratkan sebuah kapal bocor yang terselamat dari kimpalan sahaja dan akan bocor semula pada bila-bila masa apabila kapal itu melanggar batu karang yang kukuh dan karam di tengah lautan.

GMI Terkejut Menteri Kata Semua Sokong Kekal ISA

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) membidas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bahawa semua pihak sepakat Akta Keselamatatan Dalam Negeri (ISA) dikekalkan.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, kenyataan yang dibuat oleh Hishamuddin itu tidak menggambarkan persetujuan semua pihak kerana pertemuan yang dibuat Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak melibatkan semua pihak.

GMI khususnya dan beberapa badan bukan kerajaan yang lantang menuntut ISA dimansuhkan seperti Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), dan Jemaah Islah Malaysia (JIM) juga tidak dipanggil menghadiri sesi Pertemuan Awam dengan KDN bagi berbincang mengenai akta tersebut.

"Banyak prsoalan yang timbul daripada kenyataan Datuk Seri Hishamuddin itu. Yang dikatakan sepakat (ISA dikekalkan) itu siapa? Siapa yang terlibat dalam pertemuan itu?

"Setahu saya badan bukan kerajaan seperti GMI, SUARAM dan JIM yang ke depan dalam isu ini tidak dipanggil. Bagaimana dengan bekas tahanan ISA, ahli keluarga, peguam yang ada pandangan berbeza dan meluas dalam isu ini?" soalnya ketika dihubungi Harakahdaily pagi tadi.

Syed Ibrahim turut berkata, Hishamudin juga tidak menunjukkan kesungguhan dalam melihat akta ini secara menyeluruh apabila gagal menunaikan janji untuk membentang dan membahaskan pindaan mengenai ISA pada sesi Dewan Rakyat baru-baru ini.

"Kenapa akta ini hanya akan dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat akan datang? Menteri tidak tunaikan janjinya. Sedangkan masa Datuk Seri Najib baru jadi PM, beliau minta ISA dikaji kemudian dibentangkan.

"Kalau betul kerajaan mengambil kira pandangan rakyat, mereka sepatutnya berusaha untuk membentangkan mengenai ISA baru-baru ini, bukan melengah-lengahkannya,"tegasnya.

Beliau turut mendakwa, kenyataan Hishamuddin untuk meminda ISA hanya sekadar untuk menawan kembali rakyat yang 'atas pagar' agar kembali memberikan sokongan penuh kepada kerajaan dengan menabur pelbagai janji manis.

Namun kata Syed Ibrahim, pada hakikatnya tiada sebarang perubahan berlaku sejak dari awal akta ini ditubuhkan sehinggalah usianya sudah mencecah 40 tahun kini.

"Saya yakin ini semua cara untuk menawan orang atas pagar dengan menunjukkan kononnya perubahan telah berlaku, kerajaan ambil kira pandangan rakyat, tapi hakikatnya tidak ada  sebarang perubahan yang berlaku dalam ISA. Ia kekal 100 peratus.

"Sesiapa sahaja boleh ditahan di bawah akta ini pada ketika ini. Sekarang ini  masih ada  lagi sembilan orang yang ditahan dan salah seorangnya sudah lebih tujuh tahun dalam tahanan.

"Tapi itu semua orang tidak nampak sebab kerajaan pandai menyembunyikan perkara sebenar," katanya lagi.

Beliau dalam pada itu turut menyokong Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Malaysia yang menggesa kerajaan melantik sebuah jawatankuasa pilihan parlimen bagi mendapatkan maklum balas awam sebelum pindaan terhadap ISA dibahaskan di Parlimen.

Menurutnya, isu besar yang melibatkan hak asasi rakyat itu harus segera dibawa ke parlimen untuk diselesaikan.

"Saya bersetuju dengan cadangan NUJ itu. Memang perkara ini perlu ditangani di peringkat Parlimen. Apa-apa perubahan ianya perlu dibincangkan di Parlimen kerana undang digubal di peringkat Parlimen. Kalau dari segi jawatankuasa tindakan, teknikal mesti dijawab di Parlimen supaya skop perbincangan boleh diperluas.

"ISA ini kuasa eksekutif. Kami sangsi apabila pihak yang buat kajian ialah badan eksekutif, dan buat keputusan pun badan yang sama," ujarnya.

Setiausaha Agung NUJ,  V.Anbalagan Sabtu lalu dilaporkan sebagai berkata, perbincangan mengenai pindaan kepada akta itu tidak harus tertumpu kepada satu kumpulan kecil.

Beliau turut mendakwa, sebagai kumpulan berkepentingan, NUJ tidak dipelawa ke sebarang perbincangan oleh KDN ataupun pendapatnya diminta.

Beliau menyebut sebagai contoh penahanan seorang wartawan selama 18 jam tahun lepas berhubung sebuah artikel.

Sementara itu, GMI ujar Syed Ibrahim, tetap dengan pendirian menuntut kerajaan memansuhkan terus akta zalim itu meskipun usaha-usaha yang dilakukan ini tidak diendahkan pihak kerajaan.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, GMI sedang dalam perbincangan untuk mengadakan satu sesi pertemuan dengan semua ahli parlimen sebagai platform untuk menyampaikan maklumat berkenaan ISA serta sebab ia perlu dimansuhkan, bukan dipinda seperti yang dicadangkan.

Bagaimanapun, ianya perlu mendapat persetujuan daripada Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kami mungkin akan adakan sesi (perbincangan) dengan semua ahli parlimen tapi saya percaya yang akan datang cuma ahli Parlimen pembangkang sahaja. Kami  kena bincang dengan Ketua Pembangkang (Anwar)khususnya supaya ia dapat diadakan," katanya.

Beliau turut menyeru Hishamuddin khususnya agar memberikan ruang kepada GMI untuk memberikan penerangan yang sejelas-jelasnya mengenai kepentingan ISA dimansuhkan.

GMI tegasnya sentiasa bersedia untuk berdialog dengan pihak KDN demi memastikan ISA dimansuhkan.



"Hishamuddin tolong bagi ruang kepada GMI.Walaupun sebelum ini beliau tidak layan permintaan kami untuk mengadakan pertemuan, tapi kami sentiasa bersedia. Panggil kami, kami sedia datang. Selain demonstasi, kita masih ada ruang untuk berdiskusi dan berdialaog," katanya.

Khamis lalu, Hishamuddin berkata, pindaan terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 akan dibentang dan dibahaskan pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

Hishammuddin berkata, berikutan pertemuan dan perbincangan awam dengan kumpulan-kumpulan sasaran, Jawatankuasa Teknikal Kajian Undang-undang kini berada di peringkat akhir kajian semua pandangan dan cadangan yang dikemukakan semasa sesi berkenaan sebelum pindaan dibentangkan di Parlimen.

Harga Minimum Rokok RM6.40 Bagi 20 Batang.


PERATURAN harga minimum diharap dapat menyekat golongan kanak-kanak dan remaja daripada membeli rokok. - Gambar hiasan



Mulai Jumaat ini, harga minimum rokok di pasaran tempatan ditetapkan pada kadar RM6.40 bagi pek 20 batang bagi mengurangkan akses kanak-kanak serta remaja daripada terjebak dalam kancah merokok.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, penguatkuasaan peraturan itu akan dapat membendung golongan tersebut daripada membeli rokok selain menyekat aktiviti promosi rokok melalui pemberian diskaun yang berlebihan.


"Demi menjaga kepentingan kanak-kanak dan remaja daripada terjebak dengan ketagihan rokok dan seterusnya kemungkinan risiko penyalahgunaan dadah serta penularan penyakit-penyakit kronik, kerajaan komited untuk mengambil pendekatan mengurangkan kebolehcapaian dan kemampuan membeli rokok oleh golongan ini," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Tegas beliau, banyak kajian sama ada dari dalam mahupun luar negara membuktikan bahawa peningkatan cukai dan harga rokok mampu mengurangkan kadar merokok dalam masyarakat terutama di kalangan kanak-kanak, remaja dan golongan berpendapatan rendah.

"Hasil kajian yang dibuat pada 2004 di Malaysia menunjukkan bahawa dengan peningkatan harga rokok sebanyak 10 peratus, ia akan dapat mengurangkan penggunaan terhadap rokok sebanyak 3.8 peratus," katanya.

Menurut beliau, peraturan baru itu dikuatkuasakan melalui Peraturan Harga Minimum Rokok dan Larangan Promosi Harga menerusi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) (No.2) 2009 yang telah diwartakan.

Najib jangan Jadi Pengecut .



PKR menggesa perdana menteri menubuhkan suruhanjaya bebas seperti cabaran Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyiasat pendedahan dalam buku tulisan Barry Wain bahawa di bawah pentadbiran mantan perdana menteri itu, lebih RM100 juta lesap akibat rasuah dan pembaziaran.


Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali berkata, walaupun pihak tidak percaya mantan perdana menteri itu serius, namun PKR mengalu-alukan cabaran beliau itu.

"Sebenarnya Mahathir mencabar pemerintahan Umno-BN yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib Razak.

"Najib tidak perlu bertangguh-tangguh atau berdolak-dalik dan harus membentuk segera Suruhanjaya tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, suruhanjaya itu hendaklah diberi bidang kuasa luas bagi menyiasat pendedahan Barry Wain dan juga mengkaji segela bentuk rasuah dan pembaziran yang dikaitkan dengan mantan perdana menteri itu.



"Bahkan, jika perlu dan sesuai, suruhanjaya ini boleh juga mengkaji segala yang berlaku di bawah mantan perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, sebgaimana didakwa dan didesak oleh Mahathir," katanya lagi.

Sesuai dengan cabaran Mahathir itu, katanya, suruhanjaya tersebut hendaklah dianggotai bukan saja oleh hakim serta bekas hakim, tetapi juga tokoh politik kerajaan serta bukan kerajaan dan tokoh profesional, termasuk Majlis Peguam.

"Seharusnyalah ada jaminan supaya segala perakuan suruhanjaya diambil tindakan oleh kerajaan serta pihak berkuasa lain. 

"Janganlah hendaknya ia ditimpa nasib seperti suruhajaya mengenai polis dan "Pita Lingam"," tegasnya.

Kartika Sari Dewi Temui Tuan Guru Nik Aziz.

Bekas model sambilan, Kartika Saridewi Shukarnor yang pernah mencetus polemik berhubung hukuman sebat atas kesalahan minum arak, hari ini menemui Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau bersama anggota keluarga dan rombongan dari Pusat Pendidikan Al Baroqah, Manjor, Ipoh mengunjungi Menteri Besar Kelnatan itu di kediaman rasmi di JKR 10.

Turut bersama anak bongsunya, Kaitlynn Saridewi, 5 tahun.

Kartika ketika ditemui menyatakan beliau sudah lama menyimpan hasrat menemui ulama terbabit.

Sebelum ini Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan menjatuhkan hukuman ke atasnya pada 20 Julai lalu selepas beliau mengaku bersalah minum arak. Hukuman enam sebatan dan denda RM5,000 dikenakan.

Bagaimanapun hukuman sebatan tersebut masih ditangguh sehingga sekarang biar pun Kartika beriya-iya menjalani hukuman tersebut.



Bagaimanapun ramai pemimpin wanita Umno dan beberapa badan bukan kerajaan mahu Kartika tidak menjalani hukuman tersebut, yang dianggap mereka bertentangan dengan hak asasi manusia.

Hadir sama pada pertemuan tersebut,  anggota-anggota Exco kerajaan negeri, Dr Mohamed Fadzli Hassan dan Wan Ubaidah Omar serta anggota parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Siti Zailah mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat segera kes kehilangan enjin jet pejuang F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) seperti dilaporkan baru-baru ini.




Katanya, SPRM hendaklah melaksanakan tanggungjawab itu dengan telus dan adil tanpa memilih bulu demi menjaga amanah rakyat.

“Sedangkan sebelum ini pantang ada khabar angin negetif membabitkan pemimpin Pakatan Rakyat, SPRM segera membuka fail siasatan.

“Sekarang kenapa pula seperti berdiam diri apabila dakwaan berlaku membabitkan pemimpin kerajaan Barisan Nasional,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan taklimat tersebut.

Beliau yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan berkata, kalau enjin jet pejuang boleh dicuri, tidak pelik masalah rempit, ragut serta gejala sosial lain gagal diselesaikan pemimpin kerajaan.

Baru-baru ini media tempatan mendedahkan kehilangan dua enjin jet tempur F-5E milik TUDM pada 2007 yang hanya disedari beberapa bulan kemudian. Setiap enjin tersebut bernilai RM50 juta.

PAS Selangor Didesak Keluar Pakatan Rakyat



Sekumpulan lelaki yang menggelarkan diri mereka penyokong dan pengundi PAS Selangor hari ini mendesak parti itu keluar daripada Pakatan Rakyat (PR) yang memerintah negeri itu kerana didakwa gagal memperjuangkan Islam serta nasib kaum Melayu.


Kira-kira 20 orang yang berhimpun secara aman itu berarak sejauh 500 meter ke perkarangan pejabat Badan Perhubungan PAS negeri yang terletak di Pusat Perniagaan Worldwide di sini kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.




Kumpulan berkenaan turut membawa kain rentang dan sepanduk tertera ‘Kami Tidak Rela PAS Jadi Boneka DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Kami Desak PAS Keluar Pakatan Rakyat, Jangan Musnahkan Amanah Yang Diberikan Rakyat dan Jangan Jadi Kuda Tunggangan Anwar.

Jurucakap kumpulan itu, Wan Hilman Wan Abd Rahim berkata, bantahan tersebut dibuat kerana mereka mahu PAS bangkit daripada mengikut telunjuk DAP dan PKR yang didakwa membelakangi parti itu dalam banyak isu pentadbiran di negeri itu.




“PAS boleh bergerak sendiri, selama ini keputusan yang dibuat tidak sampai dan kita banyak ikut telunjuk mereka (DAP dan PKR).

“Kami tidak puas hati dengan cara kerajaan negeri Selangor menjaga kebajikan rakyat terutamanya dalam isu yang melibatkan Islam dan kepentingan orang Melayu.

“Kita ahli PAS Selangor mahu PAS bangkit kerana kita lihat semua perkara sudah jadi kacau-bilau jadi kita cuba bangkitkan semua ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Wan Hilman yang mendakwa ahli PAS Bahagian Gombak turut menafikan dakwaan kononnya kumpulan itu dibiayai oleh Umno atau Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.



“Tak ada. Kita tidak didalangi Umno, Anwar atau mana-mana pihak. Kita biayai sendiri dan apa yang kita buat hari ini datang daripada hati kita sendiri, tidak ada sokongan daripada mana-mana pihak,”ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya akan cuba menyampaikan memorandum berkenaan kepada Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Dr Hassan Ali esok pagi.

“Insya-Allah kita akan cuba hantar esok dan kita akan tengok masa yang sesuai nanti,” ujarnya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails