Geng Aku

Khamis, 11 Mac 2010

Seramai 7,987 Calon SPM 2009 Cemerlang.


Seramai 7,987 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2009 memperoleh gred cemerlang (A+, A, dan/atau A-) bagi semua mata pelajaran yang diduduki, berbanding 6,277 pada 2008.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata daripada jumlah itu, seramai 214 calon berjaya memperoleh gred Cemerlang Tertinggi (A+) bagi penggredan baru yang mula diperkenalkan tahun lalu.

Beliau berkata gred Cemerlang Tertinggi diperkenalkan sebagai gred yang lebih tinggi daripada gred 1A bagi memperincikan lagi kecemerlangan seseorang calon.

"Saya gembira memaklumkan bahawa pada keseluruhannya pencapaian calon pada kali ini amat membanggakan, melebihi pencapaian tahun sebelumnya.

"Pencapaian calon meningkat dari segi peratusan bilangan memperoleh sijil, cemerlang (A+, A dan/atau A-) dan lulus semua mata pelajaran yang diduduki," katanya ketika mengumumkan analisis keputusan SPM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2009 di Kementerian Pelajaran di sini pada Khamis.

Katanya seramai 465,853 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan ini pada tahun lalu.

Alimuddin berkata daripada 59,433 calon persendirian, sekolah swasta dan sekolah-sekolah tajaan agensi selain Kementerian Pelajaran, seramai 41 orang memperoleh gred Cemerlang Tertinggi (A+).

Beliau turut mengumumkan Gladys Tan Yee Kim dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Green Road, Kuching, Sarawak sebagai pelajar terbaik bagi SPM 2009 dan Sekolah Menengah Sains Seremban, Negeri Sembilan sebagai sekolah terbaik.

Sekolah Terbaik SPM 2009
SM Sains Seremban, NS.

Katanya bagi 10 sekolah pelajar terbaik, sembilan pelajar yang lain ialah Grace Kiew Sze-Ern (SMK (P) Sri Aman, Petaling Jaya, Selangor), Khadijah Ahmad Jais (SM Agama Persekutuan Labu, Negeri Sembilan), Akmal Hidayat Sabri (SMK Derma, Kangar, Perlis), Syamilah Mahali (Kolej Tunku Kurshiah Seremban, Negeri Sembilan);

Lee Wei Ling (SMK Taman Melawati, Selangor), Nur Syuhadah Muhamad (SM Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Kota Bharu, Kelantan), Lai Yin Kwin (SMK Tinggi Melaka, Melaka), Corinne Gunn Huey Min (SMK Taman Melawati, Selangor) dan Hu May Khei (SMK Convent, Taiping, Perak).

Katanya sembilan lagi sekolah terbaik pula ialah Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang, Selangor; Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak, Jalan Sungai Pusu, Gombak, Kuala Lumpur; Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru, Johor; Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Kuala Lumpur;

SBPI Rawang, Selangor; Sekolah Menengah Sains Muar, Johor; SBPI Temerloh, Pahang; SMK Infant Jesus Convent, Johor Bahru, Johor dan Kolej Tunku Kurshiah Seremban, Negeri Sembilan.

Anwar tetap Ketua Pembangkang - Karpal Singh.

Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh menegaskan tetap memberi laluan pada Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang di parlimen.

"Atas nama Pakatan Rakyat, DAP walaupun lebih satu kerusi dari PKR, namun tetap memberikan laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang di parlimen," ujarnya ketika berucap sempena Majlis Sambutan 2 Tahun Pemerintahan Pakatan Rakyat Pulau Pinang di Tapak Ekspo Seberang Jaya, malam tadi.


Beliau berkata, atas dasar kesepakatan untuk melihat Malaysia terus maju menjelang pilihan raya umum akan datang, Pakatan Rakyat harus pandang ke hadapan mencari jalan menjatuhkan Barisan Nasional (BN) yang semakin angkuh dengan kuasa dan media yang dimiliki.



Sebagai 'singa' DAP, beliau tetap berjuang menuntut keadilan kerana selagi Malaysia diperintah oleh BN, ia tetap merupakan negara korupsi dengan melaksanakan undang-undang yang tidak bertamadun.

"Saya sebagai ‘singa’ akan terus menentang ketidak adilan dalam negara walaupun saya ‘singa’ cedera namun untuk menyerah kalah tidak sama sekali.  Kes Anwar mesti dibela kerana ia bukan manusia yang mengamalkan kelakuan buruk seperti itu. Itu fitnah semata-mata, " ujarnya dengan tepukan gemuruh daripada puluhan ribu hadirin.

Beliau menambah tidak tunduk dengan undang-undang rimba malahan mahukan semua jentera dalam gabungan Pakatan Rakyat berusaha segigih mungkin kerana BN terkenal dengan penipuan terhadap pilihan raya.


Menurutnya, BN boleh berpakat dengan Suruhanjaya Pilihan raya Malaysia (SPR) untuk menyekat kemaraan pembangkang yang memerlukan beberapa kerusi untuk menguasai Malaysia.

Menyedari hakikat itu, membuatkan BN merangka untuk memancing Ahli Parlimen pembangkang bagi memenuhi niat mendapatkan dua pertiga kerusi parlimen bagi memudahkan mereka meluluskan akta atau sesuatu elekmen demi menyelamatkan politik BN yang semakin parah.

"BN terpaksa buat kerja jahat untuk memastikan politik mereka selamat.  Mereka tahu rakyat sudah bosan terhadap BN yang terlalu banyak penyelewengan dan pembohongan," katanya.

Selain Anwar, turut berucap di majlis penutupan sambutan ulang tahun kedua Pakatan Rakyat negeri itu ialah Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Khalid Cabar Zulkifli Berdebat Isu Allah.


Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad hari ini mencabar Zulkifli Noordin berdebat bagi mencari kebenaran dan membuktikan hujah siapa yang bertepatan dengan pandangan agama berhubung isu kalimah Allah yang mempertembungkan mereka berdua.

Zulkifli yang membuat laporan polis terhadap Khalid berhubung isu penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam - telah dipecat daripada PKR Sabtu lalu.

Khalid berkata, beliau bersedia berdepan dengan ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu ini di mana-mana dan bila-bila masa sahaja.

“ Sediakan sahaja tempat serta waktunya dan panggil Astro Awani atau Hujjah TV9, kita berdebat secara siaran langsung demi mencari kebenaran,” tulis Khalid dalam blognya. 

“Kemudian lihat sahaja siapa yang berhujah di atas kekuatan nas dan siapa yang bertindak di atas dasar sentimen semata. 

“Sekiranya ada di antara apa yang saya fahami tidak tepat, tersasar dan tidak berlandaskan syariat, maka saya sedia diperbetulkan dan demikian jugalah saya harapkan sebaliknya,” tulis Khalid lagi.

Khalid turut mengulas pemecatan Zulkifli dengan memuji tindakan tegas PKR memecat ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu itu ekoran laporan polis terhadapnya.

“Walaupun mereka sedar bahawa pemecatan Zul (Zulkifli) akan menyebabkan PKR kehilangan satu lagi kerusi parlimen; dan DAP akan mempunyai satu kerusi lebih dari PKR, namun mereka terus bertindak tegas. Syabas!

“Tindakan tegas ini memberi mesej yang jelas berhubung komitmen PKR terhadap Pakatan Rakyat,” katanya.

Bagaimanapun, sepanjang 'perang mulut' antaranya Zulkifli dan pemimpin kanan partinya sendiri sebelum ini, Khalid hanya berdiam diri dan dilaporkan hanya menyifkan tindakan tersebut sebagai “hak dia”.



Khalid berkata, tindakan PKR itu telah melegakan penyokong PKR dan membuktikan ketegasan parti itu terhadap setiakawan dalam Pakatan, walaupun ia mengurangkan satu kerusi parlimennya.

“Tindakan (pemecatan) ini juga secara zahirnya bercanggah dengan kepentingan parti sendiri,” katanya yang juga sedang menjalani hukuman gantung jawatan oleh partinya sendiri.

Khalid turut mengucapkan tahniah kepada DAP yang “berjiwa besar” kerana sedia mengekalkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang walaupun kini mendominasi jumlah kerusi Pakatan di parlimen.

“Ini yang dikatakan pengorbanan demi menjaga kepentingan pakatan dan PR itu sendiri.

Pilihan Raya PBT: PM Dicabar Buat Pungutan Suara.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dicabar mengadakan pungutan suara untuk menentukan sama ada benar rakyat benar-benar tidak mahu pilihan raya kerajaan tempatan atau PBT diadakan semula.
Naib presiden DAP, M Kulasegaran (kanan) berkata sekiranya Najib ingin rakyat mempercayai konsep “pencapaian diutamakan, rakyat didahulukan” beliau mesti meletakkan kepentingan rakyat mengatasi hasrat BN untuk menafikan pilihan raya itu diadakan semula.

Pilihan raya PBT kali terakhir diadakan pada 1964 dan digantung ketika Indonesia mengumumkan konfrontasi dengan negara ini.

“Sepatutnya, Najib harus memenuhi janji-janji yang dibuat oleh kerajaan Perikatan bagi menghidupkan semula pilihan raya itu apabila konfrontasi berakhir tetapi sehingga sekarang BN gagal berbuat demikian,” kata Kulasegaran yang juga adalah ahli parlimen Ipoh Barat.

Kulasegaran juga menganggap alasan Najib bahawa pilihan raya PBT akan menyebabkan terlalu banyak 'politiking' dan menjejaskan perkhidmatan mereka sebagai remeh.

Katanya, sebab utama ialah kerana BN gusar mereka akan kehilangan majoriti di pihak majlis tempatan jika pilihan raya diadakan.

Manohara, Ibu Diarah Bayar RM6 Juta.

Manohara Odelia Pinot dan ibunya Daisy Fajarina hari ini diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya membayar ganti rugi berjumlah RM6 juta kepada suaminya, Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra dalam kes fitnah melibatkan tuntutan RM105 juta yang difailkan putera Sultan Kelantan itu terhadap mereka.
Penolong Kanan Pendaftar, Noordura Mohamed Din dalam penghakiman beliau juga memerintahkan kedua-dua defendan membayar ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan pampasan yang setiap satunya bernilai RM2 juta.

Prosiding yang berlangsung dalam kamar selesai pada jam 9.35 pagi.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan Peguam yang mewakili Tengku Muhammad Fakhry, Mohd Haaziq Pillay memberitahu

pemberita bahawa Noordura menetapkan RM2 juta sebagai ganti rui teruk, RM2 juta bagi ganti rugi teladan dan RM2 juta lagi bagi ganti rugi pampasan, selain faedah lapan peratus dari tarikh saman difailkan sehingga bayaran itu dilunaskan.

Beliau berkata mahkamah memutuskan jumlah ganti rugi itu selepas mengambil kira keadaan latar belakang kes itu, kedudukan tinggi Tengku Muhammad Fakhry dan tahap dakwaan yang serius yang dibuat oleh Manohara dan ibunya Daisy terhadap putera diraja Kelantan itu.

Pada saman yang difailkan pada 20 Julai 2009, Tengku Muhammad Fakhry mendakwa kedua-dua wanita itu telah secara palsu dan jahat memfitnah beliau apabila mereka mendakwa pada satu sidang akhbar antara April dan Jun 2009 bahawa Manohara telah didera.

Pada 5 Nov 2009, beliau memperoleh perintah ingkar terhadap Manohara (kiri) dan Daisy setelah mereka gagal melantik peguam bela baru bagi kes berkenaan selepas peguam mereka menarik diri daripada mewakili mereka.

Sebelum itu mahkamah pada 29 Okt 2009 memberi mereka tempoh sehingga 5 Nov 2009 untuk melantik peguam bela baru atau menghadapi risiko perintah ingkar dikenakan terhadap mereka.

Pada 14 Jan tahun ini, Tengku Muhammad Fakhry memberi keterangan di mahkamah untuk menentukan jumlah ganti rugi yang wajar diberikan kepadanya dalam saman itu.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails