Geng Aku

Ahad, 8 November 2009

Nor Aliah Lee Kahwin Lagi ke..


Nor Aliah Lee Kahwin
Korang pasti tahu kisah Nor Aliah Lee ala bekas isteri pada Aziz M. Osman akan kawin… Kami masih tidak tahu kisah status perkahwinan Aliah lee. Siapa agaknya yg dah tawan hati Nor Aliah Lee ni? Ni ke “Tengku” yang diperkatakan dulu tuh? ke..

Apa-apa pun kami ucapakan selamat pengantin baru buat Nor Aliah Lee.. semoga bahagia selamanya buat mereka.

Wow, Khairy Jamaluddin Dalam Majalah Bazaar!


Saya yakin, siapa yang tidak kenal jejaka di dalam gambar itu. Setakat ini, hanya beliau seorang sahaja ahli politik yang mempunyai daya saing untuk masuk ke dalam industri hiburan.

Mungkin ini adalah kaedah beliau untuk lebih mendekati generasi masa kini supaya lebih berminat dengan dunia politik. Nice job Khairy! Tapi, baju tu nampak macam x sesuai la Khairy, patut majalah ni beri pakaian yang segak-segak, baru menyerlah. Jangan marah ye Khairy, hihi.

Kutipan Filem Paling Corot 2009 : Lembing Awang Pulang Ke Dayang




Rm30,000 sahaja dalam masa 4 hari?!

Bukan kami yang kata, tapi itu’lah angka rasmi yang di’keluarkan oleh Finas walaupun filem ini masih lagi ditayangkan di pawagam. Dengar kata, si penerbit pernah membuat kenyataan dalam Harian Metro seperti kutipan wayang filem ini mencecah Rm800 ribu, tapi apabila di’semak semula dengan Finas, kutipan sebenar hanya setakat RM29,854.50. Tidak tahu cerita mana yang betul, lebih yakin dengan statistik Finas.



Tak perlu cakap banyak, tengok sahaja trailer filem Lembing Awang Pulang Ke Dayang, memang murahan habis. Langsung tiada rasa thrill atau eager untuk peminat filem melayu menonton filem tersebut. Sekali tengok, dah macam teaser syarikat korporat, siap ada caption yang pada kami sangat kelakar. Motif caption?


Walaupun dibarisi pelakon seperti Farid Kamil, aku percaya lebih ramai penonton rela menonton Farid Kamil dalam filem Papadom berbanding filem low standard ini. Pelik juga filem sebegini memakan kos jutaan ringgit, eh si penerbit ni buat apa dengan duit tu? Hurmm, kau fikir-fikir’lah sendiri…

Cakap banyak tak guna, kau tengok sahaja trailer dia. Sila bantai gelak!

Kelantan akan dikenakan tindakan berikutan sikap penyokong: FAM



Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengenakan tindakan terhadap pasukan Kelantan berikutan kelakuan liar penyokong pasukan itu pada perlawanan akhir Piala Malaysia antara Negeri Sembilan dan Kelantan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata tindakan itu akan ditentukan selepas ahli Jawatankuasa FAM membincangkan insiden pada perlawanan akhir malam tadi secepat mungkin dan menentukan hukumannya.

" FAM sering memberi nasihat kepada penyokong-penyokong Kelantan tetapi sudah tidak dapat dibendung kerana ia (seperti) sudah menjadi satu budaya kepada mereka. Sudah tentu kehadiran 1,400 anggota pasukan keselamatan ataupun sehingga 10,000 tidak mampu untuk mengawal mereka dalam masa serentak,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sebaik jaringan gol ketiga Negeri Sembilan menerusi sepakan penalti penyerang Mohd Zaquan Adha pada minit ke-58, berlaku insiden luar dugaan di mana penyokong-penyokong Kelantan membaling pelbagai objek, mercun dan paling teruk membakar kain rentang serta kerusi di satu bahagian stadium itu.




Selain ditonton jutaan rakyat Malaysia menerusi siaran langsung televisyen, insiden tindakan liar penyokong Kelantan juga disaksikan oleh tetamu Diraja iaitu Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra dan Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra Sultan Ismail Petra.

Azzuddin berkata walaupun tiket habis dijual dan mencatat keuntungan namun ia tidak setimpal dengan apa yang telah berlaku.
Ditanya mengenai anggaran nilai kerosakan akibat tindakan liar penyokong Kelantan, Azzuddin berkata perkara tersebut masih pada peringkat siasatan lagi.

“Kami masih belum mendapat laporan lengkap daripada pihak stadium tetapi apa yang saya tahu terdapat kerosakan di bahagian tempat duduk penyokong (kawasan Kelantan),” katanya.

Dalam saingan akhir menutup musim Liga Malaysia 2009 itu, Negeri Sembilan berjaya menjulang Piala Malaysia selepas penantian 61 tahun dengan menewaskan Kelantan 3-1.



Selain jaringan penalti Mohd Zaquan Adha pada minit ke-58, dua lagi gol Negeri Sembilan dijaringkan oleh Shahurain Abu Samah pada minit ke-18 dan Hairuddin Omar (minit ke-46) manakala gol sagu hati Kelantan dijaringkan oleh ketua pasukannya Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-93.

Dalam perlawanan akhir itu, hampir 80 peratus daripada 100,000 kerusi di Stadium Nasional dipenuhi dengan penyokong-penyokong Kelantan atau "The Red Warriors" berbanding hanya 15,0000 penyokong Negeri Sembilan atau "Kijang". - Bernama

Lebih 1,000 hadiri majlis perkahwinan Tam Spider-Aida


Pasangan pengantin baru, Tam dan Aida pada majlis persandingan mereka, siang tadi - foto THE STAR oleh ABDUL RAHMAN EMBONG
PONTIAN: Lebih 1,000 tetamu menghadiri majlis perkahwinan vokalis kumpulan Spider, Rustam Mustafah atau Tam dan isterinya, Aida Mustafa yang berlangsung di Dewan Komuniti di Pekan Nanas, di sini, hari ini.

Berkonsepkan tradisional dan moden, majlis bersejarah penyanyi itu dihadiri oleh ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan kedua-dua belah pihak termasuklah anggota-anggota kumpulan Spider dan komposer serta penyanyi terkenal, M.Nasir.

Anak lelaki Tam, Aliff, 15, yang merupakan hasil perkongsian hidup dengan bekas isterinya, Norleen Isa, turut hadir pada majlis tersebut. Ini merupakan perkahwinan kedua Tam setelah 11 tahun menduda.

Lebih 1,000 tetamu hadir memeriahkan majlis bersejarah Tam dan isterinya
 
Sebelum itu, Tam dan Aida selamat dinikahkan di sebelah paginya di Masjid Jamek Pekan Nanas.

Tam yang ditemui sejurus berakhirnya majlis tersebut melahirkan rasa bersyukur dengan perkahwinan tersebut.

"Saya akan menjalani hidup dengan isteri tercinta dan tetap akan meneruskan bidang nyanyian saya atas sokongan isteri," kata vokalis kumpulan yang popular dengan lagu Relaku Pujuk.

Sementara itu, Aida turut berharap peminat-peminat Tam mampu mendoakan yang terbaik untuk rumahtangga mereka.

"Saya harap peminat-peminat Tam dapat menerima saya sebagai isterinya. Insya-allah, saya akan terus memberikan sokongan terhadap karier seninya di samping menjaga rumahtangga kami," kata Aida yang bertugas sebagai pengarah urusan sebuah syarikat pengurusan acara.
Ibu pengantin perempuan, Heliana Zulianti juga mengharapkan perkahwinan anaknya itu kekal hingga ke akhir hayat.

"Saya gembira kerana dia akhirnya bertemu dengan lelaki impiannya," ujarnya.
M.Nasir menepung tawar pasangan pengantin
Anak lelaki Tam, Aliff juga turut berkongsi perasaan gembira dengan perkahwinan bapanya itu.

"Saya tiada masalah apabila ayah membuat keputusan untuk berkahwin lagi kerana dia berhak untuk gembira. Malah, hubungan kami bertiga memang baik," katanya.
M.Nasir yang banyak menghasilkan lagu untuk kumpulan Spider juga mengucapkan tahniah buat pasangan tersebut.

"Perkahwinan adalah perkara yang terindah dalam hidup dan saya gembira untuk Tam. Hari ini adalah hari bersejarah untuknya," katanya.

Tam dan Aida mula berkenalan hampir lima tahun lalu, tetapi hubungan mereka hanya benar-benar serius sejak setahun lalu.

Pasangan ini telah bertunang pada 15 Ogos lepas.

Anwar Menuduh Ada Kuasa Ghaib Menghalang Kes Liwatnya Dibicarakan


 

Penasihat Parti keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa ada pihak yang cuba menghalang perbicaraan tuduhan liwat keatasnya dari berjalan lancar.

Ianya terbukti apabila Mahkamah Rayuan kelmarin membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintah pihak pendakwa dalam kes tersebut menyerahkan bahan bukti kepada ketua pembangkang itu yang dikatakan penting untuk pembelaannya.


Anwar dalam tulisan yang disiar di blognya http://anwaribrahimblog.com memberitahu, pihak tersebut kini sedang berselindung di sebalik dolak dalih kononnya mendakwa beliaulah yang melengah-lengahkan perbicaraan tersebut.

"Nah sudah terang lagi bersuluh kepada kita, siapa sebenarnya yang melengah-lengahkan proses perundangan dan pembicaraan.

"Mengapa gentar untuk membenarkan pasukan pembela saya memeriksa bahan bukti dan rakaman video litar?

"Barangkali takut muslihat jahat didedahkan; pecah tembelang membusuk dan memualkan," kenyataanya dipetik.

Dalam tulisan tersebut Anwar melahirkan harapan agar perbicaraan kes beliau itu berjalan lancar mengikut lunas perundangan.

Beliau juga tidak mahu proses perundangan tersebut dihalang dan dicampurtangan pihak pemerintah.

"Jangan halang proses perundangan yang sebenarnya, biarkan ianya berlangsung tanpa dicampuri dan digugat pemerintah," tulisnya lgi.
 



Kelmarin pasukan peguam pembela Anwar sekali lagi dihalang dari mendapatkan bahan bukti setelah keputusan mahkamah rayuan didakwa menyebelahi rayuan pihak pendakwa.

Kesemua bahan bukti tersebut merupakan bahagian penting untuk pembelaan Anwar dan hak untuk mendapatkannya juga turut dijamin undang-undang.

Pada 16 Julai lalu, Mahkamah Tinggi mengarahkan pihak pendakwa menyerahkan bahan bukti itu, termasuk rakaman video dan laporan perubatan kepada tertuduh.

Pihak pendakwa juga diperintahkan supaya membenarkan peguam Anwar memeriksa rakaman CCTV yang didakwa tempat kejadian, bersama-sama dengan kenyataan Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa sebagai mangsa, dan saksi-saksi lain serta nota doktor.

Mahkamah Tinggi juga mengarahkan supaya laporan perubatan Mohd Saiful dari Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Pusrawi serta bahan bukti yang lain, yang diperlukan untuk tujuan pembelaan, diserahkan kepada Anwar

Satu Lagi PRK. Kali Ini Di Sabah

Kekosongan akan berlaku di Usukan Kota Belud. Penyandang DUN Usukan adalah mantan Ketua Pemuda Umno Sabah Datuk Japlin Akim juga berjawatan pembantu menteri dalam kabinet Musa Aman.

Datuk Japlin pada awal tahun ini telah ditangkap oleh pihak SPRM berkaitan dengan politik wang yang dikatakan untuk membantu Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda Umno Malaysia sekarang ini.

Sejak akhir-akhir ini kelibat Datuk Japlin bagi kawasan Usukan tidak kenampakan lagi. Seolah-olah ADUN tersebut sirna.

Menurut sumber yang boleh dipercaya, Datuk Japlin akan diminta mengosongkan DUN Usukan, demi imej parti dan kabinet Musa Aman.

Dikhabarkan pula DS Najib telahpun berjumpa dengan Japlin untuk menentukan tarikh pengosongan Dewan Undangan negeri tersebut.

Jika Japlin menunaikan janji untuk mengosongkan DUN Usukuan, maka PRK terpaksa diadakan, kerana tempoh PRU-13 masih lebih 2 tahun.

Menurut peraturan SPR, jika kekosongan sesuatu kawasan berlaku dalam masa kurang dari 2 tahun PRU berikutnya harus dilaksanakan, maka SPR tidak perlu mengadakan Pilihanraya kecil (PRK).

Jika PRK DUN Usukan perlu diadakan, maka calon BN telah dapat dipastikan samadada Datuk Salleh Said Keruak atau Kakaknya Saidatul Badru bagi mewakili BN.
 



Saida telah dikhabarkan mendapat sokongan kuat Musa Aman dan Musbah Jamli, sementara itu Salleh Said mendapat sokongan TSPandikar Speaker Dewan Rakyat sekarang ini dan Datuk Safie Afdal.Dipercayai juga, Datuk Salleh mendapat restu daripada DS Najib.

Apa kah kebenaran khabar-khabar angin ini akan menjadi kenyataan, sama-sama kita tunggu dalam masa terdekat ini.

Pasukan Idaman Pas: Nik Aziz, Nizar, Dr Asri: Satu Analisa

Kata orang menang sorak belum tentu menang. Kerana itu ada bidalan: menang sorak kampung tergadai.


Nik Aziz dikatakan pemimpin popular berasaskan jumpaan 2 orang pakar akademik Dr Aziz Bari dan Dr Abu Hassan Hasbullah. Secara logik kalau Nik Aziz tidak popular tak kan boleh bertahan selama 20 tahun sebagai MB Kelantan.

Nizar pula dikatakan n0.3 paling popular dikalangan pemimpin Pas. Nama Nizar muncul apabila dilantik sebagai MB Perak bagi mengetuai ADUN DAP yang majoriti. Nama Nizar semakin popular apabila hilang jawatan MB. Kepopularan Nizar bertambah-tambah lagi apabila mengetuai sidang bawa pokok dan sidang hotel heritage. Nizar juga semakin popular membuat kecoh pada sidang DUN Perak pada 7 Mei dan 28 Oktober lalu. Nizar juga popular kerana sanggup turun naik mahkamah untuk mendapatkan semua jawatan MBnya. Pada 5 November lalu rayuan Nizar untuk mendapatkan jawatannya didengar oleh 5 orang Hakim mahkamah persekutuan. Keputusannya belum diketahui.
 



Dr Asri atau lebih senang dipanggil sebagai Dr Maja, memang popular kerana sering membuat fatwa yang bercanggah dengan majlis fatwa kebangsaan semasa atau sesudah menjawat jawatan Mufti Perlis.

Dr Asri semakin popular kerana ada program khas di Astro. Kemudian nama Dr Asri menjadi sebutan ramai apabila ditangkap JAIS kerana "dituduh" penganut Wahabi dan berceramah agama di Selangor tanpa Tauliah JAIS.

Dr Asri popular kerana khabarnya akan dilantik mengetuai YADIM setelah ditinggalkan oleh Ustaz Nakhie Ahmad. Ekoran akan dilantiknya Dr Asri mengetuai YADIM, PGSM membuat memorendum kepada DYMM Agong membantah perlantikan Dr Asri.

Dr Asri membuat berita lagi apabila dikatakan berdamai dengan PGSM, dan dikatakan PGSM akan memohon maaf secara terbuka. Namun semua itu tidak menjadi, kerana dikatakan Dr Asri mungkir janji akan proses perbincangan minta maaf tersebut tidak dihebohkan. Dalam perkara minta maaf ini, tidak dapat dipastikan siapa yang berkata benar, PGSM kah atau Dr Asri.
 
Dr Asri menjadi popular kerana persuruhjaya Pas Terengganu Harun Taib mendedahkan, bahawa beliau menyuruh Dr Asri masuk Pas, bukan mengajaknya.

Ekoran seminar sehari Pas semalam (7 Oktober) nama Dr Asri menjadi sebutan para peserta seminar, kerana itu Pasukan Idaman Pas telah tercipta: Nik Aziz-Nizar-Dr Asri bagi mengetuai Pas dalam PRU-13. Nama Presdien dan Timbalan Presdien Pas: TG Hadi Awang dan Ustaz Nasharuddin Mat Isa diketepikan. Menurut para peserta seminar Pas: Gandingan 3 nama ini akan membawa kejayaan besar kepada PAS pada PRU-13 nanti.

Persoalannya sekarang, apakah Dr Asri akan menyertai Pas? satu tandatanya yang perlu dijawab. Jika iapun..Apa kah nama popular di kalangan ahli Pas akan juga popular di kalangan rakyat jelata? Suatu pertimbangan yang perlu dikaji oleh akar umbi Pas.

Seminar sehari Pas, yang membidas ketokohan Hadi Awang dan Ustaz Nasha, telah mengores penyokong akar umbi TG Hadi Awang. Tidak mudah bagi mereka melupakan jasa Hadi Awang,kerana satu jumpaan ahli akademik, yang hanya bermain data, bukan hati nurani.

Najib: Pengundi mungkin tolak MCA jika krisis berlarutan



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau tidak akan campur tangan dalam masalah dalaman MCA, kecuali beliau menerima jemputan yang jelas dari parti itu untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun beliau menegaskan bahawa MCA seharusnya menyelesaikan masalah mereka secepat mungkin bagi memastikan ia muncul sebagai sebuah parti yang kukuh dan bersatu.

Menjawab satu soalan, beliau berkata 'pelan perpaduan lebih menyeluruh' yang sedang diusahakan dalam parti itu, dicetuskan oleh kepimpinan MCA sendiri bagi menyelesaikan masalah mereka.




"Ia bukan pelan saya, tapi ditampilkan oleh kepimpinan MCA sendiri. Mereka ada memaklumkan kepada saya mengenainya, dan saya beritahu mereka bahawa apa yang paling penting adalah saya mahukan sebuah parti MCA yang kukuh dan bersatu. Kemudian baru MCA boleh mewakili majoriti komuniti Cina," katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Kongres Tahunan Parti Demokratik Liberal di 1Borneo di Kota Kinabalu hari ini.

Beliau berkata MCA tidak punyai pilihan, mereka perlu menangani masalah dalaman dengan segera kerana sekiranya ia tidak diselesaikan dalam tempoh masa tertentu, ada kemungkinan calon-calon MCA ditolak orang ramai pada pilihan raya akan datang.

Semalam Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga Naib Presiden Umno berkata sudah tiba masanya bagi MCA meminta Najib, yang juga pengerusi BN, untuk masuk campur dan cuba menyelesaikan masalah kepimpinan parti itu.




MCA mengadakan mesyuarat agung tergempar (EGM) pada 10 Oktober lepas dalam usaha menyelesaikan krisis kepimpinan yang dihadapinya, namun hasilnya dilihat masih belum dapat merungkai masalah yang melanda parti itu.

Ini ekoran kumpulan yang mendakwa mewakili 16 orang atau satu pertima anggota jawatankuasa pusat (CC) MCA memanggil EGM baru pada 28 November ini untuk membolehkan perwakilan memutuskan sama ada pemilihan baru MCA perlu diadakan. - Bernama

EGM Bukan Untuk Rebut Jawatan Atau Melindungi Sesiapa - Ketua Wanita MCA

Langkah mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) adalah untuk memberi peluang kepada perwakilan memilih barisan kepimpinan baru dan bukan merebut jawatan atau melindungi sesiapa dalam parti.





Ketua Wanita MCA Datuk Paduka Chew Mei Fun berkata keputusan mengadakan pemilihan baru menerusi mesyuarat EGM bukan semata-mata keputusan individu tetapi suara dari perwakilan parti.

"Pemilihan baru memberi peluang memilih pemimpin berdasarkan pemerhatian perwakilan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pusat latihan dan masyarakat Persatuan Sindrom 'Down' Pulau Pinang di sini pada hari Sabtu.

Katanya mesyuarat EGM merupakan kaedah sesuai untuk perwakilan membuat keputusan memilih pemimpin mereka bagi menyelesaikan kemelut dalaman parti.

"Kita semua tinggal dalam negara demokrasi dan semua orang mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat...jadi saya berpegang teguh kepada keputusan saya mendesak mengadakan mesyuarat EGM," katanya.




Chew berkata beliau yakin mesyuarat EGM itu dapat dijalankan berdasarkan sokongan daripada perwakilan parti.

Mesyuarat EGM itu diminta oleh 16 anggota Jawatankuasa Pusat (CC) MCA termasuk Chew, Naib Presiden Tan Kok Hon dan Ketua Pemuda Datuk Dr Wee Ka Siong.

Cadangan untuk mengadakan EGM itu ditolak kerana tidak mengikut perlembagaan parti dan mesyuarat itu tidak boleh diadakan mengikut pandangan ketua biro undang-undang parti yang baru Lim Hong Sang.

Bagaimanapun, ahli-ahli CC itu mahukan EGM kali kedua itu diadakan pada 28 Nov ini.

-- BERNAMA

Peruntukan Besar Untuk Sabah & Sarawak Dalam RMK-10

Rakyat luar bandar di Sabah dan Sarawak akan diberikan perhatian dan peruntukan besar dalam Rancangan Malaysia Ke-10, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Sabtu malam.

Najib Ingin Mepergulakan Rakyat Sabah & Sarawak Lagi.


Beliau berkata makmal Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang berkaitan dengan pembangunan luar bandar sedang gigih mengenalpasti keperluan rakyat, terutama di Sabah dan Sarawak, bagi program transformasi kerajaan.

"Saya pilih menteri mesti datang dari Sabah atau Sarawak kerana ini (pembangunan luar bandar) adalah agenda untuk Sabah dan Sarawak. Apabila kita buat kerja, kita mesti tentukan setiap kampung apa keperluannya di Sabah dan ini telah dibuat oleh makmal NKRA yang bekerja tak kira waktu.

"NKRA untuk masyarakat luar bandar, sebahagian besar daripada peruntukannya akan diberikan kepada Sabah dan Sarawak," katanya pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) kali Ke-24 di sini.



Beliau juga berkata rakyat luar bandar di Sabah dan Sarawak juga semakin menyedari keperluan mereka dalam arus pembangunan negara.

Oleh itu, beliau meminta rakyat terus menyuarakan masalah dan keperluan mereka agar kerajaan akan terus mengambil langkah-langkah untuk memberikan keselesaan kepada rakyat.

"Maklum balas daripada rakyat Sabah semakin hari, semakin baik. Kita nak perkara ini diteruskan. Jangan bimbang, kalau peruntukan tak cukup, kita tambah lagi, insyaAllah," katanya.

Bagaimanapun, Najib berkata terdapat beberapa keperluan rakyat di Sabah yang boleh diatasi sekiranya mendapat kerelaan rakyat untuk dibantu.

Menurutnya masalah bekalan elektrik di kawasan Pantai Timur negeri ini sepatutnya dapat diselesaikan dengan cepat, tetapi mengambil masa yang lama berikutan rakyat tidak mahu berkorban untuk kebaikan dan kebajikan mereka.

"Rakyat nak elektrik, tetapi tak nak janakuasa. Kerajaan negeri cadangkan beberapa tempat, tetapi semuanya ditolak. Dua tahun terbuang untuk menyelesaikan masalah ini. Jadi, apabila saya menjadi Perdana Menteri, saya terpaksa membuat keputusan untuk memberikan tanah di kawasan Felda di Lahad Datu untuk pembinaan janakuasa.

"Rakyat mesti memahami keperluan mereka dan mesti membuat sedikit pengorbanan untuk negara. Kita mesti berkorban. Kita mesti bertolak ansur dalam hal ini. Dengan itu kita boleh mencapai pembangunan yang lebih tinggi untuk Sabah," katanya.

Perdana Menteri juga berkata kerajaan komited dalam menyelesaikan masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah, tetapi memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk majikan.

Sementara itu, Najib berkata Sabah mampu menjadi negeri maju sekiranya kekayaan sumber di negeri ini digunakan sebaiknya, terutamanya dalam bidang pelancongan.

"Sabah adalah wadah kepada Malaysia. Sabah menjadi destinasi kegemaran ramai pelancong dalam dan luar negera. Semuanya memuji keindahan Sabah dan cara hidup di Sabah," katanya.

Beliau juga berkata keunikan cara hidup masyarakat di Sabah merupakan antara tarikan pelancong ke negeri ini dan juga contoh terbaik dalam mempromosikan perpaduan melalui konsep 1Malaysia.

"Selalu berlaku, jurang antara penduduk di Sabah sangat kabur. Kita tak dapat agak orang itu Kadazan atau Cina atau Melayu atau Melayu dari Semenanjung. Tetapi kita tak boleh juga anggap orang itu bukan daripada keluarga kita. Inilah yang diperlihatkan di Sabah. Rakyat Sabah tidak mengira kaum atau etnik. Semuanya sama.






"Inilah yang sebabnya saya memperkenalkan Gagasan 1Malaysia. Ini bukan slogan dan bukan retorik politik. Inilah dia ramuan yang boleh jadi penawar semua kaum dan etnik. Sebagai satu keluarga, kita akan menjadi negara yang kuat dengan etnik lain, tetapi hati tetap taat dan setia kepada negara," katanya.

-- BERNAMA

Banglo Mewah Mawi.




Mawi dan Ekin di hadapan banglo indah mereka.


Setahun lalu Pancaindera pernah meminta kebenaran untuk merakamkan gambar banglo indah milik Mawi yang terletak di Bangi Golf Resort.

Kata Mawi, dia belum bersedia merakamkan gambar rumahnya sehinggalah pada Syawal lalu, banglo Mawi menjadi lokasi penggambaran Rumah Baru, Bini Baru, Baru Raya terbitan MW Production, milik Mawi sendiri.

Pada malam 4 November lalu, Mawi,28, mengundang pihak media untuk merakamkan gambar rumahnya selain meraikan ulang tahun kelahiran isteri tercinta, Ekin yang ke-30.

Ruang untuk bermain video game di tingkat atas.


Selain majlis tahlil dan doa selamat pada sebelah petang, pada malamnya diadakan majlis hari lahir yang dihadiri oleh rakan-rakan artis termasuklah Erra Fazira.

Menjenguk ke kediaman Mawi yang bernilai RM1.8 juta ini, seperti melalui sebuah perkampungan Inggeris di Hollywood.

Kedudukan rumah berlatarbelakangkan padang golf memang menawan sekali.
Kolam ikan di luar rumah dengan bunyi air mengalir tanpa gangguan enjin kenderaan ternyata mendamaikan.

Kata Mawi, dia membeli banglo itu kerana lokasinya menarik dan tenang.

Meja snuker di tempatkan di ruang tamu.


Malah Mawi dan Ekin sendiri mengakui mereka sukakan suasana yang sunyi tanpa hiruk pikuk kenderaan.

Banglo dua tingkat ini sudah berusia 11 tahun apabila Mawi membeli daripada rakannya berbangsa Cina.

Harga rumah di kawasan berkenaan kata Mawi sebenarnya mencecah RM4 juta tetapi dia bertuah kerana mendapat rumah harga kurang daripada itu.

Rumah ini mempunyai enam bilik iaitu tiga pada tingkat atas sementara tiga lagi pada bahagian bawah.

Di tingkat bawah mempunyai dapur basah dan kering.

Sementara di ruang tamu, Mawi menempatkan sebuah meja snuker bernilai RM5,000. Meja ini tidak mengganggu tetamu kerana ada dua ruang lain untuk membolehkan tetamu berborak dan menonton televisyen.

Pada bahagian atas, selain ruang beranda yang luas, terdapat satu lagi ruang yang dijadikan Mawi sebagai tempat dia bermain permainan video.


Inilah kamar tidur Ekin dan Mawi.


Kamar Mawi dan Ekin dihias sederhana berlatar belakangkan warna krim dan menggunakan perabot yang diimport dari luar negara.

Konsep rumah ini kata Ekin ialah "konsep asal boleh". Maknanya mereka menghiasi mengikut cita rasa dan keinginan sendiri.

Rumah sebesar ini amat memenatkan untuk berkemas kerana pasangan ini tidak mempunyai pembantu rumah.

"Kalau nak kemas, sehari pun tak boleh habis. Kami kemas sikit-sikit itupun jika ada masa terluang," ujar Mawi.

Amanda Melangkah Jua.



Bidang ini menjadi darah daging Amanda dan rasa penyesalan tidak pernah wujud malah bersemangat untuk terus maju ke hadapan - Amanda


NAMANYA agak asing di persada muzik tanah air tetapi kini sudah mula dikenali. Itulah Amanda Imani, berusia 18 tahun yang tidak perlukan gantian namanya yang lain. Cuma yang diperlukan adalah cara untuk mengukuhkan nama agar sentiasa diingati oleh peminat seni tanah air.

Amanda perlu memastikan kemunculannya benar-benar diterima. Sudah pasti dengan pakej dan bakat yang ada, wajah kacukan Melayu, Turki, Siam dan Cina serta suara tersendiri menjadikan dia setaraf dengan penghibur yang ada masa kini.

"Amanda bukan dilahirkan di kalangan artis realiti rancangan televisyen. Mereka bertuah kerana mendapat pendedahan lebih berbanding artis seperti Amanda ini yang tiada publisiti diberikan. Banyak perkara yang perlu dilakukan Amanda," tegas Amanda.

Dia bermula daripada bawah dan Amanda perlu bertatih untuk meniti satu demi satu tangga kejayaan. Dia yakin mampu bersaing secara sihat dengan mereka. Dengan cara apa pun, Amanda tidak akan patah semangat dan dan pandang ke belakang.

Gadis yang meminati kerja-kerja amal ini juga berhati-hati kerana setiap sen yang dikeluarkan itu adalah titik peluh daripada keluarganya sendiri. Amanda amat terhutang budi kepada ibu bapanya yang sanggup melaburkan sejumlah wang bagi merealisasikan impiannya itu.

Selain itu, banyak pengorbanan yang dilakukannya sebelum ini seperti berkejar-kejar untuk menghasilkan album baru berjudul Amanda Imani yang memuatkan tujuh buah lagu Melayu dan dua bonus video muzik itu.

Ini kerana pelajar program ijazah dalam bidang psikologi dan komunikasi di Kolej SEGi Kota Damansara ini mahu usahanya berbaloi lantas mencurahkan sepenuh perhatian sepanjang penghasilan album berkenaan.

"Alhamdulillah, esok (9 November) buah hati saya akan diedarkan di seluruh negara oleh Universal Music. Saya juga berharap dapat diterima baik oleh semua lapisan masyarakat," katanya.

Amanda yang memulakan kerjaya seni sejak berusia 15 tahun ini juga berdebar menanti reaksi peminat apabila album yang memuatkan lagu seperti Selamilah Cinta, Cinta Kasih, Cinta Seluas Angkasa, Terima Kasih, Mungkinkah, Mewarnai Hidupku dan Kita Sama Sahaja (duet bersama Ajai).

"Amanda seorang yang bercita-cita besar. Kalau boleh dapat terus kembangkan bakat seni termasuk memperbanyakkan ciptaan lagu sehingga ke peringkat antarabangsa. Bidang ini menjadi darah daging Amanda dan rasa penyesalan tidak pernah wujud malah bersemangat untuk terus maju ke hadapan," kata gadis yang mahir bermain piano dan gitar.

Dua buah lagu yang telah dimuat turun dirinya sendiri dalam laman web Youtube sejak awal tahun lalu iaitu Selamilah Cinta dan I'm Free (Yeah) dalam versi bahasa Inggeris mendapat reaksi baik kalangan peminatnya.

Penyanyi yang meminati Alicia Keys ini juga tidak menang tangan untuk menjawab komen yang diberikan melalui www.amanda-imani.com dan www.myspace.com/AmandaImani.
Amanda antara artis yang menjayakan Konsert Kick-off Monsoon Cup 2009 dianjurkan bersama majalah URTV, terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB). Ia bakal berlangsung di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu pada 1 Disember ini.

Amanda tidak sabar membuat persembahan di negeri menemukan dirinya dengan Ajai yang kemudian menyarankan Amanda untuk merakamkan lagu.

Keganasan penyokong The Red Warriors.


Bagaikan di medan perang apabila Stadium Nasional Bukit Jalil dipenuhi asap gara-gara tindakan penyokong Kelantan yang membakar kerusi serta kain rentang semasa perlawanan akhir Piala Malaysia malam tadi.



PERLAWANAN akhir Piala Malaysia antara Kelantan dengan Negeri Sembilan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi tercemar dengan insiden yang sangat memalukan.
Penyokong Kelantan bagaikan hilang pertimbangan sehingga sanggup membakar harta awam seperti kerusi di tempat duduk stadium ketika perlawanan itu berlangsung.
Tidak salah menyokong tetapi emosi perlu dikawal dan mereka sepatutnya mendisiplinkan diri selama 90 minit sambil menikmati perlawanan dengan penuh semangat.



Mercun pula satu hal. Entah di mana silapnya meskipun sudah banyak kali dinyatakan bahawa mercun adalah barang larangan, namun ia tetap berjaya dibawa masuk oleh para penyokong Kelantan ke dalam stadium.

Final Piala Malaysia edisi ke-83 itu bertukar menjadi pesta mercun apabila pelbagai jenis mercun dibakar dan dilemparkan ke arah pemain.

Balingan mercun tersebut serta letupan dan asapnya hanya kelihatan di kawasan penyokong-penyokong Kelantan.

Tidak puas dengan membakar mercun, penyokong Kelantan yang kecewa mula mencabut beberapa kain rentang gergasi mereka dan bertindak membakarnya sebelum sempat dikawal oleh ahli bomba yang bertugas.

Serentak dengan itu, dentuman mercun tidak henti-henti dan asap berkepul-kepul memasuki padang, terutama selepas Kelantan ketinggalan 3-0, sehingga mengganggu tumpuan pemain dan penonton terhadap perlawanan.

Kecewa dengan kekalahan pasukan mereka, penyokong Kelantan bertindak lebih dahsyat selepas itu apabila membakar kerusi stadium. Seorang jurukamera RTM cedera dibaling batu.



Sementara itu, seorang penyokong Kelantan ditahan polis malam tadi.

Lelaki berusia lingkungan 30- an itu ditahan pada pukul 12.05 tengah malam berhampiran stesen LRT Bukit Jalil oleh sepasukan polis kerana dipercayai cuba mencetuskan pergaduhan di dalam stadium.

Lelaki itu kemudian dibawa ke balai polis berhampiran untuk siasatan lanjut.

Bagaimanapun, sejam kemudian lelaki terbabit dibebaskan selepas memberi keterangan kepada polis.

Pada masa yang sama, sekumpulan penyokong Kelantan mencetuskan kekacauan apabila cuba menghalang penyokong pasukan Negeri Sembilan lawan daripada beredar pulang meninggalkan stadium.

Namun sebaik sahaja anggota polis tiba, mereka berlari lintang-pukang meninggalkan kawasan itu.

Shila sudah pandai bercinta?



SHILA



DIVA mengikuti perkembangan anak dara ND Lala yang seorang ini. Manakan tidak, dari kecil lagi dia sudah terbiasa dengan dunia hiburan dan hinggalah kini sudah ada album sendiri. Daripada gaya anak-anak dia kini sudah berperwatakan gadis remaja yang semakin cantik. Sama cantik dengan ibunya.

Teman Diva yang suka muzik punk pun sudah pandai gosip, katanya, dia dapat cerita yang Shila sudah pandai main cinta. Tak sangka Diva, teman yang seorang ini turut mengushar anak dara ND Lala itu.

"Aku dengar cerita yang Shila sekarang sedang mula-mula berbunga dengan seorang pegawai perhubungan awam yang tidak jauh dengannya. Setahuku, lelaki tersebut baik orangnya putih-putih berkaca mata. Comel juga kalau betul mereka bersama-sama. Saya setuju sahaja. Tapi adalah sikit berbaur cemburu sebab aku pun suka tengok Shila tu," ujar teman punk Diva.

Ewah Shila, sudah pandai main api nampaknya. Tetapi Diva rasa okey sebab lelaki tersebut pun sudah pasti kenal ibu dan ayah Shila yang selalu dengan anak mereka. Silap-silap mereka pun minta lelaki tersebut tengok-tengokkan anak mereka.

Bagi Diva tak salah mahu bercinta sesama teman dalam industri. Diva pun suka tengok seorang teman Diva yang merupakan pegawai perhubungan sebuah label yang main cinta dengan seorang wartawan sekarang. Bahagia nampaknya.

Pas For All..

PAS mengambil langkah menyempurnakan dirinya dengan membuka keahliannya kepada sekalian rakyat Malaysia yang menerima dasar dan perjuangannya.Sekalian anggota Kelab Penyokong PAS yang terdiri dari bukan Islam dari semua kaum di Malaysia akan menjadi sayap baru bagi parti itu apabila muktamar khasnya meluluskan pindaan perlebagaannya nanti.


Adalah satu langkah berani dari  gerakan Islam dalam rangka melakar satu pemikiran politik harapan dalam membentuk tamaddun masa depan Malaysia.

Islam adalah agama yang memimpin, sudah sewajarnya parti Islam itu melengkapkan dirinya menawarkan harapan politik masa depan bagi rakyat Malaysia mengikut roh dan ajaran Islam.

Malaysia tiada masa depan dengan corak politik pasca merdeka yang dikongkong pemikiran politik, ekonomi dan sosial lama, diselimuti pemikiran dan amalan perkauman acuan bekas penjajahnya, serta terbiar pula cengkaman rasuah yang menjelma menjadi budaya baru bagi bangsa itu.




Acuan lama pemikiran politik global tidak dapat memberi harapan masa depan kita justeru pemikian lama yang kekal dan berakar umbi itu tetap berada pada paksi pi mai pi mai tang tu jugak.

Maka PAS mesti membawa negara ini keluar dari kepompong politik lama itu dengan menyediakan dirinya sebagai wadah untuk s emua, membuka keahlian kepada semua adalah langkah mematang dan menyempurnakan kedudukannya.

PAS yang ada dengan keahliannya kepada umat  Islam saja ditubuhkan ketika Tanah Melayu masih dimiliki sepenuhnya oleh umat Melayu Islam. Sekalipun kemerdekaan dan kedaulatannya dirampas penjajah British, tetapi wilayah itu tetap milik watannya. Tetapi apabila ia dimerdekakan, ia tidak lagi jadi kepunyaan orang Melayu saja, bahkan ia adalah milik semua.

Jika UMNO yang menjada Perikatan/BN mendakwa ia telah menyedarinya lebih awal atau hampir 60 tahun dulu, tetapi politik UMNO itu adalah mendahului masa, menerimanya  sebelum ia menjadi milik semua atau ia bersetuju pusaka itu difaraid.




Mungkin langkah baru PAS itu dikira meniru pendekatan UMNO. Tetapi politik UMNO dulu itu bukan ia suatu realiti, bahkan ia politik terpedaya. Kalau PAS dikatakan membuntuti jalan yang dilalui UMNO setengah abad kemudian, ia adalah politik realiti.

PAS terbuka kepada semua dulu dan sekarang. Ketika ia ditubuhkan keahliannya adalah untuk semua. Keseluruhan rakyat masa itu adalah Melayu Islam. Sekarang rakyat negara ini bukan seluruhnya Islam. Keputusan terbaru yang PAS ambil itu adalah merealisasikan PAS itu adalah untuk sekalian rakyat pada masa ini.

Pemikiran itu telah lama terpancar. Ia pernah dicetuskan oleh Prof. Zulkifli Mohamad, Timbalan Presiden PAS ketika pimpinan Dr. Burhanuddin al-Hilmy. Pandangan itu tertangguh dan beliau pula menemui ajal lebih cepat.

Ketika mula masuk era kepimpinan ulama di bawah pimpinan Haji Yusof Rawa dalam tahun 80an, saya memberi pandangan supaya PAS membuka keahliannya kepada bukan Islam sebagai satu pendekatan dakwah bagi meraih sokongan masyarakat bukan Islam.




UMNO mengambil pendekatan menggunakan sekutu bukan Islam dalam Perikatan    dan kemudiannya BN bagi mendapatkan sokongan bukan Melayu. Ia berjaya meraih kuasa.

Dengan kuasa itu ia merosakkan perjuangan agama, bangsa dan negara. Ia memusnahkan tulisan jawi,  mengkhianati perjuangan bahasa dan pendidikan Melayu. Majoriti buta jawi buta al-Quran. Generasi selepas merdeka buta sejarah dan pudar patriotismanya dan berbagai-bagai kepincangan lagi.

Kalau pendekatan yang sama PAS gunakan, PAS dapat meletakkan calon di tempat-tempat majoriti bukan Islam, jika PAS dapat meraih sokongan pengundi semua kaum, kuasa boleh jatuh ke tangan PAS. Dengan kekuasaan itu PAS dapat gunakan bagi menegakkan kebaikan dan kebajikan.

Ustaz Fadzil Noor minta Ustaz Harun Taib menyediakan kertas tentang perkara itu.
Dari kajian yang dibuat, PAS berpendapat perkara itu adalah harus. Perkara harus boleh dilaksanakan dan boleh tidak dilaksanakan bergantung kepada keadaan. Ia mesti difahami oleh sekalian ahli dan masyarakat supaya apabila dilaksanakan ia tidak menimbulkan kekeliruan dan pertelingkahan.

Pertengahan tahun 80an, beberapa seminar mengenai negara Islam, perundangan dan politik Islam dianjurkan oleh PAS kawasan Setapak yang kemudiannya menjadi PAS Kawasan Batu dan PAS kawasan Titiwangsa. Ia terbuka kepada semua kaum dan agama.

Dr. Tan Chee Khoon, seorang tokoh pembangkang Cina yang terkenal sebelum kemunculan Lim Kit Siang, Dr. Teh Chu Peh, seorang ahli akadamik yang kemudiannya   jadi Setiausaha Agung MCA antara yang menjadi pengulas.




Ia menarik beberapa orang aktivis MCA dan belia Cina tertarik dengan kegiatan PAS dalam mendekati masyarakat berbagai kaum. Mereka mengikuti kegeiatan PAS di merata tempat hingga ada isteri yang merasa pelik dengan suaminya siang malam bersama PAS sedang semasa dalam MCA itu tidak begitu. Terang sang suami, dia ‘terpesona dengan politik Koran (Al-Quran).’

Seorang isteri lagi bimbang suaminya terlalu kuat menyokong PAS. Dia takut suaminya masuk Islam. Diingatkannya suaminya, pergilah bersama PAS tetapi jangan masuk Islam.

Dari perkembangan itulah terbentuk politik CCC, sekumpulan kecil masyarakat Cina menyokong PAS kerana tertarik dengan pandangan PAS  tentang hak dan peranan orang bukan Islam mengikut ajaran Islam.

Menjelang Pilihan Raya Umum 1986 pemimpin Dewan Perhimpunan Cina dan persatuan sekolah-sekolah Cina sedia menawarkan calonnya menjadi calon PAS di semua kawasan pengundi Cina. Mereka sedia mengiklankan semua calon PAS dengan gambar sekali dalam semua akhbar Cina sepanjang kempen pilihan raya. Calon itu termasuklah calon-calon Cina yang mereka taja.

PAS belum bersedia kerana ia belum membuat persiapan bagaimana mahu melayan sokongan dan penyertaan Cina beramai-ramai dalam PAS itu. Adalah lebih baik ia ditangguhkan dulu hingga ia cukup persiapan.

Dari awal saya mencadangkan supaya keahlian PAS dibuka kepada semua. Ijtimak PAS Wilayah Persekutuan lebih sepuluh tahun dulu meluluskan cadangan itu sebulat suara. Justeru PAS lain-lain negeri tidak membuat keputusan seperti itu, perkara itu tertangguh.

PAS meninjau pandangan gerakan Islam di seluruh dunia tentang penyertaan bukan Islam dalam PAS. Semuanya tidak menentang. Banyak manfaatnya,  tetapi mereka berpendapat dari segi Islam ia diharuskan.


Almarhum Ust. Fadzil Noor

Ustaz Fadzil Noor cenderung mengadakan kerjasama dengan parti-parti Cina seperti DAP  atau Gerakan.

Keadaan politik membuka ruang kepada PAS mengadakan persefahaman terbuka dengan DAP. Ketika yang sama ia mewujudkan Kelab Penyokong PAS bagi mereka yang tidak sukakan parti-parti lain.

Menjerit UMNO meneriakkan PAS meniru UMNO. Kata mereka, dulu PAS salahkan UMNO kerana kerjasama dengan bukan Islam.

Persetankan teriak pekik mereka yang tujuannya hanya supaya kuasa tidak dirampas PAS. Mereka sangat takut kuasa jatuh kepada PAS dan rakan-rakannya dalam Pakatan. Bila mereka kata PAS gila kuasa, biarkanlah.




Sekarang PAS membuka keahliannya kepada semua dan pada masa sama mengekalkan muafakat dengan DAP, PKR dan badan-badan yang setuju dengannya. Ia adalah satu rangsangan politik harapan bagi Malaysia dan dunia yang lebih luas. Ia adalah jawapan dan gantian kepada politik beku, kaku dan buntu UMNO dan sekutu Barisan Nasionalnya.

Ketika kita PAS dan Pakatan bercakap tentang politik harapan yang penuh sangsangan, UMNO terus terkial-kial mempertahankan JKKKnya di kampung-kamping dan tadika Kemasnya.

Asri boleh berceramah di Johor tanpa sekatan




Berbeza dari Selangor, bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin boleh mengadakan ceramah agama bila-bila masa dan di mana sahaja di Johor tanpa memerlukan kelulusan Majlis Agama Islam negeri.

Ini kerana peraturan pihak berkuasa agama negeri Johor tidak memerlukan seseorang pendakwah mendapatkan sebarang surat tauliah khas untuk mengadakan ceramah agama tetapi perlu merupakan seorang penceramah agama yang dikitiraf.

Menurut Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman, setiap personaliti agama dipelawa termasuk Mohd Asri untuk menganjurkan ceramah di Johor.

“Bagaimanapun jika mereka mahu menganjurkan ceramah awam yang menghimpunkan ramai orang, maka mereka memerlukan permit polis,” kata beliau dipetik Bernama selepas menghadiri majlis tilawah khatam Al-Quran yang dihoskan oleh UEM Land Bhd di sini hari ini.




Ahad lalu, Mohd Asri ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana mengadakan menyampaikan kuliah agama tanpa tauliah di sebuah rumah di Taman Sri Ukay, Hulu Kelang, Selangor.

Abdul Ghani berkata, Johor masih belum melarang mana-mana penceramah agama mengadakan ceramah di negeri itu.

Parti alternatif? PAS perlu bersikap terbuka




KUALA LUMPUR, Nov 7 — PAS tidak akan berupaya menjadi parti alternatif sekiranya tidak dapat menerima perlembagaan negara yang mengiktiraf masyarakat bukan Islam, kata pemerhati politik Prof Dr Abdul Aziz Bari.




"Ini satu perlembagaan yang kita kenal... kalau kita tak mahu akui maka kita tak boleh jadi parti alternatif.

"Jadi, jangan lompat (melenting dan mempersoalkan) bagaimana dengan Islam? Kena tumpu juga kepada bukan Islam dan fokus bagaimana nak menangi hati mereka,” katanya.

Pensyarah undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu berkata demikian semasa membentangkan pandangan beliau pada seminar politik PAS di sini.




Beliau dan Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah dari Universiti Malaya adalah dua pemerhati politik yang diundang PAS bagi memberi pandangan alternatif dalam usaha parti itu memperkasakan parti.

Abdul Aziz juga menyelar sikap PAS yang gemar menyalahkan Umno setiap kali berlaku sesuatu yang negatif terhadap parti itu.
PAS sebaliknya harus melihat ke dalam parti dan mencari jalan untuk membetulkan apa juga masalah yang timbul.




"PAS harus menjadi sebuah parti yang terbuka dan menjadi tumpuan rakyat adalah lumrah, jadi jangan lagi bermain cara lama, ada benda sikit salahkan Umno, ini tidak harus dilayan, kita harus fokus apa yang ada dalam parti,” kata Abdul Aziz.

Abu Hassan pula berkata, PAS bermungkinan berdepan dengan masalah besar pada pilihan raya umum akan datang memandangkan kajian menunjukkan golongan muda mempunyai tanggapan negatif terhadap keupayaan kepimpinan parti sekarang.

Katanya, kajian yang dijalankan beliau bagi menjangka keputusan pilihan raya umum ke-13 itu juga menunjukkan golongan muda tidak kenal dengan pemimpin-pemimpin PAS.

"Menurut survey (kaji selidik) itu yang mereka kenal cuma Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (bekas menteri besar Perak), Mohamad Sabu dan Datuk Seri Azizan Abdul Razak (Menteri Besar Kedah),” katanya.

Abu Hassan berkata, kajian berkenaan turut meneliti laman-laman blog berunsur politik dan mendapati blog-blog yang sebelum ini menyokong PAS telah kembali menjadi ”atas pagar”.
"Kajian menunjukkan blog-blog sedemikian meningkat 213 peratus,” katanya. — Bernama

Negeri Sembilan Julang Piala Malaysia




Negeri Sembilan berjaya menjulang Piala Malaysia, piala paling berprestij dalam saingan Liga Malaysia, setelah menewaskan Kelantan 3-1 pada perlawanan akhir berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu malam.






Kemenangan ini membolehkan Negeri Sembilan menamatkan penantian selama 61 tahun setelah kali terakhir mendakapnya pada 1948 ketika piala itu dikenali sebagai Piala H.M.S. Malaya.



Status 'underdog' nyata tidak menjejas corak permainan skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan itu apabila membuka jaringan seawal minit ke-18.




Pemainnya, Shahurain Abu Samah berjaya melepaskan rembatan kencang di dalam kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol Kelantan, Mohd Halim Napi setelah kesilapan dilakukan pemain pertahanan lawan, Mohd Zamri Ramli sekaligus menceriakan kira-kira 15,000 penyokong Negeri Sembilan.


Tersentak dengan gol itu, Kelantan yang ditemani sekurang-kurangya 70,000 penyokongnya terus memperkemaskan permainan yang berlangsung dalam hujan renyai dengan melancarkan beberapa serangan namun gagal memecahkan benteng lawan yang diketuai oleh Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Mohd Syukor Adan.

Negeri Sembilan turut berpeluang untuk menambah jaringan dengan pemain pinjamannya dari T-Team, Hairuddin Omar mempunyai sekurang-kurangnya tiga peluang namun dikecewakan Mohd Halim untuk kedudukan kekal 1-0 separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, 'The Red Warriors' yang terdesak untuk mencari gol penyamaan mengeluarkan dua penyerangnya, Norhisham Hassan dan Mohd Nizad Ayub dengan memasukkan dua penyerang berpengalaman iaitu Che Hishammuddin Hassan dan Mohd Khalid Jamlus.

Namun Negeri Sembilan semakin garang apabila Hairuddin menjaringkan gol kedua pada minit ke-46 setelah bijak meloloskan diri daripada pertahanan Kelantan hasil hantaran Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak.

Pada minit ke-58, Negeri Sembilan mengesahkan kemenangan apabila penyerang kebangsaan Mohd Zaquan menyempurnakan sepakan penalti setelah Shahurain dijatuhkan Mohd Zamri dalam kotak penalti.

Gol itu menyebabkan sebahagian besar penyokong Kelantan bertindak meninggalkan stadium dan sesetengahnya membakar bendera, kain rentang, kerusi dan mercun.

Penyerang berbisa The Red Warriors, Indra Putra Mahayuddin akhirnya menjaringkan gol untuk Kelantan pada minit ke-93 (masa tambahan) setelah menyempurnakan sepakan percuma di luar kotak penalti sekaligus merupakan penjaring terbanyak Piala Malaysia dengan 11 gol.

Kekalahan ini menambah lagi duka Kelantan musim ini setelah tewas kepada Selangor pada perlawanan akhir Piala FA, April lepas malah pasukan pantai timur itu tidak pernah menjulang Piala Malaysia sejak ia diperkenalkan 88 tahun lepas.

Berangkat menyaksikan perlawanan itu adalah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir; Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra; dan Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra Sultan Ismail Petra.

Mengulas mengenai perlawanan itu, Wan Jamak berkata gol awal memang diperlukan mana-mana pasukan jika beraksi di perlawanan akhir dan Shahurain berjaya merealisasikannya.

"Gol itu dapat menentukan hala tuju permainan pasukan dan serta merta dapat mengubah corak permainan," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Bekas jurulatih kebangsaan itu berkata pemain-pemain Negeri Sembilan telah membuktikan mereka mempunyai jati diri dan kekuatan mental yang tinggi walaupun berdepan dengan ribuan penyokong lawan.

"Saya memang berkeyakinan untuk menang jika berdasarkan perlawanan-perlawanan yang dilalui sepanjang saingan Piala Malaysia namun tidak mahu terlalu yakin," katanya yang turut berbangga dengan rekod Negeri Sembilan merupakan satu-satunya pasukan yang tidak pernah kalah pada Piala Malaysia.

Sementara jurulatih Kelantan, B.Sathinathan berkata gol kedua lawan telah menyebabkan pemain-pemainnya lemah semangat untuk kembali melawan.

"Saya juga menghadapi kesukaran untuk menukarkan Mohd Zamri di bahagian pertahanan walaupun beliau telah melakukan beberapa kesilapan kerana terikat kepada peraturan.

"Mohd Zamri merupakan pemain bawah 19 tahun di mana Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) mensyaratkan perlu ada seorang pemain bawah umur itu sepanjang permainan, masalahnya seorang lagi pemain Kelantan merupakan penyerang," katanya.

-- BERNAMA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails